Wednesday, November 14, 2012

PERUTUSAN MAAL HIJRAH PRESIDEN PGSM




Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Bagi pihak Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), saya ingin mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1434H dengan bermulanya 1 Muharam yang bersamaan dengan 15 November 2012 Masehi.

Mungkin ramai yang tidak berapa perasan perubahan tahun Hijrah, kerana seperti biasa kita lebihkan tahun Masehi berbanding tahun Hijrah. Berapa ramai dari kita yang menggunakan tarikh Hijrah dalam urusan harian mereka? Walhal permulaan tahun hijriah adalah merupakan suatu titik tolak yang sangat penting dalam sejarah ketamadunan manusia, dengan berlakunya peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah, demi menegakkan agama Allah s.w.t.

Peristiwa hijrah ini merupakan satu peristiwa yang agung sehingga ia menjadi pilihan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a (Khulafa’ al-Rashidin ke-2) untuk diabadikan sebagai titik permulaan kalendar Islam.

Hijrah menjadi satu peristiwa yang amat besar ujian dan dugaannya. Kejayaan hijrah Nabi SAW menjadi faktor utama perkembangan Islam ke seluruh dunia. Kejayaan hijrah juga adalah bukti kesabaran Rasulullah SAW dan para sahabat menerima perbagai ujian, penderitaan fizikal, emosi dan mental, selama lebih 12 tahun berada di Mekah.

Iktibar dari peristiwa agung ini, kita sebagai Peguam Syarie dan Pelatih Dalam Kamar juga dituntut supaya bersabar dalam menghadapi apa jua ujian dan cabaran hidup. Dalam profesion kita yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat awam, kawan dan lawan, serta Mahkamah, sudah pasti banyak ujian dan dugaan yang dihadapi. Cabaran yang paling besar bagi kita adalah untuk berkata yang hak dan benar, menegakkan yang hak, dan meletakkan hak kepada orang yang berhak.

Kesabaran adalah tuntutan Allah s.w.t. Firman-Nya : “Wahai sekalian orang-orang yang beriman sabarlah kamu sekalian dan teguhkanlah kesabaranmu itu.” (QS. Ali Imran:200)

Ujian dan cabaran ini adalah janji Allah SWT sebagaimana dalam firman-Nya : “Sungguh akan Kami berikan cubaan kepada kamu sekalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan kabar gembira kepada orang-orang yang sabar.” (QS. Al Baqarah:155).

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman : “Sungguh Kami benar-benar akan menguji kamu sekalian agar Kami mengetahui orang-orang yang berjuang dan orang-orang yang sabar di antara kamu sekalian.” (QS. Muhammad:31)

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW ini mengajar kita bahawa sekiranya pelbagai usaha dan strategi telah dilakukan, masih buntu atau tidak juga memperolehi jalan penyelesaian, kita dianjurkan untuk berhijrah, sama ada hijrah sikap kita atau pun hijrah ke tempat yang lebih sesuai. Semoga dengan hijrah kerana Allah SWT dapat memberi lebih kejayaan untuk kita dan agama.

Interpretasi Hijrah juga bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Habsyi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Orang-orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah.”

Apa yang penting untuk kita ingati dan kita kenangkan sempena Hijrah ini bukanlah sambutan terhadap peristiwa tersebut, tetapi dengan meneruskan amalan-amalan Nabi SAW dan berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Marilah kita bersama-sama berhijrah ke arah kebaikan, dan moga-moga tahun 1434 Hijrah ini mendatangkan kebaikan yang banyak buat kita.

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1434H.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
1 Muharam 1434H bersamaan 15 November 2012.


Saturday, November 10, 2012

Izin Poligami Bukan Hak Isteri

Oleh Roshdan Sujak Rafie

Persoalan berkaitan poligami sering dibangkitkan dan dibicarakan oleh masyarakat tidak kira oleh golongan lelaki mahupun wanita samada di pejabat, di rumah, kedai kopi mahupun di kalangan jiran tetangga. Malah, ianya juga sering dimainkan serta dilakonkan di layar televisyen ataupun di corong-corong radio. Bagaimanapun, ujud salah faham yang timbul dalam masyarakat akibat dari persekitaran dan salah faham berkaitan poligami ini.

Masyarakat sehingga kini diterapkan bahawa sesuatu perkahwinan poligami ini perlu mendapatkan keizinan dan tandatangan isteri sedangkan hakikat sebenar yang berlaku dalam perundangan kita ataupun hak yang diberikan oleh Hukum syarak adalah tidak sedemikian.

Seksen 23 Enakmen Undang-undang keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa “Tiada seorang pun lelaki semasa wujudnya suatu perkahwinan boleh, kecuali dengan mendapat kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada Mahkamah, membuat akad nikah perkahwinan yang lain dengan perempuan lain.” Peruntukan tersebut jelas menyatakan bahawa kebenaran perkahwinan secara poligami itu boleh diberikan dengan kebenaran Mahkamah. Peruntukan tersebut juga tidak menyatakan bahawa keizinan isteri itu menjadi syarat dalam mendapatkan kebenaran Mahkamah. Peruntukan yang sama juga diguna pakai hampir keseluruhan negeri di Malaysia.

Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami ialah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’, ayat 3 yang bermaksud:“Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan)perempuan-perempuan lain yang kamu berkenan, dua, tiga atau empat.Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu)maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hambahamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah)supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.

Syarak menetapkan bahawa seseorang lelaki itu dibenarkan berpoligami dengan syarat bahawa ia mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya. Bersandarkan firman Allah tersebut, jelas bahawa hak untuk berpoligami telah diberikan dalam Islam dan ianya menjadi hak kaum lelaki untuk berpoligami. Oleh kerana ujudnya hak sebagaimana yang diberikan syarak tersebut, maka kebenaran isteri bukanlah suatu kewajipan dalam poligami.

Polemik ini hanya dicetuskan oleh masyarakat dalam penceritaan atau perbualan sesama mereka semata-mata. Ia malah ditokok tambah dengan drama dan filem tempatan yang menggambarkan seolah-olah poligami hendaklah mendapatkan tandatangan dan kebenaran isteri terlebih dahulu.

Isu berkaitan poligami yang tidak perlu kepada kebenaran isteri ini bukan baru berlaku malah ia telah terlaksana sejak dari dulu lagi. kebenaran hanya diperolehi dari Mahkamah selepas seseorang itu berjaya membuktikan beberapa perkara antaranya perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut atau perlu berdasarkan kepada faktor kemandulan, keuzuran jasmani, persetubuhan, kemampuan menanggung semua isteri dan orang tanggungannya, berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak dan tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri-isteri. Ini juga dinyatakan dalam peruntukan Enakmen Undang-udang Keluarga Islam negeri dan dipraktikan secara menyeluruh di setiap Mahkamah Syariah negeri.

Ianya membawa maksud bahawa jika seseorang lelaki berjaya mengemukakan kepada Mahkamah keperluan beliau untuk berpoligami berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan, maka Mahkamah boleh membenarkan perkahwinan tersebut dilaksanakan walaupun tanpa kebenaran dan tandatangan isteri.

Perlu diingat bahawa kebenaran Mahkamah ini dibuat bukan bertujuan untuk menghalang hak lelaki untuk berpoligami tetapi ia dirangka bagi menjaga ketenteraman rumah tangga dan mengelak dari penindasan serta kezaliman suami terhadap isteri. Malah kecacatan atau kecelaruan yang berlaku dalam soal poligami bukanlah dari segi prinsip tetapi lebih kepada perlaksanaannya oleh sesetengah lelaki gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik malah menyimpang dari landasan syariat.

Pemahaman salah masyarakat berkaitan kebenaran isteri untuk berpoligami ini juga mungkin disebabkan sikap para suami takut untuk hadir ke Mahkamah disebabkan anggapan bahawa ianya perlu mendapat kebenaran isteri. Malah, kadang-kadang ianya juga dibuat secara sembunyi kerana bimbang diketahui oleh isteri.

Salah faham berkaitan izin isteri dalam berpoligami ini perlu dihapuskan kerana ianya menampakkan seolah-olah kuasa dan hak untuk berplogami itu menjadi hak isteri sedangkan hukum syarak dan undang-udang itu membenarkan suami berpoligami walaupun tanpa kebenaran isteri.

Penulis ialah Timbalan Presiden PGSM.

Wednesday, November 7, 2012

Tangani isu murtad

Ambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi dengan musyrikin Makkah

Oleh Musa Awang

KES permohonan keluar Islam atau murtad adalah isu yang sensitif kerana menyentuh kaum dan agama lain di Malaysia. Namun dalam masyarakat majmuk di negara ini, ia tidak dapat dielakkan untuk dibicarakan. Penulis percaya bahawa rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk membicarakan isu itu dengan fikiran terbuka.

Sebagai peguam syarie, penulis tidak dapat mengelak daripada didatangi pelanggan yang mahukan penulis mewakili mereka dalam permohonan keluar Islam. Tinggal tepuk dada tanya iman. Pernah dilaporkan oleh Harian Metro pada 5 Oktober lalu, membabitkan segelintir peguam syarie yang dikatakan menggadaikan prinsip dan agama sendiri dengan mewakili pemohon yang ingin keluar Islam kerana wang ringgit.

Penulis percaya yang terbabit hanya sebahagian kecil saja dan yakin majoriti peguam syarie masih berpegang kepada hukum syarak dan meletakkan Islam sebagai prinsip yang teratas dan tertinggi. Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika jawapan lisan kepada soalan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010.

Sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan. Pada pandangan penulis, masyarakat dan institusi Islam di negara ini perlu tahu betapa serius atau tidaknya perkara itu dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.

Berdasarkan Jadual Sembilan, Senarai II Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan seseorang itu masuk Islam, menentukan seseorang itu masih lagi beragama Islam atau sudah meninggalkan agama Islam dan mengambil tindakan atas kesalahan keluar agama Islam. Ini disebut dengan jelas di dalam kebanyakan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Sebenarnya, tiada istilah permohonan untuk murtad atau keluar daripada agama Islam di dalam mana-mana enakmen negeri. Permohonan yang ada ialah permohonan pengisytiharan status agama sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau tidak. Anggapan bahawa Mahkamah Syariah mengesahkan atau membenarkan seseorang itu murtad adalah silap. Mahkamah Syariah tidak pernah membenarkan seseorang itu murtad, tetapi membuat pengisytiharan status agama seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Umumnya, terdapat tiga pendekatan bagi mereka yang murtad di Malaysia mengikut undang-undang. Pertama dengan didakwa sebagai kesalahan jenayah syariah yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana daripada ketiga-tiga bentuk hukuman ini. Kedua dengan tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Aqidah sehingga tempoh 36 bulan. Ketiga, tiada sebarang bentuk hukuman, tetapi diwajibkan melalui sesi kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan.

Hasil pengamatan penulis, terdapat tiga kategori pihak memohon pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah. Kategori pertama ialah golongan yang sejak kecil tinggal bersama dan dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, mengamalkan agama bukan Islam, hanya tinggal nama dan status Islam dalam kad pengenalan. Sejak kecil, mereka tidak pernah mendapat didikan agama Islam atau bimbingan daripada ibu bapa, tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibu bapa atau keluarga bercerai. Kategori kedua ialah mereka yang menganut agama Islam selepas berumur 18 tahun, tetapi kemudian ingin kembali semula ke agama asal atas sebab tertentu. Antaranya disebabkan memeluk Islam kerana berkahwin dan kemudian berlaku perceraian, saudara baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan atau simpati apabila gagal mendapat bantuan berterusan, kurang perhatian orang Islam terhadap saudara baru bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa, atau saudara baru yang tidak mendapat bimbingan agama atau mendapat bimbingan agama, tetapi hanya separuh jalan.

Ketiga ialah golongan yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, tetapi memilih untuk keluar daripada agama Islam atas faktor seperti tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing, terpengaruh dengan ajaran sesat, ‘black metal’, dadah dan gejala bersifat negatif, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibu bapa, kejahilan dalam ilmu tauhid, tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu bapa sendiri yang juga jahil dan tidak mahu belajar agama. Namun, tidak ramai daripada kategori ini yang memohon pengisytiharan di Mahkamah Syariah berbanding kategori pertama dan kategori kedua. Kebiasaannya, permohonan untuk pengisytiharan agama akan diikuti sekali dengan permohonan untuk menukar nama dan status agama di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Peraturan 14 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mengkehendaki setiap permohonan menukar status agama mestilah mendapat Perintah dari Mahkamah Syariah. Penulis percaya, jika tidak ada peraturan sebegini, bayangkan sudah berapa ramai orang Islam bertukar nama dan status dalam kad pengenalan mereka dengan mudah.

Suatu kajian perlu dibuat bagi mengenal pasti berapa ramai saudara baru atau mualaf kembali ke agama asal mereka, dan mengapa terjadi demikian. Banyak usaha perlu dibuat untuk mencegah pencemaran akidah yang boleh membawa kepada gejala murtad.

Pendekatan dakwah perlu dikemas kini di semua peringkat dan lapisan masyarakat, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, mengadakan program keluarga angkat saudara baru, menghapuskan program hiburan melampau di media tempatan, memperkukuhkan jati diri masyarakat Islam, mempamerkan contoh teladan yang baik kepada bukan Islam. Murtad akan berlaku sama ada diisytiharkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Mengembalikan mereka ke pangkuan Islam adalah kejayaan besar bagi kita.

Penulis percaya bahawa pakar perundangan dan cendikiawan Islam perlu melihat kepada roh Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani oleh Nabi s.a.w dengan orang musyrikin Makkah pada tahun keenam Hijrah (628 Masihi). Antara isi kandungan perjanjian itu ialah sesiapa di antara orang musyrikin Quraisy yang menganuti agama Islam tanpa izin walinya iaitu ibu bapa atau penjaganya hendaklah dikembalikan kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya.

Bagi orang Islam yang memihak kepada musyrikin atau menganut agama lain tidak perlu dihantar balik. Baginda bersetuju mengembalikan orang musyrikin yang menganut Islam tanpa izin walinya kerana baginda yakin mereka adalah golongan yang dibuka hatinya menerima hidayah Allah s.w.t, sanggup meninggalkan keluarga demi Islam dan tidak akan berubah hati mereka.

Apabila mereka dikembalikan kepada keluarga, mereka boleh pula berdakwah di kalangan keluarga masing-masing. Hikmah daripada kebijaksanaan baginda Rasulullah ini, dakwah Islam semakin tersebar, program dakwah Islamiyah digerakkan ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Disiarkan dalam Harian Metro, Rabu 7/11/2012


Wednesday, October 31, 2012

Jaga hukum ketika berlakon

Oleh Musa Awang

TENTU seronok menyaksikan drama atau rancangan bersiri bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu sama ada secara percuma atau melalui saluran berbayar. Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan rancangan realiti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak dinafikan banyak melahirkan bakat baru dalam lakonan.

Namun, sama ada kita perasan atau tidak, beberapa rancangan yang menjadi kesukaan kanak-kanak kerap menggunakan pelakon lelaki untuk membawa watak wanita dan memakai pakaian wanita. Dikhuatiri jika keadaan ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan kanak-kanak yang gemar menonton rancangan itu.

Walaupun niat mereka mungkin ingin menyampaikan mesej yang baik tetapi banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum yang ditetapkan Islam. Apatah lagi majoriti pelakon terbabit adalah Melayu beragama Islam. Dalam Islam hukumnya jelas haram seorang lelaki berpakaian perempuan, maka ia tetap tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan. Majoriti ulama bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama seperti wanita dilarang menyerupai lelaki.

Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al-Bukhari). Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas, termasuk menyerupai gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasai’il Lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Daripada Abi Hurairah r.a berkata: Rasulullah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (HR Abu Daud) Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menurut pandangan dikeluarkan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya: l Filem dan lakonan mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik atau yang menjejaskan akidah dan akhlak serta syariat Islam; apa jua filem dan lakonan mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.

Lakonan dan perfileman tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syubhah. l Ia ada kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan). Jika sesuatu produk filem atau lakonan memenuhi syarat minimum di atas, maka ia adalah harus dan halal. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429H memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki menyerupai wanita (mak nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar sebaik-baiknya kepada anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Orang Islam lelaki yang berlagak seperti perempuan boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.” Bagaimanapun terdapat sedikit pengecualian atau klausa selamat (safety clause) dalam peruntukan tersebut, di mana terdapat perkataan ‘atas tujuan bermoral’, yakni seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam tidak boleh dikenakan tindakan melainkan dia berpakaian sedemikian untuk tujuan tidak bermoral atau untuk tujuan maksiat. Jika seseorang lelaki saja-saja memakai pakaian perempuan di tempat awam, atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, tanpa tujuan melakukan maksiat, maka dia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Peruntukan yang hampir sama juga terdapat di Negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi tempoh hukuman penjara.

Penulis berpandangan peruntukan ini perlu dipinda kerana ia berlawanan dengan kehendak Hukum Syarak yang mengharamkan lelaki menyerupai perempuan tidak kira untuk tujuan apa sekalipun. Peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, dan Kelantan lebih bertepatan dengan Hukum Syarak. Sebagai contoh, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.” Hukuman bagi kesalahan berlagak seperti perempuan di Perlis lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 memperuntukkan bahawa “(1) Mana-mana orang lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya. Tidak mahu diganggu anak dan serahkan anak kepada televisyen. Lebih mudah dan murah. Kita tidak mahu ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk memulihkan kembali personaliti dan disiplin anak yang tercemar akibat pengaruh televisyen. Penulis boleh dihubungi sekretariatpgsm@yahoo.com Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Artikel ini disiarkan dalam akhbar Harian Metro pada : 31/10/2012

Peguam Syarie Menulis: Isu nusyuz bukan senjata ampuh suami


2012/10/31
Oleh Musa Awang
Mahkamah Syariah tentukan hukum isteri tak dapat nafkah

Kebanyakan suami masih keliru atau kabur dan sebahagian besarnya tidak faham langsung maksud nusyuz. Ramai suami mentafsirkan sendiri istilah 'nusyuz' dengan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada ulama muktabar.
Nusyuz dijelaskan dalam firman Allah SWT: “Dan wanita-wanita (isteri-isteri) yang kamu khuatir nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahlah diri dari tempat tidur mereka dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari untuk menyusahkan mereka sesungguhnya Allah Maha Tinggi Lagi Maha Besar.” (Surah Al-Nisa’, ayat 34)

Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.
Isu isteri nusyuz ini dijadikan senjata ampuh bagi suami dan dibangkitkan mereka dalam semua kes termasuk tuntutan mutaah, hadanah, fasakh serta harta sepencarian. Walhal nusyuz hanya memberi kesan kepada nafkah isteri.

Suami juga keliru dalam membezakan antara berkelakuan buruk (fahisyah) dengan nusyuz. Sesetengah suami cukup mudah menghukum isteri yang meninggikan suara, tidak memasak atau tidak membasuh baju sebagai isteri nusyuz.

Sedangkan dari sudut undang-undang, nusyuz adalah kes yang sukar untuk dibuktikan dan memerlukan beban pembuktian yang berat. Bukan hak suami untuk mengatakan isterinya nusyuz, tetapi ia adalah kuasa Mahkamah Syariah.

Mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003, perkataan nusyuz disebutkan sebanyak tiga kali, dua kali disebutkan dalam Seksyen 60 dan sekali disebutkan dalam Seksyen 66.

Seksyen 60 menyebut hak isteri untuk mendapat nafkah daripada suaminya semasa dalam pernikahan, serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah itu. Manakala Seksyen 66 mengenai hak isteri mendapatkan nafkah ketika dalam edah serta kesan nusyuz terhadap hak nafkah edah itu.

Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan, seorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya.
Antaranya, apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya; meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya atau enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah tanpa sebab sah mengikut hukum syarak.

Selepas isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz. Ringkasnya, sabitan nusyuz perlu kepada pengesahan dari Mahkamah Syariah.

Suami tidak boleh memandai-mandai menghukum isteri sebagai nusyuz dengan menghentikan pemberian nafkah kepada isteri atas andaian isteri telah nusyuz. Sebaliknya suami perlu mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah untuk mensabitkan isterinya nusyuz.
Kebanyakan kes nusyuz yang dibangkitkan di mahkamah adalah berkaitan tindakan isteri meninggalkan rumah disediakan oleh suami. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak muncul kes nusyuz yang mana suami mendakwa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Kes nusyuz boleh didaftarkan melalui prosedur kes mal atau jenayah kerana tiada prosedur khusus. Tuntutan nusyuz juga boleh dibuat semasa pembelaan dan tuntutan balas suami dalam kes tuntutan perceraian isteri.

Apabila suami mendapati isterinya nusyuz, suami perlu memulakan tindakan proaktif iaitu dengan membuat aduan di Pejabat Agama Islam untuk satu sesi kaunseling bagi menasihati pihak-pihak menyelesaikan krisis yang dihadapi.
Suami juga perlu mengambil tindakan memujuk isteri kembali ke pangkuannya dan kembali mentaatinya menurut hukum syarak. Jika suami tidak mengambil sebarang tindakan wajar, kemungkinan isteri tidak dapat disabitkan sebagai nusyuz.
Nusyuz juga biasanya akan dimulakan dengan tuntutan taat terlebih dulu yang dikemukakan suami. Jika selepas perintah isteri taat dikeluarkan, isteri masih lagi enggan, maka isteri boleh disabitkan nusyuz.

Isteri nusyuz juga boleh didakwa menggunakan prosedur jenayah dengan menggunakan peruntukan isteri tidak menurut perintah (Seksyen 129) dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam. Kesilapan suami ialah menimbulkan isu nusyuz sebagai pembelaan diri.
Kesilapan suami juga, masih ingin menimbulkan isu nusyuz dalam kes tuntutan selepas perceraian sedangkan pengisytiharan atau sabitan nusyuz tidak pernah dimohon suami sebelum berlaku perceraian.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tuesday, October 23, 2012

Transformasi hukuman lebih adil


Peguam Syarie Menulis, Berita Harian, 24/10/2012

Oleh Moeis Basri

Undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil

Bermula daripada dasar Perdana Menteri memperkenalkan transformasi dalam pentadbiran beliau, beberapa sektor telah melalui transformasi juga dan tidak ketinggalan ialah undang-undang dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta beberapa undang-undang lain. Baru-baru ini turut dicadangkan pindaan undang-undang sivil berkaitan hukuman kesalahan rogol statutory bertujuan memberi garis panduan supaya pesalah jenayah berkenaan dikenakan hukuman berat.

Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran" - Surah Ali-Imran (ayat 110)
Secara semula jadi sifat peraturan undang-undang itu ialah apabila sesuatu kesalahan menjadi isu besar dalam negara atau jenayah telah berlaku secara berleluasa, sesuatu hukuman terhadap jenayah berkenaan akan dipinda menjadi lebih berat.

Tujuannya untuk memberi amaran atau mencegah masyarakat daripada melakukan kesalahan itu. Ini dapat dilihat daripada contoh klasik kesalahan mengedar dadah apabila telah menjadi satu fenomena global yang memberi kesan kepada kebinasaan generasi muda khususnya.

Hukuman kesalahan jenayah berkenaan dikanunkan sehingga boleh membawa kepada hukuman mati mandatori. Begitu juga kesalahan penculikan pada suatu ketika dulu menjadi satu fenomena menakutkan masyarakat, hukuman kesalahan itu turut dipinda membawa kepada hukuman mati.

Sesungguhnya tindakan kerajaan mengubah atau meminda undang-undang demi kebaikan umum terutama demi memelihara keamanan dan keharmonian amat dialu-alukan.
Selaras usaha kerajaan menambah baik peraturan berkaitan undang-undang sivil, adalah perlu juga semakan kepada perlembagaan negara dan setiap kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran undang-undang syariah menyemak semula undang-undang syariah sedia ada.

Kita telah disajikan dengan cerita keruntuhan akhlak masyarakat Islam seperti pembuangan bayi, meminum minuman keras dan beberapa kesalahan syariah lain. Mungkin perkara ini asalnya dilihat sebagai perkara kecil tetapi apabila kita berkompromi, telah membawa kesan negatif yang besar.

Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan hukuman untuk kesalahan jenayah syariah tetapi hukuman kesalahan syariah terhad kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam sebatan saja.

Melihat perkembangan masyarakat yang tidak serik mengulangi atau melakukan kesalahan jenayah syariah, boleh dikatakan mereka memandang ringan kesalahan itu selain hukuman ringan yang dikenakan.

Bersesuaian dengan usaha kerajaan menyemak semula beberapa undang-undang sivil yang dianggap lapuk dan memerlukan transformasi, undang-undang syariah juga harus mengalami transformasi.

Mahkamah Syariah sudah dinaik taraf dengan pembangunan infrastruktur. Oleh itu, undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil.

Baru-baru ini kita dikejutkan kisah seorang lelaki yang menipu isteri-isterinya dengan mengahwini 11 wanita pada satu masa. Beliau menipu dokumen bagi membolehkannya berurusan dengan pejabat agama.

Jika kisah dan cerita itu betul, hukuman untuk kesalahan syariah bernikah lebih daripada empat isteri masih ringan berbanding hukuman menipu mengikut Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil. Oleh itu, pesalah akan lebih takut dengan hukuman Mahkamah Sivil berbanding perbuatan melanggar hukum syarak.

Sedangkan kesalahan syarak dilakukan membawa implikasi sangat besar kepada keturunan dan status anak yang lahir daripada perkahwinan dilarang. Jika tidak ditegah dan diatasi, akan melahirkan anak tak sah taraf seterusnya tanpa disedari merosakkan sifat keturunan dalam Islam.

Walaupun diakui bahawa sifat keadilan dan hukuman dalam Islam ialah bersifat belas kasihan, mendidik dan memaafkan, had hukuman yang berat adalah bersifat untuk mencegah serta mendidik masyarakat supaya tidak melakukan jenayah itu.

Tidak semestinya apabila sesuatu had hukuman berat itu dikanunkan, maka hakim perlu memberi hukuman maksimum. Pertimbangan kepada fakta kes, bentuk kesalahan, keadaan semasa juga harus diberi perhatian sebelum menetapkan bentuk hukuman yang sesuai.
Demi memelihara keutuhan masyarakat Islam, undang-undang mengawal akhlak masyarakat Islam juga perlu dilakukan transformasi bersesuaian keadaan semasa.

Firman Allah SWT: “Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, October 1, 2012

KELAS TAFAQQUH FIDDIN SIRI 1/2012




KELAS TAFAQQUH FIDDIN SIRI 1/2012

PROGRAM DI BAWAH BIRO PENDIDIKAN & LATIHAN,
PGSM SESI 2012/2015

TARIKH: 5HB. OKTOBER 2012 (JUMAAT)
JAM: 9.00 PAGI HINGGA 12.00 TENGAH HARI
TEMPAT : BILIK TAULIAH, TINGKAT 4, MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR
TAJUK : IDDAH & RUJUK
PEMBENTANG : USTAZ AHMAD MISBAH MOHD HELMI @ UST HAMID... (Pensyarah FIQH KUIS)

KITAB YANG DIPERBAHALUSI: MUGHNI MUHTAJ (Sila bawa kita bersama bagi sesiapa yang ada)

YURAN : RM 30.00 (MKN, BAYARN TOK GURU & NOTA)

TEMPAT TERHAD : 40 ORANG SAHAJA

PENDAFTARAN DIBUKA SEKARANG..... SIAPA CEPAT DIA DAPAT.

BOLEH HUBUNGI:

1. EN. MOHD ADZLIN BIN MOHD RAZALI : 012 2773829
2. CIK NORHIDAYAH.... (BAHARI & ASSOCIATES).....
3. DAFTAR TERUS KE SEKRETARIAT PGSM.....

*.... SIAPA DAFTAR LEWAT TIDAK DISEDIAKAN JAMUAN & NOTA . JADI DAFTAR CEPAT SEBELUM TEMPAT PENUH...*

JOM RAMAI-RAMAI CARI & GALI ILMU HINGGA PENGHUJUNG USIA/KARIER

Wednesday, September 19, 2012

TANGANI PROVOKASI SECARA WARAS

Berita Harian
Rabu, 19 September 2012

Musa Awang

Perlu bijaksana menangkis isu filem burukkan Rasulullah

Saya sempat menonton filem Innocence of Muslims di youtube, membuat saya terfikir betapa jahatnya musuh-musuh Islam yang berada dalam ‘ketakutan’ kerana semakin ramai umat manusia memilih Islam sebagai jalan hidup.

Filem yang di sunting di California, Amerika Syarikat, dibuat semata-mata untuk mereka cerita buruk yang tidak benar mengenai Nabi Muhammad SAW khususnya, dan Islam umumnya. Maka wajarlah apabila saudara-saudara Islam yang lain marah dan geram dengan pembikinan filem ini.

Demonstrasi menentang filem ini yang dilakukan oleh saudara-saudara Muslim seluruh dunia bertujuan memberitahu bukan Islam supaya tidak mempersendakan agama Islam dan penganutnya.

Bagaimanapun, kemarahan dan kecaman itu jangan sampai melakukan tindakan yang merugikan atau tindakan menggambarkan seolah-olah apa yang didakwa dalam filem itu benar. Kemarahan dan kecaman boleh dilakukan dengan pelbagai cara, termasuk demonstrasi secara damai.

Kecaman secara damai dan tidak membawa sebarang kerosakan atau kemusanahan, secara tidak langsung sudah menjawab mesej jahat dari filem itu. Islam agama sejahtera, damai dan cintakan keamanan.

Islam bukanlah agama yang membenarkan kemungkaran ditangani dengan cara yang mungkar juga. Islam mengajar supaya mengawal perasaan.

Sabda Rasulullah SAW : “Orang yang kuat itu bukanlah yang dikenali dengan hebatnya berkelahi, tetapi orang yang kuat adalah yang mampu menguasai (menahan) dirinya ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari)

Sebelum melakukan tindakan protes, fahami isu sebenar, tontonilah filem itu terlebih dahulu, bagi mengelakkan kita bersuara dalam keadaan diri yang jahil.

Allah SWT telah mengingatkan dalam firman-Nya, “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak memiliki pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua itu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah al-Isra’, 17: 36)

Filem Innocence of Muslims adalah sebuah provokasi terbaru dari musuh Islam, dan perkara seumpama ini tidak akan berhenti sehingga berlaku kiamat. Di sinilah kedewasaan kita diuji, adakah umat Islam masih boleh berfikir waras dan bertindak dengan baik.

Atau hanya menuruti nafsu amarah saja, dengan melakukan tindakan di luar batas yang akhirnya mengiyakan apa yang disampaikan dalam filem Innocence of Muslims tersebut.

Dakyah dan persepsi negatif yang cuba dipaparkan dalam filem tersebut perlu dijawab dengan cara lebih matang, melalui karya seperti tulisan, filem, atau siri rencana tentang keperibadian, kebaikan dan kemurnian ajaran Rasulullah SAW serta kehebatan para sahabat yang mendampingi baginda.

Hasan Bin Ali meriwayatkan "Saya pernah bertanya kepada bapa saudaraku, Hindun bin Abu Halah yang sangat pandai menggambarkan sesuatu. Saya katakan kepadanya, `gambarkanlah kepadaku bagaimana cara Rasulullah saw berbicara!' Ia berkata, `Rasulullah adalah seorang yamg nampak selalu prihatin dan sentiasa berfikir. Beliau lebih banyak diam dan berbicara hanya seperlunya. Beliau memulai dan mengakhiri pembicaraan beliau dengan menyebut nama Allah. Ucapan beliau selalu padat, terperinci dan jelas, tidak lebih dan tidak kurang, tidak kasar dan tidak merendahkan. Beliau selalu mensyukuri nikmat walaupun sedikit dan sama sekali tidak pernah mencelanya. Beliau tidak pernah mencela dan memuji makanan. Urusan dunia beserta isinya tidak pernah membuatkan beliau marah. Jika kebenaran dilanggar, beliau tidak akan diam hingga kebenaran itu ditegakkan. Beliau juga tidak pernah marah dan tidak pula memperjuangkan kepentingan peribadi. Ketika menunjuk sesuatu, beliau selalu menggunakan seluruh tangannya. Dalam keadaan ta'jub atau terkejut, beliau selalu membalik (tapak tangannya). Ketika berbicara terbiasa menggunakan tangan untuk memperjelas perkataan dengan cara memukul-mukul tapak tangan kanan ke tapak jempol kiri. Ketika marah, beliau berbalik dan berpaling. Ketika senang, beliau menundukkan pandangan. Ketawa beliau adalah senyuman dan gigi beliau nampak seperti butiran salji." (Riwayat Tirmizi)

Aisyah meriwayatkan : "Saya sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah saw berusaha untuk membalas kezaliman yang beliau terima, selama hal itu tidak menyebabkan larangan Allah dilanggar. Jika larangan Allah dilanggar, maka beliaulah yang paling keras mengungkapkan kemarahan. Jika beliau dihadapkan kepada dua pilihan, maka beliau akan memilih yang paling mudah selama (hal yg lebih mudah itu) tidak menyebabkan dosa." (Riwayat Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad)

Peribadi Rasullulah adalah contoh paling ideal, paling sempurna dan paling bertepatan dengan kehendak dan tuntutan Syariat Islam, yang perlu ditauladani oleh umat Islam.

Firman Allah SWT : Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) – (Surah al Ahzab : 21)

Rasulullah SAW adalah sebaik-baik manusia dalam berakhlak dan beretika, dan orang yang paling mulia, bertaqwa dalam berinteraksi.

Allah SWT berfirman sambil memuji nabi saw yang bermaksud “Sungguh dalam dirimu terdapat akhlaq yang mulia”. (Surah Al-Qalam : 4)

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

KENYATAAN MEDIA ISU FILEM INNOCENCE OF MUSLIMS YANG MENGHINA NABI MUHAMMAD S.A.W

Ruj. Kami : Bil.(01) dlm. SUA/2012 (Media)

18 September, 2012

KENYATAAN MEDIA
ISU FILEM INNOCENCE OF MUSLIMS YANG MENGHINA NABI MUHAMMAD S.A.W


Merujuk kepada kontroversi isu filem Innocence of Muslims yang secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad s.a.w, , PGSM sebagai sebuah pertubuhan yang menaungi semua Peguam Syarie seluruh Negara Malaysia mengeluarkan kenyataan seperti berikut :-

1. Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melahirkan rasa kecewa dengan penerbitan filem tersebut yang tidak sensitif kepada orang islam di seluruh dunia.

2. PGSM bersetuju dan menyokong bantahan yang telah dibuat oleh banyak pihak terutama oleh orang Islam di seluruh dunia berkenaan filem tersebut. PGSM menyeru kepada semua pihak untuk sama-sama berganding bahu mengadakan bantahan terhadap filem tersebut, dengan mengetepikan ideologi politik masing-masing, kerana isu ini adalah isu umat Islam keseluruhannya.

3. Walaubagaimanapun, PGSM tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak yang melahirkan bantahan melalui demonstrasi secara melampau sehingga melibatkan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa. Tindakan sebegini boleh mengundang persepsi yang lebih negatif kepada agama Islam itu sendiri yang sebelum ini sering dikaitkan dengan keganasan.

4. PGSM juga menyeru umat Islam supaya berhati-hati sekiranya ingin mengadakan demonstrasi bantahan terhadap filem berkenaan agar tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi yang bertujuan supaya kita bertindak agresif lalu memberi imej buruk kepada agama Islam.

5. PGSM menganjurkan agar umat Islam bertindak lebih rasional dan intelektual dalam isu ini dengan memberi gambaran yang baik terhadap Rasulullah dan agama Islam kepada golongan bukan Islam sebagaimana anjuran daripada agama Islam sendiri untuk menyeru atau berdakwah dengan cara berhikmah dan contoh yang baik.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,


t.t
...............................
(MOEIS BIN BASRI)
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

MUZAKARAH PEMAHAMAN ARAHAN AMALAN PEGUAM SYARIE

Assalamualaikum wbh,
Dato/Datin/Prof/Dr/Haji/Hajjah/Tuan/Puan adalah dipelawa menyertai:

MUZAKARAH PEMAHAMAN ARAHAN AMALAN
Anjuran PGSM(Exco Penyelidikan Dan Undang-undang (EPDUU)) bersama JKSM
*****************************************************************

PADA 21 SEPT 2012 JUMAAT
JAM 8 PAGI SEHINGGA 1 PETANG
BERTEMPAT DI DEWAN SEMINAR MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN
**********************************************************
Peserta-peserta akan diberi penerangan khusus mengenai arahan amalan terkini 2008, 2010 dan 2011. Juga perbincangan am akan dibuat ke atas
arahan-arahan amalan sebelum itu yang berkaitan prosedur yang relevan bagi pengamal undang-undang. Diskusi akan dibuat untuk mengenal pasti
arahan amalan yang perlu diperbaikkan dan juga bagi menerima cadangan untuk mengeluarkan arahan amalan yang baru yg lebih efektif. Maklum balas
akan diketengahkan ke peringkat jawatankuasa kerja arahan amalan JKSM dan juga PGSM

Para Penceramah: Tuan Haji Syakir Mohamad dan Tuan Zakian Dio drpd JKSM
BAYARAN FI : RM50.00
bilangan peserta 40 -50 sahaja
***********************************************************
Tentatif program:
800 pagi Pendaftaran dan sarapan
900 pagi Perasmian oleh YAA Ketua Pengarah JKSM
930 pagi Muzakarah I bermula
1030 pagi break
1100pagi Muzakarah II
12.45 tghr Tamat

Pendaftaran boleh dibuat kepada AJK EPDUU Nurulhuda Maarof (hp: 012 221 9247)
dan pembayaran boleh dibuat terus ke dalam akaun bendahari program Siti Hajar Abdul Rahman (CIMB 1404 0002 6022 02) (hp: 012 427 3778)
Sila maklumkan kepada Puan Siti sekiranya bayaran telah dibuat. Terima kasih

Yang benar,

Haji Azmi Tan Sri Rais
Pengerusi EXCO EPDUU

Wednesday, September 12, 2012

MAKLUMAN PERPINDAHAN MAHKAMAH RENDAH SYARIAH NEGERI SELANGOR

Kami memanjang surat makluman dari Jakess bertarikh 23 Julai 2012, rujukan JAKESS 200-2/14 (86), berhubung perpindahan beberapa alamat mahkamah rendah syariah daerah, iaitu :
Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam
Aras 3, Bangunan Mahkamah Syariah Sultan Idris Shah,
40000 Shah Alam, Selangor.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang
Jalan ST, Bandar Baru Salak Tinggi,
43900 Sepang, Selangor.

Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Jalan Bintang U5/33, Seksyen U5,
40150 Shah Alam, Selangor.

Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Jalan Haji Sirat,
42100 Klang, Selangor.

Sehubungan ini, segala surat menyurat perlu dialamatkan terus ke alamat baru tersebut.

Wednesday, September 5, 2012

JEMPUTAN KE MAJLIS AIDILFITRI PGSM 1433H


Salam. Tuan/Puan dijemput ke Majlis Aidilfitri Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) pada Jumaat 14 September 2012, bersamaan 27 Syawal 1433H, dari jam 11.30 pagi hingga 3.30 petang, bertempat di Cafe, Tingkat bawah, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Selamat hari raya, maaf zahir & batin dari PGSM...

Thursday, August 30, 2012

Musafir perlukan ruang solat selesa

Semua R&R, pusat beli belah patut sedia kemudahan surau

Oleh Musa Awang
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Berita Harian, RABU 29 OGOS 2012

Pengalaman bertemu satu keluarga mulaaf di hentian Ladang Bikam Perak, dalam perjalan pulang dari kampung di utara tanah air menyedarkan saya, ada perkara kecil tetapi jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi impak besar.

Ketika berhenti rehat di sebuah wakaf, keluarga berkenaan menghampiri untuk bertanyakan surau kerana ingin menunaikan solat Zuhur. Saya maklumkan, surau berdekatan ialah di hentian Rehat & Rawat (R&R) Ulu Bernam, kira-kira 30 kilometer.

Walaupun di hentian itu mempunyai wakaf yang menyediakan sejadah serta arah kiblat untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat papan kenyataan ‘Tidak Digalakkan Untuk Solat Di Sini”. Malah, saya turut mengesyorkan keluarga itu supaya tidak bersolat kerana wakaf berkenaan tidak sesuai dijadikan tempat solat.

Ia sempit dan terlalu terbuka. Tambahan pula ada ahli kaum wanita dan pastinya menyukarkan mereka untuk mengambil wuduk serta memakai telekung.

Tidak dinafikan syarikat konsesi lebuhraya sudah menyediakan surau yang selesa untuk kemudahan orang Islam tetapi hanya di R&R yang sering berlaku kesesakan setiap kali cuti sekolah atau musim perayaan.

Pada waktu itu, pengguna Islam terpaksa mencari alternatif untuk berhenti rehat dan solat kerana tidak mahu bersesak-sesak. Justeru, adalah lebih wajar jika hentian kecil atau hentian sebelah juga turut menyediakan kemudahan surau dengan mengambilkira sensitiviti serta aurat kaum wanita.

Selaras dengan, Perkara 3(1) Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta Perkara 3 (2) dan (5) yang meletakkan Raja atau Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri dan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan. Oleh itu usaha memartabatkan premis bagi umat Islam menjalankan ibadat juga hendaklah diletakkan pada tempat yang sesuai dan istimewa.

Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan syiar Islam kerana ia diperuntukkan dengan jelas dalam undang-undang tertinggi Negara. Kerajaan juga mempunyai kuasa dan bajet yang besar serta terdapat banyak institusi agama untuk menjalankan usaha dakwah ini.

Adalah sesuatu yang amat dikesali bila ada sebahagian stesen minyak dan pusat membeli belah tidak menyediakan kemudahan surau.

Prasarana yang sesuai untuk umat Islam mengerjakan ibadah solat samada di lebuhraya, pusat membeli belah atau stesen minyak adalah sebahagian dari usaha dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam.

Ia juga mampu mengelakkan persepsi negatif kepada yang baru memeluk Islam seperti keluarga muallaf tadi.

Dakwah dalam konteks lebih luas adalah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud ; “Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl, ayat 125)

Di Malaysia, peningkatan saudara baru memeluk Islam menunjukkan peningkatan yang cukup baik, berpandukan statistik semenjak tahun 2000 sehingga 2009 jumlah saudara baru yang memeluk Islam di Malaysia ialah seramai 76,663 orang.

Tanggungjawab dakwah bukan sahaja terletak atas bahu pegawai jabatan agama Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sahaja, tetapi ke atas semua penganut agama Islam termasuk pihak yang menguruskan lebuhraya.

Ia berdasarkan kepada firman yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat 124 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), sertakamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Komitmen dakwah ini boleh dikategorikan sebagai dakwah bilhal iaitu dakwah melalui contoh tauladan yang baik dan ia kadang-kadang lebih berkesan dari dakwah melalui percakapan.

Sebahagian besar persepsi negatif terhadap Islam disebabkan umat Islam sendiri tidak menzahirkan Islam pada tingkahlaku mereka, atau mereka menzahirkan sesuatu yang negatif pada amalan-amalan Islam yang baik.

Walaupun sembahyang di tepi jalan, di bawah pokok atau di atas wakaf tidak salah dari segi Syarak, tetapi jika kemudahan surau yang baik ada disediakan kenapa masih perlu berbuat demikian? Tidakkah ia akan menimbulkan tanggapan negatif di kalangan bukan Islam yang melihat perbuatan itu.

Umat Islam perlu memastikan golongan bukan Islam memandang Islam sebagai agama yang memberi jalan penyelesaian dan bukannya sebuah agamanya yang sulit dan menyusahkan. Sebelum bukan Islam mendekati Islam, mereka terlebih dahulu memerhatikan imej, penampilan dan setiap tindak-tanduk orang Islam.

Saturday, August 25, 2012

Mengemis cemar maruah Islam

Perbuatan haram dan berdosa jika disertai tipu helah

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Berita Harian
22 Ogos 2012

Senario didatangi pengemis buta semasa sedang menjamu selera di kedai makan mungkin sudah biada dilalui semua orang. Begitu juga pengemis berkaki kudung mengemis di pasar malam, atau menjadikan bayi dan kanak-kanak sebagai umpan. Kanak-kanak juga mengemis di pam minyak atau di kawasan perniagaan. Trend terbaru, pengemis menunggu di simpang lampu isyarat, membawa kitab atau tasbih dan mengemis dari tingkap ke tingkap kereta.

Pertengahan Ramadhan lalu, dua adik beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim dengan memakai jubah dan bertudung labuh, bagi menagih simpati pengunjung bazar Ramadhan ditahan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.

Ada banyak faktor yang mendorong seseorang mengemis. Kefakiran, kemiskinan, mengalami kesulitan untuk menampung keperluan keluarga sehari-hari. Sementara itu, mereka tidak memiliki keterampilan atau kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan wang. Kanak-kanak yatim, orang-orang cacat, janda-janda miskin, orang-orang tua sering kelihatan mengemis kerana keadaan mereka boleh menarik simpati orang ramai untuk memberikan wang.

Ada juga yang menjadi mangsa sindiket, terpaksa mengemis untuk membayar hutang, ajaran sesat, rumah kebajikan yang memeras kanak-kanak di bawah jagaan mereka, dan sebagainya. Ada kelompok pengemis yang benar-benar menderita, perlukan bantuan untuk mencari makan sehari-hari.

Pengemis Pintar
Manakala sebahagian yang lain adalah kelompok pengemis yang pintar bersandiwara dan tipu muslihat, mengetahui rahsia-rahsia dan teknik-teknik mengemis, serta memiliki pengalaman untuk mengaburi pandangan masyarakat, seperti bagaimana menarik simpati dan belas kasihan orang lain.

Kadang-kadang disebabkan kelompok yang kedua ini, kita menjadi keliru dan teragak-agak untuk memberikan derma atau sedekah, kerana tidak yakin adalah mereka golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, atau sekadar berlakun dan meraih keuntungan.

Hukum mengemis dalam Islam adalah haram, kecuali bagi orang yang ditimpa musibah, orang yang berhutang dan orang yang memang hidupnya melarat.

Syarat minta bantuan
Dari Qabishah bin Al Mukhariq Al Hilaly, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hai Qabishah, meminta-minta tidak dihalalkan kecuali bagi tiga orang : Pertama, seorang yang menanggung hutang yang dilunaskan dalam usaha mendamaikan dua pihak yang bertikai), maka ia boleh meminta bantuan hingga ia dapat menutupi hutangnya kemudian berhenti meminta. Kedua, seorang yang tertimpa musibah sehingga menghabiskan seluruh hartanya, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat menjadi sandaran hidupnya. Ketiga, seseorang yang ditimpa kesengsaraan, sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya membuat penyaksian bahawa : “Si Fulan telah ditimpa kesengsaraan”, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat memenuhi keperluannya. Meminta-minta selain dari tiga keadaan hai Qabishah, adalah haram, dan barang yang dimakan oleh si peminta-minta adalah barang yang haram.” [HR Muslim]

Meminta-minta dengan berbohong dan menipu adalah nyata haram. Ia bukan sahaja berdosa, perbuatan tersebut juga mencemari perbuatan baik dan merampas hak orang-orang miskin yang memang berhajatkan bantuan. Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Umar , ia berkata : Rasulullah bersabda: “Seseorang senantiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga ia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.”

Mengemis sedangkan mempunyai kemampuan dan kewangan juga adalah di larang oleh Islam. Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bermaksud “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas cakaran di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kemampuan itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.” [HR Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa', Ibnu Majah, Ahmad & Ad Darimi]

Meminta sumbangan untuk kepentingan kaum muslimin, bukan kepentingan peribadi kelihatan seperti mengemis dan meminta-minta tetapi sebenarnya ia dibolehkan dalam Islam. Pesan Rasulullah s.a.w kepada para pemimpin perang ketika sebelum berangkat ke medan peperangan, “Jika mereka (orang-orang kafir yang diperangi) tidak mahu masuk Islam maka mintalah Al-Jizyah dari mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan tahanlah dari (memerangi) mereka! Jika mereka tidak mahu menyerahkan Al-Jizyah maka mintalah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka!” [HR. Muslim, Abu Dawud & Ahmad]

Rasulullah s.a.w juga pernah meminta bantuan seorang tukang kayu untuk membuatkan mimbar untuk masjid. Sahl bin Sa’d As-Sa’idi r.a berkata bahawa “Rasulullah s.a.w pernah mengutus kepada seorang wanita: “Perintahkan anakmu yang tukang kayu itu untuk membuatkan untukku sebuah mimbar sehingga aku bisa duduk di atasnya!” [HR Al-Bukhari, An-Nasa’i & Ahmad]

Jatuh maruah ummah
Seseorang Islam yang mengemis boleh menyebabkan kesucian agama Islam dan institusinya dipandang hina. Mereka boleh boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah Syariah. Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang penat dalam mencari yang halal. Mengemis adalah salah satu cara mencari harta yang tidak terhormat dan menjatuhkan maruah umat Islam. Sebagai muslim jangan sampai meminta-minta atau mengemis agar kita mendapat jaminan surga dari Rasulullah saw sebagaimana sabdanya: “Barangsiapa yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak meminta sesuatu kepada orang, aku menjamin untuknya dengan syurga.” (HR Abu Daud & Hakim).

Friday, August 17, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI 1433H OLEH PRESIDEN PGSM



18 OGOS, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI, SYAWAL 1433H
oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

InsyaAllah, kita semua akan menyambut 1 Syawal 1433H. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam ; “Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang bertakwa, setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan. Aidilfitri juga adalah hari kesyukuran kerana kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang perlu makan dan minum di siang hari. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna, kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu" [HR Bukhari].

Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s.w.t, maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Maka kemenangan dan kesyukuran ini tidak wajar sama sekali diraikan dengan membakar mercun atau bunga api, atau menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah Syarak, tetapi sambutan ini perlu diisi dengan pujian terhadap Allah s.w.t, melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dengan bertakbir dan bertahmid, dan bersifat ihsan kepada insan yang lain sebagai salah satu tanda kesyukuran itu.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Kita disyariatkan untuk melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum solat Aidilfitri didirikan, dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dan dengan penuh bersemangat. Firman Allah s.w.t : ”… dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana telah mendapat pertunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur” – [al-Baqarah:185].

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan qiyamullail, maka semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Kita juga disunatkan menunaikan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Disunatkan mandi di pagi hari raya, sebelum solat Aidilfitri, sama ada bagi orang yang akan pergi menunaikan solat maupun tidak. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."

Disunatkan memakai pakaian yang terbaik dan indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri serta memakai wangi-wangian. Imam Syafie r.a berkata : Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. [Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’i]

Disunatkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala prasangka atau andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR al-Bukhari]

Disunatkan juga pergi menuju ke tempat solat Aidilfitri melalui satu jalan dan balik melalui jalan yang lain.

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia dan merupakan suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.

Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin. Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.

Tazkirah ada di sekeliling kita. Apa sahaja yang mengembalikan ingatan kita kepada keesaan Allah s.w.t dan kekerdilan diri kita di sisi Allah s.w.t adalah suatu tazkirah. Menziarahi pusara sanak saudara yang telah meninggal dunia merupakan suatu tazkirah yang mengingatkan kita bahawa kita juga akan kembali kepada Allah s.w.t seperti mereka.

Menziarahi orang tua yang uzur, menginsafi diri kita bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah s.w.t.

Memberi sedekah kepada orang miskin, fakir dan anak yatim juga adalah satu tazkirah, mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur dengan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan, sentiasa membantu insan yang memerlukan, dan di dalam harta-harta yang kita perolehi sebenarnya ada hak insan yang kurang bernasib baik.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nafsu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.

Kebesaran Allah s.w.t yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid di Aidilfitri adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.

Rakan-rakan Peguam Syarie sekalian.
Insya-Allah pada bulan September ini, PGSM akan mengadakan aktiviti-aktiviti berikut –

• Jumaat 14 September 2012, jam 12.00 tengahari hingga 3.30 petang - Majlis Sambutan Aidilfitri PGSM bertempat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jemputlah datang beramai-ramai. (Pengarah - Puan Noorafizah Abdul Aziz)
• Pada hari yang sama, jam 10.30 pagi - Pelancaran Klinik Guaman Syarie Percuma PGSM bertempat di Bilik Tauliah, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - Puan Shanizah Ngatiman)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari – Muzakarah Arahan Amalan JKSM-PGSM bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - TH Azmi Tan Sri Rais)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 3.00 petang – Kelas Tafaqquh bertempat di Pusat Gerakan PGSM, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. (Pengarah - Tn Mohd Azlin (Yup).
• Sabtu, 22 September, 2012 – Program Latihan Peguam Syarie YBGK-PGSM peringkat Negeri Sembilan. (Pengarah - Puan Suziyani Mat Jusoh)
• Jumaat, 28 September, 2012 – Lawatan HELWA ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam. (Pengarah - Puan Noorafizah Abd Aziz)

Marilah sama-sama kita menghidupkan program yang dirancang ini. Boleh hubungi Sekretariat PGSM atau Pengarah program berkenaan, untuk maklumat lanjut.

Akhir kata, sekali lagi, saya mewakili semua pimpinan PGSM Sesi 2012-2015 mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Kepada yang pulang ke kampong, berhati-hati memandu dan berikan konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi. Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan zahir dan batin. Taqabbalullah minna waminka. Wallahu’alam.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden PGSM
Sabtu, 18 Ogos 2012.

Wednesday, August 15, 2012

RAYA MASA SATUKAN MANGSA CERAI


Beri hak anak eratkan silaturrahim dengan ibubapa

Moeis Basri
Peguam Syarie Menulis
BH Rabu 15 Ogos 2012

Musim perayaan akan tiba lagi untuk tahun ini. Antara yang mungkin menjadi satu masaalah bagi mereka yang telah bercerai adalah keinginan untuk beraya bersama anak-anak. Bagi mereka yang bersama dengan anak-anak pastinya satu rasa yang gembira tetapi bagi mereka yang mungkin tahun ini bukan giliran mereka bersama dengan anak-anak pasti merasa kekurangan pada hari raya tahun ini tetapi boleh merancang untuk giliran tahun hadapannya.

Namun bagi mereka yang telah dinafikan hak untuk berhari raya bersama-sama dengan anak-anak sejak bertahun-tahun pasti merasa telah kehilangan sesuatu dan bagi mereka yang telah menghasut anak-anak supaya membenci ibu atau bapa anak-anak itu sendiri demi untuk menyakiti bekas pasangannya itu supaya anak-anak enggan mengikut bapa atau ibu mereka pada setiap perayaan pastinya adalah seorang yang telah mengalami sakit jiwa kronik kerana menafikan dan mengubah fitrah manusia. Sering kali penceraian tidak dapat dielakkan tetapi kita mampu mengelakkan kesan penceraian itu sampai kepada anak-anak.

Di dalam kehidupan dunia ini, seseorang manusia boleh memiliki banyak rumah atau kereta dan ramai adik beradik, isteri, suami dan saudara mara tetapi tidak akan ada lebih daripada seorang ibu dan seorang bapa kandung. Bermakna kedua-dua orang itu tidak boleh diganti. Hubungan darah dan keturunan seseorang anak dengan ibu bapanya juga tidak boleh dan tidak terputus dalam apa jua keadaan termasuk jika ibu bapanya bercerai dan hak jagaan anak tersebut diletakkan di bawah jagaan satu pihak sahaja daripada penceraian tersebut. Pihak yang satu lagi berhak kepada lawatan dan dalam keadaan yang tiada mudarat, hak untuk bermalam bersama anak tersebut.

Di dalam hukum syarak, seorang ibu lebih berhak terhadap penjagaan seorang anak yang masih kecil dan belum mumaiyiz, iaitu belum mencapai umur yang berakal yang mampu membuat pilihan. Maksud hadith:-

“Daripada Omar bin Shuib dari bapanya bahawa datuknya Abdullah bin Omar berkata maksudnya bahawa seorang perempuan berkata ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak laki-lakiku ini perutkulah yang mengandungnya, tetek saya menyusuinya dan pangkuan saya tempat perlindungannya. Tetapi tiba-tiba ayahnya merasa berhak mengambilnya dariku’. Maka sabda Nabi,’Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin lagi’.”

Di dalam seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga telah mengkanunkan bahawa ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan.

Namun, pokok dan tujuan hak jagaan atau kadang kala disebut “hadanah” dalam perbicaraan, ialah kebajikan anak tersebut. Hak kebajikan anak tersebut melebihi hak seseorang yang berhak kepada penjagaan tadi. Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqhul Sunnah di juzuk 8 telah menyatakan yang bermaksud:-

“…sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi yang dijaga lebih kuat dari hak yang menjaga”.

Seksyen 86 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga memperuntukkan kuasa yang luas kepada Mahkamah untuk membuat perintah meletakkan hak jagaan anak dan pertimbangan yang diberi keutamaan ialah kebajikan anak. Dalam keadaan tertentu, demi untuk menjaga kebajikan anak tersebut juga Mahkamah boleh meletakkan anak tersebut di bawah jagaan mana-mana persatuan atau badan kebajikan yang berkaitan walaupun ibu dan bapanya masih hidup. Begitulah Islam amat menitik beratkan kebajikan dan melindungi anak yang masih kecil dan belum dewasa.

Di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga telah menggariskan bahawa seseorang yang berhak kepada hak penjagaan mesti memenuhi syarat kelayakan sebagai penjaga iaitu seseorang penjaga itu mestilah seorang Islam, sempurna akal, menacapai umur dewasa yang mampu memberi jagaan dan kasih sayang, baik dari segi akhlak Islamiyah serta mempunyai tempat tinggal yang tidak mendatangkan mudarat dari segi akhlak atau jasmani kepada kanak-akank tersebut.

Kelayakan ini dan hak jagaan yang boleh diperolehi oleh seseorang bukan perlu dibuktikan pada masa perbicaraan permohonan hak jagaan sahaja, malahan pada setiap masa jika kelayakan seseorang penjaga itu hilang atau wujud keadaan yang menjadikannya tidak layak menjadi penjaga atau timbul pada masa kemudian hari keadaan yang menyebabkan kebajikan anak tersebut terjejas atau terabai, Mahkamah boleh atas permohonan pihak yang berkaitan, mengubah hak jagaan yang telah diberi sebelumnya tertakluk kepada peraturan undang-undang dan tatacara Mahkamah yang berkuatkuasa.

Undang-Undang Keluarga Islam yang berkenaan di Wilayah Persekutuan juga telah menggariskan bahawa dalam keadaan biasa, seorang ibu adalah diberi keutamaan dalam hak untuk menjaga anak yang masih kecil namun dalam masa yang sama ia juga menggariskan keadaan yang boleh menjadikan hak penjagaan hilang iaitu a) jika perempuan tersebut berkahwin dengan seorang yang tidak mahram dengan anak tersebut dan menjejaskan kebajikan anak tersebut; b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara terbuka; c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kepada anak tersebut menjalankan pemantauan terhadap anak tersebut; d) jika dia murtad; e) jika perempuan itu mencuaikan atau mengainaya anak tersebut.

Dalam keadaan anak tersebut telah mencapai umur mumaiyiz iaitu mencapai umur yang berakal dan mampu membuat pilihan (di dalam undang-undang terpakai menyatakan umur 7 tahun bagi kanak-kanak lelaki dan 9 tahun bagi kanak-kanak perempuan), kanak-kanak tersebut boleh membuat pilihan untuk tinggal dengan penjaga pilihannya. Berdasarkan hadith yang bermaksud:-

“Dari Abi Maimun bahawa Abu Hurairah telah berkata maksudnya seorang perempuan dating kepada Rasulullah (saw) katanya ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya suamiku mahu membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari sumur Abi Unbah dan ianya berguna sangat sekali bagiku’. Maka Rasulullah (saw) bersabda ‘ini ayahmu dan ini ibumu. Pilihlah mana yang engkau sukai. Lalu anak tersebut memilih ibunya, lalu ibunya pergi membawa anaknya” (Sunan Abu Daud)

Walaupun begitu hukum asasnya, Mahkamah tidak terikat sepenuhnya kepada pilihan anak kerana dalam menentukan hak jagaan ini, Mahkamah mempunyai kuasa yang luas dengan mengambil kira kehendak ibu bapa dan kehendak kanak-kanak yang menjadi perkara subjek tetapi perkara utama untuk diberi pertimbangan ialah kebajikan kanak-kanak tersebut.

Demikianlah juga seandainya terdapat apa-apa perubahan keadaan yang menimbulkan masalah kebajikan kanak-kanak tersebut, Mahkamah boleh mengubah perintah hak jagaan anak tersebut.

Walaubagaimanapun, keadaan yang paling baik sekali untuk kanak-kanak tersebut ialah walaupun ibu dan bapanya telah bercerai, kedua-duanya masih berkerjasama untuk memberi kebajikan dan berkerjasama membesarkan kanak-anak tersebut dengan cara yang baik dan elok. Pasangan yang bercerai dinasihati supaya mengelakkan sebarang pertelingkahan antara mereka menjejaskan kebajikan, emosi dan seterusnya masa membesar anak-anak mereka.

Semoga hari lebaran yang bakal menjelma dijadikan titik permulaan untuk bermaaf-maafan dan walaupun mungkin kita sudah tidak dapat menerima semula bekas pasangan hidup kita tetapi demi kebajikan dan kesempurnaan hidup anak-anak dari hasil perkahwinan tersebut, kedua-dua pasangan seharusnya berkerjasama menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.

Tuesday, July 31, 2012

Elak bicara kes aibkan individu

Peguam Syarie disaran damaikan pihak bertelagah hormati Ramadhan

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia
Peguam Syarie Menulis
Berita Harian, Rabu 1 Ogos 2012

Ramadhan merupakan suatu bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam, yang amat dinantikan oleh umat Islam yang cintakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat istimewa.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [Al-Baqarah 2:185]

Di dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya bermaksud “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr 97:1-3]

Selain itu, pada bulan ini diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i]

Ramadhan merupakan madrasah kerohanian, kerana di bulan ini seorang Islam bukan sahaja dilatih mengawal diri dari makan dan minum, juga mengawal keinginan nafsu syahwat, menahan diri daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, dan memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah, dan melakukan amal ibadat.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [HR al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir]

Prosiding kes di Mahkamah Syariah masih diteruskan walaupun pada Ramadhan, bagi mengelakkan berlaku penangguhan atau kelewatan dalam menyelesaikan masalah masyarakat Islam. Namun pihak-pihak atau Peguam Syarie yang menguruskan kes perlu mengelak dari membicarakan aib pihak lawan di bulan yang mulia ini.

Kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian, permohonan wali Hakim dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan.

Tetapi perbicaraan bagi kes seperti fasakh, perceraian, hadhanah, nusyuz dan seumpamanya wajar ditangguhkan sehingga tamat bulan Ramadhan, kerana dalam kes ini aib pihak lawan yang tidak sedap didengar perlu didedahkan untuk mendapatkan keadilan.

Rasulullah s.a.w pernah mengingatkan, jika mahu aib kita dilindungi Allah daripada di buka dan di paparkan di padang Mahsyar, maka jangan sekali-kali membuka aib orang semasa di dunia.

Sabda Baginda s.aw yang bermaksud “Barang siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat. [HR at-Tirmidzi]

Semasa Ramadhan, dugaan semakin kuat. Manusia akan menjadi cepat marah, samada orang yang berurusan di mahkamah, peguam syarie hatta hakim syarie.

Untuk mengekang perasaan marah semasa berselisih atau berbantah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh umatnya supaya mengawal lidah dengan cara diam seperti sabda baginda :“Apabila seseorang kamu sedang marah, maka hendaklah dia diam”. [HR Ahmad]

Berbicara dalam kedaan marah akan mudah dikuasai oleh emosi dan nafsu yang membawa kepada penyesalan yang berpanjangan. Menurut syarak, seseorang hakim dilarang dari mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang, seumpama dia berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.

Maka perbicaraan yang panjang atau yang membuka aib mana-mana pihak atau yang boleh menimbulkan kemarahan di bulan mulia ini sewajarnya dielakkan.

Pada Ramadhan ini, Peguam Syarie disarankan lebih berperanan mendamaikan pihak-pihak yang bersengketa, dengan cara sulh atau persetujuan bersama (consent judgement). Galakan Allah s.w.t untuk mengadakan perdamaian terdapat dalam al-Quran : “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” [al-Hujurat 49 : 10].

Kesempatan Ramadhan seharusnya dimanfaatkan oleh pihak-pihak dengan menundukkan ego masing-masing dan memaafkan satu sama ain. Perselisihan atau perseteruan mungkin timbul lantaran ada pihak yang melakukan perbuatan aniaya dan pihak lain merasa teraniaya.

Jika pihak yang bersalah tidak mahu meminta maaf, dan pihak yang merasa teraniaya juga enggan memaafkannya, maka perselisihan tersebut akan berpanjangan. Tetapi dengan adanya kemaafan dapat menyelesaikan perselisihan dan perseteruan. Firman Allah s.w.t : “Jadilah engkau pema’af dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah dari pada orang-orang yang bodoh.” [al-A’raf : 199]

Kemaafan juga dapat menghilangkan rasa benci, dengki dan dendam, menyambung silaturrahim yang telah putus, memperkukuhkan ukhuwwah Islamiyah, menghilangkan rasa permusuhan, melahirkan sifat tawaddu’, menghilangkan sifat sombong dan angkuh, menjadikan hati tenang dan tenteram, dapat menghapus dosa dan memudahkan jalan ke syurga.

Sabda Rasulullah s.a.w : ”Terbuka pintu syurga pada tiap hari Isnin dan Khamis, maka Allah berkenan pada hari itu untuk mengampunkan setiap orang yang tidak mempersekutukan Allah dgn sesuatu apapun, kecuali kepada orang yang masih bersengketa antaranya dengan saudaranya, maka dikatakan Allah kepada malaikat, Tangguhkan kedua orang itu sehingga mereka berdamai”. (HR at-Tirmidzi)

- E-mel : PGSM boleh dihubungi di sekretariatpgsm@yahoo.com

Thursday, July 26, 2012

Perutusan Ramadhan oleh Presiden PGSM


20 JULAI, 2012

PERUTUSAN RAMADHAN

oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

Pada Sabtu, 21 Julai 2012, kita semua akan menyambut 1 Ramadhan 1433H, suatu bulan yang amat dinantikan oleh umat Islam yang cintakan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

Ramadhan adalah dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”. [al-Baqarah 2:185]

Di dalam bulan Ramadhan juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya bermaksud : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” [al-Qadr 97:1-3]

Selain itu, diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” - (HR al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi dan al-Nasa’i)

Kita boleh jadikan bulan Ramadhan ini sebagai madrasah kerohanian, kerana di bulan ini seorang Islam bukan sahaja dilatih mengawal diri dari makan dan minum, tetapi juga dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, dan mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Ramadhan juga mengajar kita menahan diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu domba, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.
Sabda Rasulullah s.a.w: “Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [HR al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]

Sebagai Peguam Syarie, kita tidak dapat lari dari mendengar atau membicarakan aib pihak lawan, terutama ketika proses perbicaraan di mahkamah, dengan tujuan untuk menegakkan keadilan. Maka, pada bulan Ramadhan yang mulia ini, cubalah elakkan dari perkara-perkara tersebut. Pilihlah kes-kes yang sesuai untuk dibicarakan pada bulan mulia ini. Kes-kes seperti pengesahan lafaz cerai, faraid, pembahagian harta sepencarian dan seumpamanya mungkin boleh diteruskan kerana tidak ada aib yang perlu didedahkan. Tetapi perbciaraan kes-kes seperti fasakh, perceraian, hadhanah, nusyuz dan seumpamanya sebaiknya ditangguhkan dahulu sehingga tamat bulan Ramadhan. Nasihatilah anak guam untuk menghormati bulan Ramadhan dengan menjauhi persengketaan dan permusuhan.

Pada hari-hari sebelum Ramadhan, mungkin tugasan harian kita banyak dan sibuk, sehingga meminimakan waktu kita untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Saya percaya pada bulan yang mulia ini, kita boleh memanfaatkan masa sebaik mungkin dan memaksimakan masa kita dengan mengerjakan banyak ibadah-ibadah sunat, dan menjauhi perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Berilah keringanan kepada kakitangan pejabat kita untuk balik awal menyiapkan juadah berbuka dan bersedia untuk solat tarawih pada malamnya.

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut :

Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menghadiri majlis ilmu.

Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat, dan kepada mereka terdapat ganjaran yang banyak.

Mengadakan solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah. Nabi s.a.w sangat gemar menghidupkan malam pada bulan Ramadan. Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan diampunkan segala dosanya yang terdahulu.” - (HR Bukhari)

Beri’ktikaf untuk beberapa malam di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki, yakni tidaklah sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.

Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian, sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya. Diriwayatkan bahawa malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi s.a.w setiap hari sepanjang Ramadan. Saidina Uthman bin Affan r.a khatam al-Quran setiap hari pada Ramadan.

Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, rumah anak yatim, sekolah-sekolah dan lain-lainnya. Ibn Abbas r.a meriwayatkan “Rasulullah adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran.” - (HR Bukhari)Memberi makan kepada orang yang berbuka puasa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan makan kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang berpuasa) dalam keadaan tidak berkurang sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu.” (HR Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan ad-Darimi)
Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.

Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah s.a.w : “Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.” – (HR Muslim).

Jangan tinggalkan sahur pada akhir waktu. Sudah menjadi kebiasaan sebahagian orang bersahur pada lewat malam, lebih kurang pukul 11 atau 12 malam, kemudian tidur sehingga masuk waktu Subuh. Ini menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w yang mengajar kita kepentingan bersahur dan melewatkannya sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Yang penting bukanlah berat atau ringan jamuan tersebut tetapi adalah bangun untuk bersahur, walaupun dengan segelas air.

Jangan lupa zakat fitrah, yang dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum solat sunat hari raya.

Sepanjang bulan Ramadhan ini, hanya beberapa aktiviti PGSM diadakan - iaitu pada Jumaat, 27 Julai 2012, Insya-Allah akan diadakan Majlis Pelancaran PGSM cawangan Negeri Sembilan & Berbuka Puasa ; Kemudian pada Jumaat 3 Ogos 2012, akan diadakan Majlis Berbuka Puasa HELWA. Sesiapa berminat menyertai boleh berhubung dengan EXCO HELWA, Puan Noorafizah Abd Aziz.

Bagi rakan-rakan Peguam Syarie di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Insya-Allah akan diadakan tazkirah Ramadhan di Surau Mahkamah Syariah, iaitu selepas selesai kes, daripada jam 1.00 tengahari sehingga 1.30 tengahari, di bawah seliaan EXCO Etika & Disiplin PGSM, Tuan Haji Mahyuddin Md Zahari. Hari dan jadual tazkirah ini akan dimaklumkan kemudian. Jemputlah hadir beramai-ramai.

Akhir kata, saya ucapkan selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan kepada semua. Mudah-mudahan kita dapat merebut peluang sekali dalam setahun untuk melipatgandakan amal ibadah kita, dan semoga kita diberi kekuatan dan dipanjangkan umur utk beribadah sehingga penghujung Ramadhan. Maafkan jika ada salah silap saya, agar kita masuk bulan mulia ini dengan hati yang bersih, Insya-Allah. Wallahu’alam.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak.”
MUSA AWANG

Presiden PGSM
Jumaat, 20 Julai 2012.

MAJLIS IFTAR AMAL DAN PERASMIAN HELWA PGSM


MAJLIS IFTAR AMAL DAN PERASMIAN HELWA PGSM

Assalamualaikum, kepada para peguam syarie dan keluarga dijemput pada 3/8/2012 hari Jumaat di Botanic Resort Club, Bandar Botanic, Klang.

* Majlis ini akan bermula pada jam 5.30 petang sehingga berbuka dan disediakan juga fasiliti untuk terawih dan boleh sambung makan sampai jam 10 malam.

* Bayaran sebanyak RM60 bagi dewasa dan RM30 untuk kanak kanak serta warga emas. Bayaran yang tuan/puan berikan sebahagiannya akan diserahkan kepada MISI RAMADHAN AMAL CARE MALAYSIA

*Bagi yang berhasrat untuk beriftar sambil beramal boleh membuat bayaran kepada PUAN MAISYARAH HASHIM akaun CIMB nombor 12110014709523 atau secara tunai kepada PUAN SUZIYANI BINTI JUSOH, PUAN NOORAFIZAH ABDUL AZIZ dan PUAN SHANIZAH BINTI NGATIMAN.

* Bayaran juga boleh dibuat di SEKRETARIAT PGSM dan bayar secara tunai/cek kepada CIK MASTURA.

* Majlis ini juga akan diisi oleh slot pengenalan dan kutipan bagi sumbangan misi ramadhan oleh AMAL CARE MALAYSIA bagi mengutip sumbangan membantu masyarakat muslim khususnya dan yang bukan muslim di kawasan pendalaman BORNEO terutamanya di kawasan pendalaman terutamanya yang tidak mempunyai keperluan asas hidup.

* EDARAN TABUNG AMAL JUGA AKAN DIEDARKAN SEPANJANG MAJLIS BERLANGSUNG.

* Selain itu MAJLIS INI AKAN DISERIKAN DENGAN KEHADIRAN IMAM MUDA ASYRAF yang akan memberikan pengisian sebelum kita berbuka puasa.

* Pendaftaran bermula sekarang sehingga 1/8/2012. Marilah kita tautkan kemesraan dan silaturrahim sesama kita sambil beramal.

Kami menanti panggilan anda.

Saturday, April 28, 2012

Peguam Syarie Menulis: Fatwa dikeluarkan institusi agama boleh dipinda, dicabar

Oleh Roshdan Sujak Rafie
Berita Harian
25/04/2012

Muzakarah boleh bahas berdasar dalil serta nas syarak

INSTITUSI agama sering mendapat perhatian dan tumpuan apabila timbul sesuatu isu berkaitan kepentingan masyarakat tidak kira sama ada isu itu ditimbulkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Mahkamah Syariah atau badan fatwa seperti isu fatwa yang diputuskan di Kedah. Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan peruntukan bahawa fatwa sama ada yang telah diwarta atau tidak diwartakan tidak boleh dicabar.

Harus difahami ada perbezaan dalam menjalankan tugas dan bidang kuasa yang diberikan terhadap sesebuah institusi agama. Dalam hal ini, fatwa adalah suatu ijtihad dibuat oleh mufti yang telah dibincangkan bersama dalam jawatankuasa fatwa berkait sesuatu hukum yang baru pada perkara belum diputuskan sebelum ini.

Pada asasnya, badan fatwa adalah institusi agama yang bebas dan mempunyai kuasanya sendiri tertakluk kepada kuasa diberikan dan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Secara jelas, majlis atau badan fatwa ini tidak bersangkut atau tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah, institusi Islam lain dan berhak menentukan keputusannya.

Merujuk isu fatwa yang diperkatakan di Kedah, saya berpandangan fatwa itu bukanlah mutlak dan langsung tidak boleh diubah, dipinda atau dibatalkan. Bagaimanapun, sesuatu fatwa yang tidak dipersetujui itu perlu dicabar atau dipinda melalui proses pentadbiran iaitu melalui jawatankuasa fatwa negeri itu sendiri. Ia juga tidak boleh dipinda atau dicabar di mahkamah lebih-lebih lagi di Mahkamah Sivil kerana mahkamah bukanlah korum yang sesuai untuk mencabar keputusan itu dan mereka bukanlah ahli dalam menentukan sesuatu hukum baru yang timbul.

Mahkamah Syariah adalah tempat menentukan pertikaian atau dakwaan sesuatu pihak terhadap sesuatu isu berdasarkan hukum sedia ada. Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti masih boleh dipinda, diubah mahupun dicabar melalui jawatankuasa fatwa dan dijalankan dengan penuh hemah melalui muzakarah atau perbincangan dengan jawatankuasa fatwa itu sendiri. Pada peringkat ini, mereka atau pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu fatwa dikeluarkan boleh mengemukakannya kepada jawatankuasa fatwa dan dibahaskan mengikut dalil serta nas syarak yang dikemukakan terhadap isu dibahaskan.

Malah perbincangan yang diadakan akan menekankan prinsip hukum syarak berdasarkan hujahan dibawa untuk menentukan isu itu. Jika terdapat kekhilafan dalam fatwa berkenaan, maka mufti boleh mengeluarkan fatwa baru untuk membatalkan atau meminda fatwa yang telah dibuat. Jelas walaupun fatwa tidak boleh dicabar di mahkamah, ada satu kaedah lain yang boleh membincangkan semula sesuatu fatwa dikeluarkan jika timbul keraguan terhadapnya.

Fatwa bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia hukum yang dikeluarkan pada perkara baru dan tidak sewenang-wenangnya dikeluarkan tanpa sebarang keperluan. Namun, fatwa juga bukanlah mutlak kerana ia tidak mencapai dalil qatie iaitu al-Quran dan hadis. Terdapat perbezaan antara pengeluaran fatwa dan keputusan mahkamah.

Mufti dan hakim berhak mengeluarkan ijtihad mereka sendiri selagi ia tidak melampaui kuasa yang diberikan dan hukum itu tidak bertentangan dengan nas syarak. Jika dilihat dari sudut ijtihad hakim Mahkamah Syariah, mereka juga tidak terikat dengan keputusan hakim terdahulu mahupun mahkamah yang lebih tinggi kerana hakim mempunyai ijtihad sendiri selagi tidak berlawanan prinsip syarak.

Kebebasan ini seharusnya dijadikan suatu keutamaan dalam perkembangan syariat agama Islam. Undang-undang dan hukum yang dikeluarkan menjadi asas memperlihatkan bahawa Islam itu syumul dan sesuai di mana-mana tempat dan waktu.

Memperkasakan institusi agama, ada banyak perkara yang harus digerakkan oleh pihak berwajib supaya isu berkaitan agama tidak dipandang remeh oleh masyarakat dan tidak dipermainkan pihak lain, lebih-lebih lagi mereka yang bukan beragama Islam. Sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sunday, April 15, 2012

PEMILIHAN JAWATANKUASA BARU PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM) Sessi 2012/2015

15 APRIL, 2012

KENYATAAN MEDIA

PEMILIHAN JAWATANKUASA BARU
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
Sessi 2012/2015

PGSM telah mengadakan Mesyuarat Agong PGSM kali ke-11 pada Sabtu, 14 April 2012 di Dewan Seminar, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

MAT kali ke-11 memperlihatkan perubahan kepada pimpinan PGSM. Tuan Musa Bin Awang dipilih sebagai Presiden PGSM bagi sesi 2012/2015, menggantikan Tuan Mohamad Isa Bin Abd Ralip yang tidak mempertahankan jawatan. Manakala Tuan Roshdan Sujak Bin Rafie sebagai Timbalan Presiden. Penolong Setiausaha ialah Puan Noorilyana Dzulkifli, manakala Penolong Bendahari ialah Mohd Tajuddin Abd Razak.

Undang-Undang tubuh PGSM memberikan kuasa kepada Presiden yang dipilih untuk melantik Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat. Perlantikan Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat akan diumumkan dalam waktu terdekat oleh Presiden PGSM.

Tigabelas (13) orang Ahli Jawatan Kuasa atau EXCO yang dipilih adalah Tuan Moeis bin Basri, Kol (B) Haji Ahmad Bin Daud, Puan Afshah Binti Arifin, Encik Junid bin Ramali, Cik Faridah Binti Ahmad, Puan Hazirah Binti Othman, Tuan Ahmad Nazib Bin Johari, Tuan Abdullah Anuar Bin Sahri, Puan Siti Aishah Binti Din, Tuan Mohd Redzuan Bin Ramli, Cik Norra Syada Binti Othman, Tuan Haji Azmi Bin Tan Sri Rais dan Tuan Haji Mahyuddin Bin Zahari.

Jawatankuasa baru ini akan berkhidmat sehingga tahun 2015. Antara fokus utama pimpinan baru PGSM ini adalah merealisasikan Akta Guaman Syarie di mana aktiviti terdekat ialah mengadakan Bengkel Draf Akta Guaman Syarie pada 21-22 April 2012, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor. PGSM juga akan berusaha merealisasikan penubuhan cawangan PGSM di negeri-negeri yang akan dimulai dengan Negeri Kelantan yang akan mengadakan mesyuarat penaja pada 28 Mei 2012. PGSM juga sedang berusaha menambah dana atau sumber kewangan persatuan, membeli bangunan sendiri untuk PGSM, menambah keahlian, memperbanyakkan program penyelidikan, pendidikan & latihan untuk ahli-ahli, terutama peguam Syarie muda, peguam Syarie wanita dan pelatih dalam kamar (chambering).

Program-pogram sukan, rekreasi dan riadah dikekalkan, di samping mewujudkan laman web baru yang lebih canggih, memperbanyakkan bahan penerbitan PGSM, menjaga hubungan baik dengan Jabatan Agama Islam negeri, Mahkamah Syariah negeri, JKSM, Jakim, Jabatan Peguam Negara, jabatan-jabatan kerajaan berkaitan serta hubungan baik dengan NGO-NGO lain.

Sekian untuk siaran. Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
2012-2015