Sunday, November 22, 2020

Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie PGSM (Khidmat'S PGSM)



Klik https://khidmatspgsm.blogspot.com/ untuk senarai firma Pusat Khidmat'S PGSM

Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie atau ringkasnya “Khidmat’S PGSM” adalah suatu langkah alternatif Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk masyarakat mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie daripada Peguam Syarie bertauliah, yang merupakan ahli-ahli Persatuan. Ia juga sebagai bantuan dan sokongan dari segi ekonomi dan sosial khususnya kepada ahli-ahli Persatuan yang terkesan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerak/Bersyarat (PKP/PKPB) yang melanda negara.

Khidmat”S PGSM ialah satu usaha Persatuan untuk mengumpulkan firma-firma Peguam Syarie yang bersedia dan bersetuju memberikan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma di firma-firma mereka kepada masyarakat yang mempunyai persoalan atau kes-kes di Mahkamah Syariah. Sekiranya pelanggan berhasrat melantik Peguam Syarie yang berkenaan mewakili mereka di Mahkamah, maka kadar fi adalah kadar yang munasabah yang dipersetujui secara bertulis antara pelanggan dan Peguam Syarie berkenaan.

Firma-firma yang dipilih untuk dijadikan sebagai pusat Khidmat’S PGSM tersebut adalah terdiri daripada firma-firma Ahli Persatuan yang telah mengisi Borang Permohonan dan Terma Akujanji mereka, di mana segala khidmat nasihat dan tindakan mereka sebagai Panel Peguam Syarie Khidmat’S PGSM akan dipantau daripada semasa ke semasa oleh Persatuan. Ini juga bermaksud bahawa pusat Khidmat’S PGSM tersebut akan berada di serata negera.

Firma-firma yang dipilih adalah firma-firma yang telah dipastikan mematuhi SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mempunyai ruang konsultasi yang sesuai, mengamalkan penjarakan sosial, penyukat suhu, hand sanitizer dan merekodkan butiran nama setiap pelanggan yang hadir.

Masyarakat Islam boleh menghubungi sendiri Pusat Khidmat'S PGSM yang bersesuaian untuk menetapkan temujanji mereka.

Khidmat'S PGSM akan mengukir sejarah baru dalam memperkembangkan dan memperkasakan perundangan syariah di negara ini.