Wednesday, October 8, 2014

Rahsia, hikmah sebalik angka 7

Harian Metro
10.09.2014

Oleh Musa Awang

Dalam Islam, terdapat rahsia dan makna yang besar di sebalik angka tujuh. Allah SWT menciptakan tujuh lapis langit yang kukuh, kemudian dihiasi langit itu dengan tujuh gugusan bintang, tujuh lapisan bumi, yang dihiasi dengan tujuh lautan. Allah juga menjadikan tujuh hari dalam seminggu.

Allah juga menjadikan tujuh tingkatan neraka. Kemudian Allah menjadikan tiap-tiap lapisan neraka dengan tujuh pintu. Allah juga menciptakan tujuh lapisan syurga dan tujuh pintu syurga.

Allah menjadikan tujuh ayat dalam surah Al-Fatihah, tujuh surah yang panjang di dalam al-Quran iaitu surah al-Baqarah, al-Imran, al-Maaidah, An-Nissa’, al ‘Araaf, al An’aam dan al-Anfaal atau at-Taubah, tujuh anggota sujud di dalam solat iaitu dua hujung jari kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan satu dahi, tujuh kali putaran tawaf mengelilingi kaabah, tujuh kali sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah, masing-masing dengan tujuh biji batu.

Angka tujuh bagai sinonim dengan tahun 2014. Pelbagai peristiwa duka mengisi tahun ini, seolah-olah ia tahun duka negara.

Pada awal Sabtu, 8 Mac 2014, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi. Pesawat yang membawa 239 penumpang, termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal itu masih belum ditemui sehingga sekarang.

Pesawat berkenaan berengin PW4077, RR 877, GE90-77B, dan dikatakan model ini tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan udara, kecuali penerbangan Asiana mendarat cemas di Lapangan Terbang San Francisco mengorbankan tiga remaja perempuan China pada Julai 2013.

Belum pun kehilangan dapat dirungkaikan, negara dikejutkan lagi pada Khamis 17 Julai 2014, dengan berita penerbangan pesawat Boeing 777 iaitu MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di Ukraine (sempadan Rusia) dan didakwa ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu yang mampu mencapai ketinggian 72,000 kaki.

Tragedi pesawat yang dikatakan berada pada kedudukan ketinggian 33,000 kaki itu mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Kedua-dua peristiwa tragis terbabit tidak mematahkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun sambutan kemerdekaan negara ke-57.

Mengimbau sejarah, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai merdeka secara rasmi pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang, termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Upacara ini kemudian disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Hanya Allah yang mengetahui rahsia angka tujuh dan kaitannya dengan pelbagai peristiwa dan tragedi besar yang menyayat hati sepanjang tahun ini, sehingga negara terpaksa diisytiharkan berkabung.

Yang pastinya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia atau secara kebetulan melainkan di sebaliknya mengandungi suatu hikmah besar lagi tersembunyi di dalam pengetahuan dan rahsia Allah.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

No comments:

Post a Comment