Sunday, November 22, 2020

Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie PGSM (Khidmat'S PGSM)



Klik https://khidmatspgsm.blogspot.com/ untuk senarai firma Pusat Khidmat'S PGSM

Pusat Khidmat Nasihat Guaman Syarie atau ringkasnya “Khidmat’S PGSM” adalah suatu langkah alternatif Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) untuk masyarakat mendapatkan khidmat nasihat guaman syarie daripada Peguam Syarie bertauliah, yang merupakan ahli-ahli Persatuan. Ia juga sebagai bantuan dan sokongan dari segi ekonomi dan sosial khususnya kepada ahli-ahli Persatuan yang terkesan dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerak/Bersyarat (PKP/PKPB) yang melanda negara.

Khidmat”S PGSM ialah satu usaha Persatuan untuk mengumpulkan firma-firma Peguam Syarie yang bersedia dan bersetuju memberikan khidmat nasihat guaman syarie secara percuma di firma-firma mereka kepada masyarakat yang mempunyai persoalan atau kes-kes di Mahkamah Syariah. Sekiranya pelanggan berhasrat melantik Peguam Syarie yang berkenaan mewakili mereka di Mahkamah, maka kadar fi adalah kadar yang munasabah yang dipersetujui secara bertulis antara pelanggan dan Peguam Syarie berkenaan.

Firma-firma yang dipilih untuk dijadikan sebagai pusat Khidmat’S PGSM tersebut adalah terdiri daripada firma-firma Ahli Persatuan yang telah mengisi Borang Permohonan dan Terma Akujanji mereka, di mana segala khidmat nasihat dan tindakan mereka sebagai Panel Peguam Syarie Khidmat’S PGSM akan dipantau daripada semasa ke semasa oleh Persatuan. Ini juga bermaksud bahawa pusat Khidmat’S PGSM tersebut akan berada di serata negera.

Firma-firma yang dipilih adalah firma-firma yang telah dipastikan mematuhi SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mempunyai ruang konsultasi yang sesuai, mengamalkan penjarakan sosial, penyukat suhu, hand sanitizer dan merekodkan butiran nama setiap pelanggan yang hadir.

Masyarakat Islam boleh menghubungi sendiri Pusat Khidmat'S PGSM yang bersesuaian untuk menetapkan temujanji mereka.

Khidmat'S PGSM akan mengukir sejarah baru dalam memperkembangkan dan memperkasakan perundangan syariah di negara ini. 

Tuesday, June 2, 2020

Persatuan Peguam Syarie sedia khidmat nasihat atas talian sepanjang PKP

KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian bagi memudahkan urusan perundangan syariah dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Menurut Presidennya, Musa Awang, melalu program atas talian itu, umat Islam yang menghadapi masalah dan mempunyai isu atau konflik perundangan syariah boleh mendapatkan khidmat nasihat.
Katanya, mereka boleh menghubungi pihaknya menerusi aplikasi Whatsapp 011-370 9155, emel ke nasihatguamanpgsm@gmail.com atau mendapatkan senarai nama Peguam Syarie ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawang www.pgsm.org.my.
Merujuk kepada PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April ini, pihak PGSM mengambil maklum berhubung permasalahan masyarakat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah untuk mendapatkan khidmat nasihat perundangan syariah.
“Ini kerana semua mahkamah syariah di seluruh negara telah menangguhkan operasi dan prosiding buat sementara waktu sebagai mematuhi PKP,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Beliau berkata, dalam tempoh pelaksanaan PKP itu telah berlaku konflik dalam rumah tangga masyarakat Islam.
Antaranya, kata Musa, berlaku lafaz perceraian luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak, isu berhubung nafkah anak, kematian suami atau isteri atau waris yang membawa kepada tuntutan harta sepencarian atau faraid, juga berlaku keganasaan domestik dalam rumah tangga, dan berbagai lagi.
“Oleh itu, pihak yang terlibat perlu mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada Peguam-Peguam Syarie yang bertauliah dan khidmat konsultasi yang diberikan melalui medium tersebut adalah percuma.
“Namun, sekiranya ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, mereka akan dipanjangkan kepada lebih 700 Peguam Syarie yang juga ahli PGSM di seluruh negara.
“Mereka ini berada dalam jarak 10 kilometer dari tempat kediaman masyarakat,” katanya.
Kata Musa lagi, program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian itu akan diteruskan walaupun selepas PKP ditamatkan.
Beliau berharap, usaha itu dapat membantu kerajaan dalam menangani kesan pandemik Covid-19 dan kesan pelaksanaan PKP kepada masyarakat, khususnya masyarakat Islam. – MalaysiaGazette
Presiden Persatuan Pguam Syarie Malaysia, Musa Awang. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memohon pihak berwajib membantu lebih 3,500 peguam syarie yang terkesan susulan pandemik COVID-19 ketika ini.
Sehubungan itu, presidennya, Musa Awang menggesa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melalui Baitulmal negeri memberikan bantuan secara ‘one-off’ RM1,000 kepada peguam syarie yang beramal di negeri.
“Ia bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang pandemik COVID-19. Data dan maklumat peguam syarie yang beramal ini boleh diperoleh daripada Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MAIN juga boleh mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan bagi tahun ini, di mana setiap tahun, peguam syarie yang beramal akan memperbaharui Sijil Amalan Tahunan mereka dengan bayaran sekurang-kurangnya RM100 hingga RM250 setahun.
“(Juga dimohon supaya) kerajaan menghentikan sementara sumbangan mandatori dari majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.
“Pihak kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada PGSM untuk membantu peguam syarie melalui pihak persatuan,” katanya.
Beliau berkata, jika krisis ini berpanjangan, PGSM sedia dilibatkan dalam apa-apa perbincangan bagi menangani kesan ekonomi dan sosial kepada golongan peguam syarie khususnya dan masyarakat amnya.
Musa berkata, peguam syarie adalah mereka berkelayakan yang diberikan Sijil Peguam Syarie oleh MAIN, dengan membayar yuran tertentu pada setiap tahun, untuk mereka berguam di mahkamah syariah di negeri-negeri.
“Sumber pendapatan peguam syarie bergantung sepenuhnya kepada yuran guaman yang dibayar oleh anak guam bagi mewakili anak guam sepanjang perbicaraan di mahkamah syariah.
“Hakikatnya, sepanjang PKP, semua prosiding ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diketahui. Ini menyebabkan peguam syarie hilang punca pendapatan, pada suatu tempoh yang belum diketahui, bergantung kepada situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Kesan pandemik ini juga memaksa pejabat atau firma peguam syarie terpaksa ditutup, kakitangan tidak dapat berkerja dan yuran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam.
“Anak guam juga turut terjejas sumber pendapatan mereka dan tidak dapat membuat bayaran kepada peguam dilantik. Kebanyakan peguam syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja.
“Mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, simpanan peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan perlu dilunaskan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar mereka juga peguam muda yang baru membina karier dan belum kukuh ekonomi dan kewangan, termasuk Pelatih Dalam Kamar yang baru bergraduasi, yang sedang menjalani latihan di firma peguam syarie.

PERBINCANGAN BERSAMA PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)

Satu perbincangan bersama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah diadakan di Bilik Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM pada petang ini.

Perbincangan tersebut telah dipengerusikan oleh YAA Dato' Dr. Hj. Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar, Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM dan dihadiri oleh sembilan (9) orang wakil dari PGSM.

YAA Dato' Dr. telah memulakan perbincangan dengan menyampaikan amanat kepada wakil-wakil PGSM berkenaan betapa pentingnya ilmu, amanah dan integriti dalam melahirkan para peguam syarie yang berkaliber, berdaya saing, bertanggungjawab dan cemerlang.

Bagi memahami perkara tersebut, YAA Dato' Dr. telah berkesempatan mengupas dengan lebih jelas akan prinsip CENDEKIA (Cendikiawan, Ikhlas dan Amanah) yang diaspirasikan oleh beliau sendiri.

YAA Dato' Dr. menganggap sikap beretika dan amanah yang begitu tinggi terhadap Allah, anak guam, mahkamah adalah sangat penting dalam melahirkan para peguam yang dihormati sekaligus mencorakkan institusi kehakiman yang dapat dibangunkan dan diperkasakan.

Antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan alasan penghakiman, isu 'indemnity', Arahan Amalan dan lain-lain.

Wakil PGSM juga telah mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada YAA Dato' Dr. atas kesudian menerima jemputan untuk mengadakan perbincangan tersebut.

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada YAA Dato' Dr. juga telah disampaikan atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie pada 1 April 2019 yang lalu.

YAA Dato' Dr. juga telah menerima cenderahati tanda penghargaan daripada persatuan tersebut.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JKSM
16 Mei 2019

http://www.jksm.gov.my/index.php/ms/profil-jabatan/pengenalan/bahagian/29-aktiviti/612-perbincangan-bersama-persatuan-peguam-syarie-malaysia-pgsm

Monday, April 20, 2020

PGSM Lancar Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian


SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian bagi membantu masyarakat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya, Musa Awang berkata, perkhidmatan yang bermula hari ini diberikan secara percuma menerusi beberapa medium secara atas talian antaranya termasuklah WhatsApp menerusi talian 011-3701-9155 atau e-mel kepada nasihatguamanpgsm@gmail.com.
Menurutnya, selain itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berhubung perundangan Islam boleh memuat naik senarai nama Peguam Syarie ahli-ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawangwww.pgsm.org.my.
“Inisiatif ini digerakkan kerana ketika ini kesemua mahkamah syariah di seluruh negara telah menangguhkan operasi dan prosiding mereka buat sementara bagi mematuhi arahan PKP.
“Dalam tempoh ini kita dapati masih ada berlaku konflik dalam rumahtangga masyarakat Islam melibatkan lafaz cerai di luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak dan pelbagai lagi.
“Oleh itu, melalui usaha ini pihak-pihak yang terlibat boleh mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada Peguam-Peguam Syarie yang bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa berkata, sekiranya mereka ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, ia akan dipanjangkan kepada Peguam Syarie yang terdiri daripada lebih 700 orang ahli-ahli PGSM di seluruh pelusuk negara yang berada dalam jarak 10 kilometer daripada tempat kediaman mereka.
“Kita akan teruskan program ini walaupun tempoh PKP telah ditamatkan oleh pihak kerajaan.
“Jadi kami berharap dengan usaha ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menangani kesan pandemik Covid-19 dan kesan pelaksanaan PKP kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam di negara ini,” katanya.

Konsultasi Guaman Syariah Atas Talian