Monday, April 20, 2020

PGSM Lancar Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian


SHAH ALAM - Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melancarkan program Konsultasi Guaman Syariah Secara Atas Talian bagi membantu masyarakat Islam yang mempunyai isu atau konflik perundangan syariah sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presidennya, Musa Awang berkata, perkhidmatan yang bermula hari ini diberikan secara percuma menerusi beberapa medium secara atas talian antaranya termasuklah WhatsApp menerusi talian 011-3701-9155 atau e-mel kepada nasihatguamanpgsm@gmail.com.
Menurutnya, selain itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat berhubung perundangan Islam boleh memuat naik senarai nama Peguam Syarie ahli-ahli PGSM mengikut negeri di laman sesawangwww.pgsm.org.my.
“Inisiatif ini digerakkan kerana ketika ini kesemua mahkamah syariah di seluruh negara telah menangguhkan operasi dan prosiding mereka buat sementara bagi mematuhi arahan PKP.
“Dalam tempoh ini kita dapati masih ada berlaku konflik dalam rumahtangga masyarakat Islam melibatkan lafaz cerai di luar mahkamah, konflik perebutan hak jagaan anak atau hak lawatan anak dan pelbagai lagi.
“Oleh itu, melalui usaha ini pihak-pihak yang terlibat boleh mendapatkan nasihat perundangan syariah daripada Peguam-Peguam Syarie yang bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Musa berkata, sekiranya mereka ingin mendapatkan khidmat konsultasi lanjut, ia akan dipanjangkan kepada Peguam Syarie yang terdiri daripada lebih 700 orang ahli-ahli PGSM di seluruh pelusuk negara yang berada dalam jarak 10 kilometer daripada tempat kediaman mereka.
“Kita akan teruskan program ini walaupun tempoh PKP telah ditamatkan oleh pihak kerajaan.
“Jadi kami berharap dengan usaha ini akan dapat membantu pihak kerajaan dalam menangani kesan pandemik Covid-19 dan kesan pelaksanaan PKP kepada masyarakat khususnya masyarakat Islam di negara ini,” katanya.

Konsultasi Guaman Syariah Atas Talian