Showing posts with label MINDA Harian Metro. Show all posts
Showing posts with label MINDA Harian Metro. Show all posts

Wednesday, October 8, 2014

Risiko nikah sindiket

Harian Metro
09.10.2014

Oleh Musa Awang

Tinjauan mendapati rata-ratanya ejen nikah sindiket menggunakan pelbagai jenis ‘tagline’ promosi seperti ‘cepat dan murah’ yang sedikit sebanyak berjaya menarik orang ramai, terutama bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang, seperti lelaki ingin berkahwin lagi dan pasangan tidak boleh berkahwin disebabkan tentangan keluarga.

Daripada perspektif undang-undang, tiada istilah ‘nikah sindiket’ atau ‘kahwin sindiket’. Ia diberi oleh masyarakat. Nikah sindiket ialah nikah yang tidak mengikut peraturan, yakni seseorang berkahwin di daerah atau di negeri lain tanpa terlebih dulu memohon kebenaran untuk berkahwin di luar daerah. Ada juga pernikahan sindiket dijalankan di dalam negara. Cara mudah untuk membezakan antara nikah sindiket dengan nikah yang mengikut peraturan ialah kebenaran sudah diperoleh daripada jabatan agama Islam atau Mahkamah Syariah.

Perlu dapat kebenaran
Secara prinsipnya, sesuatu perkahwinan seseorang lelaki atau perempuan perlu mendapat kebenaran sama ada daripada pendaftar atau dalam kes tertentu, kebenaran daripada Mahkamah Syariah.

Seksyen 19, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan melainkan suatu kebenaran berkahwin sudah diberi: (a) oleh Pendaftar di bawah seksyen 17 atau oleh Hakim Syarie di bawah seksyen 18, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan; atau (b) oleh pihak berkuasa yang hak bagi sesuatu negeri, jika perkahwinan itu membabitkan seorang perempuan yang bermastautin di negeri itu.

Pendaftar yang dimaksudkan ialah Pendaftar Kanan Perkahwinan, Perceraian, dan Rujuk Orang Islam, termasuk Pendaftar dan Penolong Pendaftar di Jabatan Agama Islam.

Kebenaran daripada hakim syarie pula diperlukan dalam kes perkahwinan di bawah umur, perkahwinan yang membabitkan seorang janda berhias (bercerai sebelum disetubuhi suami), seorang perempuan yang tidak mempunyai wali nasab dan seorang lelaki yang berhasrat untuk berpoligami. Undang-undang juga mensyaratkan kehadiran atau persetujuan wali ketika pernikahan, dan wali hakim atau wali raja bagi perempuan yang tidak mempunyai wali.

Kebanyakan pasangan yang bermasalah untuk berkahwin menurut undang-undang lebih suka memilih selatan Thailand kerana tidak perlu membawa wali, surat kebenaran berkahwin daripada jabatan agama Islam, perintah Mahkamah Syariah bagi yang ingin berpoligami, sijil kursus kahwin, sijil mengenai status kesihatan sama ada bebas HIV atau AIDS dan wang hantaran.

Sesetengah pasangan yang lari bernikah di luar negara meletakkan kesalahan kepada peraturan atau prosedur dikatakan menjadi punca mereka memilih bernikah secara sindiket. Terlalu mudah memberi alasan. Cuba fikir, bagaimanakah hendak menempuh gelombang kehidupan berumahtangga yang penuh pancaroba jika ujian mudah menurut peraturan dan prosedur pun tidak sanggup untuk dihadapi?

Perkahwinan suatu perkara suci, maka ia perlu dilakukan mengikut undang-undang. Peraturan yang diadakan bukan bertujuan menyusahkan tetapi untuk menjaga masyarakat, mengawal kerukunan keluarga dan memelihara nasab yang bakal dilahirkan. Peraturan menetapkan agar wali dijemput untuk menikahkan pasangan bertujuan menghindar daripada fitnah dan dosa terhadap kedua-dua ibu bapa kerana membelakangkan mereka.

Pernikahan sindiket juga berisiko menghadapi masalah perkahwinan dan berkemungkinan tidak dapat didaftarkan disebabkan rukun nikah tidak sempurna atau surat nikah yang dikeluarkan adalah palsu. Ada kes perkahwinan dijalankan di sempadan Kedah atau Kelantan tetapi sijil nikah yang dikeluarkan ialah sijil nikah Thailand. Hal ini akan menyebabkan sijil nikah yang dikeluarkan tidak diiktiraf oleh undang-undang keluarga Islam, permohonan untuk mendaftarkan nikah ditolak, dan kesannya, urusan pendaftaran anak tergendala. Jika berlaku perceraian atau kematian, ia akan menimbulkan masalah kepada waris, sehingga urusan pembahagian harta juga terbantut.

Jenayah syariah
Tindakan pasangan yang bernikah secara sindiket juga akan mendedahkan diri mereka dengan tindakan jenayah syariah. Di Wilayah Persekutuan, kesalahan bagi seorang perempuan atau lelaki bernikah tanpa kebenaran atau seorang lelaki berpoligami tanpa kebenaran ialah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 dan penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali (denda dan juga penjara).

Tindakan ejen yang mengaut keuntungan dengan menangguk di air keruh juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali kepada seseorang yang mengakadnikah atau berbuat sesuatu yang berupa sebagai mengakadnikahkan atau menjalankan upacara sesuatu perkahwinan atau bersubahat dengan perkara berkenaan.

Perkahwinan penyatuan dua jiwa insan dan dua keluarga, yang diikat dengan syarat yang ditentukan oleh syarak. Oleh yang demikian fenomena nikah sindiket sudah tentulah bertentangan dengan falsafah kekeluargaan. Ia juga bertentangan dengan budaya masyarakat Melayu yang mementingkan nilai murni dalam institusi kekeluargaan. Dalam sesetengah keadaan, ia menggugat keharmonian, meragut kebahagiaan dan meruntuhkan institusi keluarga yang sedia ada.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (sekretariatpgsm@yahoo.com)

Rahsia, hikmah sebalik angka 7

Harian Metro
10.09.2014

Oleh Musa Awang

Dalam Islam, terdapat rahsia dan makna yang besar di sebalik angka tujuh. Allah SWT menciptakan tujuh lapis langit yang kukuh, kemudian dihiasi langit itu dengan tujuh gugusan bintang, tujuh lapisan bumi, yang dihiasi dengan tujuh lautan. Allah juga menjadikan tujuh hari dalam seminggu.

Allah juga menjadikan tujuh tingkatan neraka. Kemudian Allah menjadikan tiap-tiap lapisan neraka dengan tujuh pintu. Allah juga menciptakan tujuh lapisan syurga dan tujuh pintu syurga.

Allah menjadikan tujuh ayat dalam surah Al-Fatihah, tujuh surah yang panjang di dalam al-Quran iaitu surah al-Baqarah, al-Imran, al-Maaidah, An-Nissa’, al ‘Araaf, al An’aam dan al-Anfaal atau at-Taubah, tujuh anggota sujud di dalam solat iaitu dua hujung jari kaki, dua lutut, dua tapak tangan dan satu dahi, tujuh kali putaran tawaf mengelilingi kaabah, tujuh kali sa’i antara Bukit Safa dan Marwah, melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah, masing-masing dengan tujuh biji batu.

Angka tujuh bagai sinonim dengan tahun 2014. Pelbagai peristiwa duka mengisi tahun ini, seolah-olah ia tahun duka negara.

Pada awal Sabtu, 8 Mac 2014, negara dikejutkan dengan kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi. Pesawat yang membawa 239 penumpang, termasuk 2 bayi dan 12 anak kapal itu masih belum ditemui sehingga sekarang.

Pesawat berkenaan berengin PW4077, RR 877, GE90-77B, dan dikatakan model ini tidak pernah terbabit dalam sebarang kemalangan udara, kecuali penerbangan Asiana mendarat cemas di Lapangan Terbang San Francisco mengorbankan tiga remaja perempuan China pada Julai 2013.

Belum pun kehilangan dapat dirungkaikan, negara dikejutkan lagi pada Khamis 17 Julai 2014, dengan berita penerbangan pesawat Boeing 777 iaitu MH17 yang berlepas dari Amsterdam, Belanda menuju ke Kuala Lumpur dilaporkan terhempas di Ukraine (sempadan Rusia) dan didakwa ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu yang mampu mencapai ketinggian 72,000 kaki.

Tragedi pesawat yang dikatakan berada pada kedudukan ketinggian 33,000 kaki itu mengorbankan 280 penumpang dan 15 anak kapal.

Kedua-dua peristiwa tragis terbabit tidak mematahkan semangat kita untuk menyambut ulang tahun sambutan kemerdekaan negara ke-57.

Mengimbau sejarah, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan sebagai merdeka secara rasmi pada 31 Ogos 1957. Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dibacakan oleh Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka dengan disaksikan lebih 20,000 orang, termasuk Raja-Raja Melayu, tetamu khas dari luar negara, anggota kabinet Kerajaan Persekutuan dan rakyat jelata.

Selesai pengisytiharan dibaca, Tunku Abdul Rahman melaungkan ‘MERDEKA’ sebanyak tujuh kali dan disambut oleh ribuan rakyat yang membanjiri Stadium Merdeka.

Upacara ini kemudian disusuli dengan seruan azan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara yang baru merdeka, diikuti dengan acara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sambil diiringi dengan lagu kebangsaan ‘Negaraku’.

Hanya Allah yang mengetahui rahsia angka tujuh dan kaitannya dengan pelbagai peristiwa dan tragedi besar yang menyayat hati sepanjang tahun ini, sehingga negara terpaksa diisytiharkan berkabung.

Yang pastinya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu perkara itu dengan sia-sia atau secara kebetulan melainkan di sebaliknya mengandungi suatu hikmah besar lagi tersembunyi di dalam pengetahuan dan rahsia Allah.

Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 191 bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan ketika mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan mengenai kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) E-mel: sekretariatpgsm@yahoo.com

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Monday, July 14, 2014

Merungkai status orang hilang


Harian Metro, Khamis 3 Julai 2014

Oleh Musa Awang

Kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal sejak 8 Mac 2014 lalu, belum ada kepastian sehingga sekarang, walaupun lebih 100 hari telah berlalu. Kehilangan itu akan lebih terasa lebih-lebih lagi dalam suasana keluarga mangsa tragedi hendak menyambut lebaran dan sebagainya.

Di kalangan penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut, ada sebahagiannya beragama Islam yang mempunyai harta dan keluarga. Masih timbul persoalan mengenai status penumpang atau anak kapal tersebut. Adakah hilang itu dianggap sebagai telah mati? Bagaimana status perkahwinan mereka? Adakah harta mereka sudah boleh dibahagikan kepada waris? Bilakah orang hilang ini akan diiktiraf mati? Dan pelbagai lagi persoalan lain.

Matinya seseorang akan memberi implikasi yang besar kepada status perkahwinan, pembahagian harta, jika ada wasiat dan lain-lain. Maka, orang yang hilang yakni yang tidak dapat dipastikan samada hidup atau mati juga perlu diketahui statusnya untuk menentukan perkara-perkara tersebut supaya tidak menjadi pertikaian berpanjangan di kalangan ahli waris. Orang hilang atau al-Mafqud dinilai berdasarkan tiga perkara, iaitu orang tersebut tidak diketahui tempatnya, tidak diketahui situasinya hidup atau mati dan berlalu suatu tempoh zaman.

Ulamak fiqh telah bersepakat bahawa hukum asal ke atas orang yang berada dalam situasi al-Mafqud adalah diiktiraf sebagai orang yang masih hidup. Maka pasangannya akan kekal diiktiraf sebagai status berkahwin dengannya, hartanya tidak akan dibahagi dan tidak perlu dilakukan solat jenazah ghaib keatasnya kerana dia diiktiraf sebagai masih hidup walaupun mafqud (hilang).

Hubungan perkahwinan dan pemilikan harta itu berlaku secara pasti (yakin), maka hanya perkara pasti (yakin) sahaja yang boleh mengubah status asal perkara tersebut. Orang yang hilang berada dalam situasi tidak pasti (syak) iaitu tidak pasti samada dia hidup atau mati, maka perkara syak tidak boleh mengubah perkara yang pasti (yakin).

Dalam menentukan samada orang Islam yang masih hilang atau diiktiraf mati memerlukan kepada keputusan hakim. Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan kematian krew dan penumpang beragama Islam tersebut seperti peruntukan Seksyen 53 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan suatu perakuan menganggap seseorang suami telah mati dalam keadaan suami tersebut dipercayai telah mati atau telah tidak didengar khabar berita mengenainya selama tempoh empat tahun atau lebih, bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula. Atas permohonan isteri, Mahkamah juga boleh membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 Akta yang sama.

Untuk menentukan seseorang suami yang hilang tanpa khabar berita sebagai telah mati, maka seorang isteri perlulah menunggu selama tempoh empat tahun, kerana itu adalah ijtihad para ulamak terdahulu dan ia telah dikanunkan sebagai ketetapan undang-undang. Tempoh tersebut lebih munasabah dan lebih singkat berbanding tempoh tujuh tahun yang diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950.

Walaubagaimanapun, orang yang hilang boleh dinilai sebagai orang mati oleh hakim dengan melihat bukti-bukti yang sah disisi syarak akan kematiannya dan bukti tersebut diiktiraf oleh hakim. Orang tersebut masih boleh diisytihar sebagai telah mati walaupon tempoh menunggu yang munasabah belum lagi sempurna.

Sekiranya tidak terdapat bukti kukuh, maka diambilkira dengan berlalunya suatu tempoh menunggu yang munasabah bahawa orang tersebut telah mati. Maka apabila habis tempoh tersebut dalam keadaan tidak dijumpai sebarang bukti yang sah, hakim boleh mengiktirafkannya sebagai mati.

Walaupun peruntukan secara tersuratnya menyatakan kuasa Hakim untuk mengeluarkan perakuan kematian bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula, akan tetapi secara tersiratnya perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah tersebut memberi implikasi kepada status perkahwinan (penceraian), wasiat, pembahagian harta warisan dan lain-lain.

Pada masa yang sama, jika seseorang isteri tidak memohon anggapan kematian tetapi berhajat memohon perceraian, maka isteri boleh memohon perceraian secara fasakh di bawah Akta yang sama. Alasan suami ghaib atau tidak diketahui tempat suaminya berada selama tempoh lebih daripada satu tahun; atau atas alasan suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah zahir isteri selama tempoh tiga bulan ; atau suami telah tidak menunaikan kewajipan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah, selama tempoh satu tahun boleh dijadikan sebab untuk memohon perceraian secara fasakh.

Perintah memfasakhkan perkahwinan yang dikeluarkan oleh mahkamah akan memberikan implikasi kepada perkahwinan (perceraian), tuntutan harta sepencarian, nafkah iddah dan mutaah, tetapi tidak terhadap pembahagian harta warisan atau wasiat si suami.

Kehilangan suami tanpa sebarang khabar berita dan kepastian boleh menjadi beban ke atas isteri yang terpaksa mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga. Pada masa sama ia mampu mengundang pelbagai fitnah kepada si isteri. Maka Islam memberikan jalan tengah dan memberikan keringanan kepada si isteri dengan memberikan kuasa kepada Hakim Syarie untuk menghukumkan perpisahan (fasakh) antara keduanya. Ini bagi memberikan peluang kepada si isteri untuk memulakan kehidupan yang baru. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

Mahkamah Syariah beri keadilan kepada bukan Islam


Harian Metro, 17 Jun 2014

Oleh Musa Awang

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebelum itu memfailkan permohonan bagi mengesahkan status agama Teoh yang didakwa memeluk Islam 17 tahun lalu, serta menggunakan nama Islam Nora Teoh Abdullah.

Teoh, seorang ibu berusia 38 tahun meninggal dunia di pangsapurinya di Jalan Macallum. Majlis pengebumian Teoh bagaimanapun terhenti apabila pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) hadir di pangsapurinya bagi ‘menuntut’ mayat si mati. Dalam penghakimannya, Zaim mengarahkan pihak yang menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada ahli keluarga Teoh serta meminta pihak polis membantu dalam urusan itu.

Beliau turut membenarkan keluarga Teoh mengambil mayat itu untuk melaksanakan upacara pengebumian mengikut kepercayaan agama mereka.

Beberapa perkara dapat diulas dan disimpulkan daripada penghakiman itu. Pertamanya, penghakiman itu membuktikan bahawa masyarakat bukan Islam turut mendapat keadilan daripada Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tetap diberi hak untuk hadir memberikan keterangan di hadapan Mahkamah Syariah, dengan tujuan untuk mencari keadilan.

Ini jelas diperuntukkan dalam Seksyen 83 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 yang berbunyi “Seorang yang bukan Islam adalah kompeten untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.” Bayyinah menurut tafsiran dalam enakmen itu ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Maksudnya apa saja keterangan yang boleh membuktikan sesuatu hak boleh diterima oleh Mahkamah Syariah, meskipun keterangan itu diberikan oleh bukan Islam. Peruntukan seumpama ini juga terdapat dalam undang-undang keterangan Mahkamah Syariah di negeri lain. Dalam kes ini, beberapa orang teman rapat, keluarga serta anak sulung si mati yang bukan beragama Islam dipanggil memberikan keterangan di hadapan mahkamah, iaitu mereka memberitahu Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Anak sulung si mati, saksi keempat memaklumkan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha pada bulan lalu sebelum kematian Teoh. Penghakiman kes ini suatu tamparan kepada suara sumbang yang meminta sistem perundangan Mahkamah Syariah dikaji semula dan yang mendakwa bukan Islam tidak mendapat keadilan sekiranya kes didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah, terutama apabila membabitkan satu daripada pihak bukan Islam. Ternyata mereka ini tidak mendapat kefahaman sebenarnya atau sengaja tidak mahu memahami.

Ini bukanlah kali pertama keputusan seumpama itu. Pada 2006, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pernah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam ketika kematiannya, dan membenarkan mayat diserahkan kepada keluarganya untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu juga antara lain, dibuat selepas mengambil keterangan dua anak si mati yang bukan beragama Islam yang hadir di mahkamah.

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah proses pemelukan Islam perlu diteliti semula dan dikemas kini. Dalam penghakiman kes itu, Hakim berkata, berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ketika perbicaraan, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza.

Berdasarkan dokumen berkenaan, pihak MAIPP tidak berjaya membuktikan bahawa si mati sempurna memeluk Islam, selain proses permohonan si mati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) JAIPP.

Maka, penghakiman kes ini boleh dijadikan titik tolak untuk kembali bermuhasabah diri, meneliti dan mengkaji semula proses pemelukan Islam, supaya perkara sama tidak berulang pada saudara baru yang lain pada masa akan datang. Sehingga kini, belum ada proses pendaftaran saudara baru yang seragam untuk seluruh negara. Seseorang yang masuk Islam di Pulau Pinang, rekodnya hanya ada di Pulau Pinang.

Jika dia berpindah ke negeri lain, maka dia tidak akan mendapat sebarang bantuan susulan di negeri baru itu, melainkan dia mendaftarkan semula di situ. Sudah sampai masanya satu sistem elektronik yang seragam dan boleh diakses bagi seluruh negara diperkenalkan. Dan perkara ketiga, perlu dilakukan penilaian semula terhadap usaha tarbiyah yang berterusan kepada saudara baru. Dalam penghakiman kes itu, Zaim menyatakan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam selepas proses permohonan untuk memeluk agama Islam. Penegasan itu menimbulkan persoalan sejauh manakah usaha komprehensif dijalankan untuk mentarbiyah dan memberi pendidikan berterusan kepada saudara baru ini? Adakah saudara baru diwajibkan mengikut kelas terbabit atau secara pilihan dan sukarela saja? Maka, suatu inisiatif perlu dicari bagi memperkasakan lagi program dan perancangan dakwah terhadap golongan saudara baru di semua peringkat. Pada masa sama mendekati orang bukan Islam dengan pendekatan dan saluran yang strategik serta sistematik, termasuklah menyatukan tenaga daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi kerajaan.

Perhatian dan bimbingan perlu diberi kepada setiap saudara baru bermula dari masa pengislaman sehingga mereka meninggal dunia.

Kadang-kadang saudara baru ini terpaksa berpindah ke tempat lain untuk memulakan hidup baru atau melarikan diri daripada provokasi akibat tentangan keluarga. Akibat sistem pendaftaran yang tidak sistematik dan seragam seluruh negara, kadang-kadang mereka terpinggir mendapat pembelaan dan pendidikan susulan yang berterusan selepas memeluk Islam. Akibatnya, ada segelintir yang berpatah balik kepada agama asal, walaupun nama sudah bertukar kepada nama Islam.

Yang pasti, setiap kejadian yang berlaku tidak ada yang sia-sia atau kebetulan, ada hikmah di sebaliknya. Hanya hati yang peka dan akal yang terbuka dapat melihat kesan baik di setiap kejadian yang berlaku. Wallahu’alam

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Tuesday, March 11, 2014

Apa salahnya ulama monopoli agama?



Harian Metro, Rabu 5 Mac 2014

Oleh Musa Awang

Isu berhubung kenyataan kontroversi oleh Dr Kassim Ahmad yang antara lain menganggap syahadah yang kedua sebagai mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW, mempertikaikan rambut sebagai aurat wanita dan memperlekeh wanita yang berhijab, serta mempertikaikan kredibiliti ulama dan menyamakan ulama sebagai kasta paderi, masih menjadi bualan. Penulis sengaja tidak mahu mengulas perkara ini di peringkat awalnya, supaya dapat membuat penilaian yang lebih tuntas.

Yang pasti, pandangan dan kenyataan Dr Kassim Ahmad tersebut bukan sahaja salah, boleh menyesatkan akidah umat Islam di Negara ini yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah, malah ia sebenarnya tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam di Negara ini. Ia juga boleh menimbulkan keresahan awam dan mampu menggugat ketenteraman awam.

Ia bukannya soal agama dimonopoli oleh ulama. Kalau benar sekali pun, apa salahnya agama dimonopoli oleh ulama? Seperti mana bidang kedoktoran dimonopoli oleh para doktor atau ahli politik yang memonopoli bidang politik Negara ini, sehinggakan sepanjang masa 24 jam berpolitik. Kenapa monopoli kedoktoran dan politikus ini tidak pula merungsingkan pihak yang risau agama dimonopoli oleh ulama?

Pertikai kredibiliti

Adakah kita hendak membiarkan seorang mekanik atau seorang peniaga pasar malam bercakap tentang bidang kedoktoran? Sudah pasti tidak. Kalau pun mereka ini bercakap, kita boleh mendengarnya, tetapi sukar untuk mempercayainya. Sama lah juga bagaimana kita hendak membenarkan seorang yang berpemikiran sosialis dan berkelulusan bahasa Melayu bercakap tentang tafsir al-Quran, mentafsir hadith, membuat hukum tentang aurat dan mempertikaikan kredibiliti ulama?

Maka, sudah tentulah seorang ulama sahaja yang layak bercakap tentang syariat Islam. Allah SWT berfirman yang bermaksud - “Katakan (wahai Nabi SAW) apakah sama antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.” (Surah Az-Zumar : 9)

Kenapa pula ada pihak yang mengaku Islam tulen tetapi mempertikaikan kredibiliti ulama dan seakan-akan mahu bermusuh dengan ulama? Bukankah seorang Islam yang baik akan bersilaturrahim dengan semua orang, akan memuliakan ulama dan akan mendekatkan diri dengan ulama terutama apabila sampai penghujung usia?

Allah SWT berfirman yang bermaksud - “Dan tidak ada yang mengetahuinya (perumpamaan-perumpamaan yang dibuat oleh Allah) melainkan orang-orang yang berilmu.” (Surah Al-’Ankabut : 43)

Benarkah ulama memonopoli agama atau mereka hanya mempertahankan agama dari pemikiran liberal, songsang, menyeleweng dan yang hanya menggunakan logik akal semata-mata, waimma dalam mentafsirkan al-Quran? Allah SWT berfirman yang bermaksud - “Sesungguhnya orang yang paling takut kepada Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya ialah ulama.” (Surah Fathir : 28)

Ulama’ ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah SAW, Al-Quran, sistem kehidupan, politik, budaya, ekonomi dan lain-lain, yang akan menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak. Ilmu ini disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya : “Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”. – (HR Muttafaqun ‘Alaih dari Mu’awiyah r.a)

Para ulama ialah mereka yang mampu menyingkap dan memahami dalil-dalil daripada al-Quran al-Karim dan al-Hadis Nabi SAW dengan sempurna. Mereka sentiasa istiqamah dan melazimi ilmu-ilmu yang mereka perolehi itu dengan ikhlas yang diajarkan kepada mereka bersumberkan dari Rasulullah SAW.

Ulama juga mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam. Mereka berperanan melurus dan menjernihkan umat daripada palitan dan saki-baki fahaman jahiliyyah, khurafat dan perkauman yang masih tebal yang boleh menghakis akidah Islam.

Ulama adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya. Ulama bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.

Ulama adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan sosiopolitik, budaya, ekonomi, politik dan sebagainya. Ulama menjadi tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia.

Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah, bukan menggalakkan lagi kemungkaran seperti membenarkan wanita membuka aurat. Allah SWT telah memerintahkan perkara ini dalam firman-Nya yang bermaksud: “Hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya”. (Surah Ali-Imran : 104)

Islam telah mengiktiraf ulama sebagai pewaris para nabi. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. (HR Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).

Ulama pewaris nabi

Di samping sebagai perantara antara diri-Nya dengan hamba-hamba-Nya, dengan rahmat dan pertolongan-Nya, Allah SWT juga menjadikan para ulama sebagai pewaris perbendaharaan ilmu agama. Ilmu syariat akan terus terpelihara kemurniannya sebagaimana diturunkan kepada Nabi SAW. Kematian seorang ulama akan mengakibatkan terbukanya pintu fitnah yang besar bagi umat Islam.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr ibnu al-‘Ash, katanya : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : "Sesungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabutkan sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu itu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka dari kalangan orang-orang yang jahil lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (HR Bukhari, Muslim dan Tarmizi).

Meremehkan ulama bermaksud meremehkan kedudukan dan warisan yang mereka ambil dari Rasulullah SAW, juga meremehkan ilmu yang mereka bawa. Sesiapa yang sanggup meremehkan ulama maka dia juga akan meremehkan kaum muslimin. Kalau orang Islam tidak lagi mempercayai ulama, lalu kepada siapa lagi mereka hendak percaya, hendak mengembalikan semua masalah hidup mereka dan untuk menjelaskan hukum-hukum Syariat? Saya tinggalkan anda dengan persoalan ini. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Email : sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, November 7, 2012

Tangani isu murtad

Ambil iktibar daripada Perjanjian Hudaibiyah antara Nabi dengan musyrikin Makkah

Oleh Musa Awang

KES permohonan keluar Islam atau murtad adalah isu yang sensitif kerana menyentuh kaum dan agama lain di Malaysia. Namun dalam masyarakat majmuk di negara ini, ia tidak dapat dielakkan untuk dibicarakan. Penulis percaya bahawa rakyat Malaysia sudah cukup matang untuk membicarakan isu itu dengan fikiran terbuka.

Sebagai peguam syarie, penulis tidak dapat mengelak daripada didatangi pelanggan yang mahukan penulis mewakili mereka dalam permohonan keluar Islam. Tinggal tepuk dada tanya iman. Pernah dilaporkan oleh Harian Metro pada 5 Oktober lalu, membabitkan segelintir peguam syarie yang dikatakan menggadaikan prinsip dan agama sendiri dengan mewakili pemohon yang ingin keluar Islam kerana wang ringgit.

Penulis percaya yang terbabit hanya sebahagian kecil saja dan yakin majoriti peguam syarie masih berpegang kepada hukum syarak dan meletakkan Islam sebagai prinsip yang teratas dan tertinggi. Memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika jawapan lisan kepada soalan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat, Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010.

Sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan. Pada pandangan penulis, masyarakat dan institusi Islam di negara ini perlu tahu betapa serius atau tidaknya perkara itu dan mengambil tindakan pencegahan yang sewajarnya.

Berdasarkan Jadual Sembilan, Senarai II Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan seseorang itu masuk Islam, menentukan seseorang itu masih lagi beragama Islam atau sudah meninggalkan agama Islam dan mengambil tindakan atas kesalahan keluar agama Islam. Ini disebut dengan jelas di dalam kebanyakan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri di Malaysia. Sebenarnya, tiada istilah permohonan untuk murtad atau keluar daripada agama Islam di dalam mana-mana enakmen negeri. Permohonan yang ada ialah permohonan pengisytiharan status agama sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau tidak. Anggapan bahawa Mahkamah Syariah mengesahkan atau membenarkan seseorang itu murtad adalah silap. Mahkamah Syariah tidak pernah membenarkan seseorang itu murtad, tetapi membuat pengisytiharan status agama seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Umumnya, terdapat tiga pendekatan bagi mereka yang murtad di Malaysia mengikut undang-undang. Pertama dengan didakwa sebagai kesalahan jenayah syariah yang boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau disebat sehingga enam sebatan atau campuran mana-mana daripada ketiga-tiga bentuk hukuman ini. Kedua dengan tahanan mandatori di Pusat Pemulihan Aqidah sehingga tempoh 36 bulan. Ketiga, tiada sebarang bentuk hukuman, tetapi diwajibkan melalui sesi kaunseling sebelum kebenaran keluar Islam diluluskan.

Hasil pengamatan penulis, terdapat tiga kategori pihak memohon pengisytiharan status agama di Mahkamah Syariah. Kategori pertama ialah golongan yang sejak kecil tinggal bersama dan dibesarkan dalam keluarga bukan Islam, mengamalkan agama bukan Islam, hanya tinggal nama dan status Islam dalam kad pengenalan. Sejak kecil, mereka tidak pernah mendapat didikan agama Islam atau bimbingan daripada ibu bapa, tidak mendapat kasih sayang atau diabaikan oleh ibu bapa atau keluarga bercerai. Kategori kedua ialah mereka yang menganut agama Islam selepas berumur 18 tahun, tetapi kemudian ingin kembali semula ke agama asal atas sebab tertentu. Antaranya disebabkan memeluk Islam kerana berkahwin dan kemudian berlaku perceraian, saudara baru yang memeluk Islam dengan tujuan mendapat kemudahan atau simpati apabila gagal mendapat bantuan berterusan, kurang perhatian orang Islam terhadap saudara baru bermasalah dan tiada tempat berlindung menyebabkan mereka putus asa, atau saudara baru yang tidak mendapat bimbingan agama atau mendapat bimbingan agama, tetapi hanya separuh jalan.

Ketiga ialah golongan yang lahir dan dibesarkan dalam keluarga Islam, tetapi memilih untuk keluar daripada agama Islam atas faktor seperti tuntutan cinta atau berkahwin dengan bangsa asing, terpengaruh dengan ajaran sesat, ‘black metal’, dadah dan gejala bersifat negatif, pergaulan bebas lelaki dan perempuan tanpa kawalan daripada ibu bapa, kejahilan dalam ilmu tauhid, tidak mendapat didikan agama dan bimbingan daripada ibu bapa sendiri yang juga jahil dan tidak mahu belajar agama. Namun, tidak ramai daripada kategori ini yang memohon pengisytiharan di Mahkamah Syariah berbanding kategori pertama dan kategori kedua. Kebiasaannya, permohonan untuk pengisytiharan agama akan diikuti sekali dengan permohonan untuk menukar nama dan status agama di dalam kad pengenalan di Jabatan Pendaftaran Negara. Peraturan 14 Peraturan Pendaftaran Negara 1990 mengkehendaki setiap permohonan menukar status agama mestilah mendapat Perintah dari Mahkamah Syariah. Penulis percaya, jika tidak ada peraturan sebegini, bayangkan sudah berapa ramai orang Islam bertukar nama dan status dalam kad pengenalan mereka dengan mudah.

Suatu kajian perlu dibuat bagi mengenal pasti berapa ramai saudara baru atau mualaf kembali ke agama asal mereka, dan mengapa terjadi demikian. Banyak usaha perlu dibuat untuk mencegah pencemaran akidah yang boleh membawa kepada gejala murtad.

Pendekatan dakwah perlu dikemas kini di semua peringkat dan lapisan masyarakat, memperkukuhkan institusi kekeluargaan, mengadakan program keluarga angkat saudara baru, menghapuskan program hiburan melampau di media tempatan, memperkukuhkan jati diri masyarakat Islam, mempamerkan contoh teladan yang baik kepada bukan Islam. Murtad akan berlaku sama ada diisytiharkan atau tidak oleh mahkamah. Catatan agama Islam dalam kad pengenalan bukan penentu sebenar akidah seseorang. Mengembalikan mereka ke pangkuan Islam adalah kejayaan besar bagi kita.

Penulis percaya bahawa pakar perundangan dan cendikiawan Islam perlu melihat kepada roh Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani oleh Nabi s.a.w dengan orang musyrikin Makkah pada tahun keenam Hijrah (628 Masihi). Antara isi kandungan perjanjian itu ialah sesiapa di antara orang musyrikin Quraisy yang menganuti agama Islam tanpa izin walinya iaitu ibu bapa atau penjaganya hendaklah dikembalikan kepada kaum keluarganya atau kembali kepada agama asalnya.

Bagi orang Islam yang memihak kepada musyrikin atau menganut agama lain tidak perlu dihantar balik. Baginda bersetuju mengembalikan orang musyrikin yang menganut Islam tanpa izin walinya kerana baginda yakin mereka adalah golongan yang dibuka hatinya menerima hidayah Allah s.w.t, sanggup meninggalkan keluarga demi Islam dan tidak akan berubah hati mereka.

Apabila mereka dikembalikan kepada keluarga, mereka boleh pula berdakwah di kalangan keluarga masing-masing. Hikmah daripada kebijaksanaan baginda Rasulullah ini, dakwah Islam semakin tersebar, program dakwah Islamiyah digerakkan ke seluruh pelosok Semenanjung Tanah Arab secara aman dan umat Islam semakin bertambah. Penulis boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Disiarkan dalam Harian Metro, Rabu 7/11/2012


Wednesday, October 31, 2012

Jaga hukum ketika berlakon

Oleh Musa Awang

TENTU seronok menyaksikan drama atau rancangan bersiri bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu sama ada secara percuma atau melalui saluran berbayar. Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan rancangan realiti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak dinafikan banyak melahirkan bakat baru dalam lakonan.

Namun, sama ada kita perasan atau tidak, beberapa rancangan yang menjadi kesukaan kanak-kanak kerap menggunakan pelakon lelaki untuk membawa watak wanita dan memakai pakaian wanita. Dikhuatiri jika keadaan ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan kanak-kanak yang gemar menonton rancangan itu.

Walaupun niat mereka mungkin ingin menyampaikan mesej yang baik tetapi banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum yang ditetapkan Islam. Apatah lagi majoriti pelakon terbabit adalah Melayu beragama Islam. Dalam Islam hukumnya jelas haram seorang lelaki berpakaian perempuan, maka ia tetap tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan. Majoriti ulama bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama seperti wanita dilarang menyerupai lelaki.

Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al-Bukhari). Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas, termasuk menyerupai gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasai’il Lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Daripada Abi Hurairah r.a berkata: Rasulullah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (HR Abu Daud) Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menurut pandangan dikeluarkan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya: l Filem dan lakonan mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik atau yang menjejaskan akidah dan akhlak serta syariat Islam; apa jua filem dan lakonan mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.

Lakonan dan perfileman tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syubhah. l Ia ada kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan). Jika sesuatu produk filem atau lakonan memenuhi syarat minimum di atas, maka ia adalah harus dan halal. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429H memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki menyerupai wanita (mak nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar sebaik-baiknya kepada anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Orang Islam lelaki yang berlagak seperti perempuan boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.” Bagaimanapun terdapat sedikit pengecualian atau klausa selamat (safety clause) dalam peruntukan tersebut, di mana terdapat perkataan ‘atas tujuan bermoral’, yakni seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam tidak boleh dikenakan tindakan melainkan dia berpakaian sedemikian untuk tujuan tidak bermoral atau untuk tujuan maksiat. Jika seseorang lelaki saja-saja memakai pakaian perempuan di tempat awam, atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, tanpa tujuan melakukan maksiat, maka dia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Peruntukan yang hampir sama juga terdapat di Negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi tempoh hukuman penjara.

Penulis berpandangan peruntukan ini perlu dipinda kerana ia berlawanan dengan kehendak Hukum Syarak yang mengharamkan lelaki menyerupai perempuan tidak kira untuk tujuan apa sekalipun. Peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, dan Kelantan lebih bertepatan dengan Hukum Syarak. Sebagai contoh, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.” Hukuman bagi kesalahan berlagak seperti perempuan di Perlis lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 memperuntukkan bahawa “(1) Mana-mana orang lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya. Tidak mahu diganggu anak dan serahkan anak kepada televisyen. Lebih mudah dan murah. Kita tidak mahu ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk memulihkan kembali personaliti dan disiplin anak yang tercemar akibat pengaruh televisyen. Penulis boleh dihubungi sekretariatpgsm@yahoo.com Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Artikel ini disiarkan dalam akhbar Harian Metro pada : 31/10/2012