Rabu, 1 Mei 2019 | 4:39pm
Oleh Syalikha Sazili
KUALA
LUMPUR: Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) wajar dipinda
dengan sekurang-kurangnya kadar denda maksimum dinaikkan daripada RM5,000
kepada RM20,000 atau RM50,000 dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata Mahkamah Syariah
tidak akan diperkasa jika tanpa pemindaan akta itu.
Beliau
berkata, kebanyakan pesalah jenayah syariah akan membuat pengakuan bersalah
(walaupun mereka tidak bersalah) hanya disebabkan kadar denda yang rendah.
Katanya,
ini menyebabkan banyak kes jenayah syariah tidak berkembang dari segi akademik,
perjalanan kes, laporan kes, penghakiman, penguatkuasaan dan pendakwaan.
“Hukuman
sedia ada juga tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan. Sebagai contoh,
kesalahan doktrin atau ajaran sesat hanya boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.
“Sedangkan
perbicaraan kes berkenaan boleh menjangkau bertahun-tahun. Begitu juga dengan
kesalahan berzina, melacurkan diri, melacurkan isteri serta anak dan
sebagainya.
“Tahap
kompetensi Hakim Syarie, pegawai mahkamah, peguam syarie, pendakwa syarie,
pegawai penguat kuasa agama serta Mahkamah Syariah keseluruhannya akan
meningkat jika Akta 355 dipinda. Jika tidak, selagi itulah Mahkamah Syariah
akan berada pada takuk sebagaimana hari ini,” katanya dalam satu kenyataan,
hari ini.
Musa
berkata, kerajaan juga tidak perlu khuatir dengan bayangan Rang Undang-undang
(RUU) 355 yang pernah cuba dibawa sebelum ini melalui RUU Persendirian.
“Ini
kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh mengemukakan cadangan pindaan Akta
355 dalam versi lebih kemas dan tuntas berbanding sebelum ini,” katanya.
Media
sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM),
Fuziah Salleh, berkata kerajaan berhasrat meminda Akta 355 sebagai langkah dan
komitmen negara memperkasakan Mahkamah Syariah secara komprehensif.