Showing posts with label Jenayah Syariah. Show all posts
Showing posts with label Jenayah Syariah. Show all posts

Monday, July 14, 2014

Penguatkuasa agama bawa imej Islam


Oleh Musa Awang

Kontroversi lagi melibatkan penguatkuasa agama. Kali ini isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid yang dijalankan di sebuah kuil di Petaling Jaya yang dikatakan melanggar Peruntukan Seksyen 4 Enakmen Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Seksyen 4 ialah berkenaan kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Seksyen 4 berbunyi - (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam - (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau (c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. Kesalahan ini jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Menurut laporan, JAIS mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. Hanya nama dan status dalam sijil kelahiran kad pengenalan sahaja dicatatkan sebagai Islam. Zarina berkata ibunya S Vasandamma merupakan seorang Hindu, seperti juga bapanya, S Mahendran ketika pasangan itu berkahwin pada tahun 1980. Bapanya telah menukar nama kepada Abdullah Majid apabila memeluk Islam selepas itu, namun ibunya kekal beragama Hindu. Bapanya bagaimanapun meninggalkan mereka pada 1990 dan beliau dibesarkan oleh ibunya yang kekal beragama Hindu.

Tidak dinafikan, menjadi sesuatu yang memalukan dan akan menimbulkan kemarahan apabila seseorang disiasat pihak berkuasa semasa melangsungkan majlis perkahwinan, boleh menimbulkan tandatanya di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan tetamu yang hadir, malah boleh menyebabkan majlis tersebut tergendala.

Walaubagaimanapun, penulis percaya bahawa tindakan pegawai JAIS adalah berdasarkan maklumat serta bersumberkan kuasa yang diberikan oleh Enakmen tersebut. Sesuai dengan peranan JAIS untuk menjaga kepentingan agama Islam dan penganut agama Islam di negeri itu. JAIS berhak untuk menjalankan siasatan apabila disyaki berlaku suatu kejadian jenayah di sesuatu lokasi. Dari segi locus, JAIS masih berbidangkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil keterangan wanita itu, kerana dari segi status quo wanita itu masih sebagai seorang beragama Islam, sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Langkah siasatan yang dilakukan di suatu majlis keramaian atau perhimpunan yang sudah pasti dihadiri ramai orang ini menarik untuk diteliti, diamati, diperhalusi untuk dijadikan panduan pada masa-masa akan datang. Beberapa perkara sepatutnya diberi perhatian, kerana tindakan yang tidak wajar akan mengundang tohmahan kepada Islam.

Penguatkuasa agama bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Syariah, tetapi juga membawa sekali imej Islam pada sebarang tindakannya. Manakah nilaian yang lebih baik untuk menjaga imej Islam semasa menjalankan penguatkuasaan, sepatutnya diberi perhatian terutama apabila melibatkan bukan Islam. Bertindak ketika majlis berlangsung atau menunggu setelah majlis selesai? Adakah jika siasatan dibuat setelah majlis selesai akan menghilangkan bukti atau menyebabkan kesalahan boleh menjadi tidak berlaku?

Allah SWT telah menggariskan beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh seorang Islam dalam berurusan dengan bukan Islam berhubung soal agama. Firman Allah SWT yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik ; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Surah an-Nahl : 125]

Penguatkuasa undang-undang Syariah bukan sahaja memikul tugas sebagai seorang penguatkuasa, tetapi pada masa adalah seorang dai’e yakni seorang mubaligh yang menyampaikan mesej kepada masyarakat bukan Islam tentang keindahan dan kesyumulan Islam. Allah SWT telah menegaskan bahawasanya tugas kita hanyalah menyampaikan kepada mereka petunjuk, tetapi hanya Allah SWT jualah yang akan memberikan petunjuk yakni hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Petunjuk yang hendak disampaikan bukan sahaja dengan jalan dakwah bil lisan (lidah), bil mal (harta), bil kutub (penulisan), tetapi juga dengan cara dakwah bil hal, yakni dengan tingkah laku, akhlak dan tauladan yang baik yang akan menjadi cerminan terbaik kepada masyarakat bukan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” [Surah al-Baqarah: 272]

Islam dan Muslim adalah dua subjek nilai yang berbeza. Islam merujuk kepada satu cara hidup yang terbaik yang dianjurkan oleh Allah SWT yang dijamin sesuai dengan fitrah manusia pada setiap zaman. Pada Islam berdirinya prinsip-prinsip yang menjadi pegangan kepada manusia yang mengimaninya dan golongan manusia inilah yang diistilahkan sebagai Muslim.

Malangnya berlaku pada hari ini, apa yang sampai kepada orang bukan Islam adalah mesej-mesej tentang Muslim, bukannya mesej-mesej tentang Islam. Kesilapan, kecuaian dan ketidaksempurnaan dilakukan oleh seseorang Muslim, tetapi Islam yang menerima hukuman. Justeru, tidak adil untuk Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna itu dihukum atas ketidaksempurnaan atau kegagalan penganutnya dalam menghayati norma-norma yang dianjurkan dalam Islam.

Hikmah daripada insiden ini, membolehkan kita mencari suatu kaedah yang lebih sesuai tentang bagaimana kita hendak menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh undang-undang, boleh diterima oleh anggota masyarakat tanpa sebarang protes. Kerana sepatutnya seseorang Islam itu tidak akan dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

Saturday, January 25, 2014

Tak perlu wujud polis Syariah

Tak perlu wujud polis syariah
Oleh Musa Awang
Harian Metro


PPA dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri atau perkhidmatan bersama. Ia diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama selain PPA sayap kanan kepada Pendakwa Syarie (pendakwaan), bagi memastikan peruntukan dalam undang-undang syariah dilaksanakan.

Di samping itu, PPA berfungsi menguatkuasakan undang-undang keluarga Islam, bagi kesalahan perkahwinan yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam. Seksyen 58, Akta Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan 1993 memperuntukkan “Majlis boleh melantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan seorang Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama dan Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa Agama untuk menjalankan penyiasatan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang menetapkan kesalahan-kesalahan terhadap rukun-rukun agama Islam.”

Tugas PPA makin melebar
Bukan itu saja, tugas PPA semakin melebar mencakupi pelbagai bidang, termasuk membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa makanan halal, membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasa Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 dan terbitan berunsur Islam lain. Tugas PPA mutakhir ini semakin mencabar dalam menghadapi ancaman terhadap Islam dan penganut Islam seperti fahaman Syiah, fahaman Wahabi yang ekstrem, Kristianisasi, ajaran sesat, liberal republicant, zionisme, pemikiran pasca modenisme, pluralism (sama taraf agama), liberalisme (tafsiran bebas/longgar), sekularisme (memisahkan agama dan kehidupan), rasionalisme (fahami Islam secara logik) dan hedonisme (kebendaan).

Ada yang mencadangkan supaya diwujudkan polis syariah iaitu sebuah pasukan polis khas bagi membanteras penyebaran ajaran sesat dan fahaman Syiah di negara ini. Cadangan itu antara lain akan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan pegawai dan anggotanya di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebahagian daripada pasukan penguatkuasaan.

Pada pandangan penulis, lebih baik memperkasakan PPA iaitu kewujudannya sedia termaktub dalam Enakmen Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-negeri, daripada mengadakan satu jawatan yang belum tentu ada asas atau sumber perundangannya.

Nisbah tak seimbang
Antara masalah PPA yang dikenal pasti bilangan PPA di negeri-negeri yang sedikit berbanding nisbah penduduk Islam. Pada tahun 2009, dilaporkan terdapat seramai 1,114 pegawai penguat kuasa agama seluruh negara. Jumlah ini amat sedikit berbanding jumlah penduduk Islam di negara ini 17.375 juta orang. Nisbah bagi seorang anggota PPA dengan jumlah umat Islam ialah dengan nisbah seramai 15,600 orang bagi seorang anggota PPA. Dengan jumlah seramai itu, maka tidak hairanlah jika berlaku senario, apabila masyarakat membuat aduan, jawapan yang diterima: “Nanti dulu, kami tidak cukup anggota. Anggota yang ada sekarang ini sedang menjalankan tugas di tempat lain.” Kekurangan PPA wanita juga menimbulkan masalah, terutama membabitkan tangkapan pesalah wanita. Maka, memang masa yang tepat jika jika anggota penguatkuasaan syariah ini ditambah di samping melatih kakitangan sedia ada, sekiranya ingin meningkatkan profesionalisme penguatkuasaan syariah di negara ini.

Skim perjawatan PPA adalah skim hal ehwal Islam atau dilantik secara kontrak. Penyandang jawatan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI bagi gred S41 dan ke atas) atau Pembantu Pegawai Hal Ehwal Islam (PPHEI bagi gred S17 hingga S32) bagi negeri guna sama dan bagi negeri bukan guna sama, berkelulusan ijazah dalam bidang Pengajian Islam, manakala PPHEI pula memiliki SPM. Kebanyakan PPA, mereka tidak mempunyai latar belakang undang-undang syariah. Sebelum pegawai ini mendapat latihan dan pengetahuan secukupnya, mereka sudah diarahkan ke bahagian atau jawatan lain atau ditamatkan kontrak. Akibatnya, usaha melahirkan PPA berpengetahuan dan berpengalaman terbantut.

Perkenal skim tertutup
Maka, satu skim tertutup perlu diperkenalkan untuk PPA sama seperti polis atau agensi penguatkuasaan lain, supaya PPA ditukarkan hanya ke bahagian dalam lingkungan tugas mereka. Ini boleh mengasah kemahiran serta kepakaran mereka mengendalikan kes jenayah syariah, serta menjadikan mereka sebagai pasukan penguatkuasaan yang mempunyai skim khusus setaraf dengan agensi penguat kuasa lain di negara ini. Di sesetengah negeri, Bilik Gerakan 24 jam tidak dapat beroperasi seperti sepatutnya disebabkan kekurangan kakitangan. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi, kekurangan pemandu, kenderaan operasi, peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan yang terbatas dan sebagainya, turut menjejaskan tugas pencegahan maksiat.

Penulis mencadangkan satu nombor hotline atau nombor panggilan khusus, disediakan bagi semua pusat operasi seluruh negara, seperti polis yang menggunakan satu nombor 999 saja. PPA agama negeri-negeri juga perlu ada nombor seragam sebegitu bagi seluruh negara.
Penampilan PPA juga dipertingkatkan supaya sentiasa dirasai berada di tengah masyarakat, dengan mewajibkan pakaian seragam, memasang lambang, lampu amaran dan sistem peti suara di semua kenderaan operasi. Pada masa ini beberapa negeri saja seperti Melaka dan Selangor yang mempunyai pakaian seragam. Dengan adanya pakaian seragam ini, maka dengan sendirinya PPA boleh bertindak sebagai polis syariah, dengan cara keluar ke dalam masyarakat sekurang-kurangnya sekali atau sehari dalam seminggu, mendekati masyarakat Islam yang melakukan kesalahan syariah dan memberikan nasihat yang baik kepada mereka.

Tugas dan aktiviti dijalankan PPA ini boleh dihebahkan kepada orang awam dengan dirakamkan oleh lensa kamera, supaya masyarakat melihat PPA menjalankan tugas mencegah maksiat bukan saja ‘bil yad’, tetapi juga ‘bil lisan’, iaitu memberikan nasihat, kaunseling dan sebagainya.

Sudah sampai masanya juga pihak majlis agama Islam negeri membuat kajian supaya bahagian penguatkuasaan agama dinaik taraf kepada Jabatan Penguatkuasa Agama, bagi memantap dan memperkasakan agensi penguatkuasaan di negara ini. Masyarakat sudah lama ingin menyaksikan berlaku perubahan pada agensi penguatkuasaan syariah ini, setanding dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia


Friday, January 3, 2014

Serbuan Jais bukan satu kesalahan

Serbuan Jais bukan satu kesalahan

Musa Awang

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: January 4, 2014

SHAH ALAM – Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Pejabat Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya kelmarin tidak menyalahi undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, tidak menjadi persoalan daripada sudut undang-undang sama ada premis itu milik bukan Islam atau orang Islam atau tidak dapat dipastikan milik siapa kerana apa yang penting kesalahan disyaki berlaku dalam premis tersebut.

Musa berkata, Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 membenarkan menyiasat dan menangkap tanpa waran terhadap mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan dalam Enakmen Kawalan tersebut diberikan kepada pegawai bertauliah.

Menurutnya, ia bererti pegawai awam diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri secara bertulis untuk menjalankan kuasa-kuasa di bawah enakmen tersebut.

“Dalam isu ini, semasa proses siasatan di premis berkenaan, bukan sahaja terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jais tetapi juga pegawai polis. Jika pegawai-pegawai itu adalah terdiri daripada pegawai awam yang diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri maka proses tersebut tidak salah dari sudut undang-undang.

“Sekalipun tiada pegawai bertauliah hadir sekali, berdasarkan maklumat yang diterima yang mana PPA mempunyai sebab untuk mengesyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku dalam sesuatu premis, berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003, PPA diberikan kuasa untuk pergi ke premis tersebut untuk menyiasat serta mengambil apa-apa langkah perlu,” katanya melalui kenyataan akhbar, semalam.

Musa berkata, Seksyen 11 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk menggeledah mana-mana premis yang mana orang yang disyaki melakukan kesalahan itu berada, dengan syarat orang yang tinggal atau berada di tempat itu memberikan kebenaran atau kerjasama untuk PPA masuk menjalankan penggeledahan.

Menurutnya, Seksyen 15 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang bukti yang dijumpai.

“Dalam kes ini, orang yang berada dalam premis tersebut sendiri memberi kebenaran untuk PPA Jais masuk membuat siasatan.

“Jadi, pada pandangan saya, tiada unsur ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dalam kes ini. Cuma pihak-pihak tertentu cuba memperbesarkan isu ini, cuba memperlekeh tindakan pihak berkuasa, cuba memberikan imej buruk kepada institusi penguatkuasaan agama Islam (Islam bashing), dan cuba menjadi perselisihan antara penganut Katolik dan Islam,” katanya.

Wednesday, October 31, 2012

Jaga hukum ketika berlakon

Oleh Musa Awang

TENTU seronok menyaksikan drama atau rancangan bersiri bersama anak pada waktu malam atau hujung minggu sama ada secara percuma atau melalui saluran berbayar. Ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan rancangan realiti bagai cendawan tumbuh selepas hujan yang tidak dinafikan banyak melahirkan bakat baru dalam lakonan.

Namun, sama ada kita perasan atau tidak, beberapa rancangan yang menjadi kesukaan kanak-kanak kerap menggunakan pelakon lelaki untuk membawa watak wanita dan memakai pakaian wanita. Dikhuatiri jika keadaan ini dibiarkan, ia akan mempengaruhi pemikiran dan perwatakan kanak-kanak yang gemar menonton rancangan itu.

Walaupun niat mereka mungkin ingin menyampaikan mesej yang baik tetapi banyak lagi cara boleh dilakukan, bukan dengan melanggar hukum yang ditetapkan Islam. Apatah lagi majoriti pelakon terbabit adalah Melayu beragama Islam. Dalam Islam hukumnya jelas haram seorang lelaki berpakaian perempuan, maka ia tetap tidak boleh dilakukan dan tetap berdosa walaupun dengan alasan untuk kebaikan. Majoriti ulama bersepakat bahawa Islam melarang perbuatan tersebut sama seperti wanita dilarang menyerupai lelaki.

Merujuk kepada kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr Wahbah al-Zuhaili menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai wanita dan begitu juga sebaliknya, haram wanita menyerupai lelaki. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Daripada Ibn Anas r.a berkata Rasulullah melaknat mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita (HR al-Bukhari). Maksud menyerupai dalam konteks hadis di atas, termasuk menyerupai gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin menerusi bukunya Fatawa wa Rasai’il Lil Nisa’ menegaskan bahawa haram ke atas lelaki menyerupai kaum wanita sama ada dari aspek tingkah laku, percakapan, perhiasan, cara berpakaian dan sebagainya dalam perkara yang dikhususkan untuk wanita. Begitu juga sebaliknya, haram ke atas wanita menyerupai kaum lelaki.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: Daripada Abi Hurairah r.a berkata: Rasulullah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. (HR Abu Daud) Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (HR Bukhari dan Muslim).

Menurut pandangan dikeluarkan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi, penerbitan dan dunia lakonan yang harus hendaklah memenuhi beberapa syarat, antaranya: l Filem dan lakonan mestilah bersih daripada pengaruh kegila-gilaan, fasik atau yang menjejaskan akidah dan akhlak serta syariat Islam; apa jua filem dan lakonan mengajak masyarakat kepada dosa dan maksiat atau menjurus kepada kriminal atau keganasan dan kebatilan adalah haram.

Lakonan dan perfileman tidak boleh berlaku percampuran bebas keterlaluan dan persentuhan antara lelaki dan wanita serta pendedahan aurat wanita dan lelaki, ini untuk menjaga fitnah dan syubhah. l Ia ada kepentingan kesedaran kepada masyarakat (ada unsur pengajaran, iktibar dan keagamaan). Jika sesuatu produk filem atau lakonan memenuhi syarat minimum di atas, maka ia adalah harus dan halal. Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak Darul Ridzuan yang bersidang pada 18 Disember 2008 bersamaan 20 Zulhijjah 1429H memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki, dan lelaki menyerupai wanita (mak nyah/ pondan) sama ada dari segi pakaian, penampilan dan gerak laku serta naluri seksual seperti wanita adalah haram di sisi Islam.

Jawatankuasa Fatwa juga menggesa ibu bapa dan masyarakat Islam supaya memberi perhatian serius terhadap gejala ini serta menekankan pendidikan, tunjuk ajar sebaik-baiknya kepada anak mereka khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.

Orang Islam lelaki yang berlagak seperti perempuan boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah negeri-negeri. Sebagai contoh, Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.” Bagaimanapun terdapat sedikit pengecualian atau klausa selamat (safety clause) dalam peruntukan tersebut, di mana terdapat perkataan ‘atas tujuan bermoral’, yakni seseorang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di tempat awam tidak boleh dikenakan tindakan melainkan dia berpakaian sedemikian untuk tujuan tidak bermoral atau untuk tujuan maksiat. Jika seseorang lelaki saja-saja memakai pakaian perempuan di tempat awam, atau berlagak seperti perempuan di tempat awam, tanpa tujuan melakukan maksiat, maka dia tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang. Peruntukan yang hampir sama juga terdapat di Negeri Selangor, Johor, Perak, Terengganu, Pulau Pinang, Sarawak, walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi tempoh hukuman penjara.

Penulis berpandangan peruntukan ini perlu dipinda kerana ia berlawanan dengan kehendak Hukum Syarak yang mengharamkan lelaki menyerupai perempuan tidak kira untuk tujuan apa sekalipun. Peruntukan yang terdapat dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, dan Kelantan lebih bertepatan dengan Hukum Syarak. Sebagai contoh, Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 memperuntukkan: “Mana-mana orang lelaki yang memakai pakaian perempuan atau berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.” Hukuman bagi kesalahan berlagak seperti perempuan di Perlis lebih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991 memperuntukkan bahawa “(1) Mana-mana orang lelaki yang berlagak seperti perempuan (tasyabbuh) di mana-mana tempat awam adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Ramai ibu bapa sekarang sibuk dengan kerjaya. Tidak mahu diganggu anak dan serahkan anak kepada televisyen. Lebih mudah dan murah. Kita tidak mahu ibu bapa terpaksa membayar harga yang mahal untuk memulihkan kembali personaliti dan disiplin anak yang tercemar akibat pengaruh televisyen. Penulis boleh dihubungi sekretariatpgsm@yahoo.com Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Artikel ini disiarkan dalam akhbar Harian Metro pada : 31/10/2012

Tuesday, October 23, 2012

Transformasi hukuman lebih adil


Peguam Syarie Menulis, Berita Harian, 24/10/2012

Oleh Moeis Basri

Undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil

Bermula daripada dasar Perdana Menteri memperkenalkan transformasi dalam pentadbiran beliau, beberapa sektor telah melalui transformasi juga dan tidak ketinggalan ialah undang-undang dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri serta beberapa undang-undang lain. Baru-baru ini turut dicadangkan pindaan undang-undang sivil berkaitan hukuman kesalahan rogol statutory bertujuan memberi garis panduan supaya pesalah jenayah berkenaan dikenakan hukuman berat.

Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran" - Surah Ali-Imran (ayat 110)
Secara semula jadi sifat peraturan undang-undang itu ialah apabila sesuatu kesalahan menjadi isu besar dalam negara atau jenayah telah berlaku secara berleluasa, sesuatu hukuman terhadap jenayah berkenaan akan dipinda menjadi lebih berat.

Tujuannya untuk memberi amaran atau mencegah masyarakat daripada melakukan kesalahan itu. Ini dapat dilihat daripada contoh klasik kesalahan mengedar dadah apabila telah menjadi satu fenomena global yang memberi kesan kepada kebinasaan generasi muda khususnya.

Hukuman kesalahan jenayah berkenaan dikanunkan sehingga boleh membawa kepada hukuman mati mandatori. Begitu juga kesalahan penculikan pada suatu ketika dulu menjadi satu fenomena menakutkan masyarakat, hukuman kesalahan itu turut dipinda membawa kepada hukuman mati.

Sesungguhnya tindakan kerajaan mengubah atau meminda undang-undang demi kebaikan umum terutama demi memelihara keamanan dan keharmonian amat dialu-alukan.
Selaras usaha kerajaan menambah baik peraturan berkaitan undang-undang sivil, adalah perlu juga semakan kepada perlembagaan negara dan setiap kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran undang-undang syariah menyemak semula undang-undang syariah sedia ada.

Kita telah disajikan dengan cerita keruntuhan akhlak masyarakat Islam seperti pembuangan bayi, meminum minuman keras dan beberapa kesalahan syariah lain. Mungkin perkara ini asalnya dilihat sebagai perkara kecil tetapi apabila kita berkompromi, telah membawa kesan negatif yang besar.

Enakmen atau Akta Kesalahan Jenayah Syariah memperuntukkan hukuman untuk kesalahan jenayah syariah tetapi hukuman kesalahan syariah terhad kepada penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam sebatan saja.

Melihat perkembangan masyarakat yang tidak serik mengulangi atau melakukan kesalahan jenayah syariah, boleh dikatakan mereka memandang ringan kesalahan itu selain hukuman ringan yang dikenakan.

Bersesuaian dengan usaha kerajaan menyemak semula beberapa undang-undang sivil yang dianggap lapuk dan memerlukan transformasi, undang-undang syariah juga harus mengalami transformasi.

Mahkamah Syariah sudah dinaik taraf dengan pembangunan infrastruktur. Oleh itu, undang-undang syariah perlu diberi tempat sepatutnya dan membangun seiringan undang-undang sivil.

Baru-baru ini kita dikejutkan kisah seorang lelaki yang menipu isteri-isterinya dengan mengahwini 11 wanita pada satu masa. Beliau menipu dokumen bagi membolehkannya berurusan dengan pejabat agama.

Jika kisah dan cerita itu betul, hukuman untuk kesalahan syariah bernikah lebih daripada empat isteri masih ringan berbanding hukuman menipu mengikut Kanun Keseksaan di Mahkamah Sivil. Oleh itu, pesalah akan lebih takut dengan hukuman Mahkamah Sivil berbanding perbuatan melanggar hukum syarak.

Sedangkan kesalahan syarak dilakukan membawa implikasi sangat besar kepada keturunan dan status anak yang lahir daripada perkahwinan dilarang. Jika tidak ditegah dan diatasi, akan melahirkan anak tak sah taraf seterusnya tanpa disedari merosakkan sifat keturunan dalam Islam.

Walaupun diakui bahawa sifat keadilan dan hukuman dalam Islam ialah bersifat belas kasihan, mendidik dan memaafkan, had hukuman yang berat adalah bersifat untuk mencegah serta mendidik masyarakat supaya tidak melakukan jenayah itu.

Tidak semestinya apabila sesuatu had hukuman berat itu dikanunkan, maka hakim perlu memberi hukuman maksimum. Pertimbangan kepada fakta kes, bentuk kesalahan, keadaan semasa juga harus diberi perhatian sebelum menetapkan bentuk hukuman yang sesuai.
Demi memelihara keutuhan masyarakat Islam, undang-undang mengawal akhlak masyarakat Islam juga perlu dilakukan transformasi bersesuaian keadaan semasa.

Firman Allah SWT: “Kamu (orang Islam) adalah umat yang terbaik dibangkitkan di kalangan manusia yang menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, August 24, 2011

Pemeriksaan Gereja Mematuhi Undang-undang

Oleh Tuan Musa Awang
maa46050@yahoo.com

Berita Harian, 24 Ogos 2011

Ramai yang menyalahkan JAIS dalam isu pemeriksaan JAIS ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos 2011 lalu. Banyak pihak yang menghentam JAIS termasuk pimpinan kerajaan Negeri, dan pada masa yang sama JAIS mengambil sikap berdiam diri dan tidak defensif.

Sepatutnya kerajaan negeri Selangor dan umat Islam yang lain memberikan ucapan tahniah dan syabas kepada penguatkuasa JAIS dan pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang Syariah yang telah diperkenan oleh DYMM Sultan Selangor, pada malam bulan Ramadhan yang mulia, terpaksa mengetepikan ibadah sunnah dan fadhilat Ramadhan semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab demi agama dan Negara. Tetapi malang, yang berlaku adalah sebaliknya.

Melihat dalam konteks penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah, berpandukan pengalaman saya selama 13 tahun mengendalikan kes-kes jenayah Syariah, saya berpendapat, secara umumnya tidak ada yang kecacatan prosedur dilakukan JAIS dalam tindakan penguatkuasaan tersebut.

Tindakan penguatkuasa JAIS adalah berdasarkan maklumat yang diterima bahawa terdapatnya kehadiran orang Islam dalam satu majlis di gereja tersebut. Kehadiran orang Islam dalam satu majlis yang diadakan di sebuah rumah ibadat bukan Islam, waimma tidak kiralah siapa pun penganjurnya, pada malam hari di bulan Ramadhan (kerana kebiasaannya umat Islam akan berada di surau dan masjid untuk sembahyang tarawikh) adalah satu motif serta menimbulkan syak bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, iaitu menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam di pandang hina.

Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1991 memperuntukkan bahawa : “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Kesalahan di bawah Seksyen 10 ini adalah kesalahan boleh tangkap (seizable offence) yang lazimnya memberi kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau pegawai polis untuk menangkap pesalah tanpa memerlukan waran dari Mahkamah Syariah.

Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 menyebutkan jika penguatkuasa JAIS menerima maklumat atau aduan bahawa kesalahan boleh tangkap telah berlaku, maka penguatkuasa JAIS boleh terus pergi menyiasat, dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu menurut undang-undang. Manakala seksyen 18 (a) Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang boleh ditangkap (seizable offence), tanpa perlu memohon waran dari Mahkamah.

Seksyen 18 (a) menyebutkan “Tanpa menjejaskan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis atau Pegawai Masjid boleh, tanpa perintah daripada Hakim dan tanpa waran, menangkap-(a) mana-mana orang yang kena-mengena dengan apa-apa kesalahan boleh ditangkap di dalam Negeri Selangor atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau syak yang munasabah wujud bahawa dia telah kena-mengena sedemikian”

Saya ingin betulkan persepsi sesetengah orang, tindakan penguatkuasa JAIS dan polis memasuki premis gereja tersebut bukanlah suatu percerobohan kerana mereka bertindak menurut undang-undang. Bagi kesalahan boleh tangkap, Seksyen 11 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk masuk ke sesuatu premis di mana di dalamnya dipercayai pesalah berada. Menurut Seksyen ini, orang yang tinggal di premis itu atau yang menjaga tempat itu hendaklah membenarkan pegawai terlibat bebas masuk ke dalamnya dan memberikan sepenuh kerjasama termasuk untuk menggeledah tempat premis tersebut, bagi tujuan mencari pesalah. Penguatkuasa JAIS atau polis juga diberi kuasa untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang-barang bukti yang dijumpai padanya selain daripada pakaian yang dipakai oleh orang tersebut (Seksyen 15).

Tiada unsur kekasaran atau keganasan digunakan oleh penguatkuasa JAIS dan pihak polis. Malah, penguatkuasa JAIS telah bertindak bijak apabila memanggil penganjur program tersebut yang juga seorang Muslim, dan sesi temubual itu dibuat di luar dewan. Ia langsung tidak mengganggu majlis yang sedang dijalankan. Pihak penganjur telah berunding selama hampir 1 jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai. Penguatkuasa JAIS dan polis tidak mengganggu perjalanan majlis tersebut, malah menunggu sehingga ianya selesai, walaupun undang-undang membenarkan penguatkuasa JAIS untuk masuk memeriksa premis tersebut.

Seramai 12 orang beragama Islam yang menghadiri majlis tersebut tidak ditangkap, tetapi mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Betapa rasional, lembut dan berhikmahnya cara yang digunakan oleh penguatkuasa JAIS semasa pemeriksaan tersebut, kerana faham bahawa pemeriksaan dan siasatan tersebut melibatkan agama dan komuniti bukan Islam. Namun perkara ini masih dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga. Cara selembut manakah lagi yang golongan ini mahukan dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia termaktub?
Walaupun kepelbagaian agama (pluraliti) dalam negara ini merupakan suatu realiti, namun semua pihak perlu juga sedar bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama tertinggi di Negara ini. Secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka, namun kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam (Perkara 11 (1)).

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Di Selangor, telah terdapat Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988) yang boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, dan juga kepada orang Islam yang bersengkokol dengan mereka.

Selama ini kita banyak berlembut, cepat menggelabah dan tidak konsisten dalam mempertahankan agama Islam serta dalam menguatkuasakan hak yang terdapat undang-undang negara. Kedua-duanya digadaikan kerana mahukan kemenangan politik sementara, yang akhirnya meruntuhkan dan menghina agama sendiri. Sepatutnya dalam konteks pluraliti agama di Negara ini, orang bukan Islam terlibat yang sepatutnya meminta maaf kepada orang Islam kerana secara terang-terangan membenarkan orang Islam berada dalam pusat ibadah agama mereka.

Kejadian di awal Ramadhan ini sepatutnya membuka mata dan minda sekalian umat Islam di Negara ini, untuk bermuhasabah, memikirkan di mana kedudukan dan jatidiri mereka pada masa kini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Thursday, May 5, 2011

Pembuktian zina ikut syarak mesti ada pengakuan

Mohamad Isa Abdul Ralip

Berita Harian, 13 April 2011 12:39

Si penuduh boleh dihukum sebat 80 kali jika bukti dibawanya palsu, saksi tak cukup syarat

DEWASA ini ada banyak kes membabitkan pembuangan bayi akibat perlakuan zina. Nasib bayi yang dibuang sering meruntun hati masyarakat yang turut memikirkan cara terbaik untuk menjaga dan mendidik anak itu serta bagaimana ingin memberi kesedaran kepada pelakunya.

Persoalannya, adakah kesalahan zina yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Zina adalah kesalahan yang berat mengikut hukum syarak sehingga larangannya dijelaskan Allah dalam Al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Israk, ayat 32)

Ini ditegaskan lagi melalui hukuman dikenakan terhadap penzina jika disabitkan kesalahan yang turut termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.” (Surah An-Nisa, ayat 2)


Mengikut hukum Islam, hukuman zina berbeza mengikut kategori bagi pesalah yang sudah berkahwin (mukhsan) atau belum (ghair mukhsan). Jika sudah berkahwin, dikenakan hukuman rejam sampai mati manakala yang belum berkahwin akan dirotan 100 sebatan.

Melihat betapa seriusnya kesalahan zina ini, hukum syarak menetapkan si penuduh orang lain melakukan zina yang gagal membuktikan dakwaannya turut dihukum iaitu dikenakan 80 kali sebatan, disamping itu juga penyaksiannya tidak akan diterima selama-lamanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Hukuman berat ini menunjukkan cara pembuktian terhadap pertuduhan zina juga perlu diambil kira. Bukan semua bentuk pembuktian boleh diterima bagi membuktikan kesalahan tertuduh kerana kesan terhadap penyabitan zina amat besar terhadap maruah diri tertuduh.

Walaupun keterangan terhadap pertuduhan boleh dikemukakan dengan pelbagai bentuk, hanya dikira ialah pembuktian melalui pengakuan si pelaku (ikrar) dengan mengambil kira syarat perakuan itu.

Sejarah membuktikan penyabitan kesalahan zina melalui ikrar amat dititikberatkan bagi mengelak sebarang keraguan, paksaan, kecelaruan oleh si pelaku yang menyebabkan beliau membuat perakuan terhadap kesalahan menyebabkan berlaku kesilapan dan penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Rasulullah SAW sendiri, apabila seorang lelaki datang menemui Baginda seraya berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling darinya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.

Apabila lelaki berkenaan membuat pengakuan sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: Tidak. Nabi bersabda lagi: Adakah engkau telah kahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka Nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.”

Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak boleh dilaksanakan terhadap si pelaku yang menarik balik pengakuannya bahawa sebelum ini beliau melakukan zina.

Bentuk pembuktian kedua yang diterima ialah kesaksian daripada empat orang saksi. Saksi perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh hukum syarak sebelum penyaksian diterima iaitu Islam, lelaki, baligh.

Sempurna akal, adil, benar-benar melihat kejadian zina dan penyaksian itu benar-benar menunjukkan zina itu berlaku. Ini bermakna, jika saksi gagal memenuhi salah satu daripada syarat itu, penyaksiannya tidak akan diterima.

Walaupun sesetengah ulama seperti Ibn Qayyim menerima pembuktian melalui tanda (qarinah), ada ulama seperti Imam Syafie yang menolaknya. Penerimaan dan penolakan terhadap bentuk pembuktian berdasarkan kepada hujah masing-masing namun yang pastinya penolakan ini bagi mengelak timbulnya keraguan dalam penyabitan.

Kesalahan berkaitan dengan perbuatan zina diperuntukkan dalam undang-undang syariah. Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 menetapkan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isteri sah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi hukuman itu.

Kewujudan pelbagai peralatan canggih tidak dapat menafikan bentuk pembuktian yang ditetapkan kerana sebarang bentuk dokumen mahupun peralatan canggih masih boleh menimbulkan keraguan. Adalah tidak mustahil dokumen itu diubah suai bagi boleh menyabitkan seseorang dengan kesalahan.

Pembuktian bagi kesalahan zina tidak wajar disamakan oleh mana-mana pihak dengan pembuktian kes rompakan yang dirakam. Pembuktian bagi kesalahan zina adalah ketat seperti ditetapkan hukum syarak.

Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie menulis: Hukum hudud ditetap dalam al-Quran tak boleh dipinda

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 07/04/2010

Sultan ada kuasa eksklusif untuk kurang, ringan, tambah hukuman Mahkamah Syariah

DETIK penantian Kartika Sari Dewi Sukarno selama lebih tujuh bulan berakhir 1 April lalu, apabila Tuanku Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman sebat atas kesalahan meminum arak daripada enam kali sebatan kepada kerja khidmat komuniti selama sebulan.

Setelah keputusan ini dibuat, pelbagai pandangan dan kritikan kedengaran, sama ada negatif atau positif. Keputusan kali pertama dalam sejarah perundangan syariah di negara ini dan di Pahang khususnya, dilihat menjadi polemik perundangan dan menjadi topik perbincangan ahli akademik dan pakar perundangan.

Sebahagiannya melihat keputusan yang dibuat itu berlawanan dengan kuasa diberikan oleh undang-undang kepada Tuanku Sultan. Adalah menjadi fakta yang tidak boleh dipertikaikan, sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda Sultan mempunyai kuasa eksklusif untuk mengurangkan, meringankan, menambah atau mengubah sebarang hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah.

Kuasa eksklusif ini terbahagi kepada dua keadaan, iaitu pertama apabila pesalah itu membuat permohonan rayuan kepada Baginda Sultan dan kedua apabila Baginda Sultan sendiri berkenan memberi pengampunan walaupun tidak dirayu atau dipohon oleh pesalah.

Dalam keadaan pertama, Seksyen 209 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Enakmen No. 8 Tahun 1982) memperuntukkan bahawa baginda Sultan mempunyai kuasa untuk mengurang, menambah atau mengubah apa-apa hukuman dijatuhkan dengan syarat rayuan sudah dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Ulangbicara (rayuan) dan notis rayuannya hendaklah diserahkan dalam tempoh 10 hari daripada tarikh tamatnya ulangbicara kes itu.

Dalam isu Kartika, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang menjatuhkan hukuman denda dan sebatan terhadap Kartika adalah bersifat muktamad kerana Kartika tidak merayu dan tempoh rayuan juga sudah tamat.

Dalam keadaan kedua, Baginda Sultan juga mempunyai kuasa untuk meringankan mana-mana hukuman dengan menggantikan hukuman yang berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu atau dimohon oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah.

Seksyen 133 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2004 (Enakmen No. 9 Tahun 2004) memperuntukkan bahawa: “Yang di-Pertua Negeri atas nasihat Mufti boleh, tanpa persetujuan orang yang dihukum, meringankan mana-mana satu daripada hukuman yang berikut dengan menggantikannya dengan mana-mana hukuman yang disebut selepasnya, iaitu (a) sebat; (b) pemenjaraan atau (c) denda.

Jika menurut peruntukan ini, Baginda boleh meringankan hukuman sebat kepada penjara atau daripada penjara kepada denda. Tidak pula wujud peruntukan bahawa hukuman sebat boleh terus diganti dengan hukuman lain atau digantikan dengan hukuman khidmat komuniti atau apa-apa hukuman lain.

Namun saya yakin dan percaya baginda sudah mendapat nasihat yang sewajarnya daripada mufti negeri berkaitan hukum syarak dan penasihat undang-undang negeri sebelum membuat keputusan itu. Jika nasihat mufti diketepikan, maka keputusan terbabit dibuat tanpa mematuhi kehendak Seksyen 133 berkenaan di atas dan ia boleh jadi ‘ultra-vires’ kepada Enakmen No. 9 Tahun 2004 itu.

Kesan jangka panjang, dikhuatiri selepas ini pesalah akan memohon pengampunan atau diringankan hukuman terus kepada Tuanku Sultan tanpa melalui proses rayuan di Mahkamah Syariah. Keputusan ini juga menggambarkan seolah-olah kuasa Raja mengatasi undang-undang, sedangkan peruntukan undang-undang yang ada menunjukkan kuasa Raja juga tertakluk dan terikat dengan undang-undang.

Buktinya Seksyen 209 Enakmen No. 8 Tahun 1982 menyatakan bahawa kuasa baginda Sultan untuk mengurangkan, menambah atau mengubah apa-apa hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah dengan syarat rayuan dibuat oleh pesalah terlebih dulu di Mahkamah Syariah. Kuasa ini tidak boleh digunakan sekiranya proses rayuan itu tidak dibuat terlebih dulu.

Seksyen 133 Enakmen No. 9 2004 pula mengehadkan kuasa Sultan untuk meringankan hukuman dengan menggantikan hukuman berat kepada hukuman lebih ringan, walaupun tidak dirayu oleh pesalah atau tanpa persetujuan pesalah, dengan mana-mana hukuman yang disebut dalam seksyen berkenaan iaitu sebat pemenjaraan atau denda. Ketiga-tiga hukuman ini adalah sebagaimana yang ada dalam Enakmen No. 8 1982.

Perlu dijelaskan bahawa dalam kes Kartika ini, baginda Sultan menggunakan budi bicara baginda untuk meringankan hukuman yang sudah dijatuhkan, bukanlah bermaksud baginda mengampunkan terus kesalahan Kartika Sari yang disabitkan oleh Mahkamah Syariah. Kartika Sari adalah seorang pesalah yang menerima hukuman atas kesalahan dilakukannya.

Mahkamah Syariah tetap dengan martabat dan hirarkinya. Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa Syarie juga tetap dengan tugas dan peranan masing-masing. Kesalahan meminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud menurut Islam. Hukuman hudud adalah hukuman ditentukan dan ditetapkan Allah di dalam Quran dan sunnah.

Hukuman Hudud ini adalah hak Allah, yang tidak boleh ditukar ganti hukumannya dan tidak boleh diubah-suai dan dipinda. Hukuman hudud tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa pun. Mereka yang melanggar aturan hukum Allah, yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah melalui Rasul-Nya yang disebutkan di dalam al-Quran atau hadith adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim.”

Kekhuatiran juga timbul di mana keputusan ini akan menjadi ikutan kepada kes sama atau hampir sama berikutnya pada masa akan datang. Suka saya jelaskan di sini bahawa di Mahkamah Syariah tidak memakai prinsip duluan mengikat (precedent) sebagaimana di Mahkamah sivil. Maka keputusan Baginda Sultan Pahang ini tidak mengikat kes-kes selepasnya dan tidak mengikat kes di negeri lain.

Penantian Kartika Sari mungkin berakhir, tetapi perbahasan mengenai keputusan itu mungkin akan terus dibincangkan.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Unsur judi jejas pembangunan sukan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 12/05/2010

Usaha membenar pertaruhan untuk apa tujuan dilarang syarak

PIALA Dunia kembali lagi. Di sebalik keghairahan menanti aksi pemain bola sepak ternama dunia serta semangat penyokong fanatik mereka, timbul isu membabitkan kumpulan yang mengambil kesempatan daripada temasya suka gilang-gemilang itu. Mereka ialah orang yang mempertaruhkan wang bagi tujuan perjudian.

Isu judi atau pertaruhan bukan baru kerana sering dikaitkan dengan penganjuran acara besar seperti Piala Dunia. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90) Judi adalah pertaruhan harta ataupun nilai. Dalam perjudian, yang kalah permainan mesti membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang. Ada banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian seperti membeli nombor ekor, menyabung ayam dan judi bola sepak.

Lazimnya, perjudian dianggap sebagai amalan buruk kerana ia satu bentuk pengagihan harta secara tidak adil. Dalam perjudian, pihak yang menang akan mendapat harta tanpa melakukan apa-apa kerja tetapi bergantung kepada nasib.

Perjudian dilarang kerana banyak perkara mudarat timbul daripadanya seperti menyebabkan ketagihan hingga sanggup mengabaikan kerja, keluarga selain memerlukan modal.

Lebih teruk, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak berlandaskan kepada akal logik.

Sesetengah mereka sanggup melakukan perbuatan syirik dengan mencari bantuan ghaib untuk kejayaan. Contohnya, mendapatkan bantuan ‘keramat’ memuja pokok, busut dan pelbagai lagi kerana percaya pemujaan itu akan meningkatkan tuah mereka.

Tanpa disedari, perbuatan itu bukan saja membazir wang dan masa malahan memesongkan akidah kerana pemikiran dipengaruhi unsur ghaib kerana percaya dapat membantu mereka menang dalam pertaruhan.

Selain itu, perjudian mendorong kepada aktiviti meminjam wang daripada ceti haram bagi tujuan mendapatkan modal atau untuk membayar hutang. Kesan teruk ialah apabila hutang kepada ceti haram gagal dibayar hingga berlaku jenayah tidak diingini.

Judi juga menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompak, curi dan samun kerana mereka ini berkehendakkan wang untuk tujuan berjudi atau menebus hutang dengan ceti haram.

Justeru, Islam mengharamkan judi kerana kesan amat buruk kepada diri dan masyarakat serta barang siapa yang dapat menjauhkan diri daripadanya adalah tergolong dalam orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Perbuatan judi bertentangan tuntutan agama dan menjadi satu kesalahan mengikut akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri di Malaysia.

Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Namun demikian, Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh tidak disabitkan atas kesalahan seperti di atas jika ia dapat memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa rumah itu ialah rumah judi.

Dalam mentafsirkan apa dimaksudkan dengan rumah judi, peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 (3) mentafsirkan rumah judi adalah mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai sama ada terbuka atau tertutup yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh undang-undang lain sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Jelas, judi adalah perkara terlarang daripada sudut hukum syarak serta undang-undang syariah. Oleh itu, sebarang usaha mana-mana pihak mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 adalah tindakan tidak wajar dan perlu dibantah.

Sebarang bentuk pertaruhan adalah judi walau apapun alasannya sama ada bagi mengawal aktiviti perjudian dan hasilnya digunakan untuk pembangunan sukan.
Hakikatnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram hukumnya dalam Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Peguam Syarie Menulis: Sumbang mahram bukti kedangkalan agama, adat resam

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 08/09/2010

Islam melaknat orang melakukan perkara terkutuk di dunia dan akhirat

RAMADAN kali ini banyak menguji keimanan sebagai umat Islam. Menatap akhbar sepanjang Ramadan, kita dihidangkan berita meruntun jiwa dan menyayat hati. Kisah adik beradik dirogol abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri.

Sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau keturunan dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan mereka tidak sah di sisi agama, undang-undang serta adat resam.

Islam melaknat orang melakukan sumbang mahram di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan berikut), ibu kamu, anak kamu dan saudara kamu, saudara bapa kamu, saudara ibu kamu, anak saudara kamu yang lelaki, dan anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu....” (Surah an-Nisa’: 23)

Sumbang mahram bukan saja merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang berpotensi tinggi menghasilkan keturunan secara biologi lemah fizikal dan mental (cacat), tetapi juga suatu bukti kedangkalan agama serta adat resam.

Sumbang mahram ialah jenayah menurut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta sebatan.

Sumbang mahram dikenakan hukuman menurut Seksyen 20, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559), yang memperuntukkan: “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Mengikut statistik Polis Bukit Aman, sepanjang 2000 hingga 2007, Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes dilaporkan kepada polis.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 258 kes, diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136). Terengganu mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).

Statistik kes sumbang mahram kerap dilaporkan. Namun, ada juga mangsa tidak membuat laporan khuatir si pelaku akan dipenjarakan atau hilang mata pencarian. Ada juga mangsa diugut supaya tidak melaporkan jenayah itu. Dalam kebanyakan kes, sumbang mahram tidak dilaporkan serta merta.

Kajian Dr Abdul Hadi Zakaria, pada 1996 dan laporannya diterbitkan Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’ menunjukkan dari 1992 hingga 1994, 30 peratus kes rogol dilaporkan membabitkan sumbang mahram.

Pelaku utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8 peratus) dan diikuti bapa tiri (24.4 peratus). Si pelaku lain ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian juga menunjukkan kes sumbang mahram membabitkan mangsa yang muda, iaitu 54.9 peratus dari mereka berumur antara 11 hingga 15 tahun manakala umur si pelaku pula dari semuda 18 hingga 65 tahun.

Antara punca berlaku sumbang mahram ialah kegagalan atau kecuaian isteri memuaskan keperluan suami akibat tuntutan kerja, kepenatan, kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurang penghayatan agama.

Kelemahan agama menjadi lebih parah jika mereka terdedah dengan gambar atau filem porno yang mudah dimuat turun atau dipindahkan ke dalam telefon bimbit.

Islam melarang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat sunyi kerana akan muncul syaitan yang menghasut ke arah kejahatan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.”

Islam juga mensyariatkan supaya dipisahkan tempat tidur anak dan ibu bapa sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam serta meminta izin terlebih dulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa.

Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina. Perasaan malu mendedahkan aurat perlu ditekankan sejak anak kecil lagi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat kepada hamba-Nya supaya mereka mengenang dan bersyukur).” (Surah Al-A'raaf: 26)

Walaupun ahli keluarga boleh membuka aurat dalam kalangan mereka tetapi tidak sehingga menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, berpakaian terlalu nipis, seksi atau mengikut bentuk badan. Anak juga perlu ditekankan larangan berzina dan melakukan dosa besar.

Peningkatan kadar perceraian, dikhuatiri kanak-kanak terdedah kepada risiko gejala sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan akan tinggal serumah dengan bapa tiri, menjadikan risiko mereka terdedah kepada penganiayaan seksual bapa tiri.

Bagi kes yang membabitkan adik beradik, keluarga yang bercerai akan menyumbang kepada faktor ini kerana si ibu keluar rumah untuk mencari rezeki dengan meninggalkan abang menjaga adik di rumah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Peguam Syarie Menulis: Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukum sebat Oleh Tuan Musa Awang

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 08/12/2010

Nafsu songsang pasangan lesbian jika tidak dibendung mampu runtuhkan institusi perkahwinan

AHAD lalu, Harian Metro melaporkan golongan lesbian menggunakan laman sosial Facebook untuk mencari kenalan baru, mengadakan parti liar di kelab malam atau di rumah.

Lesbian dalam Islam disebut sebagai musahaqah, iaitu melakukan perbuatan seks antara perempuan dengan perempuan dengan menggeselkan kemaluan sehingga mendatangkan berahi.

Islam jelas mengharamkan musahaqah. Dari Abu Musa katanya, Rasulullah bersabda, “Bila lelaki menyetubuhi lelaki maka keduanya berzina, dan bila wanita menyetubuhi wanita maka kedua-duanya juga berzina.” (HR Al-Baihaqi dalam Syu’abil Iman)

Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni berpendapat, jika bergesel dua wanita maka kedua-duanya melakukan zina berdasarkan apa diriwayatkan daripada Nabi yang bersabda bermaksud, “Apabila seorang wanita mendatangi (menyetubuhi) seorang wanita maka keduanya berzina.”

Imam Al-Alusi dalam kitab Ruhul Ma’ani, berpendapat Sihaq (lesbian) termasuk dalam kategori liwat seperti yang terjadi pada kaum Luth, iaitu seorang wanita menyetubuhi wanita. Dalam hadith Hudzaifah r.a Nabi bersabda, “Sesungguhnya benarlah ucapan (Allah SWT) atas kaum Luth tatkala kaum wanita (daripada mereka) merasa cukup dengan wanita dan kaum lelaki merasa cukup dengan lelaki.”

Para Fuqaha sepakat musahaqah tidak dikenakan hukuman hudud. Ia dikategorikan kesalahan ta’zir, kerana ia perbuatan maksiat yang tidak menepati takrif atau maksud zina secara tepat dan sempurna yang membolehkan pelakunya dikenakan hudud.
Ia adalah zina secara umum, seperti zina mata, zina tangan, zina kaki, dan zina mulut serta boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Musahaqah berlaku disebabkan terpengaruh dengan budaya liar, berpunca daripada tindakan membaca atau menonton bahan lucah, akhirnya melahirkan perasaan ingin mencuba dan terjerumus. Mereka tidak mahu memikul tanggungjawab dan komitmen suami isteri. Saya pernah menemubual pelaku musahaqah. Mereka suka berpasangan sesama wanita kerana tiada risiko mengandung. Mereka juga menyukai pasangan wanita pasangan yang memahami dan menghargai berbanding lelaki.

Apa pun alasan, ia lahir daripada pemikiran pelaku musahaqah yang sebenarnya terpedaya dengan tipu daya syaitan. Pelaku musahaqah juga Muslim yang kufur terhadap nikmat dijadikan Allah dan mereka ini akan diazab Allah di akhirat kelak, jika tidak bertaubat. Firman Allah bermaksud “Dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras.” (Surah Ar-Ra’d [13]: 34)

Pelaku musahaqah boleh dikenakan hukuman sebatan menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997. Seksyen 26 Akta itu memperuntukkan ‘Mana-mana wanita yang melakukan musahaqah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.’

Pelaku musahaqah yang berpelukan atau berciuman sesama wanita di tempat awam juga boleh dibendung dengan diambil tindakan undang-undang. Menurut Seksyen 29 akta sama, diperuntukkan ‘Mana-mana orang yang bertindak atau berkelakuan tidak sopan bertentangan dengan Hukum Syarak di tempat awam adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.’

Pihak yang mengadakan aktiviti dengan tujuan menganjurkan, mendorong atau menggalakkan aktiviti maksiat juga boleh dikenakan tindakan undang-undang. Pengendali laman maya yang dikatakan memudahkan golongan musahaqah mencari kenalan dan bertukar-tukar pasangan dalam tempoh singkat, dan kemudian membawa kepada aktiviti seperti parti seks lesbian boleh dikenakan tindakan menurut Seksyen 35 akta itu yang memperuntukkan, ‘Mana-mana orang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain melakukan maksiat adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.’

Perlakuan musahaqah jika tidak dibendung akan meruntuhkan institusi perkahwinan kerana pelaku musahaqah tidak berminat dengan perkahwinan. Pelaku musahaqah juga terdedah dengan pelbagai pelbagai penyakit fizikal dan mental, serta akan mendapat balasan azab di dunia dan akhirat.