MUSA AWANG
SINAR HARIAN, 4 JUN 2018
Jakim ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir,
sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam.
PADA 1968, Majlis
Raja-Raja telah berkenan untuk menubuhkan badan bagi menggembleng usaha
pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan kedudukannya
sebagai agama Persekutuan.
Bermula daripada urusetia kepada Majlis
Kebangsaan Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, ia dikembangkan sebagai Bahagian
Ugama, Jabatan Perdana Menteri, kemudian dinaik taraf sebagai Bahagian Hal
Ehwal Islam (Baheis), pada 1 Januari 1997, dan peranan seterusnya diambil alih
oleh Jakim.
Antara fungsi dan tanggungjawab Jakim ialah
merancang dan menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam; merangka
dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga kesucian akidah dan ajaran
Islam; membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan diperlukan
serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran sedia
ada dari semasa ke semasa.
Dilihat daripada fungsi-fungsi Jakim tersebut,
ia selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(6)(d)
Perlembagaan Persekutuan, iaitu “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya
apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara
menyeluruh;”
Perkara 3 (2), Perlembagaan Persekutuan
menjelaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi negeri
baginda masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam
bagi negeri tidak beraja, iaitu, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Seterusnya, Perkara 3 (5) menyatakan bahawa
Yang di-Pertuan Agong juga adalah ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, dan
Parlimen boleh membuat undang-undang berkenaan dengan hal ehwal Islam dan
menubuhkan Majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan hal
ehwal agama Islam.
Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas
menyatakan, Islam adalah agama Persekutuan dan penubuhan Jakim juga tidak
pernah menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan
damai, sebagaimana dalam peruntukan tersebut.
Penubuhan Jakim itu juga selaras dengan hak
kebebasan orang Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah
Perkara 11(1) untuk mengembangkan ajaran Islam. Atas prinsip keluhuran
perlembagaan, kedudukan di atas perlu dihormati dan dijunjung tinggi oleh
setiap warga negara Malaysia.
Justeru, amat jelas bahawa penubuhan Jakim
dengan perkenan Majlis Raja-Raja menjadikannya sebagai sebuah entiti berwibawa,
yang ditubuhkan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan
dan ciri-ciri kepada kedaulatan negara kita. Oleh sebab itu, sebarang usaha
menghapuskan Jakim perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan
Agong.
Setelah kemenangan kerajaan Pakatan Harapan,
terdapat segelintir pihak mencadangkan supaya Jakim dan institusi Islam yang
lain dihapuskan, dan mereka mendakwa bahawa “agama adalah merupakan hak
peribadi dan membelanjakan berbilion-bilion dana awam ke atas penguatkuasaan
agama dalam masyarakat sekular adalah tidak wajar,”
Cadangan mereka ini dibuat berdasarkan
kedangkalan dan kejahilan mereka memahami peruntukan Perlembagaan.
Suka ditegaskan bahawa tindakan kerajaan
Persekutuan atau Negeri membelanjakan apa-apa perbelanjaan untuk menubuhkan dan
membiayai institusi-institusi Islam dan pendidikan Islam dengan menggunakan
dana atau wang kerajaan adalah sah dan selaras dengan Perkara 12 (2)
Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:
“…adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu
Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau
menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam
mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan
sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”
Dengan kata lain, wang kerajaan Persekutuan
atau kerajaan Negeri adalah sah digunakan untuk tujuan pentadbiran dan
pembangunan agama Islam, termasuk menggunakan dana awam untuk mentadbir dan
melaksanakan undang-undang Islam, setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan.
Berbeza dengan agama lain, Perlembagaan tidak
memberikan mereka keistimewaan seperti ini. Di bawah Perkara 12, mereka diberi
kebebasan menubuh dan membina sekolah-sekolah agama serta rumah ibadat mereka
tetapi pembiayaan kos, penyelenggaraan serta pentadbiran agama-agama tersebut
adalah menggunakan pembiayaan sendiri.
Apa-apa bantuan atau pembiayaan daripada
kerajaan untuk institusi agama-agama lain melalui apa-apa saluran, mekanisme
atau insentif tertentu adalah atas budi bicara kerajaan semata-mata. Dari sudut
Perlembagaan, ia boleh jadi tidak sah jika dicabar di mahkamah.
Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah
dipertikaikan oleh orang Islam di negara ini, kerana mereka faham dengan hak
kebebasan beragama, di samping menjaga sensitiviti penganut agama. Malangnya,
kenapakah ada puak yang masih mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Islam
yang diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan?
Penulis percaya bahawa kerajaan Pakatan
Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan melayan tuntutan
yang tidak munasabah ini, dan yakin beliau akan mempertahankan Jakim dan
institusi-institusi Islam yang lain.
Jakim sendiri ditubuhkan pada zaman Tun Dr
Mahathir, sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Tun Dr
Mahathir selepas menerajui kerajaan pada 1981.
* Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam
Syarie Malaysia (PGSM), sekretariatpgsm@yahoo.com