Thursday, June 7, 2018

Hal Syariah bukan bidang kuasa peguam negara, kata Aziz Bari


PEGUAM Negara tidak mempunyai kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan hal berkaitan Syariah, kata pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Justeru, katanya, pengkritik Melayu-Islam tidak wajar membangkitkan malah mempolitikkan isu pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

"Saya rasa masyarakat tak faham benda ini. Sebab ia terbawa-bawa dengan isu (Islam).
"Sebenarnya kalau kita tengok dalam sistem yang disebut dalam Perlembagaan, peranan utama adalah penasihat undang-undang kepada kerajaan.

"Peguam negara tidak ada kuasa ke atas Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tentera. Tiada kena mengena dengan hal-hal Syariah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Ditanya mengenai kebimbangan peguam negara bukan Islam tidak boleh menasihati Majlis Raja-Raja berhubung hal Syariah, Aziz berkata penasihat undang-undang kerajaan tidak mempunyai peranan dalam hal tersebut. 

"Jika ada sebelum ini Majlis Raja-Raja guna khidmat peguam negara, itu secara 'ad-hoc' sahaja. Itu hanyalah amalan yang timbul dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini," katanya. 

Aziz, yang merupakan Adun Tebing Tinggi, menambah ia bukan kali pertama Malaysia mempunyai peguam negara daripada kalangan bukan Islam dan bukan Melayu. 
Apa yang lebih penting, katanya, peguam negara sebaiknya dilantik daripada kalangan ahli Parlimen.  

"Saya rasa ramai di kalangan ahli Parlimen layak. Yang lebih 20 tahun pengalaman sebagai peguam seperti Hanipa Maidin, R. Sivarasah, Baru Bian dan Ngeh Khoo Kham. Itu antara nama-nama yang saya ingat. 

Pemilihan Thomas sebagai peguam negara oleh kerajaan Pakatan Harapan mengundang perdebatan hangat sejak dua hari lalu antaranya menyentuh mengenai isu agama, kaum dan konflik kepentingan.

Thomas berketurunan India Malayalee dan penganut Kristian, serta pernah mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kes rasuah. 

Peguam Syariah, Musa Awang, berkata percalonan Thomas tidak diterima kerana kredibilitinya boleh dipertikai. 

"Sebelum ini pernah ada peguam negara bukan Melayu-Islam... tanpa ada masalah. Tetapi dalam isu Thomas, kredibiliti dan kebebasan beliau dipertikaikan kerana beliau adalah peguam yang mewakili Menteri Kewangan Lim Guan Eng, bagi prosiding komital dan dalam pertuduhan rasuah terhadap Lim," kata Musa, yang merupakan presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Menurutnya sejarah menunjukkan peguam negara bukan Islam diterima seperti Thomas Vernor Alexander Brodie (1955-1959), Cecil M. Sheridan (1959-1963) dan Athi Nahappan (1970-1974). 

Musa turut berpendapat peguam negara seharusnya dilantik daripada kalangan pegawai kehakiman dan perundangan yang mempunyai kredibiliti tinggi. 

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan hanya satu nama, Thomas, kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk jawatan peguam negara. 

Mengikut Perlembagaan, Agong melantik peguam negara atas nasihat perdana menteri. 
Bagaimanapun, Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dan akan mengadakan mesyuarat mengenai perkara itu esok. – 4 Jun, 2018.

No comments:

Post a Comment