Saturday, June 16, 2018

Penggunaan dana awam untuk Islam


MUSA AWANG
SINAR HARIAN, 4 JUN 2018



Jakim ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir, sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam.

PADA 1968, Majlis Raja-Raja telah berkenan untuk menubuhkan badan bagi menggembleng usaha pembangunan dan kemajuan umat Islam di Malaysia, selaras dengan kedudukannya sebagai agama Persekutuan.

Bermula daripada urusetia kepada Majlis Kebangsaan Hal-Ehwal Ugama Islam Malaysia, ia dikembangkan sebagai Bahagian Ugama, Jabatan Perdana Menteri, kemudian dinaik taraf sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis), pada 1 Januari 1997, dan peranan seterusnya diambil alih oleh Jakim.

Antara fungsi dan tanggungjawab Jakim ialah merancang dan menentukan pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam; merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam; membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan peraturan diperlukan serta menilai dan menyelaras pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran sedia ada dari semasa ke semasa.

Dilihat daripada fungsi-fungsi Jakim tersebut, ia selaras dengan budi bicara Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 38(6)(d) Perlembagaan Persekutuan, iaitu “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh;”

Perkara 3 (2), Perlembagaan Persekutuan menjelaskan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi negeri tidak beraja, iaitu, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Seterusnya, Perkara 3 (5) menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga adalah ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, dan Parlimen boleh membuat undang-undang berkenaan dengan hal ehwal Islam dan menubuhkan Majlis bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan hal ehwal agama Islam.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan, Islam adalah agama Persekutuan dan penubuhan Jakim juga tidak pernah menyekat hak orang bukan Islam mengamalkan agama mereka secara aman dan damai, sebagaimana dalam peruntukan tersebut.

Penubuhan Jakim itu juga selaras dengan hak kebebasan orang Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 11(1) untuk mengembangkan ajaran Islam. Atas prinsip keluhuran perlembagaan, kedudukan di atas perlu dihormati dan dijunjung tinggi oleh setiap warga negara Malaysia.

Justeru, amat jelas bahawa penubuhan Jakim dengan perkenan Majlis Raja-Raja menjadikannya sebagai sebuah entiti berwibawa, yang ditubuhkan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan ciri-ciri kepada kedaulatan negara kita. Oleh sebab itu, sebarang usaha menghapuskan Jakim perlu dirujuk kepada Majlis Raja-Raja atau Yang di-Pertuan Agong.

Setelah kemenangan kerajaan Pakatan Harapan, terdapat segelintir pihak mencadangkan supaya Jakim dan institusi Islam yang lain dihapuskan, dan mereka mendakwa bahawa “agama adalah merupakan hak peribadi dan membelanjakan berbilion-bilion dana awam ke atas penguatkuasaan agama dalam masyarakat sekular adalah tidak wajar,”

Cadangan mereka ini dibuat berdasarkan kedangkalan dan kejahilan mereka memahami peruntukan Perlembagaan.

Suka ditegaskan bahawa tindakan kerajaan Persekutuan atau Negeri membelanjakan apa-apa perbelanjaan untuk menubuhkan dan membiayai institusi-institusi Islam dan pendidikan Islam dengan menggunakan dana atau wang kerajaan adalah sah dan selaras dengan Perkara 12 (2) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi:

“…adalah sah bagi Persekutuan atau sesuatu Negeri menubuhkan atau menyenggarakan atau membantu dalam menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan melakukan apa-apa perbelanjaan sebagaimana yang perlu bagi maksud itu.”

Dengan kata lain, wang kerajaan Persekutuan atau kerajaan Negeri adalah sah digunakan untuk tujuan pentadbiran dan pembangunan agama Islam, termasuk menggunakan dana awam untuk mentadbir dan melaksanakan undang-undang Islam, setakat yang dibenarkan oleh Perlembagaan.

Berbeza dengan agama lain, Perlembagaan tidak memberikan mereka keistimewaan seperti ini. Di bawah Perkara 12, mereka diberi kebebasan menubuh dan membina sekolah-sekolah agama serta rumah ibadat mereka tetapi pembiayaan kos, penyelenggaraan serta pentadbiran agama-agama tersebut adalah menggunakan pembiayaan sendiri.

Apa-apa bantuan atau pembiayaan daripada kerajaan untuk institusi agama-agama lain melalui apa-apa saluran, mekanisme atau insentif tertentu adalah atas budi bicara kerajaan semata-mata. Dari sudut Perlembagaan, ia boleh jadi tidak sah jika dicabar di mahkamah.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak pernah dipertikaikan oleh orang Islam di negara ini, kerana mereka faham dengan hak kebebasan beragama, di samping menjaga sensitiviti penganut agama. Malangnya, kenapakah ada puak yang masih mempertikaikan hak dan keistimewaan orang Islam yang diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan?

Penulis percaya bahawa kerajaan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan melayan tuntutan yang tidak munasabah ini, dan yakin beliau akan mempertahankan Jakim dan institusi-institusi Islam yang lain.

Jakim sendiri ditubuhkan pada zaman Tun Dr Mahathir, sebagai sebahagian dasar penerapan nilai Islam yang dimulakan Tun Dr Mahathir selepas menerajui kerajaan pada 1981.

* Penulis ialah Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment