Tuesday, June 2, 2020

Presiden Persatuan Pguam Syarie Malaysia, Musa Awang. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang
KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memohon pihak berwajib membantu lebih 3,500 peguam syarie yang terkesan susulan pandemik COVID-19 ketika ini.
Sehubungan itu, presidennya, Musa Awang menggesa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) melalui Baitulmal negeri memberikan bantuan secara ‘one-off’ RM1,000 kepada peguam syarie yang beramal di negeri.
“Ia bagi membantu meringankan beban mereka sepanjang pandemik COVID-19. Data dan maklumat peguam syarie yang beramal ini boleh diperoleh daripada Setiausaha Jawatankuasa Peguam Syarie di setiap negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, MAIN juga boleh mengecualikan bayaran pembaharuan sijil amalan tahunan bagi tahun ini, di mana setiap tahun, peguam syarie yang beramal akan memperbaharui Sijil Amalan Tahunan mereka dengan bayaran sekurang-kurangnya RM100 hingga RM250 setahun.
“(Juga dimohon supaya) kerajaan menghentikan sementara sumbangan mandatori dari majikan untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun ini.
“Pihak kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk geran kepada PGSM untuk membantu peguam syarie melalui pihak persatuan,” katanya.
Beliau berkata, jika krisis ini berpanjangan, PGSM sedia dilibatkan dalam apa-apa perbincangan bagi menangani kesan ekonomi dan sosial kepada golongan peguam syarie khususnya dan masyarakat amnya.
Musa berkata, peguam syarie adalah mereka berkelayakan yang diberikan Sijil Peguam Syarie oleh MAIN, dengan membayar yuran tertentu pada setiap tahun, untuk mereka berguam di mahkamah syariah di negeri-negeri.
“Sumber pendapatan peguam syarie bergantung sepenuhnya kepada yuran guaman yang dibayar oleh anak guam bagi mewakili anak guam sepanjang perbicaraan di mahkamah syariah.
“Hakikatnya, sepanjang PKP, semua prosiding ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum diketahui. Ini menyebabkan peguam syarie hilang punca pendapatan, pada suatu tempoh yang belum diketahui, bergantung kepada situasi pandemik COVID-19,” katanya.
Kesan pandemik ini juga memaksa pejabat atau firma peguam syarie terpaksa ditutup, kakitangan tidak dapat berkerja dan yuran guaman tidak dapat dikutip daripada anak guam.
“Anak guam juga turut terjejas sumber pendapatan mereka dan tidak dapat membuat bayaran kepada peguam dilantik. Kebanyakan peguam syarie adalah usahawan Melayu yang mempunyai firma sendiri dan menggaji pekerja.
“Mereka tidak mencarum dalam KWSP kerana mereka adalah majikan yang perlu membayar caruman KWSP pekerja. Gaji bulanan pekerja terpaksa dibayar, KWSP pekerja terpaksa dicarum, sewa pejabat, pinjaman perumahan, sewa beli kenderaan, simpanan peribadi dan sebagainya terpaksa dibayar. Nafkah kepada tanggungan perlu dilunaskan,” katanya.
Beliau berkata, sebahagian besar mereka juga peguam muda yang baru membina karier dan belum kukuh ekonomi dan kewangan, termasuk Pelatih Dalam Kamar yang baru bergraduasi, yang sedang menjalani latihan di firma peguam syarie.

No comments:

Post a Comment