Monday, December 31, 2012

Perutusan Tahun Baru 2013 oleh Presiden PGSM



Assalamu’alaikum w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Alhamdullilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita masih dipanjang umur dan dapat menyaksikan labuhnya tirai tahun 2012 serta terpancar fajar baru 2013. Tentu sebahagian besar atau mungkin kesemua azam kita tahun 2012 telah dimakbulkan Allah SWT, dan kita melangkah ke tahun 2013 ini dengan azam yang baru.

Tahniah kepada pelatih dalam kamar yang telah lulus dalam temuduga dan telah ditauliahkan sebagai Peguam Syarie. Kepada yang gagal, usah putus asa. Cuba lagi di tahun 2013 ini.

Tahniah kepada rakan-rakan kita yang melangsungkan perkahwinan sepanjang cuti panjang persekolahan baru-baru ini. Baaraka Allahu lakuma wa baaraka alaikuma wa jama’a baina kuma fi khair.

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah dikurniakan cahayamata. Semoga Allah SWT melindungi zuriat tersebut dan keturunannya dengan peliharaan-Nya, daripada godaan syaitan yang kena rejam, yang dikutuk dan disingkirkan.

Tahniah juga kepada rakan-rakan kita yang telah mendapat tempat untuk melakukan latihan dalam kamar, atau yang bertukar majikan yang baru atau yang membuka firma sendiri. Saya bagi pihak PGSM mengucapkan selamat maju jaya.

Mungkin kita tidak sedar, kebahagian yang kita perolehi atau kejayaan yang kita kecapi dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas mempunyai satu elemen yang sama, iaitu “amanah”. Apabila dikaitkan dengan amanah bererti ia akan disoal oleh Allah SWT.

Sabda Baginda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: ‘Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannya. Seorang ketua negara akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri yang mengurus rumah tangga akan ditanya perihal tanggungjawab dan tugasnya. Bahkan seorang pembantu atau pekerja yang bertugas memelihara barangan milik majikannya juga akan ditanya perihal yang dipimpinnya. Dan kamu sebagai pemimpin akan ditanya (dipertanggungjawab) atas kepemimpinannya’.” (HR Bukhari dan Muslim)

Jadi, marilah kita sama-sama memastikan amanah yang diletakkan atas bahu setiap dari kita itu dilaksanakan sepanjang tahun 2013 ini.

Bagi pihak kepimpinan PGSM sesi ini (MT & EXCO), saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua Peguam Syarie, pelatih dalam kamar dan pelajar-pelajar, terutama ahli PGSM yang sama-sama menyokong dan mendokong PGSM sepanjang kami memegang tampuk kepimpinan PGSM. Teruskanlah sokongan Tuan/Puan kepada PGSM sepanjang tahun 2013 ini dan seterusnya pada masa-masa akan datang.

Pelbagai program telah dirancang untuk tahun 2013.

Program pertama tahun 2013 ialah Seminar Prosedur Rayuan Jenayah & Mal Di Mahkamah Syariah Selangor : Berdasarkan Kajian Kes pada Sabtu 12 Januari 2013, anjuran bersama PGSM dan Persatuan Pegawai Syariah Selangor (PPSS). Tempat terhad seramai 40 orang sahaja. Silalah Tuan/Puan daftar segera.

Mesyuarat Agung Tahunan PGSM dijadualkan pada 15 Februari 2013. Insya-Allah pada Februari 2013 juga akan diadakan Persidangan Peguam Syarie Negeri Selangor, manakala sekitar Julai 2013 akan diadakan Konvensyen Peguam Syarie Kebangsaan Kali Ke-3 serta Majlis Makan Malam PGSM.

PGSM juga merancang untuk mengadakan Seminar Bagaimana Mengekalkan Kebahagian Rumahtangga, Seminar Pengurusan Harta Islam dan Klinik Guaman Syariah Percuma (Klinik Syariah) untuk masyarakat awam.

Program Tafaqquh akan diteruskan seperti biasa pada Jumaat minggu ketiga setiap bulan. Begitu juga program Skil Advokasi Peguam Syarie, program-program sukan dan riadah dan lain-lain secara berterusan.

PGSM sedang dalam proses menerbitkan buku ilmiah, kompilasi artikel ilmiah serta kompilasi kertas-kertas kerja program. Sekurang-kurangnya 4 buah buku bakal diterbitkan tahun 2013 ini. Insya-Allah. PGSM juga sedang mengumpulkan alasan-alasan penghakiman untuk kes-kes Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah daripada ahli-ahli yang mewakili kes-kes tersebut. Ahli-ahli boleh menghantarkan salinan penghakiman tersebut ke sekretariat PGSM, atau emelkan soft copy kepada sekretariatpgsm@yahoo.com.

Untuk makluman, draf Akta Profesion Guaman Syarie sedang dalam peringkat kedua, yang mana PGSM akan mengadakan mesyuarat dengan JAKIM dan Peguam Negara pada Januari 2013 untuk memuktamadkan draf tersebut. Buat masa ini, perbincangan draf tersebut dibuat dalam Jawatankuasa Kecil Draf APGS di bawah PGSM, dianggotai oleh kesemua MT PGSM, Exco Profesion Guaman Syarie, beberapa orang Exco lain serta beberapa orang ahli senior yang dilantik oleh PGSM.

Program latihan Peguam Syarie panel untuk YBGK juga akan diteruskan ke negeri-negeri di utara, pantai timur, Sabah, Sarawak, dan seterusnya program latihan fasal kedua pula akan menyusul. Untuk makluman, PGSM telah dilantik sebagai lembaga pengarah dalam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Juga, wakil PGSM telah dilantik dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Selangor, Jawatankuasa Kaedah Mahkamah Syariah, Jawatankuasa Peguam Syarie Negeri Sembilan dan terkini PGSM sedang memperjuangkan supaya ada wakil PGSM dalam Jawatankuasa Peguam Syarie Wilayah Persekutuan yang tidak ada wakil peguam syarie sejak sekian lama.

Insya-Allah, dengan sokongan Tuan/Puan, kesemua perancangan tahun 2013 ini akan dilaksanakan dengan betul dan mengikut jadual. Marilah kita bersama-sama merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk profesion tercinta ini, dalam mencari redha Allah SWT. Ia tidak akan menjadi sebuah mimpi sahaja, malahan ia akan berada dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti dan bekerja keras bagi mencapainya. Sesungguhnya hari-hari yang terbaik kita berada di hadapan kita. Selamat tahun Baru 2013.

Terima kasih.
“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
18 Safar 1434H bersamaaan 31 Disember 2012.

3 comments:

  1. assalammualaikum,boleh tak saya nak temuramah salah seorang peguam untuk selesaikan kerja khusus saya?

    ReplyDelete
  2. assalammualaikum,boleh tak saya nak dapatkan seorang peguam untuk saya selesaikan kerja khusus saya.jasa baik anda amat kami hargai.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Bismillah. Semoga Allah memberi kita keberkatan dalam hidup kita.

    Saya fikir, mungkin ada baiknya jika kita dapat publishkan di internet, perbandingan antara Syariah Law vs. English Law. Ia merupakan isu global, dan dengan ada maklumat yang benar dan lebih tepat, harap dapat memberi gambaran yang lebih jelas kepada umat manusia seluruhnya tentang islam.

    Tidak perlu penerbitan khusus, mungkin dengan publish file PDF seperti dibawah ini untuk tatapan dunia, sudah memadai. Semoga bermanfaat semuanya.

    google "comparison of sharia law and english law"
    http://europenews.dk/files/Final_Sharia_Law_and_English_Law_Table.pdf

    mohon dipost fakta yang lebih tepat.


    ReplyDelete