Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Perkahwinan bawah umur perlu izin mahkamah

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian, 15/12/2010

Remaja kena sedia mental, fizikal pikul tanggungjawab sebagai pasangan suami isteri

PERKAHWINAN adalah ikatan suci antara lelaki dan wanita selari dengan kejadian manusia berpasangan. Perkahwinan juga sunnah Rasulullah SAW yang patut dituruti setiap umat yang berkemampuan.

Diriwayatkan oleh Aisyah, bermaksud: “ Nabi SAW bersabda: Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia daripada golongan umatku.” (Hadis riwayat Al-Imam Ibnu Majah)
Perkahwinan adalah sunnah Rasulullah SAW, namun ada perkara yang tidak boleh diketepikan sehingga meminggirkan matlamat menyatukan pasangan lelaki dan wanita.

Antaranya, perkahwinan anak bawah umur yang masih berlaku dalam masyarakat. Mengikut mazhab Syafie, cukup umur atau baligh apabila budak lelaki bermimpi keluar mani dan perempuan didatangi haid ataupun mereka cukup berusia 12 tahun.

Berdasarkan sejarah, Rasulullah SAW menikahi Aisyah yang ketika itu berusia sembilan tahun.

Diriwayatkan Aisyah yang bermaksud: “Bahawasanya Nabi mengahwini Aisyah ketika ia berumur enam tahun dan Aisyah tinggal bersama Nabi semasa ia berumur sembilan tahun.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, tiada umur khusus ditetapkan untuk berkahwin dan ini bermakna tidak salah berkahwin pada usia muda. Namun, melihat realiti di Malaysia, undang-undang syariah menetapkan had umur minimum untuk berkahwin 18 tahun bagi lelaki dan perempuan (16 tahun).

Seksyen 8, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 (EUUKIS) memperuntukkan: “Tiada perkahwinan boleh diakadnikahkan atau didaftarkan di bawah enakmen ini jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika hakim syariah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur perlu mendapat kelulusan bertulis mahkamah syariah dan tiada perkahwinan boleh dijalankan tanpa kebenaran mahkamah syariah.

Peruntukan seksyen itu tidak bertentangan dengan pendapat empat mazhab kerana pemerintah atau ulil amri boleh membuat undang-undang demi kepentingan umum.

Hakikatnya, kebenaran mahkamah bertujuan memberi peluang menyelidik latar belakang, keadaan fizikal dan kemampuan pasangan bawah umur yang ingin berkahwin.

Ini bagi menjaga kepentingan kanak-kanak itu kerana perkahwinan bukan perkara main-main dan wali perlu ada asas kukuh untuk mengahwinkan anak gadisnya. Hanya apabila mahkamah berpuas hati kebenaran berkahwin diberi.

Mengikut peruntukan, ‘dalam keadaan tertentu’ bermaksud wali ada alasan kukuh mengahwinkan anaknya yang boleh dipertimbangkan mahkamah sebelum memberi kebenaran. Antaranya anak bermasalah moral dan tidak boleh dikawal.

Dalam keadaan ini, bagi menyelamatkan kanak-kanak itu daripada terus bergelumang maksiat, harus bapa sebagai wali mengahwinkan anaknya.

Segelintir masyarakat mungkin menimbulkan persoalan mengapa umur minimum ditetapkan undang-undang sedangkan Saidatina Aisyah berkahwin pada usia enam tahun dan bersama Rasulullah apabila berusia sembilan tahun.

Saidatina Aisyah antara orang terawal memeluk Islam selain terbabit dalam perang Uhud dan Badar, malah pengetahuan ilmu al-Quran dan hadis membuktikan kematangan walaupun masih muda.

Berbanding remaja hari ini yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan, dikhuatiri tidak mampu menangani masalah atau melayari hidup berumah tangga. Umur belasan tahun dalam dunia hari ini adalah waktu mereka bersekolah.

Perkahwinan bukan sekadar menghalalkan yang haram, tetapi mengandungi tanggungjawab perlu dilaksanakan pasangan yang berkahwin memenuhi tuntutan batin serta keperluan zahir.

Tanggungjawab itu mungkin tidak dapat difahami sepenuhnya seseorang yang masih mentah. Sedangkan dalam berumah tangga, kematangan fikiran perlu bagi menyelesaikan konflik rumah tangga yang dihadapi kelak.

Rentetan daripada tanggungjawab itu boleh menyebabkan tekanan fizikal dan mental apabila mereka gagal menjalankan peranan seperti diharapkan hingga akhirnya menjurus kepada perceraian.

Perkahwinan bukan untuk sehari dua. Oleh itu, pihak yang ingin berkahwin termasuk ibu bapa perlu memastikan pasangan bawah umur ini benar-benar bersedia memikul tanggungjawab yang dituntut kepada suami dan isteri supaya perkahwinan memberi kesejahteraan untuk semua.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

1 comment:

  1. assalamualaikum,
    boleh saya bertanya?
    statistik daripada Jabatan Pendaftaran Negara membuktikan, 152,182 anak tak sah taraf telah direkodkan daripada tahun 2008-2011.

    jika begitu, mengapa pihak kerajaan tidak pernah mempertimbangkan bahawa mereka ini seharusnya diberi kebebasan untuk bernikah, jika mereka sudah saling mencintai, daripada membiarkan mereka terjebak dengan aktiviti yang hina ini?

    Firman Allah dalam surah al-israa, ayat 32:

    "Dan janganlah kamu MENGHAMPIRI zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

    dalam ayat tersebut, Allah melarang kita bukan sahaja melakukan, malah juga MENGHAMPIRI. jadi ini membuktikan apa yang dilakukan kebanyakan pasangan yang bercinta dan berpacaran sekarang ini adalah SALAH.

    malah Prof. Yusof Qaradawi juga mengatakan:
    "saya tidak bersetuju dengan apa yang dilaungkan sesetengah pihak dengan percintaan sebelum perkahwinan. pendapat saya, ia jelas sekali adalah salah dan MENGHAMPIRI zina."

    bukankah apabila sudah suka, akan ada keinginan untuk bersama? jadi daripada kita membiarkan mereka terus bermaksiat kepada Allah, bukankah lebih baik kita beri mereka kebenaran untuk bersama, jika itu yang mereka inginkan?

    atau sebenarnya pemimpin-pemimpin sedang seronok melihat remaja hari ini yang rosak gara-gara hubungan sebelum pernikahan ini?

    mereka juga pernah melalui zaman remaja, jadi seharusnya mereka memahami perasaan mereka. atau pemimpin ini yang sebenarnya sangat rendah IQ nya untuk memahami perkara ini?

    adakah pemimpin-pemimpin hendak melihat keadaan bila mana pasangan-pasangan tersebut disoal di akhirat, "mengapa kamu masih mendekati zina sedangkan Allah telah melarang kamu?"

    adakah kerajaan mahu mendengar mereka ini menjawab, "Ya Allah, kami sebenarnya sudah ingin menikah, dan ingin berpacaran dengan cara yang halal, tetapi pemimpin dan kerajaan melarang kami. kami tidak mampu berbuat apa-apa."

    maka pasangan tersebut terselamat, tetapi pemimpin dan kerajaan terpaksa menanggung dosa mereka. itu jika satu pasangan yang berkata sedemikian, cuba bayangkan berapa ramai pasangan yang akan berkata sebegitu?

    jadi kesimpulannya, kenapa kita tidak membiarkan mereka bernikah sahaja, daripada mereka terus bermaksiat?

    tetapi, kalau pemimpin negara sanggup menanggung dosa mereka semua,
    yang mana 234,564 anak tak sah taraf direkodkan daripada tahun 2000-2009,
    dan 152,182 anak tak sah taraf lagi yang direkodkan daripada tahun 2008-2010,
    atau secara mudahnya 773492 orang yang BERZINA,
    silakan. semoga kalian selamat di akhirat kelak.

    jadi, kalau ridak sanggup menanggungnya lagi, mungkin kalian bisa mempertimbangkan untuk membenarkan pasangan remaja ini bernikah.

    itu sahaja, terima kasih.

    ReplyDelete