Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Thursday, August 30, 2012

Musafir perlukan ruang solat selesa

Semua R&R, pusat beli belah patut sedia kemudahan surau

Oleh Musa Awang
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Berita Harian, RABU 29 OGOS 2012

Pengalaman bertemu satu keluarga mulaaf di hentian Ladang Bikam Perak, dalam perjalan pulang dari kampung di utara tanah air menyedarkan saya, ada perkara kecil tetapi jika tidak ditangani dengan baik boleh memberi impak besar.

Ketika berhenti rehat di sebuah wakaf, keluarga berkenaan menghampiri untuk bertanyakan surau kerana ingin menunaikan solat Zuhur. Saya maklumkan, surau berdekatan ialah di hentian Rehat & Rawat (R&R) Ulu Bernam, kira-kira 30 kilometer.

Walaupun di hentian itu mempunyai wakaf yang menyediakan sejadah serta arah kiblat untuk mengerjakan solat, tetapi terdapat papan kenyataan ‘Tidak Digalakkan Untuk Solat Di Sini”. Malah, saya turut mengesyorkan keluarga itu supaya tidak bersolat kerana wakaf berkenaan tidak sesuai dijadikan tempat solat.

Ia sempit dan terlalu terbuka. Tambahan pula ada ahli kaum wanita dan pastinya menyukarkan mereka untuk mengambil wuduk serta memakai telekung.

Tidak dinafikan syarikat konsesi lebuhraya sudah menyediakan surau yang selesa untuk kemudahan orang Islam tetapi hanya di R&R yang sering berlaku kesesakan setiap kali cuti sekolah atau musim perayaan.

Pada waktu itu, pengguna Islam terpaksa mencari alternatif untuk berhenti rehat dan solat kerana tidak mahu bersesak-sesak. Justeru, adalah lebih wajar jika hentian kecil atau hentian sebelah juga turut menyediakan kemudahan surau dengan mengambilkira sensitiviti serta aurat kaum wanita.

Selaras dengan, Perkara 3(1) Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, serta Perkara 3 (2) dan (5) yang meletakkan Raja atau Sultan sebagai ketua agama Islam bagi negeri dan Yang Di Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Persekutuan. Oleh itu usaha memartabatkan premis bagi umat Islam menjalankan ibadat juga hendaklah diletakkan pada tempat yang sesuai dan istimewa.

Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan syiar Islam kerana ia diperuntukkan dengan jelas dalam undang-undang tertinggi Negara. Kerajaan juga mempunyai kuasa dan bajet yang besar serta terdapat banyak institusi agama untuk menjalankan usaha dakwah ini.

Adalah sesuatu yang amat dikesali bila ada sebahagian stesen minyak dan pusat membeli belah tidak menyediakan kemudahan surau.

Prasarana yang sesuai untuk umat Islam mengerjakan ibadah solat samada di lebuhraya, pusat membeli belah atau stesen minyak adalah sebahagian dari usaha dakwah secara tidak langsung kepada bukan Islam.

Ia juga mampu mengelakkan persepsi negatif kepada yang baru memeluk Islam seperti keluarga muallaf tadi.

Dakwah dalam konteks lebih luas adalah mengajak umat manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan untuk mengikuti petunjuk Allah dan Rasul-Nya.

Firman Allah SWT bermaksud ; “Serulah (manusia) kepada jalan Rabb-mu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (An-Nahl, ayat 125)

Di Malaysia, peningkatan saudara baru memeluk Islam menunjukkan peningkatan yang cukup baik, berpandukan statistik semenjak tahun 2000 sehingga 2009 jumlah saudara baru yang memeluk Islam di Malaysia ialah seramai 76,663 orang.

Tanggungjawab dakwah bukan sahaja terletak atas bahu pegawai jabatan agama Islam, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) atau Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sahaja, tetapi ke atas semua penganut agama Islam termasuk pihak yang menguruskan lebuhraya.

Ia berdasarkan kepada firman yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat 124 yang bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), sertakamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Komitmen dakwah ini boleh dikategorikan sebagai dakwah bilhal iaitu dakwah melalui contoh tauladan yang baik dan ia kadang-kadang lebih berkesan dari dakwah melalui percakapan.

Sebahagian besar persepsi negatif terhadap Islam disebabkan umat Islam sendiri tidak menzahirkan Islam pada tingkahlaku mereka, atau mereka menzahirkan sesuatu yang negatif pada amalan-amalan Islam yang baik.

Walaupun sembahyang di tepi jalan, di bawah pokok atau di atas wakaf tidak salah dari segi Syarak, tetapi jika kemudahan surau yang baik ada disediakan kenapa masih perlu berbuat demikian? Tidakkah ia akan menimbulkan tanggapan negatif di kalangan bukan Islam yang melihat perbuatan itu.

Umat Islam perlu memastikan golongan bukan Islam memandang Islam sebagai agama yang memberi jalan penyelesaian dan bukannya sebuah agamanya yang sulit dan menyusahkan. Sebelum bukan Islam mendekati Islam, mereka terlebih dahulu memerhatikan imej, penampilan dan setiap tindak-tanduk orang Islam.

Saturday, August 25, 2012

Mengemis cemar maruah Islam

Perbuatan haram dan berdosa jika disertai tipu helah

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Berita Harian
22 Ogos 2012

Senario didatangi pengemis buta semasa sedang menjamu selera di kedai makan mungkin sudah biada dilalui semua orang. Begitu juga pengemis berkaki kudung mengemis di pasar malam, atau menjadikan bayi dan kanak-kanak sebagai umpan. Kanak-kanak juga mengemis di pam minyak atau di kawasan perniagaan. Trend terbaru, pengemis menunggu di simpang lampu isyarat, membawa kitab atau tasbih dan mengemis dari tingkap ke tingkap kereta.

Pertengahan Ramadhan lalu, dua adik beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim dengan memakai jubah dan bertudung labuh, bagi menagih simpati pengunjung bazar Ramadhan ditahan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.

Ada banyak faktor yang mendorong seseorang mengemis. Kefakiran, kemiskinan, mengalami kesulitan untuk menampung keperluan keluarga sehari-hari. Sementara itu, mereka tidak memiliki keterampilan atau kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan wang. Kanak-kanak yatim, orang-orang cacat, janda-janda miskin, orang-orang tua sering kelihatan mengemis kerana keadaan mereka boleh menarik simpati orang ramai untuk memberikan wang.

Ada juga yang menjadi mangsa sindiket, terpaksa mengemis untuk membayar hutang, ajaran sesat, rumah kebajikan yang memeras kanak-kanak di bawah jagaan mereka, dan sebagainya. Ada kelompok pengemis yang benar-benar menderita, perlukan bantuan untuk mencari makan sehari-hari.

Pengemis Pintar
Manakala sebahagian yang lain adalah kelompok pengemis yang pintar bersandiwara dan tipu muslihat, mengetahui rahsia-rahsia dan teknik-teknik mengemis, serta memiliki pengalaman untuk mengaburi pandangan masyarakat, seperti bagaimana menarik simpati dan belas kasihan orang lain.

Kadang-kadang disebabkan kelompok yang kedua ini, kita menjadi keliru dan teragak-agak untuk memberikan derma atau sedekah, kerana tidak yakin adalah mereka golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, atau sekadar berlakun dan meraih keuntungan.

Hukum mengemis dalam Islam adalah haram, kecuali bagi orang yang ditimpa musibah, orang yang berhutang dan orang yang memang hidupnya melarat.

Syarat minta bantuan
Dari Qabishah bin Al Mukhariq Al Hilaly, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hai Qabishah, meminta-minta tidak dihalalkan kecuali bagi tiga orang : Pertama, seorang yang menanggung hutang yang dilunaskan dalam usaha mendamaikan dua pihak yang bertikai), maka ia boleh meminta bantuan hingga ia dapat menutupi hutangnya kemudian berhenti meminta. Kedua, seorang yang tertimpa musibah sehingga menghabiskan seluruh hartanya, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat menjadi sandaran hidupnya. Ketiga, seseorang yang ditimpa kesengsaraan, sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya membuat penyaksian bahawa : “Si Fulan telah ditimpa kesengsaraan”, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat memenuhi keperluannya. Meminta-minta selain dari tiga keadaan hai Qabishah, adalah haram, dan barang yang dimakan oleh si peminta-minta adalah barang yang haram.” [HR Muslim]

Meminta-minta dengan berbohong dan menipu adalah nyata haram. Ia bukan sahaja berdosa, perbuatan tersebut juga mencemari perbuatan baik dan merampas hak orang-orang miskin yang memang berhajatkan bantuan. Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Umar , ia berkata : Rasulullah bersabda: “Seseorang senantiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga ia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.”

Mengemis sedangkan mempunyai kemampuan dan kewangan juga adalah di larang oleh Islam. Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bermaksud “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas cakaran di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kemampuan itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.” [HR Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa', Ibnu Majah, Ahmad & Ad Darimi]

Meminta sumbangan untuk kepentingan kaum muslimin, bukan kepentingan peribadi kelihatan seperti mengemis dan meminta-minta tetapi sebenarnya ia dibolehkan dalam Islam. Pesan Rasulullah s.a.w kepada para pemimpin perang ketika sebelum berangkat ke medan peperangan, “Jika mereka (orang-orang kafir yang diperangi) tidak mahu masuk Islam maka mintalah Al-Jizyah dari mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan tahanlah dari (memerangi) mereka! Jika mereka tidak mahu menyerahkan Al-Jizyah maka mintalah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka!” [HR. Muslim, Abu Dawud & Ahmad]

Rasulullah s.a.w juga pernah meminta bantuan seorang tukang kayu untuk membuatkan mimbar untuk masjid. Sahl bin Sa’d As-Sa’idi r.a berkata bahawa “Rasulullah s.a.w pernah mengutus kepada seorang wanita: “Perintahkan anakmu yang tukang kayu itu untuk membuatkan untukku sebuah mimbar sehingga aku bisa duduk di atasnya!” [HR Al-Bukhari, An-Nasa’i & Ahmad]

Jatuh maruah ummah
Seseorang Islam yang mengemis boleh menyebabkan kesucian agama Islam dan institusinya dipandang hina. Mereka boleh boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah Syariah. Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang penat dalam mencari yang halal. Mengemis adalah salah satu cara mencari harta yang tidak terhormat dan menjatuhkan maruah umat Islam. Sebagai muslim jangan sampai meminta-minta atau mengemis agar kita mendapat jaminan surga dari Rasulullah saw sebagaimana sabdanya: “Barangsiapa yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak meminta sesuatu kepada orang, aku menjamin untuknya dengan syurga.” (HR Abu Daud & Hakim).

Friday, August 17, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI 1433H OLEH PRESIDEN PGSM



18 OGOS, 2012

PERUTUSAN AIDILFITRI, SYAWAL 1433H
oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar dan seluruh masyarakat Islam.

Assalamualaikum w.b.t

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, solawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w.

InsyaAllah, kita semua akan menyambut 1 Syawal 1433H. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri khususnya kepada seluruh Peguam Syarie, Pelatih Dalam Kamar, pelajar-pelajar Syariah dan undang-undang di universiti-universiti tempatan dan luar Negara, serta seluruh umat Islam ; “Taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu).”

Aidilfitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang bertakwa, setelah sebulan menahan lapar dan dahaga serta berjuang mengawal nafsu sepanjang Ramadhan. Aidilfitri juga adalah hari kesyukuran kerana kita kembali kepada fitrah kejadian manusia yang perlu makan dan minum di siang hari. Setelah melaksanakan ibadat puasa selama sebulan dengan sempurna, kita bukan sahaja mendapat rahmat malah mendapat keampunan daripada Allah dan pembebasan daripada api neraka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan semata-mata kerana Allah nescaya diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu" [HR Bukhari].

Oleh itu, setelah kita mendapat keampunan Allah s.w.t, maka sudah tentulah kita menjadi seperti kembali kepada fitrah, laksana bayi yang baru dilahirkan. Maka kemenangan dan kesyukuran ini tidak wajar sama sekali diraikan dengan membakar mercun atau bunga api, atau menyambutnya dengan melakukan amalan dan acara-acara yang sama sekali bercanggah Syarak, tetapi sambutan ini perlu diisi dengan pujian terhadap Allah s.w.t, melahirkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t dengan bertakbir dan bertahmid, dan bersifat ihsan kepada insan yang lain sebagai salah satu tanda kesyukuran itu.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Kita disyariatkan untuk melaungkan takbir bermula dari tenggelamnya matahari akhir Ramadan sehingga sejurus sebelum solat Aidilfitri didirikan, dengan suara yang nyaring secara beramai-ramai dan dengan penuh bersemangat. Firman Allah s.w.t : ”… dan juga supaya kamu mencukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), serta kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana telah mendapat pertunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur” – [al-Baqarah:185].

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan qiyamullail, maka semangat mengerjakan qiyam Ramadan haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan. Kita juga disunatkan menunaikan puasa 6 hari pada bulan Syawal.

Disunatkan mandi di pagi hari raya, sebelum solat Aidilfitri, sama ada bagi orang yang akan pergi menunaikan solat maupun tidak. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab : “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri."

Disunatkan memakai pakaian yang terbaik dan indah yang ada untuk pergi menunaikan solat Aidilfitri serta memakai wangi-wangian. Imam Syafie r.a berkata : Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian. [Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’i]

Disunatkan menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala prasangka atau andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata : Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” [HR al-Bukhari]

Disunatkan juga pergi menuju ke tempat solat Aidilfitri melalui satu jalan dan balik melalui jalan yang lain.

Memohon maaf dan memaafkan kesalahan orang lain adalah amalan amat mulia dan merupakan suatu tradisi yang patut dijadikan amalan. Ia mesti dilakukan dengan ikhlas, di samping membina keazaman untuk tidak mengulangi perbuatan salah yang boleh menyinggung, menghina dan menjadikan orang lain berkecil hati dengan sikap dan perbuatan kita.

Ziarah menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, bermaaf-maafan antara satu sama lain bermula dari orang yang paling hampir seperti ibu bapa, suami isteri anak-anak, kaum kerabat dan rakan dan taulan, dan banyakkan bersedekah kepada fakir dan miskin. Ziarah kita dengan anak-anak harus dapat memperkenalkan kepada mereka kaum keluarga lain.

Tazkirah ada di sekeliling kita. Apa sahaja yang mengembalikan ingatan kita kepada keesaan Allah s.w.t dan kekerdilan diri kita di sisi Allah s.w.t adalah suatu tazkirah. Menziarahi pusara sanak saudara yang telah meninggal dunia merupakan suatu tazkirah yang mengingatkan kita bahawa kita juga akan kembali kepada Allah s.w.t seperti mereka.

Menziarahi orang tua yang uzur, menginsafi diri kita bahawa kita juga akan tua. Bayangkan diri kita bakal menjadi seperti orang tua yang kita ziarahi. Ia memberikan kita keinsafan bahawa tidak ada sesuatu yang kekal di alam ini, melainkan Allah s.w.t.

Memberi sedekah kepada orang miskin, fakir dan anak yatim juga adalah satu tazkirah, mengingatkan kita bahawa kita perlu bersyukur dengan rezeki yang Allah s.w.t kurniakan, sentiasa membantu insan yang memerlukan, dan di dalam harta-harta yang kita perolehi sebenarnya ada hak insan yang kurang bernasib baik.

Rakan-rakan Peguam Syarie, serta seluruh umat Islam sekalian.
Janganlah kita rosakkan hari kemenangan selepas bergelut dengan cabaran hawa nafsu dengan menyerahkan diri dirasuk oleh pengaruh iblis dan syaitan semula.

Kebesaran Allah s.w.t yang dilafazkan dalam takbir dan tahmid di Aidilfitri adalah lambang perubahan diri untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan menghindarkan kemungkaran walaupun sedikit. Itulah natijah Ramadan yang kita lalui dan maksud Syawal yang bakal dirayakan.

Rakan-rakan Peguam Syarie sekalian.
Insya-Allah pada bulan September ini, PGSM akan mengadakan aktiviti-aktiviti berikut –

• Jumaat 14 September 2012, jam 12.00 tengahari hingga 3.30 petang - Majlis Sambutan Aidilfitri PGSM bertempat di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Jemputlah datang beramai-ramai. (Pengarah - Puan Noorafizah Abdul Aziz)
• Pada hari yang sama, jam 10.30 pagi - Pelancaran Klinik Guaman Syarie Percuma PGSM bertempat di Bilik Tauliah, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - Puan Shanizah Ngatiman)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari – Muzakarah Arahan Amalan JKSM-PGSM bertempat di Bilik Seminar, Tingkat 4 MSWP Kuala Lumpur. (Pengarah - TH Azmi Tan Sri Rais)
• Jumaat, 21 September, 2012, jam 3.00 petang – Kelas Tafaqquh bertempat di Pusat Gerakan PGSM, Seksyen 23, Shah Alam, Selangor. (Pengarah - Tn Mohd Azlin (Yup).
• Sabtu, 22 September, 2012 – Program Latihan Peguam Syarie YBGK-PGSM peringkat Negeri Sembilan. (Pengarah - Puan Suziyani Mat Jusoh)
• Jumaat, 28 September, 2012 – Lawatan HELWA ke Baitul Ehsan, Sabak Bernam. (Pengarah - Puan Noorafizah Abd Aziz)

Marilah sama-sama kita menghidupkan program yang dirancang ini. Boleh hubungi Sekretariat PGSM atau Pengarah program berkenaan, untuk maklumat lanjut.

Akhir kata, sekali lagi, saya mewakili semua pimpinan PGSM Sesi 2012-2015 mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri. Kepada yang pulang ke kampong, berhati-hati memandu dan berikan konsentrasi sepenuhnya kepada pemanduan. Semoga selamat tiba ke destinasi. Maafkan jika ada salah silap saya dan semua pimpinan di bawah saya, kemaafan zahir dan batin. Taqabbalullah minna waminka. Wallahu’alam.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

MUSA AWANG
Presiden PGSM
Sabtu, 18 Ogos 2012.

Wednesday, August 15, 2012

RAYA MASA SATUKAN MANGSA CERAI


Beri hak anak eratkan silaturrahim dengan ibubapa

Moeis Basri
Peguam Syarie Menulis
BH Rabu 15 Ogos 2012

Musim perayaan akan tiba lagi untuk tahun ini. Antara yang mungkin menjadi satu masaalah bagi mereka yang telah bercerai adalah keinginan untuk beraya bersama anak-anak. Bagi mereka yang bersama dengan anak-anak pastinya satu rasa yang gembira tetapi bagi mereka yang mungkin tahun ini bukan giliran mereka bersama dengan anak-anak pasti merasa kekurangan pada hari raya tahun ini tetapi boleh merancang untuk giliran tahun hadapannya.

Namun bagi mereka yang telah dinafikan hak untuk berhari raya bersama-sama dengan anak-anak sejak bertahun-tahun pasti merasa telah kehilangan sesuatu dan bagi mereka yang telah menghasut anak-anak supaya membenci ibu atau bapa anak-anak itu sendiri demi untuk menyakiti bekas pasangannya itu supaya anak-anak enggan mengikut bapa atau ibu mereka pada setiap perayaan pastinya adalah seorang yang telah mengalami sakit jiwa kronik kerana menafikan dan mengubah fitrah manusia. Sering kali penceraian tidak dapat dielakkan tetapi kita mampu mengelakkan kesan penceraian itu sampai kepada anak-anak.

Di dalam kehidupan dunia ini, seseorang manusia boleh memiliki banyak rumah atau kereta dan ramai adik beradik, isteri, suami dan saudara mara tetapi tidak akan ada lebih daripada seorang ibu dan seorang bapa kandung. Bermakna kedua-dua orang itu tidak boleh diganti. Hubungan darah dan keturunan seseorang anak dengan ibu bapanya juga tidak boleh dan tidak terputus dalam apa jua keadaan termasuk jika ibu bapanya bercerai dan hak jagaan anak tersebut diletakkan di bawah jagaan satu pihak sahaja daripada penceraian tersebut. Pihak yang satu lagi berhak kepada lawatan dan dalam keadaan yang tiada mudarat, hak untuk bermalam bersama anak tersebut.

Di dalam hukum syarak, seorang ibu lebih berhak terhadap penjagaan seorang anak yang masih kecil dan belum mumaiyiz, iaitu belum mencapai umur yang berakal yang mampu membuat pilihan. Maksud hadith:-

“Daripada Omar bin Shuib dari bapanya bahawa datuknya Abdullah bin Omar berkata maksudnya bahawa seorang perempuan berkata ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya bagi anak laki-lakiku ini perutkulah yang mengandungnya, tetek saya menyusuinya dan pangkuan saya tempat perlindungannya. Tetapi tiba-tiba ayahnya merasa berhak mengambilnya dariku’. Maka sabda Nabi,’Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum berkahwin lagi’.”

Di dalam seksyen 81 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga telah mengkanunkan bahawa ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan.

Namun, pokok dan tujuan hak jagaan atau kadang kala disebut “hadanah” dalam perbicaraan, ialah kebajikan anak tersebut. Hak kebajikan anak tersebut melebihi hak seseorang yang berhak kepada penjagaan tadi. Syed Sabiq dalam kitabnya Fiqhul Sunnah di juzuk 8 telah menyatakan yang bermaksud:-

“…sesungguhnya setiap yang menjaga dan yang dijaga (anak) mempunyai hak dalam pemeliharaan tetapi yang dijaga lebih kuat dari hak yang menjaga”.

Seksyen 86 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga memperuntukkan kuasa yang luas kepada Mahkamah untuk membuat perintah meletakkan hak jagaan anak dan pertimbangan yang diberi keutamaan ialah kebajikan anak. Dalam keadaan tertentu, demi untuk menjaga kebajikan anak tersebut juga Mahkamah boleh meletakkan anak tersebut di bawah jagaan mana-mana persatuan atau badan kebajikan yang berkaitan walaupun ibu dan bapanya masih hidup. Begitulah Islam amat menitik beratkan kebajikan dan melindungi anak yang masih kecil dan belum dewasa.

Di dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 juga telah menggariskan bahawa seseorang yang berhak kepada hak penjagaan mesti memenuhi syarat kelayakan sebagai penjaga iaitu seseorang penjaga itu mestilah seorang Islam, sempurna akal, menacapai umur dewasa yang mampu memberi jagaan dan kasih sayang, baik dari segi akhlak Islamiyah serta mempunyai tempat tinggal yang tidak mendatangkan mudarat dari segi akhlak atau jasmani kepada kanak-akank tersebut.

Kelayakan ini dan hak jagaan yang boleh diperolehi oleh seseorang bukan perlu dibuktikan pada masa perbicaraan permohonan hak jagaan sahaja, malahan pada setiap masa jika kelayakan seseorang penjaga itu hilang atau wujud keadaan yang menjadikannya tidak layak menjadi penjaga atau timbul pada masa kemudian hari keadaan yang menyebabkan kebajikan anak tersebut terjejas atau terabai, Mahkamah boleh atas permohonan pihak yang berkaitan, mengubah hak jagaan yang telah diberi sebelumnya tertakluk kepada peraturan undang-undang dan tatacara Mahkamah yang berkuatkuasa.

Undang-Undang Keluarga Islam yang berkenaan di Wilayah Persekutuan juga telah menggariskan bahawa dalam keadaan biasa, seorang ibu adalah diberi keutamaan dalam hak untuk menjaga anak yang masih kecil namun dalam masa yang sama ia juga menggariskan keadaan yang boleh menjadikan hak penjagaan hilang iaitu a) jika perempuan tersebut berkahwin dengan seorang yang tidak mahram dengan anak tersebut dan menjejaskan kebajikan anak tersebut; b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara terbuka; c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan mencegah bapa kepada anak tersebut menjalankan pemantauan terhadap anak tersebut; d) jika dia murtad; e) jika perempuan itu mencuaikan atau mengainaya anak tersebut.

Dalam keadaan anak tersebut telah mencapai umur mumaiyiz iaitu mencapai umur yang berakal dan mampu membuat pilihan (di dalam undang-undang terpakai menyatakan umur 7 tahun bagi kanak-kanak lelaki dan 9 tahun bagi kanak-kanak perempuan), kanak-kanak tersebut boleh membuat pilihan untuk tinggal dengan penjaga pilihannya. Berdasarkan hadith yang bermaksud:-

“Dari Abi Maimun bahawa Abu Hurairah telah berkata maksudnya seorang perempuan dating kepada Rasulullah (saw) katanya ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya suamiku mahu membawa anakku pergi padahal dialah yang mengambil air untukku dari sumur Abi Unbah dan ianya berguna sangat sekali bagiku’. Maka Rasulullah (saw) bersabda ‘ini ayahmu dan ini ibumu. Pilihlah mana yang engkau sukai. Lalu anak tersebut memilih ibunya, lalu ibunya pergi membawa anaknya” (Sunan Abu Daud)

Walaupun begitu hukum asasnya, Mahkamah tidak terikat sepenuhnya kepada pilihan anak kerana dalam menentukan hak jagaan ini, Mahkamah mempunyai kuasa yang luas dengan mengambil kira kehendak ibu bapa dan kehendak kanak-kanak yang menjadi perkara subjek tetapi perkara utama untuk diberi pertimbangan ialah kebajikan kanak-kanak tersebut.

Demikianlah juga seandainya terdapat apa-apa perubahan keadaan yang menimbulkan masalah kebajikan kanak-kanak tersebut, Mahkamah boleh mengubah perintah hak jagaan anak tersebut.

Walaubagaimanapun, keadaan yang paling baik sekali untuk kanak-kanak tersebut ialah walaupun ibu dan bapanya telah bercerai, kedua-duanya masih berkerjasama untuk memberi kebajikan dan berkerjasama membesarkan kanak-anak tersebut dengan cara yang baik dan elok. Pasangan yang bercerai dinasihati supaya mengelakkan sebarang pertelingkahan antara mereka menjejaskan kebajikan, emosi dan seterusnya masa membesar anak-anak mereka.

Semoga hari lebaran yang bakal menjelma dijadikan titik permulaan untuk bermaaf-maafan dan walaupun mungkin kita sudah tidak dapat menerima semula bekas pasangan hidup kita tetapi demi kebajikan dan kesempurnaan hidup anak-anak dari hasil perkahwinan tersebut, kedua-dua pasangan seharusnya berkerjasama menjaga dan membesarkan anak-anak mereka.