Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Melantik Peguam Syarie



Bila Anda Perlu Berjumpa Seorang Peguam Syarie

Pada amnya anda mungkin perlu berjumpa peguam untuk :

* Mendapatkan nasihat tentang masalah bersifat undang-undang
* Mewakili anda di Mahkamah, jika perlu
* Membantu mengendalikan hak anda di sisi undang-undang

Oleh itu, anda mungkin ingin berjumpa dengan seorang peguam khususnya:-

- Jika anda didakwa melakukan jenayah dan ingin mendapatkan nasihat mengenai pembelaan anda dan juga untuk mewakili anda di Mahkamah
- Jika anda ingin membuat tuntutan terhadap pihak lain, anda boleh meminta peguam membantu anda membuat tuntutan dan mewakili anda di Mahkamah
- Jika pihak lain membuat tuntutan yang tidak adil terhadap anda, anda mungkin memerlukan bantuan peguam untuk membela anda


Perkhidmatan Yang Diberi Oleh Peguam Syarie

Peguam Syarie boleh memberi anda pelbagai perkhidmatan yang penting dan berguna. Antara perkhidmatan yang diberi oleh Peguam Syarie ialah:-

* Bila anda menghadapi masalah dengan suami/isteri, peguam boleh menasihati anda tentang undang-undang perceraian, pembubaran perkahwinan, nafkah isteri, nafkah anak.
* Bila anda ingin menyelesaikan pertikaian tentang perebutan hak penjagaan anak, hak lawatan, hak bermalam, hak semasa hari raya dll.
* Bila anda ingin menyelesaikan pembahagian harta sepencarian selepas berlaku perceraian, atau apabila suami anda berkahwin lain (berpoligami), seperti rumah,kereta, wang simpanan, syarikat, saham dll. Peguam boleh memberi nasihat tentang prosedur yang terlibat, memeriksa semua dokumen bagi pihak anda dsbg. .
* Jika anda menghadapi masalah mengesahkan dan mendaftarkan perkahwinan tak legal anda, anda boleh berjumpa dengan Peguam Syarie untuk memperolehi nasihat atau mewakili anda di Mahkamah, jika perlu.
* Apabila salah seorang ahli keluarga meninggal, bantuan peguam syarie boleh diperolehi untuk membuat permohonan kepada Mahkamah supaya harta pusaka simati boleh dikendalikan, memperolehi sijil faraid, surat kuasa mentadbir dsbg.

Anda Mungkin Ingin Meminta Nasihat Seorang Peguam:

* Untuk membuat wasiat supaya harta anda dibahagikan mengikut kehendak anda selepas kematian.
* Membuat Perjanjian Hibah supaya harta anda diserahkan kepada seseorang yang berhak mengikut kehendak anda.
Untuk menukar nama.
* Untuk mengetahui hak anda di sisi undang-undang dalam sesuatu perkara


Bagaimana Mencari Seorang Peguam

Peguam tidak dibenarkan mengiklan tetapi PGSM mempunyai senarai nama, alamat dan maklumat lain yang relevan tentang semua peguam syarie yang beramal di Malaysia, yang berdaftar dengan PGSM.

Anda DINASIHATKAN mendapatkan nasihat dan khidmat daripada Peguam Syarie yang berdaftar dengan PGSM kerana Peguam Syarie yang menjadi ahli PGSM adalah di bawah pemantauan secara langsung PGSM berbanding Peguam Syarie yang bukan menjadi ahli PGSM. Sekiranya berlaku sebarang aduan tentang peguam berkenaan, PGSM boleh mengambil tindakan terhadap ahlinya termasuk mencari jalan penyelesaian terbaik antara pengadu dan ahli PGSM tersebut.

Anda boleh bertanya sendiri kepada Peguam Syarie yang anda temui tersebut samada beliau menjadi ahli PGSM atau tidak. Anda juga boleh mengenalpasti ahli PGSM dengan melihat Sticker Ahli PGSM di pintu pejabat peguam berkenaan atau pada kad namanya.

Anda juga boleh memilih seorang peguam syarie menerusi cadangan kawan, rakan kerja dan saudara-mara.


Berjumpa Dengan Peguam

Jika hubungan kali pertama anda dengan seorang peguam syarie adalah menerusi panggilan telefon, anda harus memberitahunya sebab anda menghubungi dan terus membuat temujanji. Anda juga boleh bertanya berapakah bayaran yang dikenakan untuk Sesi Konsultasi tersebut supaya anda boleh bersedia.

Pada perjumpaan nanti bawa bersama-sama anda segala dokumen relevan dan maklumkan kepada peguam semua maklumat yang perlu. Adalah lebih baik jika anda mencatat semua soalan yang hendak ditanya kepada peguam tersebut.

Jangan rasa takut untuk bertanya soalan. Jika ingin, anda juga boleh bertanya kepada peguam tentang banyaknya kerja yang terlibat dan jangka masa kes.


Yuran Guaman

Yuran yang perlu dibayar biasanya berdasarkan berapa banyak kerja yang telah dibuat bagi pihak anda, masa yang diambil serta kesukaran kerja yang terlibat.

Adalah biasa bagi peguam meminta bayaran cengkeram sebelum memulakan kerja bagi pihak anda.

Sila bincang secara bebas bersama peguam anda tentang bayaran yuran. Ini adalah untuk mengelakkan salah faham. Anda juga dinasihatkan untuk mendapatkan sebutharga atau Wa'ad secara bertulis daripada Peguam Syarie tersebut. Sekiranya anda tidak puas hati dengan yuran yang dikenakan, berbincanglah dahulu dengan peguam anda.


Bantuan Guaman

Jika anda perlu berjumpa dengan peguam tetapi tidak mampu membayar yurannya, bantuan boleh diperolehi dari Biro Bantuan Guaman Kerajaan yang mempunyai pejabat-pejabat di semua bandaraya dan bandar utama di Malaysia.

Biro Bantuan Guaman memberi bantuan dalam kebanyakan perkara untuk mereka yang layak kecuali representasi bagi kes-kes jenayah.

Bagi kes-kes jenayah yang melibatkan warganegara, anda boleh menghubungi Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sekiranya anda ingin mendapatkan nasihat guaman secara secara percuma, PGSM ada membuka Klinik Guaman Syarie (KGS) pada setiap Jumaat minggu pertama dan minggu keempat. Khidmat nasihat diberikan secara percuma oleh sukarelawan PGSM yang juga merupakan Peguam Syarie.

Anda boleh hubungi nombot telefon yang tertera di bawah -

atau hubungi Tel:03-6205 7000 sambungan 184 untuk tetapkan temujanji bagi Klinik tersebut.



Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)




PGSM adalah sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan Peguam Syarie seluruh negara. PGSM banyak terlibat dan mempunyai hubungan baik dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri-negeri, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri dll agensi, bertujuan mengawal kelakuan professional yang harus dipatuhi oleh peguam syarie. Sekiranya anda tidak puas hati dengan perkhidmatan peguam syarie anda, anda harus cuba menyelesaikan dengan peguam anda terlebih dahulu kerana masalah itu mungkin kerana salah faham atau putus komunikasi. Sekiranya ini tidak berhasil, anda bolehlah menulis surat kepada PGSM untuk dipanjangkan kepada mana-mana pihak yang berkenaan, menurut saluran yang betul.

Alamat PGSM adalah:

Sekretariat
Persatuan Peguam Syarie Malaysia
d/a Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan,
Tel:03-6205 7000 sambungan 184.
Faks : 03-55114391 (Presiden). 03-78771310 (Timb.Presiden).
E-mail: sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment