Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Monday, July 14, 2014

Pendekatan nabi bantu gelandangan


Harian Metro, Selasa 8 Julai 2014

Di zaman Rasulullah SAW, semasa Baginda sedang berkumpul dengan para sahabat, datang seorang pengemis meminta-minta. Melihat kehadiran pengemis itu, Rasulullah lantas bertanya, "Apakah kamu mempunyai sesuatu di rumahmu?" Pengemis itu menjawab, "Tentu, saya mempunyai pakaian yang biasa dipakai sehari-hari dan sebuah cangkir." Rasulullah SAW lalu meminta pengemis itu mengambil barang-barang tersebut dan serahkan kepada Baginda.

Pengemis itu terus bergegas pulang ke rumah dan kembali dengan membawa cangkir. Rasulullah SAW mengambil cangkir itu dan menawarkannya kepada para sahabat yang ada. "Adakah di antara kalian yang ingin membeli ini?" Salah seorang sahabat sanggup membeli cangkir itu dengan harga dua dirham.

Rasulullah kemudian memberikan dua dirham yang dibayar oleh sahabat itu kepada si pengemis. Rasul berpesan kepada si pengemis itu agar menggunakan wang itu untuk membeli makanan buat keluarganya, dan baki digunakan untuk membeli kapak. "(Dengan kapak itu) Carilah kayu yang banyak dan juallah. Selama dua minggu ini aku tidak ingin melihatmu," sabda Rasulullah SAW.

Dua minggu kemudian, pengemis itu datang lagi menghadap Rasulullah SAW. Kali ini tidak untuk mengemis, tetapi dengan membawa wang 10 dirham hasil dari jualan kayu. Rasulullah SAW kemudian menyuruhnya untuk membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya dengan wang itu.

Rasulullah bersabda, "Hal ini lebih baik bagi kamu, kerana meminta-meminta hanya akan membuat noda di wajahmu di akhirat nanti. Tidak layak bagi seseorang meminta-minta kecuali dalam tiga hal, fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak bisa terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang tidak boleh berusaha."

Riwayat ini menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW membantu pengemis atau gelandangan yang masih mempunyai keupayaan dan sihat, dengan menunjukkan cara bagaimana orang itu boleh berusaha dan hidup berdikari, bukan dengan memberikan wang atau makanan percuma. Rasulullah SAW telah lama memberikan panduan kepada kita dalam menangani masalah pengemis dan gelandangan ini.

Gelandangan mungkin berbeza dengan pengemis. Gelandangan ialah orang-orang yang hidup dalam keadaan tidak sesuai dengan norma kehidupan yang layak dalam masyarakat setempat, serta tidak mempunyai tempat tinggal dan pekerjaan yang tetap di wilayah tertentu dan hidup mengembara di tempat umum. Sedangkan, pengemis adalah orang-orang yang mendapatkan penghasilan dengan meminta-minta di muka umum dengan pelbagai cara dan alasan untuk mengharapkan belas kasihan dari orang lain.

Pada 2011, nasib golongan gelandangan dibela menerusi projek perintis Pusat Intervensi Anjung Singgah di ibu negara. Lebih 100 gelandangan mengunjungi pusat ini untuk mendapatkan makanan percuma bernilai 13 ringgit yang disajikan, bermula 12 tengah hari hingga 1.30 petang. Mereka juga diberikan tempat menginap sementara untuk selama dua minggu, sebelum memperolehi pekerjaan.

Agak terkejut dan pelik dengan pengumuman terbaru Kementerian Wilayah Persekutuan mengehadkan aktiviti pemberian bantuan dan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hanya boleh dilakukan dalam lingkungan dua kilometer dari pusat bandar, dengan tujuan menghalang golongan gelandangan sewenang-wenangnya menjadikan kaki lima ibu kota sebagai tempat tinggal mereka sekali gus mengundang imej buruk terhadap bandar raya ini. Pihak kementerian tidak mahu golongan gelandangan hanya mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak dan tidak mahu bekerja sedangkan mereka mempunyai tubuh badan yang sihat dan mampu untuk bekerja.

Ya, benar kita mahukan sebuah bandaraya yang bebas dari golongan pengemis dan gelandangan. Kita semua mahu begitu, bukan kementerian sahaja. Namun adakah langkah itu akan menyelesaikan isu gelandangan? Tidakkah ia akan membiakkan masalah gelandangan baharu, di tempat yang lain? Umpama menyapu sampah di atas lantai rumah tetapi sampah disorok di bawah karpet.

Golongan gelandangan yang memenuhi bandaraya Kuala Lumpur bukan sahaja golongan yang terlantar dan tidak mempunyai pekerjaan, tetapi juga golongan yang benar-benar susah, golongan yang ditinggalkan kerana tua dan berpenyakit kronik, golongan tua, wanita dan kanak-kanak pengemis yang didalangi sindiket, golongan imigran dan golongan penagih. Apa pula langkah kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah golongan-golongan ini?

Peranan kolektif institusi zakat juga boleh membantu menyelesaikan masalah ini. Golongan fakir, miskin, dibawah belenggu perhambaan (Fir Riqab), orang-orang berhutang (Al-Gharimin), dan orang-orang bermusafir yang terlantar (Ibnu Sabil) adalah antara asnaf-asnaf yang berhak menerima zakat.

Fir Riqab pada dasarnya bererti membebaskan atau menamatkan seseorang itu daripada amalan perhambaan. Amalan perhambaan dalam konteks tradisi sudah tiada. Namun takrif Ar Riqab ini boleh diperluaskan lagi kepada segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada pada hari ini, seperti cengkaman sindiket golongan-golongan berkuasa ke atas golongan yang lemah yang dipaksa mengemis, dan sebagainya.

Masalah gelandangan, jika tidak ditangani dengan metod dan solusi yang betul, ia akan menjadi lebih membiak dan parah. Beberapa hari selepas pengumuman langkah kerajaan tersebut, beberapa pengemis dan gelandangan sudah mula kelihatan di lampu-lampu isyarat dan beberapa premis di bandar Shah Alam. Tidak mustahil akan merebak pula ke Bandar-bandar lain. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Sekretariatpgsm@yahoo.com

Penguatkuasa agama bawa imej Islam


Oleh Musa Awang

Kontroversi lagi melibatkan penguatkuasa agama. Kali ini isu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid yang dijalankan di sebuah kuil di Petaling Jaya yang dikatakan melanggar Peruntukan Seksyen 4 Enakmen Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Seksyen 4 ialah berkenaan kesalahan memujuk, mempengaruhi, atau menghasut orang berugama Islam supaya mengubah keimanan. Seksyen 4 berbunyi - (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang berugama Islam - (a) supaya cenderong kepada mana-mana ugama bukan Islam; atau (b) supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana ugama bukan Islam; atau (c) supaya meninggalkan atau tidak suka kepada ugama Islam. Kesalahan ini jika disabitkan, pesalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.

Menurut laporan, JAIS mendakwa pengantin perempuan dalam upacara itu beragama Islam, tetapi wanita berkenaan menafikannya dan berkata bapanya menukar agamanya kepada Islam tanpa pengetahuan keluarganya. Hanya nama dan status dalam sijil kelahiran kad pengenalan sahaja dicatatkan sebagai Islam. Zarina berkata ibunya S Vasandamma merupakan seorang Hindu, seperti juga bapanya, S Mahendran ketika pasangan itu berkahwin pada tahun 1980. Bapanya telah menukar nama kepada Abdullah Majid apabila memeluk Islam selepas itu, namun ibunya kekal beragama Hindu. Bapanya bagaimanapun meninggalkan mereka pada 1990 dan beliau dibesarkan oleh ibunya yang kekal beragama Hindu.

Tidak dinafikan, menjadi sesuatu yang memalukan dan akan menimbulkan kemarahan apabila seseorang disiasat pihak berkuasa semasa melangsungkan majlis perkahwinan, boleh menimbulkan tandatanya di kalangan ahli keluarga, sahabat handai dan tetamu yang hadir, malah boleh menyebabkan majlis tersebut tergendala.

Walaubagaimanapun, penulis percaya bahawa tindakan pegawai JAIS adalah berdasarkan maklumat serta bersumberkan kuasa yang diberikan oleh Enakmen tersebut. Sesuai dengan peranan JAIS untuk menjaga kepentingan agama Islam dan penganut agama Islam di negeri itu. JAIS berhak untuk menjalankan siasatan apabila disyaki berlaku suatu kejadian jenayah di sesuatu lokasi. Dari segi locus, JAIS masih berbidangkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil keterangan wanita itu, kerana dari segi status quo wanita itu masih sebagai seorang beragama Islam, sehinggalah dibuktikan sebaliknya.

Langkah siasatan yang dilakukan di suatu majlis keramaian atau perhimpunan yang sudah pasti dihadiri ramai orang ini menarik untuk diteliti, diamati, diperhalusi untuk dijadikan panduan pada masa-masa akan datang. Beberapa perkara sepatutnya diberi perhatian, kerana tindakan yang tidak wajar akan mengundang tohmahan kepada Islam.

Penguatkuasa agama bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang Syariah, tetapi juga membawa sekali imej Islam pada sebarang tindakannya. Manakah nilaian yang lebih baik untuk menjaga imej Islam semasa menjalankan penguatkuasaan, sepatutnya diberi perhatian terutama apabila melibatkan bukan Islam. Bertindak ketika majlis berlangsung atau menunggu setelah majlis selesai? Adakah jika siasatan dibuat setelah majlis selesai akan menghilangkan bukti atau menyebabkan kesalahan boleh menjadi tidak berlaku?

Allah SWT telah menggariskan beberapa pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh seorang Islam dalam berurusan dengan bukan Islam berhubung soal agama. Firman Allah SWT yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik ; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” [Surah an-Nahl : 125]

Penguatkuasa undang-undang Syariah bukan sahaja memikul tugas sebagai seorang penguatkuasa, tetapi pada masa adalah seorang dai’e yakni seorang mubaligh yang menyampaikan mesej kepada masyarakat bukan Islam tentang keindahan dan kesyumulan Islam. Allah SWT telah menegaskan bahawasanya tugas kita hanyalah menyampaikan kepada mereka petunjuk, tetapi hanya Allah SWT jualah yang akan memberikan petunjuk yakni hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Petunjuk yang hendak disampaikan bukan sahaja dengan jalan dakwah bil lisan (lidah), bil mal (harta), bil kutub (penulisan), tetapi juga dengan cara dakwah bil hal, yakni dengan tingkah laku, akhlak dan tauladan yang baik yang akan menjadi cerminan terbaik kepada masyarakat bukan Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” [Surah al-Baqarah: 272]

Islam dan Muslim adalah dua subjek nilai yang berbeza. Islam merujuk kepada satu cara hidup yang terbaik yang dianjurkan oleh Allah SWT yang dijamin sesuai dengan fitrah manusia pada setiap zaman. Pada Islam berdirinya prinsip-prinsip yang menjadi pegangan kepada manusia yang mengimaninya dan golongan manusia inilah yang diistilahkan sebagai Muslim.

Malangnya berlaku pada hari ini, apa yang sampai kepada orang bukan Islam adalah mesej-mesej tentang Muslim, bukannya mesej-mesej tentang Islam. Kesilapan, kecuaian dan ketidaksempurnaan dilakukan oleh seseorang Muslim, tetapi Islam yang menerima hukuman. Justeru, tidak adil untuk Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna itu dihukum atas ketidaksempurnaan atau kegagalan penganutnya dalam menghayati norma-norma yang dianjurkan dalam Islam.

Hikmah daripada insiden ini, membolehkan kita mencari suatu kaedah yang lebih sesuai tentang bagaimana kita hendak menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh undang-undang, boleh diterima oleh anggota masyarakat tanpa sebarang protes. Kerana sepatutnya seseorang Islam itu tidak akan dipatuk ular dari lubang yang sama sebanyak dua kali. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

Merungkai status orang hilang


Harian Metro, Khamis 3 Julai 2014

Oleh Musa Awang

Kehilangan pesawat MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal sejak 8 Mac 2014 lalu, belum ada kepastian sehingga sekarang, walaupun lebih 100 hari telah berlalu. Kehilangan itu akan lebih terasa lebih-lebih lagi dalam suasana keluarga mangsa tragedi hendak menyambut lebaran dan sebagainya.

Di kalangan penumpang dan anak kapal penerbangan tersebut, ada sebahagiannya beragama Islam yang mempunyai harta dan keluarga. Masih timbul persoalan mengenai status penumpang atau anak kapal tersebut. Adakah hilang itu dianggap sebagai telah mati? Bagaimana status perkahwinan mereka? Adakah harta mereka sudah boleh dibahagikan kepada waris? Bilakah orang hilang ini akan diiktiraf mati? Dan pelbagai lagi persoalan lain.

Matinya seseorang akan memberi implikasi yang besar kepada status perkahwinan, pembahagian harta, jika ada wasiat dan lain-lain. Maka, orang yang hilang yakni yang tidak dapat dipastikan samada hidup atau mati juga perlu diketahui statusnya untuk menentukan perkara-perkara tersebut supaya tidak menjadi pertikaian berpanjangan di kalangan ahli waris. Orang hilang atau al-Mafqud dinilai berdasarkan tiga perkara, iaitu orang tersebut tidak diketahui tempatnya, tidak diketahui situasinya hidup atau mati dan berlalu suatu tempoh zaman.

Ulamak fiqh telah bersepakat bahawa hukum asal ke atas orang yang berada dalam situasi al-Mafqud adalah diiktiraf sebagai orang yang masih hidup. Maka pasangannya akan kekal diiktiraf sebagai status berkahwin dengannya, hartanya tidak akan dibahagi dan tidak perlu dilakukan solat jenazah ghaib keatasnya kerana dia diiktiraf sebagai masih hidup walaupun mafqud (hilang).

Hubungan perkahwinan dan pemilikan harta itu berlaku secara pasti (yakin), maka hanya perkara pasti (yakin) sahaja yang boleh mengubah status asal perkara tersebut. Orang yang hilang berada dalam situasi tidak pasti (syak) iaitu tidak pasti samada dia hidup atau mati, maka perkara syak tidak boleh mengubah perkara yang pasti (yakin).

Dalam menentukan samada orang Islam yang masih hilang atau diiktiraf mati memerlukan kepada keputusan hakim. Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk menentukan kematian krew dan penumpang beragama Islam tersebut seperti peruntukan Seksyen 53 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa untuk mengeluarkan suatu perakuan menganggap seseorang suami telah mati dalam keadaan suami tersebut dipercayai telah mati atau telah tidak didengar khabar berita mengenainya selama tempoh empat tahun atau lebih, bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula. Atas permohonan isteri, Mahkamah juga boleh membuat perintah bagi pembubaran perkahwinan atau fasakh sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 52 Akta yang sama.

Untuk menentukan seseorang suami yang hilang tanpa khabar berita sebagai telah mati, maka seorang isteri perlulah menunggu selama tempoh empat tahun, kerana itu adalah ijtihad para ulamak terdahulu dan ia telah dikanunkan sebagai ketetapan undang-undang. Tempoh tersebut lebih munasabah dan lebih singkat berbanding tempoh tujuh tahun yang diperuntukkan dalam Akta Keterangan 1950.

Walaubagaimanapun, orang yang hilang boleh dinilai sebagai orang mati oleh hakim dengan melihat bukti-bukti yang sah disisi syarak akan kematiannya dan bukti tersebut diiktiraf oleh hakim. Orang tersebut masih boleh diisytihar sebagai telah mati walaupon tempoh menunggu yang munasabah belum lagi sempurna.

Sekiranya tidak terdapat bukti kukuh, maka diambilkira dengan berlalunya suatu tempoh menunggu yang munasabah bahawa orang tersebut telah mati. Maka apabila habis tempoh tersebut dalam keadaan tidak dijumpai sebarang bukti yang sah, hakim boleh mengiktirafkannya sebagai mati.

Walaupun peruntukan secara tersuratnya menyatakan kuasa Hakim untuk mengeluarkan perakuan kematian bagi maksud untuk membolehkan si isteri berkahwin semula, akan tetapi secara tersiratnya perakuan yang dikeluarkan oleh mahkamah tersebut memberi implikasi kepada status perkahwinan (penceraian), wasiat, pembahagian harta warisan dan lain-lain.

Pada masa yang sama, jika seseorang isteri tidak memohon anggapan kematian tetapi berhajat memohon perceraian, maka isteri boleh memohon perceraian secara fasakh di bawah Akta yang sama. Alasan suami ghaib atau tidak diketahui tempat suaminya berada selama tempoh lebih daripada satu tahun; atau atas alasan suami telah cuai atau tidak mengadakan peruntukan nafkah zahir isteri selama tempoh tiga bulan ; atau suami telah tidak menunaikan kewajipan nafkah batin tanpa sebab yang munasabah, selama tempoh satu tahun boleh dijadikan sebab untuk memohon perceraian secara fasakh.

Perintah memfasakhkan perkahwinan yang dikeluarkan oleh mahkamah akan memberikan implikasi kepada perkahwinan (perceraian), tuntutan harta sepencarian, nafkah iddah dan mutaah, tetapi tidak terhadap pembahagian harta warisan atau wasiat si suami.

Kehilangan suami tanpa sebarang khabar berita dan kepastian boleh menjadi beban ke atas isteri yang terpaksa mengambilalih tugas sebagai ketua keluarga. Pada masa sama ia mampu mengundang pelbagai fitnah kepada si isteri. Maka Islam memberikan jalan tengah dan memberikan keringanan kepada si isteri dengan memberikan kuasa kepada Hakim Syarie untuk menghukumkan perpisahan (fasakh) antara keduanya. Ini bagi memberikan peluang kepada si isteri untuk memulakan kehidupan yang baru. Wallahu’alam.

- Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. E-mail : sekretariatpgsm@yahoo.com

Mahkamah Syariah beri keadilan kepada bukan Islam


Harian Metro, 17 Jun 2014

Oleh Musa Awang

Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) sebelum itu memfailkan permohonan bagi mengesahkan status agama Teoh yang didakwa memeluk Islam 17 tahun lalu, serta menggunakan nama Islam Nora Teoh Abdullah.

Teoh, seorang ibu berusia 38 tahun meninggal dunia di pangsapurinya di Jalan Macallum. Majlis pengebumian Teoh bagaimanapun terhenti apabila pegawai Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) hadir di pangsapurinya bagi ‘menuntut’ mayat si mati. Dalam penghakimannya, Zaim mengarahkan pihak yang menyimpan mayat Teoh supaya menyerahkannya kepada ahli keluarga Teoh serta meminta pihak polis membantu dalam urusan itu.

Beliau turut membenarkan keluarga Teoh mengambil mayat itu untuk melaksanakan upacara pengebumian mengikut kepercayaan agama mereka.

Beberapa perkara dapat diulas dan disimpulkan daripada penghakiman itu. Pertamanya, penghakiman itu membuktikan bahawa masyarakat bukan Islam turut mendapat keadilan daripada Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tetap diberi hak untuk hadir memberikan keterangan di hadapan Mahkamah Syariah, dengan tujuan untuk mencari keadilan.

Ini jelas diperuntukkan dalam Seksyen 83 (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Pulau Pinang 2004 yang berbunyi “Seorang yang bukan Islam adalah kompeten untuk memberikan bayyinah untuk orang Islam jika keterangannya boleh diterima mengikut Hukum Syarak.” Bayyinah menurut tafsiran dalam enakmen itu ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah. Maksudnya apa saja keterangan yang boleh membuktikan sesuatu hak boleh diterima oleh Mahkamah Syariah, meskipun keterangan itu diberikan oleh bukan Islam. Peruntukan seumpama ini juga terdapat dalam undang-undang keterangan Mahkamah Syariah di negeri lain. Dalam kes ini, beberapa orang teman rapat, keluarga serta anak sulung si mati yang bukan beragama Islam dipanggil memberikan keterangan di hadapan mahkamah, iaitu mereka memberitahu Teoh tidak mengamalkan cara hidup sebagai seorang yang beragama Islam.

Anak sulung si mati, saksi keempat memaklumkan kali terakhir mereka bersembahyang mengikut ajaran Buddha pada bulan lalu sebelum kematian Teoh. Penghakiman kes ini suatu tamparan kepada suara sumbang yang meminta sistem perundangan Mahkamah Syariah dikaji semula dan yang mendakwa bukan Islam tidak mendapat keadilan sekiranya kes didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Syariah, terutama apabila membabitkan satu daripada pihak bukan Islam. Ternyata mereka ini tidak mendapat kefahaman sebenarnya atau sengaja tidak mahu memahami.

Ini bukanlah kali pertama keputusan seumpama itu. Pada 2006, Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pernah memutuskan bahawa Nyonya Tahir, wanita Melayu beragama Islam tetapi didakwa mengamalkan cara hidup orang Cina dan ajaran Buddha sejak lebih 80 tahun lalu, bukan beragama Islam ketika kematiannya, dan membenarkan mayat diserahkan kepada keluarganya untuk disemadikan mengikut agama Buddha.

Keputusan itu juga antara lain, dibuat selepas mengambil keterangan dua anak si mati yang bukan beragama Islam yang hadir di mahkamah.

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian ialah proses pemelukan Islam perlu diteliti semula dan dikemas kini. Dalam penghakiman kes itu, Hakim berkata, berdasarkan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah ketika perbicaraan, terdapat keraguan dalam borang permohonan kemasukan Islam si mati yang mengandungi tiga tarikh berbeza.

Berdasarkan dokumen berkenaan, pihak MAIPP tidak berjaya membuktikan bahawa si mati sempurna memeluk Islam, selain proses permohonan si mati tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) JAIPP.

Maka, penghakiman kes ini boleh dijadikan titik tolak untuk kembali bermuhasabah diri, meneliti dan mengkaji semula proses pemelukan Islam, supaya perkara sama tidak berulang pada saudara baru yang lain pada masa akan datang. Sehingga kini, belum ada proses pendaftaran saudara baru yang seragam untuk seluruh negara. Seseorang yang masuk Islam di Pulau Pinang, rekodnya hanya ada di Pulau Pinang.

Jika dia berpindah ke negeri lain, maka dia tidak akan mendapat sebarang bantuan susulan di negeri baru itu, melainkan dia mendaftarkan semula di situ. Sudah sampai masanya satu sistem elektronik yang seragam dan boleh diakses bagi seluruh negara diperkenalkan. Dan perkara ketiga, perlu dilakukan penilaian semula terhadap usaha tarbiyah yang berterusan kepada saudara baru. Dalam penghakiman kes itu, Zaim menyatakan bahawa tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan si mati pernah hadir ke JAIPP untuk mendalami agama Islam selepas proses permohonan untuk memeluk agama Islam. Penegasan itu menimbulkan persoalan sejauh manakah usaha komprehensif dijalankan untuk mentarbiyah dan memberi pendidikan berterusan kepada saudara baru ini? Adakah saudara baru diwajibkan mengikut kelas terbabit atau secara pilihan dan sukarela saja? Maka, suatu inisiatif perlu dicari bagi memperkasakan lagi program dan perancangan dakwah terhadap golongan saudara baru di semua peringkat. Pada masa sama mendekati orang bukan Islam dengan pendekatan dan saluran yang strategik serta sistematik, termasuklah menyatukan tenaga daripada kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan agensi kerajaan.

Perhatian dan bimbingan perlu diberi kepada setiap saudara baru bermula dari masa pengislaman sehingga mereka meninggal dunia.

Kadang-kadang saudara baru ini terpaksa berpindah ke tempat lain untuk memulakan hidup baru atau melarikan diri daripada provokasi akibat tentangan keluarga. Akibat sistem pendaftaran yang tidak sistematik dan seragam seluruh negara, kadang-kadang mereka terpinggir mendapat pembelaan dan pendidikan susulan yang berterusan selepas memeluk Islam. Akibatnya, ada segelintir yang berpatah balik kepada agama asal, walaupun nama sudah bertukar kepada nama Islam.

Yang pasti, setiap kejadian yang berlaku tidak ada yang sia-sia atau kebetulan, ada hikmah di sebaliknya. Hanya hati yang peka dan akal yang terbuka dapat melihat kesan baik di setiap kejadian yang berlaku. Wallahu’alam

Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Kenapa Wujud Salah Faham Tentang Hudud?



Sinar harian Isnin 12 Mei 2014

KUALA LUMPUR - Salah faham mengenai hudud timbul kerana ia tidak disebut bersekali dengan takzir yang juga sebahagian daripada Undang-undang Jenayah Islam, kata Presiden Persatuan Peguam Syarie, Musa Awang.

Beliau berkata takzir adalah undang-undang buatan manusia yang dilaksanakan bagi memastikan pesalah tetap dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka.

"Ramai yang melihat undang-undang Islam itu hanya hudud sahaja dan hukumannya kejam seperti potong tangan dan ini perlu diperbetulkan. "Sedangkan mereka tidak tahu bahawa jika seseorang itu melakukan kesalahan di bawah hukum hudud tetapi tidak dapat dibuktikan bersalah kerana kadar pembuktian yang tinggi, maka kesalahan itu jatuh kepada takzir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi anggota panel forum "Hudud in Malaysia, Can We? Should We?," anjuran Biro Undang-undang Pemuda MCA, di sini hari ini.

Panel lain pada forum sehari itu termasuk Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkefly Ahmad, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong dan Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa.

Fathul Bari yang senada dengan Musa berkata, lain-lain pembuktian selain daripada yang termaktub di dalam al-Quran boleh diguna pakai untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah mengikut takzir.

"Orang ramai perlu tahu bahawa walaupun hudud memerlukan empat saksi lelaki tetapi jika syarat itu tidak dapat dipenuhi maka lain-lain pembuktian seperti CCTV (kamera litar tertutup) dan cap jari boleh digunakan untuk mengenakan sesuatu hukuman," katanya. Beliau berkata bukan semuanya dihukum di bawah hudud, kerana apa yang lebih penting ialah hudud untuk memberi pengajaran kepada orang ramai bukan untuk menghukum semata-mata.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon ketika ditemui berkata pihaknya menyambut baik pendekatan Umno untuk mengkaji kekangan kekangan dalam pelaksanaan hudud termasuk pembentukan jawatankuasa teknikal bersama kerajaan negeri Kelantan bagi membincangkan secara lanjut mengenai isu itu.

Sin Woon berkata, MCA akan terus mengadakan forum sedemikian kerana ia merupakan platform terbaik untuk semua pihak tanpa mengira perbezaan agama dan politik bertukar-tukar pandangan selain membincangkan hudud secara lebih mendalam. "Kita mendapat banyak pandangan yang berbeza, membuka mata kita terutama daripada perspektif seorang bukan Islam melihat para pemikir serta wakil parti politik daripada Umno dan Pas memberikan satu hujah yang baik dan dari pelbagai perspektif," katanya.

Forum itu diadakan susulan cadangan Pas membentangkan rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Kelantan ke Parlimen. Bagaimanapun Jawatankuasa Pas Pusat yang bermesyuarat hari ini setuju menangguhkan hasrat itu bagi memberi tempoh masa kepada Jawa‎tankuasa Teknikal antara Putrajaya dan kerajaan negeri Kelantan meneliti serta mengemukakan cadangan tindakan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan. - Bernama

MAJLIS SUMBANGAN & BERBUKA PUASA (IFTAR) BERSAMA ANAK2 YATIM