Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Saturday, April 26, 2014

KENYATAAN MEDIA PGSM


15 tahun ditinggal suami, fasakh belum lulus
Bernama | 8:23AM Apr 25 2014Ruzana Othman, 56, menderita 'digantung tak bertali’ setelah ditinggalkan suaminya lebih 15 tahun sementara pihak mahkamah belum meluluskan permohonan fasakhnya.

Katanya beliau amat kesal dengan proses pelaksanaan dan prosedur mahkamah syariah setelah beliau memfail permohonan fasakh dua tahun lepas, namun sehingga kini tiada keputusan yang dikeluarkan.

"Pihak mahkamah suruh saya cari suami saya dengan mengiklankan terlebih dahulu. Saya buat walaupun saya tidak lagi bekerja namun saya cuba cari duit untuk laksanakannya.

"Lepas itu dalam Febuari lepas, saya kembali ke mahkamah menyatakan suami saya masih tidak dapat dikesan, namun pihak mahkamah suruh saya melantik peguam. Saya kesal kerana saya bukannya ada duit, tambahan pula saya sudah tua," katanya kepada pemberita dalam sesi sidang media yang dianjurkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di ibunegara semalam.

Ruzana berkata suaminya telah meninggalkan beliau bersama seorang anak pada 1998.

"Bermacam-macam cara saya dah usaha untuk mencari suami saya yang hilang entah ke mana dan sehinggakan saya tidak larat lagi dan saya mengambil keputusan untuk memfailkan permohonan fasakh. Namun perkara itu membebankan saya lagi," katanya.

Sehubungan itu Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan menggesa pihak mahkamah syariah agar meneliti semula pelaksanaan undang-undang tersebut agar ia tidak membebankan pihak lain.

"Saya pelik dengan kes seperti ini. Kita perlu cari kaedah untuk mengubah keadaan. Kita bukan nak menunding jari kepada sesiapa, namun tindakan segera perlu diambil untuk mengatasinya," katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima lebih 100 aduan yang melibatkan mahkamah syariah yang majoritinya mengenai prosedur mahkamah yang dikatakan terlalu rumit dan membebankan.

- Bernama

Sabtu 26 April 2014
bersamaan 26 Rabiulakhir 1435H
www.pgsm.org.my

KENYATAAN MEDIA PGSM

Berhubung laporan berita tersebut di atas.

MAKA, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan ini memberikan KENYATAAN sebagaimana berikut :-

1. PGSM membetulkankan salah faham tersebut dan menegaskan bahawa Mahkamah Syariah tidak pernah menganiayai atau cuba melengah-lengahkan kes pihak-pihak di mahkamah. Mahkamah Syariah mempunyai KPI (Key Performance Indicator) dalam mempercepatkan kes. Mahkamah Syariah juga tertakluk kepada prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang. Tugas Mahkamah Syariah adalah melaksanakan dan menjalankan undang-undang bukan menggubal undang-undang. Arahan mahkamah syariah supaya pengadu melantik peguam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan pengadu sebaliknya untuk lebih memudahkan dan mempercepatkan kes pengadu yang mungkin tidak faham tatacara dan undang-undang. Jika tidak mampu pengadu boleh merujuk kesnya kpd Jabatan Bantuan Guaman atau kepada PGSM.

2. Berdasarkan cerita pengadu, sebutan akhir adalah pada Februari lepas bermaksud bahawa kes hanya di failkan di mahkamah syariah oleh pengadu hanya pada penghujung tahun 2013 atau awal tahun 2014. Sikap menuding jari kpd mahkamah syariah dengan mengatakan kes lambat diputuskan dengan mengira tarikh pengadu di tinggalkn suami adakah sikap yg tidak bertanggungjwb kerana pengadu baru shj memfailkn tuntutan fasakh nya di mahkamah syariah, walaupun pengadu telah di tinggalkan suami sejak 1998.

3. Sebagai NGO yang memegang asas Islam dalam perjuangannya, pihak PPIM sepatutnya menyiasat dgn lebih terperinci dan tidak hanya menyalahkan mahkamah syariah. Pengadu juga sepatutnya di salahkan kerana baru mengemukakan dakwaannya di mahkamah syariah walaupun telah lama di tinggalkn suami. Tindakan memburuk-buruk kan mahmamah syariah atau Islam Bashing seharusnya dielakkan.

Sekian, untuk siaran. Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak

(MUSA AWANG, P.P.N)
Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
019-387 0105