Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Friday, January 3, 2014

Tidak wajar dipertikaikan

Tidak wajar dipertikaikan

Oleh H ELMI MOHD. FOAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Penguatkuasaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 tidak wajar dipertikaikan kerana undang-undang tersebut sebenarnya merupakan terjemahan kepada peruntukan yang terkandung di dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang (gambar) berkata, tujuan enakmen tersebut adalah untuk melaksanakan peruntukan yang termaktub dalam perlembagaan iaitu melarang pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam dan bukannya menggugat hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam di negara ini.

Justeru, beliau menegaskan, cadangan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang mahu enakmen tersebut dipinda tidak wajar disokong sama sekali terutama oleh wakil-wakil rakyat beragama Islam di negeri tersebut.

“Mengapa enakmen tersebut perlu dipinda sedangkan sumber undang-undang itu adalah daripada Perlembagaan Persekutuan sendiri.

“Subsekyen dalam Perkara 11(4) membenarkan mana-mana negeri untuk membuat undang-undang kawalan pengembangan kepercayaan agama bukan Islam kepada orang bukan Islam.

“Sepatutnya kita perlu mendesak agar negeri-negeri yang belum menggubal enakmen seumpama itu agar melakukannya, bukannya mencadangkan negeri yang sudah ada untuk membuat pindaan atau menghapuskannya," tegas beliau.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika mengulas laporan mengenai permintaan tiga ADUN DAP di Selangor agar enakmen tersebut dipinda untuk memastikan hak bukan Islam terjaga.

Laporan portal berita propembangkang The Malaysian Insider hari ini memetik kenyataan bersama Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) Rajiv Rishyakaran (DAP-Bukit Gasing ) dan Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) bahawa mereka akan mengemukakan cadangan pindaan itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DUN) akan datang dengan memastikan umat Islam terjamin daripada sebarang usaha untuk dipengaruhi oleh agama bukan Islam.

Mereka yang terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) semalam berkata, enakmen itu hanya bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam.


Keratan muka depan Utusan Malaysia semalam.
Menyifatkan tindakan JAIS sebagai kasar, mereka berkata apa yang berlaku menjadi panggilan kesedaran untuk mengkaji semula sub Seksyen 9 kepada enakmen 1988 itu.

Seksyen itu menyatakan, seseorang didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika ia dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan ‘Allah’ atau 34 perkataan Arab termasuk Hadith, Syariah, Kalifah, Fatwa, Alhamdulillah dan Insya-Allah untuk menyatakan atau menceritakan fakta, kepercayaan, idea, konsep, tindakan, kegiatan, perkara yang berkaitan dengan agama bukan Islam.

Bee Yin, Rishyakaran dan Weng San dipetik sebagai mendakwa seksyen itu jelas bertentangan dengan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada semua rakyat negara ini untuk percaya, mengamal dan menguruskan agamanya.

Setakat ini, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal enakmen pengawalan tersebut sebagaimana dilakukan oleh Selangor dan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Menurut Musa, mana-mana wakil rakyat di Selangor yang memberikan sokongan agar enakmen tersebut dipinda boleh dianggap sebagai menyokong pihak tertentu menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam.

“Perkara ini timbul sebenarnya kerana terdapat agenda tertentu yang boleh dianggap sebagai Islam bashing," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, kawalan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam merupakan merupakan suatu yang sudah dipersetujui dalam Perlembangaan Persekutuan sejak merdeka lagi.

“Jadi penggubal enakmen pengawalan di negeri atau akta di Wilayah Persekutuan yang diluluskan adalah dengan kuasa diberikan oleh perlembagaan.

“Kuasa sekatan itu di tangan Parlimen, mereka memberikan kuasa kepada polis dan pegawai penguatkuasa melalui enakmen yang diwujudkan," katanya.

Shamrahayu berkata, sekiranya kerajaan pakatan pembangkang Selangor tetap mahu membuat pindaan, perkara itu dilihat boleh mencemarkan titah Sultan Selangor.

“Daripada sudut demokrasi sepenuhnya, mereka boleh membuat pindaan dengan majoriti kuasa tetapi di manakah taat dan setia mereka kepada Raja," katanya.

Serbuan Jais bukan satu kesalahan

Serbuan Jais bukan satu kesalahan

Musa Awang

OLEH: WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh: January 4, 2014

SHAH ALAM – Serbuan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke Pejabat Bible Society of Malaysia di Petaling Jaya kelmarin tidak menyalahi undang-undang.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, tidak menjadi persoalan daripada sudut undang-undang sama ada premis itu milik bukan Islam atau orang Islam atau tidak dapat dipastikan milik siapa kerana apa yang penting kesalahan disyaki berlaku dalam premis tersebut.

Musa berkata, Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 membenarkan menyiasat dan menangkap tanpa waran terhadap mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan dalam Enakmen Kawalan tersebut diberikan kepada pegawai bertauliah.

Menurutnya, ia bererti pegawai awam diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri secara bertulis untuk menjalankan kuasa-kuasa di bawah enakmen tersebut.

“Dalam isu ini, semasa proses siasatan di premis berkenaan, bukan sahaja terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) Jais tetapi juga pegawai polis. Jika pegawai-pegawai itu adalah terdiri daripada pegawai awam yang diberikan tauliah oleh pihak berkuasa kerajaan negeri maka proses tersebut tidak salah dari sudut undang-undang.

“Sekalipun tiada pegawai bertauliah hadir sekali, berdasarkan maklumat yang diterima yang mana PPA mempunyai sebab untuk mengesyaki perlakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku dalam sesuatu premis, berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003, PPA diberikan kuasa untuk pergi ke premis tersebut untuk menyiasat serta mengambil apa-apa langkah perlu,” katanya melalui kenyataan akhbar, semalam.

Musa berkata, Seksyen 11 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk menggeledah mana-mana premis yang mana orang yang disyaki melakukan kesalahan itu berada, dengan syarat orang yang tinggal atau berada di tempat itu memberikan kebenaran atau kerjasama untuk PPA masuk menjalankan penggeledahan.

Menurutnya, Seksyen 15 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang bukti yang dijumpai.

“Dalam kes ini, orang yang berada dalam premis tersebut sendiri memberi kebenaran untuk PPA Jais masuk membuat siasatan.

“Jadi, pada pandangan saya, tiada unsur ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang dalam kes ini. Cuma pihak-pihak tertentu cuba memperbesarkan isu ini, cuba memperlekeh tindakan pihak berkuasa, cuba memberikan imej buruk kepada institusi penguatkuasaan agama Islam (Islam bashing), dan cuba menjadi perselisihan antara penganut Katolik dan Islam,” katanya.