Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Saturday, August 25, 2012

Mengemis cemar maruah Islam

Perbuatan haram dan berdosa jika disertai tipu helah

Oleh Musa Awang
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)


Berita Harian
22 Ogos 2012

Senario didatangi pengemis buta semasa sedang menjamu selera di kedai makan mungkin sudah biada dilalui semua orang. Begitu juga pengemis berkaki kudung mengemis di pasar malam, atau menjadikan bayi dan kanak-kanak sebagai umpan. Kanak-kanak juga mengemis di pam minyak atau di kawasan perniagaan. Trend terbaru, pengemis menunggu di simpang lampu isyarat, membawa kitab atau tasbih dan mengemis dari tingkap ke tingkap kereta.

Pertengahan Ramadhan lalu, dua adik beradik warga emas berketurunan Cina bukan Islam yang menyamar sebagai pengemis Muslim dengan memakai jubah dan bertudung labuh, bagi menagih simpati pengunjung bazar Ramadhan ditahan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Mereka dipercayai memperoleh pendapatan sekitar RM300 sehari.

Ada banyak faktor yang mendorong seseorang mengemis. Kefakiran, kemiskinan, mengalami kesulitan untuk menampung keperluan keluarga sehari-hari. Sementara itu, mereka tidak memiliki keterampilan atau kepakaran khusus yang dapat dimanfaatkan untuk menghasilkan wang. Kanak-kanak yatim, orang-orang cacat, janda-janda miskin, orang-orang tua sering kelihatan mengemis kerana keadaan mereka boleh menarik simpati orang ramai untuk memberikan wang.

Ada juga yang menjadi mangsa sindiket, terpaksa mengemis untuk membayar hutang, ajaran sesat, rumah kebajikan yang memeras kanak-kanak di bawah jagaan mereka, dan sebagainya. Ada kelompok pengemis yang benar-benar menderita, perlukan bantuan untuk mencari makan sehari-hari.

Pengemis Pintar
Manakala sebahagian yang lain adalah kelompok pengemis yang pintar bersandiwara dan tipu muslihat, mengetahui rahsia-rahsia dan teknik-teknik mengemis, serta memiliki pengalaman untuk mengaburi pandangan masyarakat, seperti bagaimana menarik simpati dan belas kasihan orang lain.

Kadang-kadang disebabkan kelompok yang kedua ini, kita menjadi keliru dan teragak-agak untuk memberikan derma atau sedekah, kerana tidak yakin adalah mereka golongan yang betul-betul memerlukan bantuan, atau sekadar berlakun dan meraih keuntungan.

Hukum mengemis dalam Islam adalah haram, kecuali bagi orang yang ditimpa musibah, orang yang berhutang dan orang yang memang hidupnya melarat.

Syarat minta bantuan
Dari Qabishah bin Al Mukhariq Al Hilaly, Rasulullah s.a.w bersabda, “Hai Qabishah, meminta-minta tidak dihalalkan kecuali bagi tiga orang : Pertama, seorang yang menanggung hutang yang dilunaskan dalam usaha mendamaikan dua pihak yang bertikai), maka ia boleh meminta bantuan hingga ia dapat menutupi hutangnya kemudian berhenti meminta. Kedua, seorang yang tertimpa musibah sehingga menghabiskan seluruh hartanya, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat menjadi sandaran hidupnya. Ketiga, seseorang yang ditimpa kesengsaraan, sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya membuat penyaksian bahawa : “Si Fulan telah ditimpa kesengsaraan”, maka ia boleh meminta bantuan hingga ia memperoleh apa yang dapat memenuhi keperluannya. Meminta-minta selain dari tiga keadaan hai Qabishah, adalah haram, dan barang yang dimakan oleh si peminta-minta adalah barang yang haram.” [HR Muslim]

Meminta-minta dengan berbohong dan menipu adalah nyata haram. Ia bukan sahaja berdosa, perbuatan tersebut juga mencemari perbuatan baik dan merampas hak orang-orang miskin yang memang berhajatkan bantuan. Diriwayatkan dari Sahabat ‘Abdullah bin ‘Umar , ia berkata : Rasulullah bersabda: “Seseorang senantiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga ia akan datang pada hari Kiamat dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya.”

Mengemis sedangkan mempunyai kemampuan dan kewangan juga adalah di larang oleh Islam. Dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bermaksud “Barangsiapa meminta-minta kepada manusia sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas cakaran di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kemampuan itu ya Rasulullah?” Baginda bersabda, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.” [HR Abu Dawud, Tirmidzi, Nasa', Ibnu Majah, Ahmad & Ad Darimi]

Meminta sumbangan untuk kepentingan kaum muslimin, bukan kepentingan peribadi kelihatan seperti mengemis dan meminta-minta tetapi sebenarnya ia dibolehkan dalam Islam. Pesan Rasulullah s.a.w kepada para pemimpin perang ketika sebelum berangkat ke medan peperangan, “Jika mereka (orang-orang kafir yang diperangi) tidak mahu masuk Islam maka mintalah Al-Jizyah dari mereka! Jika mereka memberikannya maka terimalah dan tahanlah dari (memerangi) mereka! Jika mereka tidak mahu menyerahkan Al-Jizyah maka mintalah pertolongan kepada Allah dan perangilah mereka!” [HR. Muslim, Abu Dawud & Ahmad]

Rasulullah s.a.w juga pernah meminta bantuan seorang tukang kayu untuk membuatkan mimbar untuk masjid. Sahl bin Sa’d As-Sa’idi r.a berkata bahawa “Rasulullah s.a.w pernah mengutus kepada seorang wanita: “Perintahkan anakmu yang tukang kayu itu untuk membuatkan untukku sebuah mimbar sehingga aku bisa duduk di atasnya!” [HR Al-Bukhari, An-Nasa’i & Ahmad]

Jatuh maruah ummah
Seseorang Islam yang mengemis boleh menyebabkan kesucian agama Islam dan institusinya dipandang hina. Mereka boleh boleh didakwa di bawah undang-undang jenayah Syariah. Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan "Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain :- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya."

Sesungguhnya Allah cintakan hamba-Nya yang penat dalam mencari yang halal. Mengemis adalah salah satu cara mencari harta yang tidak terhormat dan menjatuhkan maruah umat Islam. Sebagai muslim jangan sampai meminta-minta atau mengemis agar kita mendapat jaminan surga dari Rasulullah saw sebagaimana sabdanya: “Barangsiapa yang menjamin kepadaku bahawa ia tidak meminta sesuatu kepada orang, aku menjamin untuknya dengan syurga.” (HR Abu Daud & Hakim).