Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Saturday, April 28, 2012

Peguam Syarie Menulis: Fatwa dikeluarkan institusi agama boleh dipinda, dicabar

Oleh Roshdan Sujak Rafie
Berita Harian
25/04/2012

Muzakarah boleh bahas berdasar dalil serta nas syarak

INSTITUSI agama sering mendapat perhatian dan tumpuan apabila timbul sesuatu isu berkaitan kepentingan masyarakat tidak kira sama ada isu itu ditimbulkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Mahkamah Syariah atau badan fatwa seperti isu fatwa yang diputuskan di Kedah. Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan peruntukan bahawa fatwa sama ada yang telah diwarta atau tidak diwartakan tidak boleh dicabar.

Harus difahami ada perbezaan dalam menjalankan tugas dan bidang kuasa yang diberikan terhadap sesebuah institusi agama. Dalam hal ini, fatwa adalah suatu ijtihad dibuat oleh mufti yang telah dibincangkan bersama dalam jawatankuasa fatwa berkait sesuatu hukum yang baru pada perkara belum diputuskan sebelum ini.

Pada asasnya, badan fatwa adalah institusi agama yang bebas dan mempunyai kuasanya sendiri tertakluk kepada kuasa diberikan dan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Secara jelas, majlis atau badan fatwa ini tidak bersangkut atau tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah, institusi Islam lain dan berhak menentukan keputusannya.

Merujuk isu fatwa yang diperkatakan di Kedah, saya berpandangan fatwa itu bukanlah mutlak dan langsung tidak boleh diubah, dipinda atau dibatalkan. Bagaimanapun, sesuatu fatwa yang tidak dipersetujui itu perlu dicabar atau dipinda melalui proses pentadbiran iaitu melalui jawatankuasa fatwa negeri itu sendiri. Ia juga tidak boleh dipinda atau dicabar di mahkamah lebih-lebih lagi di Mahkamah Sivil kerana mahkamah bukanlah korum yang sesuai untuk mencabar keputusan itu dan mereka bukanlah ahli dalam menentukan sesuatu hukum baru yang timbul.

Mahkamah Syariah adalah tempat menentukan pertikaian atau dakwaan sesuatu pihak terhadap sesuatu isu berdasarkan hukum sedia ada. Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti masih boleh dipinda, diubah mahupun dicabar melalui jawatankuasa fatwa dan dijalankan dengan penuh hemah melalui muzakarah atau perbincangan dengan jawatankuasa fatwa itu sendiri. Pada peringkat ini, mereka atau pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu fatwa dikeluarkan boleh mengemukakannya kepada jawatankuasa fatwa dan dibahaskan mengikut dalil serta nas syarak yang dikemukakan terhadap isu dibahaskan.

Malah perbincangan yang diadakan akan menekankan prinsip hukum syarak berdasarkan hujahan dibawa untuk menentukan isu itu. Jika terdapat kekhilafan dalam fatwa berkenaan, maka mufti boleh mengeluarkan fatwa baru untuk membatalkan atau meminda fatwa yang telah dibuat. Jelas walaupun fatwa tidak boleh dicabar di mahkamah, ada satu kaedah lain yang boleh membincangkan semula sesuatu fatwa dikeluarkan jika timbul keraguan terhadapnya.

Fatwa bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia hukum yang dikeluarkan pada perkara baru dan tidak sewenang-wenangnya dikeluarkan tanpa sebarang keperluan. Namun, fatwa juga bukanlah mutlak kerana ia tidak mencapai dalil qatie iaitu al-Quran dan hadis. Terdapat perbezaan antara pengeluaran fatwa dan keputusan mahkamah.

Mufti dan hakim berhak mengeluarkan ijtihad mereka sendiri selagi ia tidak melampaui kuasa yang diberikan dan hukum itu tidak bertentangan dengan nas syarak. Jika dilihat dari sudut ijtihad hakim Mahkamah Syariah, mereka juga tidak terikat dengan keputusan hakim terdahulu mahupun mahkamah yang lebih tinggi kerana hakim mempunyai ijtihad sendiri selagi tidak berlawanan prinsip syarak.

Kebebasan ini seharusnya dijadikan suatu keutamaan dalam perkembangan syariat agama Islam. Undang-undang dan hukum yang dikeluarkan menjadi asas memperlihatkan bahawa Islam itu syumul dan sesuai di mana-mana tempat dan waktu.

Memperkasakan institusi agama, ada banyak perkara yang harus digerakkan oleh pihak berwajib supaya isu berkaitan agama tidak dipandang remeh oleh masyarakat dan tidak dipermainkan pihak lain, lebih-lebih lagi mereka yang bukan beragama Islam. Sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)