Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Saturday, April 28, 2012

Peguam Syarie Menulis: Fatwa dikeluarkan institusi agama boleh dipinda, dicabar

Oleh Roshdan Sujak Rafie
Berita Harian
25/04/2012

Muzakarah boleh bahas berdasar dalil serta nas syarak

INSTITUSI agama sering mendapat perhatian dan tumpuan apabila timbul sesuatu isu berkaitan kepentingan masyarakat tidak kira sama ada isu itu ditimbulkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Mahkamah Syariah atau badan fatwa seperti isu fatwa yang diputuskan di Kedah. Kerajaan negeri Kedah telah meluluskan peruntukan bahawa fatwa sama ada yang telah diwarta atau tidak diwartakan tidak boleh dicabar.

Harus difahami ada perbezaan dalam menjalankan tugas dan bidang kuasa yang diberikan terhadap sesebuah institusi agama. Dalam hal ini, fatwa adalah suatu ijtihad dibuat oleh mufti yang telah dibincangkan bersama dalam jawatankuasa fatwa berkait sesuatu hukum yang baru pada perkara belum diputuskan sebelum ini.

Pada asasnya, badan fatwa adalah institusi agama yang bebas dan mempunyai kuasanya sendiri tertakluk kepada kuasa diberikan dan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak. Secara jelas, majlis atau badan fatwa ini tidak bersangkut atau tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah, institusi Islam lain dan berhak menentukan keputusannya.

Merujuk isu fatwa yang diperkatakan di Kedah, saya berpandangan fatwa itu bukanlah mutlak dan langsung tidak boleh diubah, dipinda atau dibatalkan. Bagaimanapun, sesuatu fatwa yang tidak dipersetujui itu perlu dicabar atau dipinda melalui proses pentadbiran iaitu melalui jawatankuasa fatwa negeri itu sendiri. Ia juga tidak boleh dipinda atau dicabar di mahkamah lebih-lebih lagi di Mahkamah Sivil kerana mahkamah bukanlah korum yang sesuai untuk mencabar keputusan itu dan mereka bukanlah ahli dalam menentukan sesuatu hukum baru yang timbul.

Mahkamah Syariah adalah tempat menentukan pertikaian atau dakwaan sesuatu pihak terhadap sesuatu isu berdasarkan hukum sedia ada. Oleh itu, fatwa yang dikeluarkan oleh mufti masih boleh dipinda, diubah mahupun dicabar melalui jawatankuasa fatwa dan dijalankan dengan penuh hemah melalui muzakarah atau perbincangan dengan jawatankuasa fatwa itu sendiri. Pada peringkat ini, mereka atau pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu fatwa dikeluarkan boleh mengemukakannya kepada jawatankuasa fatwa dan dibahaskan mengikut dalil serta nas syarak yang dikemukakan terhadap isu dibahaskan.

Malah perbincangan yang diadakan akan menekankan prinsip hukum syarak berdasarkan hujahan dibawa untuk menentukan isu itu. Jika terdapat kekhilafan dalam fatwa berkenaan, maka mufti boleh mengeluarkan fatwa baru untuk membatalkan atau meminda fatwa yang telah dibuat. Jelas walaupun fatwa tidak boleh dicabar di mahkamah, ada satu kaedah lain yang boleh membincangkan semula sesuatu fatwa dikeluarkan jika timbul keraguan terhadapnya.

Fatwa bukanlah sesuatu perkara yang boleh dipandang ringan kerana ia hukum yang dikeluarkan pada perkara baru dan tidak sewenang-wenangnya dikeluarkan tanpa sebarang keperluan. Namun, fatwa juga bukanlah mutlak kerana ia tidak mencapai dalil qatie iaitu al-Quran dan hadis. Terdapat perbezaan antara pengeluaran fatwa dan keputusan mahkamah.

Mufti dan hakim berhak mengeluarkan ijtihad mereka sendiri selagi ia tidak melampaui kuasa yang diberikan dan hukum itu tidak bertentangan dengan nas syarak. Jika dilihat dari sudut ijtihad hakim Mahkamah Syariah, mereka juga tidak terikat dengan keputusan hakim terdahulu mahupun mahkamah yang lebih tinggi kerana hakim mempunyai ijtihad sendiri selagi tidak berlawanan prinsip syarak.

Kebebasan ini seharusnya dijadikan suatu keutamaan dalam perkembangan syariat agama Islam. Undang-undang dan hukum yang dikeluarkan menjadi asas memperlihatkan bahawa Islam itu syumul dan sesuai di mana-mana tempat dan waktu.

Memperkasakan institusi agama, ada banyak perkara yang harus digerakkan oleh pihak berwajib supaya isu berkaitan agama tidak dipandang remeh oleh masyarakat dan tidak dipermainkan pihak lain, lebih-lebih lagi mereka yang bukan beragama Islam. Sebagai negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, seharusnya menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempertahankan kesucian agama Islam.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sunday, April 15, 2012

PEMILIHAN JAWATANKUASA BARU PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM) Sessi 2012/2015

15 APRIL, 2012

KENYATAAN MEDIA

PEMILIHAN JAWATANKUASA BARU
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
Sessi 2012/2015

PGSM telah mengadakan Mesyuarat Agong PGSM kali ke-11 pada Sabtu, 14 April 2012 di Dewan Seminar, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

MAT kali ke-11 memperlihatkan perubahan kepada pimpinan PGSM. Tuan Musa Bin Awang dipilih sebagai Presiden PGSM bagi sesi 2012/2015, menggantikan Tuan Mohamad Isa Bin Abd Ralip yang tidak mempertahankan jawatan. Manakala Tuan Roshdan Sujak Bin Rafie sebagai Timbalan Presiden. Penolong Setiausaha ialah Puan Noorilyana Dzulkifli, manakala Penolong Bendahari ialah Mohd Tajuddin Abd Razak.

Undang-Undang tubuh PGSM memberikan kuasa kepada Presiden yang dipilih untuk melantik Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat. Perlantikan Setiausaha Agong dan Bendahari Kehormat akan diumumkan dalam waktu terdekat oleh Presiden PGSM.

Tigabelas (13) orang Ahli Jawatan Kuasa atau EXCO yang dipilih adalah Tuan Moeis bin Basri, Kol (B) Haji Ahmad Bin Daud, Puan Afshah Binti Arifin, Encik Junid bin Ramali, Cik Faridah Binti Ahmad, Puan Hazirah Binti Othman, Tuan Ahmad Nazib Bin Johari, Tuan Abdullah Anuar Bin Sahri, Puan Siti Aishah Binti Din, Tuan Mohd Redzuan Bin Ramli, Cik Norra Syada Binti Othman, Tuan Haji Azmi Bin Tan Sri Rais dan Tuan Haji Mahyuddin Bin Zahari.

Jawatankuasa baru ini akan berkhidmat sehingga tahun 2015. Antara fokus utama pimpinan baru PGSM ini adalah merealisasikan Akta Guaman Syarie di mana aktiviti terdekat ialah mengadakan Bengkel Draf Akta Guaman Syarie pada 21-22 April 2012, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, Selangor. PGSM juga akan berusaha merealisasikan penubuhan cawangan PGSM di negeri-negeri yang akan dimulai dengan Negeri Kelantan yang akan mengadakan mesyuarat penaja pada 28 Mei 2012. PGSM juga sedang berusaha menambah dana atau sumber kewangan persatuan, membeli bangunan sendiri untuk PGSM, menambah keahlian, memperbanyakkan program penyelidikan, pendidikan & latihan untuk ahli-ahli, terutama peguam Syarie muda, peguam Syarie wanita dan pelatih dalam kamar (chambering).

Program-pogram sukan, rekreasi dan riadah dikekalkan, di samping mewujudkan laman web baru yang lebih canggih, memperbanyakkan bahan penerbitan PGSM, menjaga hubungan baik dengan Jabatan Agama Islam negeri, Mahkamah Syariah negeri, JKSM, Jakim, Jabatan Peguam Negara, jabatan-jabatan kerajaan berkaitan serta hubungan baik dengan NGO-NGO lain.

Sekian untuk siaran. Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Yang benar,

MUSA AWANG
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
2012-2015

Tuesday, April 10, 2012

“KURSUS PENYEDIAAN PLIDING DI MAHKAMAH SYARIAH”

TARIKH : SELASA, 1 MEI 2012
TEMPAT : MAHKAMAH SYARIAH WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR

ANJURAN BERSAMA :
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
DAN
PERSATUAN PEGAWAI SYARIAH NEGERI SELANGOR

PENDAHULUAN

Tugasan yang dijalankan oleh semua peguam syarie di Mahkamah Syariah adalah amat penting dan kebijaksanaan mereka di dalam mengendalikan perbicaraan merupakan nadi utama di dalam membantu mahkamah bagi memastikan kelancaran proses perbicaraan di Mahkamah Syariah. Semua Peguam Syarie perlu mengetahui secara khusus serta mahir di dalam segala aspek undang-undang yang berkaitan proses pra perbicaraan, perbicaraan dan pasca perbicaraan.

Selain itu, semua Peguam Syarie perlu memahami isu yang perlu diutarakan dan bentuk penilaian yang dibuat dalam penghakiman sesebuah kes oleh mahkamah. Kursus ini amat penting bagi Peguam Syarie kerana memberi pendedahan kepada mereka tentang prosedur dan pengurusan perbicaraan di Mahkamah Syariah supaya dapat diaplikasikan di dalam setiap kes masing-masing.

OBJEKTIF

1. Meningkatkan tahap kefahaman Peguam Syarie mengenai proses dan pengurusan perbicaraan di Mahkamah Syariah berdasarkan undang-undang sedia ada serta memahami kehendak mahkamah dari semasa ke semasa.

2. Meningkatkan kemahiran Peguam Syarie di dalam mengendalikan proses perbicaraan dengan lebih berkesan.

3. Mewujudkan suasana harmoni di antara Peguam Syarie dengan pentadbiran mahkamah.

SASARAN PESERTA

Sasaran peserta bagi kursus hanya melibatkan Peguam-peguam Syarie sahaja. Jumlah peserta kursus tidak lebih daripada 100 orang setiap kursus bagi memastikan penyertaan peserta dan penumpuan dapat diberikan.

TARIKH DAN TEMPAT

Tarikh : 1 Mei 2012
Tempat : Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

YURAN PENYERTAAN

RM120.00
-Yuran adalah termasuk kos makan minum (sarapan, minum pagi, makan tengahari dan minum petang), kertas kursus, Sijil Penyertaan dll)

KAEDAH LATIHAN

1. Modul ini dibahagikan kepada dua (2) bahagian iaitu Kursus Asas dan Kursus Lanjutan. Walaubagaimanapun, kedua-dua modul ini perlu untuk dijalankan secara berasingan kerana kekangan waktu untuk dikendalikan.

2. Bagi Modul Asas, kursus ini akan dilaksanakan selama satu (1) hari dan dua (2) bentuk kaedah ceramah dan sesi perbincangan akan digunakan di dalam kursus ini iaitu;

a. Ceramah yang merangkumi perkara – perkara berkaitan undang-undang diberikan secara ringkas dan mudah difahami.

i. Tatacara Mal berhubung penyediaan pliding, penyampaian saman, tiga (3) peringkat perbicaraan.

ii. Keterangan merangkumi konsep dakwaan, pembuktian, penerimaan dan penolakan keterangan.

iii. Penggunaan Sumpah di dalam memutuskan kes.

iv. Kuasa budibicara di dalam proses perbicaraan.

b. Sesi perbincangan ini memberikan ruang untuk para peserta berinteraksi secara langsung dengan penceramah bagi mendapatkan penjelasan terhadap sebarang isu yang timbul.

PENCERAMAH

Penceramah bagi tajuk "Penyediaan Pliding MRS" ialah Tuan Drs Atras dan Penceramah bagi tajuk "Penyediaan Pliding MTS "ialah YA Tuan Zainor Rashid. Penceramah dikehendaki menyediakan nota rujukan di dalam bentuk yang mudah difahami dan digalakkan di dalam bentuk carta bagi tajuk yang sesuai seperti prosedur.

TENTATIF PROGRAM

8.00 pagi – 9.00 pagi
Pendaftaran Peserta, Sarapan Pagi

9.00 pagi – 10.30 pagi
Pembentangan Kertas Kerja Pertama "Penyediaan Pliding MRS" oleh Drs. Tuan Atras bin Mohd Zin
Moderator: Tuan Roshdan Sujak bin Rafie

10.30 pagi – 11.00 pagi
Rehat/Minum

11.00 pagi – 12.30 t/hari
Pembentangan Kertas Kerja Kedua "Penyediaan Pliding MTS" oleh YA Tuan Zainor Rashid bin Hassin
Moderator: Tuan Fakhrul Azman bin Abu Hasan

12.30 tghari- 2.00 ptg
Makan Tengahari/Rehat

2.00 ptg- 4.00 ptg Sesi soaljawab dan perbincangan
Fasilitator : Tuan Drs. Atras bin Mohd Zin
YA Tuan Zainor Rashid bin Hassin
Moderator: YA Tuan Mohamed Fouzi bin Mokhtar

4.00 ptg – 4.30 ptg
Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil

4.30 ptg – 5.00 ptg
Minum Petang/Bersurai

* Sebarang perubahan tempat akan dimaklumkan.

TEMPAT TERHAD!! 100 ORANG TERAWAL SHJ! Siapa yang mendaftar dan membuat bayaran awal diutamakan.

Untuk mendaftar, sila sms atau call Puan Syanizah Shanizah Ngatiman di talian 012-2699581 atau En Roshdan Rafie di talian 013-381 5535.

Bayaran boleh dibuat ke akaun PGSM, Akaun Bank Islam No. 1417-10100-06320 atas nama Persatuan Peguam Syarie Malaysia atau boleh bank in di akaun 162133176418 atas nama Shanizah Ngatiman. Letakkan dalam discreption transaksi kursus penyediaan pliding. E-mail transaksi kepada shanizahn@gmail.com