Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Wednesday, July 6, 2011

Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam

Peguam Syarie Menulis: Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam
Oleh Tuan Musa Awang

2011/06/29

Pelbagai isu dibincang pada konvensyen peguam syarie

MUTAKHIR ini peranan peguam syarie dalam masyarakat semakin bertambah penting. Peguam syarie adalah individu yang bertanggungjawab membantu Mahkamah Syariah dalam pengendalian dan perbicaraan kes syariah sama ada kes mal atau jenayah.

Peguam syarie juga bertanggungjawab kepada anak guam yang memerlukan perwakilan supaya kes mereka dapat segera diselesaikan terutama kes perceraian, penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian.

Meskipun begitu, masih ramai yang tidak menyedari kepentingan peguam syarie sebagai ejen penting dalam mencari keadilan di Mahkamah Syariah serta sebagai penghubung antara pihak-pihak dengan institusi perundangan dan kehakiman.

Tidak kurang juga ada yang melihat profesion ini berkisar kepada keuntungan wang ringgit semata-mata, berbanding khidmat ditawarkan. Sehubungan itu, kepeguaman syarie hendaklah difahami dengan lebih meluas oleh masyarakat supaya persepsi tidak tepat dapat diperbetulkan.

Dalam pada itu, kepeguaman syarie juga hendaklah seiring dengan pacuan transformasi perundangan dan kehakiman supaya prospek pembangunan sumber, kerjaya, cabaran peguam syarie menepati aspirasi rakyat, negara serta rantau ASEAN.

Mutakhir ini juga, pelbagai isu baru timbul dalam perundangan syariah di negara ini antaranya isu sebatan syariah terhadap wanita, Hakim Syarie wanita, isu penerimaan bukti material seperti video seks dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sabitan jenayah syariah.
Isu sumpah laknat, qazaf juga menjadi polemik dalam masyarakat yang memerlukan pencarian kaedah penyelesaian menepati kehendak syarak dan realiti perundangan semasa.

Dalam kalangan peguam syarie sendiri, isu penyeragaman kaedah penerimaan masuk, kelayakan, tatatertib dan yuran peguam syarie masih menjadi dilema dan persoalan yang belum ada jawapannya.

Memahami keperluan untuk mencari kata putus serta pemahaman yang jelas, satu konvensyen mengumpulkan semua peguam syarie akan diadakan pada 1 Julai 2011, bertempat di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Perhimpunan kali ini lebih bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2 dan bertemu kira-kira 1,300 peguam syarie, pegawai syariah, pegawai jabatan agama Islam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Konvensyen ini anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan tema ‘Guaman Syarie: Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia Menjelang 2020’.

Program ini bertujuan memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam supaya mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras tuntutan Islam, di samping memperkasa keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie.

Konvensyen ini akan menjadi bukti kesungguhan kerajaan menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di negara ini. Program sehari ini juga usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

Wakil peguam syarie dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja mengenai aspek kepeguaman syarie di negara masing-masing selain forum bertajuk ‘Peguam Syarie: Isu, Cabaran dan Kemana?’ oleh panel berpengalaman luas dan berkaliber.

Konvensyen ini dilihat bakal menjadi forum sesuai untuk semua peguam syarie seluruh negara berbahas dan berbincang bagi tujuan mentransformasikan profesion guaman syarie dan meninjau prospek pengukuhan institusi kehakiman syariah di Malaysia menjelang 2020.

Kali pertama semua peguam syarie seluruh negara dikumpulkan dalam satu konvensyen adalah pada 14 Jun 2008, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, (PICC) yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Konvensyen itu berjaya mengumpulkan 700 peserta terdiri daripada peguam syarie, pelajar IPT, pegawai syariah seluruh Malaysia dan wakil dari Brunei Darussalam.

Diharap semua peguam syarie seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk hadir pada perhimpunan terbesar peguam syarie ini. Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman http://bit.ly/lvvu54 atau di laman http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com atau menghubungi Sekretariat Konvensyen di talian 03-88864800 (4627/4614/4725).

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Akta Guaman Syarie tingkat integriti peguam

Peguam Syarie Menulis: Akta Guaman Syarie tingkat integriti peguam
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/07/06
Ubah persepsi orang ramai terhadap perundangan Islam

KONVENSYEN Peguam Syarie kali ke-2 yang berlangsung baru-baru ini dengan tema 'Syariah: Integrasi 1 Ummah' diharap dapat memberi lembaran baru dalam profesion peguam syarie di Malaysia. Konvensyen dilaksanakan dengan tiga objektif utama iaitu berdiskusi dalam kalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam bagi menghasilkan impak kreatif menjadikan bidang kepeguaman syarie wadah memperkukuhkan syiar keadilan Islam. Selain itu mewujudkan pembabitan komprehensif dan menyeluruh dikalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam yang berkemampuan melestarikan aspirasi Gagasan 1Malaysia menjelang Wawasan 2020.

Mewujudkan jaringan perhubungan profesionalisme dan persahabatan dikalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia dengan negara jiran melalui sistem perundangan Islam sebagai teras kemakmuran umat Islam di negara serantau.

Konvensyen dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dihadiri 1,500 peserta terdiri daripada peguam syarie, Hakim Syarie, pegawai syariah, ahli akademik, pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.

Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Institut Latihan Kehakiman Syariah Malaysia (ILKAS) bagi memberi latihan secara profesional kepada hakim, pendakwa, pegawai syariah dan peguam syarie bagi mempertingkatkan profesionalisme dan integriti.
Najib turut menjanjikan kewujudan Akta Guaman Syarie yang akan dilaksanakan bagi menaik taraf profesion peguam syarie seiring peguam sivil seterusnya memperbaiki kelemahan selain menjamin kebajikan peguam syarie.

Secara umumnya, di bawah Akta Guaman Syarie, peguam syarie akan dikawal selia bagi laporan akauntan untuk pembaharuan Sijil Amalan Tahunan; yuran yang perlu dibayar anak guam dan tindakan boleh diambil terhadap peguam syarie yang bersalah.

Cara penggantungan peguam syarie daripada menjalankan amalan; cara mengambil dokumen yang masih dalam milikan peguam syarie bagi tujuan dikemukakan kepada Majlis Peguam Syarie; cara mengambil harta dalam milik peguam syarie jika bankrap dan belum dilepaskan.

Keperluan menyegerakan Akta Guaman Syarie menjadi wadah perjuangan peguam syarie bertujuan menyeragamkan kaedah penerimaan masuk peguam syarie di setiap negeri kerana prosedur berbeza bergantung kepada kaedah diterima pakai di negeri masing-masing.

Isu kelayakan serta bentuk penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar dan ada meletakkan syarat kelayakan yang ketat.

Justeru, penubuhan Akta Guaman Syarie ini diharap diseragamkan memandangkan profesion peguam syarie berkembang seiring kes di Mahkamah Syariah yang kian rumit dan pelbagai.

Melalui akta guaman juga akan diwujudkan Majlis Peguam Syarie berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion 1976, bertanggungjawab mengawal selia serta menjaga kebajikan peguam syarie di seluruh negara.

Undang-undang bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari segi kemasukan, kelayakan dan tatatertib bergantung kepada kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri.

Seterusnya, tatatertib dan disiplin peguam syarie dapat dikawal bagi membantu pelanggan jika ada peguam syarie melanggar Etika Peguam Syarie yang terkandung dalam Akta Guaman Syarie.

Buat masa ini, peguam syarie tiada garis panduan khusus untuk diambil tindakan jika melakukan penganiayaan atau melanggar Etika Peguam Syarie.

Akta Guaman Syarie yang dicadangkan dapat menyeragamkan tahap kebolehan dan integriti peguam syarie seluruh negara setanding peguam sivil serta memberi keyakinan orang awam mendapatkan perkhidmatan peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Ia diharap dapat mencetuskan transformasi perubahan dalam perundangan Islam negara dan pada masa sama menjadi pencetus transformasi peguam syarie seterusnya mengubah persepsi pihak yang menganggap peguam syarie sebagai peguam kelas kedua.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)