Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Wednesday, May 11, 2011

Akta khas transformasi profesion peguam syarie

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 2011/05/11

Pelaksanaan martabatkan kedudukan undang-undang syariah Malaysia di mata dunia

PERLEMBAGAAN Malaysia meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan hal berkaitan agama Islam di bawah negeri masing-masing. Ini bermakna termasuk Wilayah Persekutuan, ada 14 kaedah membabitkan Mahkamah Syariah. Maka, 14 kaedah juga membabitkan peguam syarie dari sudut penerimaan masuk, kelayakan serta tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap peguam syarie. Bagi beramal sebagai peguam syarie di negeri-negeri, peguam syarie terpaksa membuat permohonan ke negeri berkenaan. Jika hendak beramal di 13 negeri, perlu membayar yuran tahunan yang berbeza mengikut negeri.

Keadaan ini menimbulkan kesukaran kepada peguam syarie malah menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat peguam terutama jika pihak yang bertikai berada di dua negeri berbeza.

Mereka perlu mendapatkan peguam yang mempunyai tauliah dari dua negeri atau menggunakan khidmat dua orang peguam syarie dan pastinya akan menimbulkan masalah kepada pihak berkenaan.

Adalah lebih kemas jika penerimaan masuk peguam syarie ini diselaraskan di seluruh Malaysia supaya tidak tidak timbul kekeliruan serta memudahkan peguam syarie untuk beramal di setiap negeri tanpa melalui proses temu duga di semua negeri.
Seharusnya penerimaan masuk peguam syarie diseragamkan serta dipermudahkan memandangkan profesion peguam syarie sudah berkembang seiring pertambahan kes di Mahkamah Syariah dengan isu serta masalah semakin rumit.

Selain itu, isu kelayakan penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar dan ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang ketat.

Sementara bagi etika peguam syarie pula, tiada peruntukan khas mengenai tatatertib serta kod etika seragam, yang ada hanya bersifat pentadbiran serta tiada kuatkuasa undang-undang.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah itu, perlu kepada Akta Peguam Syarie. Akta ini akan mewujudkan Majlis Peguam Syarie yang sama peranan serta fungsi dengan Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Penubuhan Akta Guaman Syarie ini juga akan membentuk majlis yang menjaga kebajikan dan mengawal selia peguam syarie melalui Majlis Peguam Syarie Malaysia yang berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia.

Akta Peguam Syarie mampu menaikkan kedudukan dan martabat peguam syarie sebagai pihak untuk melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah. Taraf profesion peguam syarie juga setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

Ketiadaan akta khusus menyebabkan sukar untuk mengawal peguam syarie yang terbabit salah laku seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah kerana tidak ada badan mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Akta Profesion Guaman Syarie secara tidak langsung akan memartabatkan kedudukan Undang-undang Syariah di Malaysia khususnya dan di peringkat antarabangsa amnya. Peguam syarie akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi dan membolehkan mereka mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah di peringkat antarabangsa.

Peguam syarie akan diiktiraf oleh dunia luar untuk beramal di negara mereka dalam mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah dengan membuka firma guaman syarie bertaraf antarabangsa.

Akta ini memberi impak terhadap transformasi perubahan dalam perundangan Islam negara dan pada masa sama bakal menjadi pencetus transformasi peguam syarie sendiri seterusnya mengubah persepsi sesetengah pihak yang menganggap peguam syarie sebagai peguam kelas kedua.

Sesuai keperluan Akta Guaman Syarie itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) akan menganjurkan Konvensyen Peguam Syarie.

Konvensyen kali kedua dengan tema ‘Akta Guaman Syarie – Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia menjelang 2020’ akan diadakan pada 30 Jun depan, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Konvensyen ini diharap mempercepatkan kewujudan Akta Guaman Syarie yang telah dirancang bagi meningkatkan kedudukan institusi kehakiman syariah serta kepeguaman syarie di Malaysia.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)