Thursday, May 26, 2011

Anak lebih nafkah wajib sara ibu bapa

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2011/05/25

Mahkamah boleh perintah individu supaya bayar ikut kemampuan

TANGGUNGJAWAB menjadi ketua keluarga adalah amanah yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh suami. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab terhadap anak dan isteri tidak akan membawa berkat dalam kehidupan.

Apa yang perlu diyakini, tidak kira bagaimana susah atau senang seseorang itu, kewajipan tidak akan terhapus melainkan dengan keharusan bertepatan dengan syarak. Bagaimana pula tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya?

Kini banyak kita dengar kisah yang dipaparkan media dan kisah yang kita sendiri peroleh mengenai bagaimana anak melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu bapa.

Bukan sekadar mengabaikan tanggungjawab menanggung kehidupan ibu bapa malah lebih teruk lagi ada anak yang meninggalkan ibu bapa, membiarkan mereka mahupun menghantar mereka ke pusat jagaan.

Apakah cara penyelesaian terbaik menangani permasalahan itu? Adakah dengan mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa boleh menyelesaikan setiap isu berkaitan tanggungjawab terhadap ibu bapa?

Ia perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk sudut kemampuan individu, kehidupan sosial, peruntukan undang-undang dan hukum syarak. Bagaimanapun, mewajibkan pemberian nafkah terhadap ibu bapa memungkinkan polemik lain timbul dalam kehidupan keluarga.

Persoalan utama adalah kemampuan anak mengambil tanggungjawab menyediakan nafkah wajib kepada ibu bapanya dalam keadaan dia sendiri menampung kewajipan anak dan isteri. Begitu juga tanggungjawab isteri yang lebih utama kepada suami termasuk membantu kehidupan keluarga.

Mewajibkan pemberian nafkah ibu bapa juga dikhuatiri boleh menyebabkan ramai individu tidak sanggup untuk melaksanakan kehidupan berumahtangga kerana bimbang dengan tanggungjawab yang akan dipikul termasuk kewajipan nafkah ibu bapanya.

Jika ini berlaku, ia mungkin merencatkan institusi keluarga itu sendiri dan boleh menyebabkan pecah belah dalam keharmonian sesebuah keluarga.

Dari sudut sosial dan amalan di Malaysia, tanggungjawab terhadap ibu bapa menjadi sebati dalam diri anak yang mempunyai sifat tanggungjawab. Walaupun tidak diwajibkan namun telah dilaksanakan sebaiknya berdasarkan kesedaran dan didikan yang diterima oleh anak itu sendiri.

Keberkatan bagi anak yang melaksanakannya dapat dirasai walaupun sekadar mengadakan duit sebanyak RM20 kepada ibu bapanya.

Dari sudut undang-undang pula, seksyen 61 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan bahawa mahkamah berbidangkuasa untuk memerintah nafkah bagi seseorang.

Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain mengikut kemampuan yang munasabah kepada pemberi nafkah.

Ia jelas memberi ruang kepada ibu atau bapa atau mana-mana orang untuk menuntut hak nafkahnya terhadap orang yang bertanggungan berlandaskan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Ternyata ada peruntukan khas yang memberi hak seseorang untuk menuntut haknya.

Manakala dari sudut hukum syarak pula, mazhab al-Syafie berpandangan, nafkah ibu bapa menjadi wajib dengan syarat anak mempunyai lebihan nafkah iaitu jika nafkahnya sendiri cukup untuk keperluan seharian termasuklah tanggungan anak dan isteri bagi suami.

Jika tidak mencukupi, maka anak tidak dipertanggungjawabkan nafkah ibu bapa. Syarat lainnya, bapa hendaklah terdiri daripada orang fakir (tidak mempunyai pekerjaan yang boleh memenuhi keperluan asasinya, sama ada dia mampu bekerja atau tidak.

Ketiganya, menjadi wajib jika ibu tidak mendapat nafkah yang mencukupi daripada bapa, maka menjadi kewajipan kepada anak untuk menyediakan nafkah kepada ibu, termasuk dalam keadaan bapa telah meninggal dunia.

Berdasarkan aspek dinyatakan, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi untuk kewajipan nafkah ibu bapa. Apa yang sewajarnya menjadi pertimbangan utama adalah kesedaran dan sikap tanggungjawab anak itu sendiri. Ia boleh dipupuk oleh didikan dan ilmu diterapkan dalam diri individu.

Mewajibkan nafkah ibu bapa bukanlah faktor utama dalam menangani masalah itu. Didikan dan keimanan dalam diri sendiri menjadi teras utama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Keimanan, didikan dan kesedaran seharusnya menjadi asas dalam mendidik anak supaya ia kekal dibawa sebagai tangkal atau azimat dalam setiap tanggungjawabnya.

Penulis ialah Setiausaha Agong Persatuan peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Friday, May 20, 2011

Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-2

TARIKH KONVENSYEN ASAL PADA 30 JUN 2011 TELAH DITUNDA KE JUMAAT 1 JULAI 2011.

Dimaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan mengadakan KONVENSYEN PEGUAM SYARIE MALAYSIA KALI KE-2 sebagaimana berikut :-

Hari : Jumaat
Tarikh : 01 Julai 2011
Jam : 8.30 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur
Yuran : RM90.00 seorang

Penyertaan adalah WAJIB bagi semua Peguam Syarie.
Pendaftaran secara online boleh dibuat melalui laman web JKSM.
http://www.jksm.gov.my/jksmv2/

Skim Bantuan Guaman Syarie bantu asnaf tuntut hak

Oleh Mohd Tajuddin Abd Razak

2011/05/18

MAIWP, PGSM pastikan individu tidak mampu bayar khidmat peguam dapat pembelaan

TIDAK semua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mampu melantik peguam bagi mengendalikan kes mereka. Justeru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bekerjasama dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menubuhkan Khidmat Bantuan Guaman untuk memberi bantuan guaman kepada pihak yang memerlukan. PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP memulakan usaha murni itu sejak 2009. Hasil kerjasama itu, PGSM secara khusus menubuhkan Biro Guaman Syarie yang dikendalikan seorang exco untuk menyelaraskan pengendalian kes yang diberi Bahagian Baitulmal MAIWP. Tugas itu termasuk melantik peguam syarie dalam kalangan ahli PGSM yang beramal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengendalikan kes, memantau perjalanan kes dan memaklumkan Bahagian Baitulmal MIAWP sama ada kes berjaya diselesaikan di mahkamah atau tidak.

Setakat ini PGSM sudah menerima lebih daripada 61 kes syariah daripada Bahagian Baitulmal MAIWP. Sebanyak 25 fail sudah ditutup sama ada kes diselesaikan menerusi perbicaraan di mahkamah atau diselesaikan menerusi persetujuan kedua-dua pihak.

Ternyata usaha murni yang didukung sepenuhnya oleh peguam syarie ini telah membuahkan hasil walaupun yuran guaman ditetapkan rendah.

Apa yang penting bagi peguam syarie adalah usaha membantu golongan memerlukan dapat direalisasikan menerusi kerjasama PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP.
Bahagian Baitulmal MAIWP telah mengambil tindakan pertama dan seumpamanya di negara ini dengan mewujudkan Skim Bantuan Guaman Syarie sebagai skim bantuan kepada asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

Tujuannya untuk membantu umat Islam yang menghadapi masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah. Pihak yang boleh memohon bantuan guaman syarie terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, mualaf, al-Gharimin (orang yang berhutang), Ibnu Sabil, Fisabillah dan ar-Riqab.

Penerima bantuan perlu memenuhi syarat umum dan khusus untuk melayakkan mereka menerima bantuan zakat iaitu beragama Islam, warga negara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang setahun.

Baitulmal MAIWP juga menetapkan pendapatan bawah RM1,500 sebulan sebagai kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie. Namun, ia masih tertakluk kepada siasatan dan temu duga yang akan dijalankan pegawai Bahagian Baitulmal MAIWP.

Bahagian Baitulmal akan membuat siasatan dan temu duga bagi menentukan kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie dan setelah diluluskan.

Peguam syarie yang dilantik mengendalikan kes akan menyediakan laporan awal kepada PGSM dan Bahagian Baitulmal berkenaan jenis tuntutan dan seterusnya mengendalikan kes sehingga selesai sama ada menerusi perbicaraan atau penyelesaian di luar mahkamah.

Adalah menjadi harapan PGSM supaya Majlis Agama Islam Negeri turut mengikut jejak langkah Bahagian Baitulmal MAIWP mewujudkan satu skim bantuan guaman syarie di setiap negeri untuk membantu umat Islam menyelesaikan masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah.

Antara kes yang dikendalikan adalah perceraian secara fasakh atau taklid, tuntutan harta sepencarian, tuntutan mutaah, nafkah diri dan nafkah anak, tuntutan hutang semasa perkahwinan, tuntutan nafkah diri dan anak yang tertunggak, pendakwaan berkenaan kesalahan jenayah syariah dan tuntutan mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kepelbagaian tuntutan ini juga tertakluk kepada kelayakan khusus yang ditetapkan Bahagian Baitulmal, MAIWP.

Mereka yang layak menerima zakat juga tidak dinafikan hak mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah, bahkan mereka dibantu oleh peguam yang berpengalaman untuk memperoleh keadilan dan hak yang dinafikan sebelum ini.

Mungkin ramai masih belum tahu adanya perkhidmatan disediakan ini, sedangkan mereka layak menerima bantuan guaman syarie bagi mendapatkan hak di Mahkamah Syariah tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk mengendalikan tuntutan, perbicaraan dan bayaran yuran guaman.

Maklumat mengenai Skim Bantuan Guaman Syarie boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Baitulmal MAIWP di talian 03-26175222 atau layari laman web www.maiwp.gov.my.

Penulis ialah Exco Biro Guaman Syarie Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, May 11, 2011

Akta khas transformasi profesion peguam syarie

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 2011/05/11

Pelaksanaan martabatkan kedudukan undang-undang syariah Malaysia di mata dunia

PERLEMBAGAAN Malaysia meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan hal berkaitan agama Islam di bawah negeri masing-masing. Ini bermakna termasuk Wilayah Persekutuan, ada 14 kaedah membabitkan Mahkamah Syariah. Maka, 14 kaedah juga membabitkan peguam syarie dari sudut penerimaan masuk, kelayakan serta tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap peguam syarie. Bagi beramal sebagai peguam syarie di negeri-negeri, peguam syarie terpaksa membuat permohonan ke negeri berkenaan. Jika hendak beramal di 13 negeri, perlu membayar yuran tahunan yang berbeza mengikut negeri.

Keadaan ini menimbulkan kesukaran kepada peguam syarie malah menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat peguam terutama jika pihak yang bertikai berada di dua negeri berbeza.

Mereka perlu mendapatkan peguam yang mempunyai tauliah dari dua negeri atau menggunakan khidmat dua orang peguam syarie dan pastinya akan menimbulkan masalah kepada pihak berkenaan.

Adalah lebih kemas jika penerimaan masuk peguam syarie ini diselaraskan di seluruh Malaysia supaya tidak tidak timbul kekeliruan serta memudahkan peguam syarie untuk beramal di setiap negeri tanpa melalui proses temu duga di semua negeri.
Seharusnya penerimaan masuk peguam syarie diseragamkan serta dipermudahkan memandangkan profesion peguam syarie sudah berkembang seiring pertambahan kes di Mahkamah Syariah dengan isu serta masalah semakin rumit.

Selain itu, isu kelayakan penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar dan ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang ketat.

Sementara bagi etika peguam syarie pula, tiada peruntukan khas mengenai tatatertib serta kod etika seragam, yang ada hanya bersifat pentadbiran serta tiada kuatkuasa undang-undang.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah itu, perlu kepada Akta Peguam Syarie. Akta ini akan mewujudkan Majlis Peguam Syarie yang sama peranan serta fungsi dengan Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Penubuhan Akta Guaman Syarie ini juga akan membentuk majlis yang menjaga kebajikan dan mengawal selia peguam syarie melalui Majlis Peguam Syarie Malaysia yang berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia.

Akta Peguam Syarie mampu menaikkan kedudukan dan martabat peguam syarie sebagai pihak untuk melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah. Taraf profesion peguam syarie juga setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

Ketiadaan akta khusus menyebabkan sukar untuk mengawal peguam syarie yang terbabit salah laku seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah kerana tidak ada badan mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Akta Profesion Guaman Syarie secara tidak langsung akan memartabatkan kedudukan Undang-undang Syariah di Malaysia khususnya dan di peringkat antarabangsa amnya. Peguam syarie akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi dan membolehkan mereka mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah di peringkat antarabangsa.

Peguam syarie akan diiktiraf oleh dunia luar untuk beramal di negara mereka dalam mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah dengan membuka firma guaman syarie bertaraf antarabangsa.

Akta ini memberi impak terhadap transformasi perubahan dalam perundangan Islam negara dan pada masa sama bakal menjadi pencetus transformasi peguam syarie sendiri seterusnya mengubah persepsi sesetengah pihak yang menganggap peguam syarie sebagai peguam kelas kedua.

Sesuai keperluan Akta Guaman Syarie itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) akan menganjurkan Konvensyen Peguam Syarie.

Konvensyen kali kedua dengan tema ‘Akta Guaman Syarie – Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia menjelang 2020’ akan diadakan pada 30 Jun depan, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Konvensyen ini diharap mempercepatkan kewujudan Akta Guaman Syarie yang telah dirancang bagi meningkatkan kedudukan institusi kehakiman syariah serta kepeguaman syarie di Malaysia.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Thursday, May 5, 2011

Pembuktian zina ikut syarak mesti ada pengakuan

Mohamad Isa Abdul Ralip

Berita Harian, 13 April 2011 12:39

Si penuduh boleh dihukum sebat 80 kali jika bukti dibawanya palsu, saksi tak cukup syarat

DEWASA ini ada banyak kes membabitkan pembuangan bayi akibat perlakuan zina. Nasib bayi yang dibuang sering meruntun hati masyarakat yang turut memikirkan cara terbaik untuk menjaga dan mendidik anak itu serta bagaimana ingin memberi kesedaran kepada pelakunya.

Persoalannya, adakah kesalahan zina yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Zina adalah kesalahan yang berat mengikut hukum syarak sehingga larangannya dijelaskan Allah dalam Al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Israk, ayat 32)

Ini ditegaskan lagi melalui hukuman dikenakan terhadap penzina jika disabitkan kesalahan yang turut termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.” (Surah An-Nisa, ayat 2)


Mengikut hukum Islam, hukuman zina berbeza mengikut kategori bagi pesalah yang sudah berkahwin (mukhsan) atau belum (ghair mukhsan). Jika sudah berkahwin, dikenakan hukuman rejam sampai mati manakala yang belum berkahwin akan dirotan 100 sebatan.

Melihat betapa seriusnya kesalahan zina ini, hukum syarak menetapkan si penuduh orang lain melakukan zina yang gagal membuktikan dakwaannya turut dihukum iaitu dikenakan 80 kali sebatan, disamping itu juga penyaksiannya tidak akan diterima selama-lamanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Hukuman berat ini menunjukkan cara pembuktian terhadap pertuduhan zina juga perlu diambil kira. Bukan semua bentuk pembuktian boleh diterima bagi membuktikan kesalahan tertuduh kerana kesan terhadap penyabitan zina amat besar terhadap maruah diri tertuduh.

Walaupun keterangan terhadap pertuduhan boleh dikemukakan dengan pelbagai bentuk, hanya dikira ialah pembuktian melalui pengakuan si pelaku (ikrar) dengan mengambil kira syarat perakuan itu.

Sejarah membuktikan penyabitan kesalahan zina melalui ikrar amat dititikberatkan bagi mengelak sebarang keraguan, paksaan, kecelaruan oleh si pelaku yang menyebabkan beliau membuat perakuan terhadap kesalahan menyebabkan berlaku kesilapan dan penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Rasulullah SAW sendiri, apabila seorang lelaki datang menemui Baginda seraya berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling darinya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.

Apabila lelaki berkenaan membuat pengakuan sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: Tidak. Nabi bersabda lagi: Adakah engkau telah kahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka Nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.”

Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak boleh dilaksanakan terhadap si pelaku yang menarik balik pengakuannya bahawa sebelum ini beliau melakukan zina.

Bentuk pembuktian kedua yang diterima ialah kesaksian daripada empat orang saksi. Saksi perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh hukum syarak sebelum penyaksian diterima iaitu Islam, lelaki, baligh.

Sempurna akal, adil, benar-benar melihat kejadian zina dan penyaksian itu benar-benar menunjukkan zina itu berlaku. Ini bermakna, jika saksi gagal memenuhi salah satu daripada syarat itu, penyaksiannya tidak akan diterima.

Walaupun sesetengah ulama seperti Ibn Qayyim menerima pembuktian melalui tanda (qarinah), ada ulama seperti Imam Syafie yang menolaknya. Penerimaan dan penolakan terhadap bentuk pembuktian berdasarkan kepada hujah masing-masing namun yang pastinya penolakan ini bagi mengelak timbulnya keraguan dalam penyabitan.

Kesalahan berkaitan dengan perbuatan zina diperuntukkan dalam undang-undang syariah. Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 menetapkan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isteri sah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi hukuman itu.

Kewujudan pelbagai peralatan canggih tidak dapat menafikan bentuk pembuktian yang ditetapkan kerana sebarang bentuk dokumen mahupun peralatan canggih masih boleh menimbulkan keraguan. Adalah tidak mustahil dokumen itu diubah suai bagi boleh menyabitkan seseorang dengan kesalahan.

Pembuktian bagi kesalahan zina tidak wajar disamakan oleh mana-mana pihak dengan pembuktian kes rompakan yang dirakam. Pembuktian bagi kesalahan zina adalah ketat seperti ditetapkan hukum syarak.

Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Bharian Online, 2011/04/27

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagia apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Penyebaran isu secara terbuka beri kesan buruk kepada Islam, negara

Oleh Musa Awang

Berita Harian
04/05/2011

Prosedur syariah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintah hakim

SAYA menerima e-mel dari seorang ibu yang mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan berumur 13 dan 12 tahun, yang meluahkan rasa malu serta kecewa apabila mutakhir ini terpaksa menerangkan kepada anaknya istilah ‘liwat’ dan ‘zina.’

Terutama sekali selepas isu video seks seorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang menjadi sebaran eksklusif di saluran televisyen dan internet. Si ibu dan suami selalu menonton berita bersama anak kerana itulah masa mereka bersama selepas sibuk seharian dengan tugasan masing-masing.

Katanya, semasa isu liwat hebah dulu, beliau dan suami terpaksa menerangkan secara jujur dan ikhlas kepada anak mereka yang begitu cerdik menyoal secara terperinci dan bersikap ingin tahu.

Bayangkan apabila si anak lelaki bertanya bagaimana organ lelaki pelaku boleh masuk ke lubang dubur pengadu memandangkan lubang dubur itu amat ketat. Jadi, ibu terpaksa menjawab mungkin yang kena tuduh terpaksa gunakan pelincir seperti Johnson Cream. Lalu si anak bertanya pula apa itu pelincir Johnson Cream?

Kini, apabila heboh diperkatakan mengenai video klip itu, kedua-dua anaknya ingin tahu pula apa itu zina. Ibu terpaksa menerangkan maksud istilah itu. Pertanyaan lanjut anak ialah: “Oh! Dulu masuk lubang belakang, sekarang masuk lubang depan.”

Malah, anak turut bertanya apakah televisyen akan menyiarkan gambar organ yang kena tuduh itu memasuki lubang belakang dan lubang depan.

Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi untuk tujuan kemenangan sementara politik. Lebih malu, yang menuduh dan pelaku adalah orang Islam.
Tidak habis isu liwat, zina, video seks, terkini isu sumpah laknat (mubahalah) pula. Walhal dalam Islam sendiri, sumpah laknat hanya dibenarkan dalam kes li’an antara suami isteri.

Sumpah laknat selain antara suami isteri tidak diperuntukkan dalam kes jenayah menurut hukum syarak kerana kes jenayah perlu melalui prosedur jenayah. Mubahalah biasanya berlaku dalam kes akidah seperti cabaran mubahalah Rasulullah SAW terhadap Kristian dan Yahudi.

Sumpah adalah sebahagian prosedur perundangan syariah dan perlu dilakukan dalam Mahkamah Syariah selepas diperintahkan oleh hakim, bukan bersumpah di masjid atau di tempat lain. Mahkamah Syariah perlu dihormati oleh semua pihak.

Amat malang apabila orang Islam dan orang masjid sendiri tidak menghormati Mahkamah Syariah dan menyedihkan lagi, akibat tindakan itu berlaku perbalahan sesama Islam, dalam rumah Allah yang suci.

Jadi, tamatkanlah segera isu video seks kerana tingkah laku kita menggambarkan seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamadun dan tiada undang-undang.

Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, bersumpah laknat dan meminta masyarakat menghukum adalah tidak bermoral, rosak akhlak dan masyarakat.

Negara ini ada undang-undang, malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Sebagai rakyat yang mendidik akhlak baik kepada anak, pasti kita mahu melihat pelaku dan pihak mengedarkan video itu dihukum menurut undang-undang negara ini.

Dalam Islam, aduan terhadap sesuatu kesalahan orang Islam lain digalakkan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan supaya dapat dibicarakan di mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.
Dengan cara itu, keadilan dapat ditegakkan melalui saluran perundangan, bukan membiarkan masyarakat membuat penghakiman.

Mari kita renung hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan timbul di akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (Hadis riwayat Termizi)