Sunday, April 24, 2011

Wasiat tak sah jika bertentangan syarak

Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 2011/04/20

Dokumen perlu disimpan pewasiat, peguam syarie bagi elak pemalsuan

WASIAT adalah satu dokumen yang mempunyai kuat kuasa undang-undang membolehkan seseorang menentukan cara bagaimana harta bendanya dibahagi setelah berlaku kematian. Islam mensyaratkan wasiat tidak boleh kepada waris yang berhak menerima pusaka, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati dan tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh syarak. Waris akan mendapat dua pertiga daripada pusaka secara faraid untuk dibahagikan sesama mereka. Oleh itu, wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka dikhuatiri mengganggu imbangan bahagian yang ditetapkan syarak.

Wasiat kepada ahli waris sama ada lebih satu pertiga atau tidak, adalah diharuskan dan menjadi sah menurut hukum syarak jika semua ahli waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan wasiat berkenaan.

Persetujuan waris diambil kira ialah selepas kematian orang yang membuat wasiat, bukan sebelumnya. Jika salah seorang mempertikaikan atau tidak bersetuju, maka wasiat itu perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Mahkamah akan kembali kepada kaedah asal wasiat dalam Islam, iaitu tidak boleh kepada ahli waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

Seseorang pembuat wasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan menunjukkan niatnya (tersirat), dengan menjalankan urus niaga berkaitan harta diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Mutakhir ini, banyak syarikat menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Sebelum menandatangani apa-apa dokumen wasiat, dapatkan nasihat peguam syarie atau mereka yang pakar mengenainya.

Dikhuatiri dokumen wasiat yang disediakan tidak memenuhi atau berlawanan dengan kehendak hukum syarak. Banyak kes berlaku, dokumen wasiat di bawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan, didapati tidak sah dan berlawanan hukum syarak.

Dokumen wasiat itu menjadi sia-sia sedangkan perbelanjaan besar dikeluarkan untuk penyediaan dokumen wasiat. Sebaiknya terus merujuk kepada peguam syarie yang arif untuk membuat surat wasiat menurut kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Wasiat menjadi tidak sah jika pelaksanaannya tidak betul, bertentangan hukum syarak, pewasiat tidak sihat akal dan tidak berkemampuan memahami apa dibuat semasa wasiat dilaksanakan, wasiat dibuat secara paksa atau di bawah pengaruh orang lain.

Wasiat yang dibuat perlu disimpan oleh pewasiat atau peguam syarie bagi menjamin tahap kerahsiaan dan mengelakkan daripada berlaku pemalsuan atau pindaan tanpa izin pembuat wasiat.

Wasiat sebaiknya disemak setiap enam bulan bagi membolehkan perubahan dibuat oleh pewasiat. Wasiat baru boleh dibuat bagi menggantikan atau membatalkan wasiat terdahulu.

Bagi memastikan wasiat mempunyai kuat kuasa undang-undang, maka ia hendaklah dibuat secara bertulis oleh pewasiat berumur 18 tahun ke atas, bukan benefisiari, suami atau isteri kepada benefisiari yang dinamakan dalam wasiat, ditandatangani dua saksi dan bertarikh.

Seruan membuat wasiat seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan tanda-tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, ini adalah kewajipan atas orang yang bertaqwa. Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Akan tetapi barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tiadalah dosa baginya, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180-182)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak ingatannya kepada kematian serta yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa’ dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)

Wasiat dalam Islam berperanan mempercepatkan pentadbiran pusaka selepas si mati meninggal dunia, mengurangkan pertikaian antara waris, memastikan pembahagian harta si mati terpelihara menurut syarak dan untuk memelihara hak waris.

Wasiat juga membolehkan wasi ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat orang yang membuat wasiat, menentukan harta pewasiat diberikan kepada orang ditentukan sehingga masa ditetapkan menurut wasiat.

Pembahagian harta melalui wasiat juga mampu menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka dijamin melalui warisan yang ditinggalkan serta memastikan anak ditinggalkan kepada penjaga yang dipercayai.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat emel seksretariatpgsm@yahoo.com

No comments:

Post a Comment