Anda juga boleh layari Laman Web PGSM di http://www.pgsm.org.my/.

Thursday, April 28, 2011

Khamis, 28 APRIL 2011
bersamaan 24 Jamadil awwal 1432H

KENYATAAN AKHBAR

PRESIDEN
PERSATUAN PEGUAM SYARIE MALAYSIA (PGSM)
MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP

PENJELASAN BERKAITAN ISU SUMPAH SECARA MUBAHALAH

Sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran. Ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible.

Mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada di dalam satu majlis. Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar. Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tdak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat. Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.

Di dalam Islam sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah tersebut dipanggil sumpah tohmah. Sumpah ini sangat besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah tersebut di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun sumpah seperti ini adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang dari sebarang tohmah dan ianya bukan suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.


Ini adalah kerana di dalam Islam serta perundangan negara kita ada kaedah serta undang-undang yang telah digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam undang-undang Jenayah Syariah, kaedah yang ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang yang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke Mahkamah. Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan itu adalah terletak kepada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan perkara di dalam dakwaan tersebut. Ini selaras dengan peruntukan seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – ”Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya Akta yang sama menyatakan cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan ke Mahkamah melalui proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak yang mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di Mahkamah. Sesuatu dakwaan atau pertuduhan tersebut hendaklah dibuat di Mahkamah dan bukannya di tempat-tempat awam atau di Masjid. Ini adalah kerana masjid adalah tempat yang suci untuk umat Islam beribadat dan bukannya menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan kebenarannya sesuatu dakwaannya itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya samada bukti tersebut adalah berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini adalah penting bagi menyokong dakwaannya dan bukannya hanya bersumpah. Di dalam prinsip keterangan Islam sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam iaitu ”Keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya.”

Di dalam jenayah Islam kes-kes yang melibatkan qisos seperti membunuh para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.

Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.

Manakala di dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Di dalam kes melibatkan curi, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja.

Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan :-

”Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”

”Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.”

”Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Kesimpulannya, di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di Mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan tersebut melalui keterangan dan boleh bersumpah sekiranya diperintah oleh Hakim berbuat demikian. Namun demikian sumpah tersebut tidak mengikat hakim di dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

Mohamad Isa bin Abd Ralip
Presiden PGSM

Sunday, April 24, 2011

Wasiat tak sah jika bertentangan syarak

Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian 2011/04/20

Dokumen perlu disimpan pewasiat, peguam syarie bagi elak pemalsuan

WASIAT adalah satu dokumen yang mempunyai kuat kuasa undang-undang membolehkan seseorang menentukan cara bagaimana harta bendanya dibahagi setelah berlaku kematian. Islam mensyaratkan wasiat tidak boleh kepada waris yang berhak menerima pusaka, tidak boleh melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan si mati dan tidak boleh dibuat bagi tujuan yang dilarang oleh syarak. Waris akan mendapat dua pertiga daripada pusaka secara faraid untuk dibahagikan sesama mereka. Oleh itu, wasiat kepada waris yang berhak menerima pusaka dikhuatiri mengganggu imbangan bahagian yang ditetapkan syarak.

Wasiat kepada ahli waris sama ada lebih satu pertiga atau tidak, adalah diharuskan dan menjadi sah menurut hukum syarak jika semua ahli waris yang berhak menerima pusaka bersetuju dengan wasiat berkenaan.

Persetujuan waris diambil kira ialah selepas kematian orang yang membuat wasiat, bukan sebelumnya. Jika salah seorang mempertikaikan atau tidak bersetuju, maka wasiat itu perlu disahkan di Mahkamah Syariah.

Mahkamah akan kembali kepada kaedah asal wasiat dalam Islam, iaitu tidak boleh kepada ahli waris dan tidak melebihi satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati.

Seseorang pembuat wasiat boleh menarik balik wasiatnya dengan melakukan sesuatu perbuatan (secara nyata) atau keadaan menunjukkan niatnya (tersirat), dengan menjalankan urus niaga berkaitan harta diwasiatkan atau melupuskan hartanya sehingga habis sama sekali.

Mutakhir ini, banyak syarikat menawarkan produk membuat wasiat kepada orang Islam. Sebelum menandatangani apa-apa dokumen wasiat, dapatkan nasihat peguam syarie atau mereka yang pakar mengenainya.

Dikhuatiri dokumen wasiat yang disediakan tidak memenuhi atau berlawanan dengan kehendak hukum syarak. Banyak kes berlaku, dokumen wasiat di bawa ke Mahkamah Syariah untuk disahkan, didapati tidak sah dan berlawanan hukum syarak.

Dokumen wasiat itu menjadi sia-sia sedangkan perbelanjaan besar dikeluarkan untuk penyediaan dokumen wasiat. Sebaiknya terus merujuk kepada peguam syarie yang arif untuk membuat surat wasiat menurut kehendak undang-undang dan hukum syarak.

Wasiat menjadi tidak sah jika pelaksanaannya tidak betul, bertentangan hukum syarak, pewasiat tidak sihat akal dan tidak berkemampuan memahami apa dibuat semasa wasiat dilaksanakan, wasiat dibuat secara paksa atau di bawah pengaruh orang lain.

Wasiat yang dibuat perlu disimpan oleh pewasiat atau peguam syarie bagi menjamin tahap kerahsiaan dan mengelakkan daripada berlaku pemalsuan atau pindaan tanpa izin pembuat wasiat.

Wasiat sebaiknya disemak setiap enam bulan bagi membolehkan perubahan dibuat oleh pewasiat. Wasiat baru boleh dibuat bagi menggantikan atau membatalkan wasiat terdahulu.

Bagi memastikan wasiat mempunyai kuat kuasa undang-undang, maka ia hendaklah dibuat secara bertulis oleh pewasiat berumur 18 tahun ke atas, bukan benefisiari, suami atau isteri kepada benefisiari yang dinamakan dalam wasiat, ditandatangani dua saksi dan bertarikh.

Seruan membuat wasiat seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Diwajibkan atas kamu, apabila seseorang antara kamu kedatangan tanda-tanda maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, ini adalah kewajipan atas orang yang bertaqwa. Maka barang siapa yang mengubah wasiat itu setelah ia mendengarnya, sesungguhnya dosanya adalah bagi orang yang mengubahnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Akan tetapi barang siapa khuatir terhadap orang yang berwasiat itu berlaku berat sebelah atau berbuat dosa, lalu ia mendamaikan antara mereka, maka tiadalah dosa baginya, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180-182)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Secerdik-cerdik manusia ialah yang paling banyak ingatannya kepada kematian serta yang paling banyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu. Mereka itulah orang yang benar-benar cerdik dan mereka pergi ke alam baqa’ dengan membawa kemuliaan dunia serta kemuliaan akhirat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abiddunya)

Wasiat dalam Islam berperanan mempercepatkan pentadbiran pusaka selepas si mati meninggal dunia, mengurangkan pertikaian antara waris, memastikan pembahagian harta si mati terpelihara menurut syarak dan untuk memelihara hak waris.

Wasiat juga membolehkan wasi ditentukan sendiri untuk melaksanakan hasrat orang yang membuat wasiat, menentukan harta pewasiat diberikan kepada orang ditentukan sehingga masa ditetapkan menurut wasiat.

Pembahagian harta melalui wasiat juga mampu menyelamatkan ahli keluarga daripada duka dan mengalami kesusahan kerana masa depan mereka dijamin melalui warisan yang ditinggalkan serta memastikan anak ditinggalkan kepada penjaga yang dipercayai.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat emel seksretariatpgsm@yahoo.com

Thursday, April 14, 2011

Peguam Syarie Menulis: Pertikaian fatwa ulama jejas kredibiliti Islam

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 06/04/2011

SEKALI lagi polemik mengenai isu membabitkan Islam timbul, berhubung Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mengharamkan tarian poco-poco di negeri terbabit. Susulan itu, pelbagai pendapat diberikan secara terbuka, seperti sebelum ini berlaku dalam isu pengharaman modul dan program ESQ oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Pandangan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berbeza apabila menyatakan tarian poco-poco boleh diamalkan umat Islam selagi tidak melanggar hukum syarak, mencampurkan unsur agama lain dan pemujaan.

Katanya, berdasarkan pemerhatian beliau, tarian poco-poco di negeri lain termasuk di Selangor tidak mengandungi unsur bertentangan dengan Islam dan dilakukan oleh golongan berusia sebagai bentuk senaman untuk kesihatan seperti senamrobik. Pandangan ini senada dengan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang berpandangan tarian poco-poco tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Kata beliau, jika setakat tarian kesihatan tanpa sebarang kepercayaan salah atau dicampuri perbuatan seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan. Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mahu semua pihak tidak mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak. Menurutnya, keputusan jawatankuasa itu mengharamkan tarian poco-poco adalah sah dan ia dibuat berdasarkan kajian dan pemerhatian.

Jelas Jamil Khir, jawatankuasa itu mempunyai autoriti yang sah untuk mengeluarkan fatwa jika dirasakan sesuai termasuk mengharamkan tarian poco-poco.

Saya bukan mahu mengulas berkenaan haram atau tidak tarian poco-poco itu. Biarlah kita serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menentukannya.

Saya yakin keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak bukan dibuat sesuka hati atau berasaskan logik akal semata-mata, tetapi selepas melakukan kajian mendalam mengenai pelbagai aspek tarian itu daripada sudut hukum syarak, serta kesannya kepada akidah umat Islam di negeri berkenaan.

Tambahan pula, Jawatankuasa Fatwa terbabit bukan dianggotai oleh Mufti seorang saja, tetapi turut dianggotai oleh Timbalan Mufti, dua wakil Majlis Agama Islam Perak yang arif dalam hukum syarak, seorang pegawai Jabatan Agama Islam Perak dan beberapa orang yang layak dan arif dalam hukum syarak yang dilantik oleh Majlis.

Pada ruangan ini, saya melahirkan sedikit rasa terkilan dan kesal, kerana keputusan jawatankuasa fatwa ini diperbahaskan dan diperbesarkan yang mana ulama, ahli politik dan pihak yang tiada latar belakang agama juga memberikan pendapat secara terbuka.

Pendapat yang diberikan pula berbeza-beza, malah ada yang mempertikaikan keputusan terbabit. Keadaan ini ibarat membuka pekung di dada, menonjolkan kelemahan umat Islam tidak bersatu hati dan tidak bulat kata, terutama pada pandangan masyarakat bukan Islam negara ini.

Walaupun perbezaan pendapat digalakkan dalam Islam, membahaskan persoalan agama secara terbuka bukanlah suatu yang baik untuk masyarakat. Apa salahnya orang politik dan ulama ini membincangkannya secara tertutup jika tidak berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, daripada memberikan sebarang komen terbuka.

Pemimpin politik dan pihak yang tidak mempunyai latar belakang agama juga tidak perlu memberi komen secara terbuka, sebaliknya serah kepada mereka yang arif dalam bidang terbabit. Saidina Umar pernah berkata: “Tiga perkara yang merobohkan agama, kesalahan seorang alim, debat orang munafik dengan al-Quran dan imam yang menyesatkan.”

Tambahan pula, keputusan jawatankuasa masih belum difatwakan sebagai fatwa negeri. Tidak perlu dibahaskan secara terbuka.

Menurut Sub-seksyen 37 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, ‘apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan, Jawatankuasa Fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.’ Menurut Sub-seksyen 37 (9) Enakmen yang sama, ‘Apa-apa penyataan yang dibuat oleh Mufti atau Jawatankuasa Fatwa tidak boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika penyataan itu disiarkan dalam Warta mengikut sub-seksyen (6).’

Sesuatu fatwa hanya mengikat apabila disiarkan dalam Warta menurut kehendak Sub-seksyen 38 (1) Enakmen yang sama, yang berbunyi ‘Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang berada di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu, melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan atau pendapat peribadi.’

Umat Islam dinasihatkan supaya tidak membincangkan sesuatu isu agama secara terbuka sehingga menimbulkan perselisihan pendapat dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan, tetapi pada masa yang sama para ulamak membincangkannya dan memberi kenyataan secara terbuka, dan pendapat tersebut pula berbeza antara satu sama lain. Dikhuatiri masyarakat akan keliru pendapat ulamak mana yang hendak diterima menjadi panduan mereka? Keadaan akan menjadi lebih parah jika sekiranya ada sebahagian masyarakat yang taksub dengan pandangan seseorang ulamak, dan menyalahkan pendapat seseorang ulamak yang lain, yang akhirnya akan memecahbelahkan masyarakat Islam negara ini.

Berkata Ibnu Abbas r.a yang bermaksud “Celakalah orang-orang yang mengikuti kesalahan seorang alim. Si alim berpendapat dengan ro’yinya (akalnya) lalu dia bertemu dengan orang yang lebih alim darinya tentang Rasulullah s.a.w, kemudian orang tersebut memberitahukannya (pendapat yang benar) maka si alim tersebut mengikuti pendapat yang benar dan meninggalkan pendapatnya yang salah, dan para pengikutnya (tetap) berhukum dengan pendapat si alim yang salah tersebut”.
Memandangkan isu tarian poco-poco telah dibincangkan di peringkat nasional, maka ia telah menjadi isu nasional, maka Majlis Fatwa Kebangsaan perlu segera membuat kajian dan membincangkannya di peringkat pusat supaya ia dapat diselaraskan di semua negeri. Pada masa yang sama, segala kekeliruan masyarakat berhubung perkara tersebut dapat diperjelaskan.

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)