Tuesday, March 22, 2011

Peguam Syarie Menulis: Mahkamah Syariah perlu pembaharuan elak persepsi buruk

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2011/03/23
Penambahbaikan pentadbiran, ramai bilangan hakim bantu baiki reputasi

APABILA menyebut Mahkamah Syariah, sering kedengaran keluhan dan gambaran masyarakat bahawa ia adalah sebuah Mahkamah yang lambat menyelesaikan kes. Apakah punca sebenar yang menyebabkan Mahkamah Syariah sering menjadi sasaran masyarakat awam? Adakah benar Mahkamah Syariah lambat dalam mengendalikan prosesnya? Apakah prosedur di Mahkamah Syariah menjadikan sesuatu kes itu lambat diselesaikan berbanding prosedur di Mahkamah Sivil?

Jika melihat senario kes di Malaysia, ternyata tidak terkecuali di Mahkamah Sivil juga ada lambakan kes yang lambat diselesaikan. Malah jika dilihat dari tempoh perbicaraan sesuatu kes, Mahkamah Sivil juga mengalami permasalahan yang sama. Disebabkan itu juga sistem KPI dilaksanakan di Mahkamah Sivil. Tempoh untuk mendapatkan tarikh kelapangan hakim untuk membicarakan sesuatu kes boleh mengambil masa antara enam hingga lapan bulan di Mahkamah Sivil. Jika faktor ini diambil kira, tempoh untuk mendapatkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah adalah lebih cepat. Di sesetengah negeri yang mempunyai kepadatan yang kecil, Mahkamah Syariah jauh lebih cepat berbanding Mahkamah Sivil dari segi proses untuk mendapatkan tarikh perbicaraan.

Oleh kerana itu, kenapa masyarakat masih memandang negatif terhadap Mahkamah Syariah? Jawapannya ialah Mahkamah Syariah adalah sebuah mahkamah yang membicarakan isu keluarga. Semua isu yang dibawa ke Mahkamah Syariah membabitkan emosi pihak terbabit dan ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan seharian mereka. Selagi isu itu tidak dapat diselesaikan, ataupun selagi mana ia berpanjangan, selagi itulah kehidupan dan emosi pihak-pihak akan terus terganggu. Malah ia secara tak langsung merencatkan kehidupan pihak-pihak terbabit.

Kes membabitkan perceraian dan perebutan hak jagaan anak adalah antara kes yang membabitkan emosi banyak pihak. Jika berlarutan, sudah pasti memberi tekanan terhadap individu itu, apatah lagi jika banyak ‘drama’ berlaku dalam tempoh selesainya kes berkenaan. Keadaan ini tentunya menyebabkan rungutan dan kesimpulan negatif dibuat terhadap Mahkamah Syariah.

Faktor inilah sebenarnya yang menjadi punca mahupun tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah. Emosi pihak berkenaan turut terbabit sepanjang perjalanan kes, yang secara keseluruhannya kes di Mahkamah Syariah membabitkan kehidupan mereka mahupun kehidupan seluruh ahli keluarga mereka. Ini tidak berlaku di Mahkamah Sivil. Hanya segelintir kes di Mahkamah Sivil membabitkan isu keluarga dan emosi. Malah, kes yang membabitkan pecah amanah, perlanggaran kontrak, saman menyaman antara individu sebolehnya akan cuba disembunyikan oleh individu yang terbabit.

Ia nyata berbeza dengan Mahkamah Syariah di mana isu berkaitan keluarga akan turut diketahui dan dikongsi oleh rakan-rakan, saudara mara dan juga ahli keluarga. Kegagalan atau kelewatan dalam penyelesaian isu keluarga terutama berkaitan isu perceraian tentunya akan menimbulkan simpati pihak yang lain yang tentunya mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah. Inilah sebenarnya faktor utama yang menjadi tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah.

Secara amnya, zaman ketidakaturan di Mahkamah Syariah sudah lama berlalu. Langkah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan dari sudut pentadbiran dan sistem kehakiman telah banyak membantu.
Pertambahan perjawatan di Mahkamah Syariah terutama jawatan hakim berjaya mempercepatkan penyelesaian kes. Pembinaan bangunan baru yang lebih lengkap di sesetengah negeri turut membantu perkembangan pentadbiran di Mahkamah Syariah. Malah, penggunaan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang selaras di kebanyakan negeri turut mempercepatkan prosedur di Mahkamah Syariah, selain ia dapat menetapkan satu garis panduan yang sama hampir di setiap negeri.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperbaiki tanggapan awam terhadap Mahkamah syariah dan juga untuk peningkatan sistem perundangan syariah itu sendiri.

Di sesetengah tempat, masih ada keperluan terhadap perjawatan hakim terutama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi. Perjawatan perlu ditambah bagi memastikan perjalanan kes dapat dipercepatkan dan tidak menjadi rungutan masyarakat.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah perlu ditambah kerana bidang kuasa yang luas dan membabitkan banyak kes berbanding Mahkamah Rendah. Perjawatan yang diperuntukkan seramai dua hingga empat orang juga tidak memadai.

Perkara lain ialah mempercepatkan pelantikan hakim, kemudahan bangunan dan infrastruktur di Mahkamah Syariah.

1 comment:

  1. Assalamualaikum.
    Saya antara 'mangsa' kes yang lama. Saya file fasakah pada tahun 2011 & sampai sekarang tak selesai lagi (2014). In fact, dalam masa kes fasakh saya berlangsung, pihak defenden failkan nusyuz plak & kes fasakh saya perlu diberhentikan utk memberi laluan supaya kes nusyuz di perdengarkan (sampai saya menulis komen ni, kes nusyuz belum lagi berlangsung). Tekanan emosi teramat sangat dan makes me wonder padahal Islam sepatutnya membantu meringankan beban wanita dan membantu wanita apatah lagi daam kes fasakh. Jikalau saya tau fasakh akan menambil masa terlalu lama, I would have file for tebus talak, Tapi sekarang nak file tebus talak, peguam saya cakap nanti makin lama pulak. Dah la tujuan bercerai sebab saya memang mengalami tekanan dalam pelbagai segi, ni nak tunggu di ceraikan pun lagi menambah tekanan.

    ReplyDelete