Tuesday, March 22, 2011

Peguam Syarie Menulis: Mahkamah Syariah perlu pembaharuan elak persepsi buruk

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2011/03/23
Penambahbaikan pentadbiran, ramai bilangan hakim bantu baiki reputasi

APABILA menyebut Mahkamah Syariah, sering kedengaran keluhan dan gambaran masyarakat bahawa ia adalah sebuah Mahkamah yang lambat menyelesaikan kes. Apakah punca sebenar yang menyebabkan Mahkamah Syariah sering menjadi sasaran masyarakat awam? Adakah benar Mahkamah Syariah lambat dalam mengendalikan prosesnya? Apakah prosedur di Mahkamah Syariah menjadikan sesuatu kes itu lambat diselesaikan berbanding prosedur di Mahkamah Sivil?

Jika melihat senario kes di Malaysia, ternyata tidak terkecuali di Mahkamah Sivil juga ada lambakan kes yang lambat diselesaikan. Malah jika dilihat dari tempoh perbicaraan sesuatu kes, Mahkamah Sivil juga mengalami permasalahan yang sama. Disebabkan itu juga sistem KPI dilaksanakan di Mahkamah Sivil. Tempoh untuk mendapatkan tarikh kelapangan hakim untuk membicarakan sesuatu kes boleh mengambil masa antara enam hingga lapan bulan di Mahkamah Sivil. Jika faktor ini diambil kira, tempoh untuk mendapatkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah adalah lebih cepat. Di sesetengah negeri yang mempunyai kepadatan yang kecil, Mahkamah Syariah jauh lebih cepat berbanding Mahkamah Sivil dari segi proses untuk mendapatkan tarikh perbicaraan.

Oleh kerana itu, kenapa masyarakat masih memandang negatif terhadap Mahkamah Syariah? Jawapannya ialah Mahkamah Syariah adalah sebuah mahkamah yang membicarakan isu keluarga. Semua isu yang dibawa ke Mahkamah Syariah membabitkan emosi pihak terbabit dan ia mempunyai kaitan secara langsung dengan kehidupan seharian mereka. Selagi isu itu tidak dapat diselesaikan, ataupun selagi mana ia berpanjangan, selagi itulah kehidupan dan emosi pihak-pihak akan terus terganggu. Malah ia secara tak langsung merencatkan kehidupan pihak-pihak terbabit.

Kes membabitkan perceraian dan perebutan hak jagaan anak adalah antara kes yang membabitkan emosi banyak pihak. Jika berlarutan, sudah pasti memberi tekanan terhadap individu itu, apatah lagi jika banyak ‘drama’ berlaku dalam tempoh selesainya kes berkenaan. Keadaan ini tentunya menyebabkan rungutan dan kesimpulan negatif dibuat terhadap Mahkamah Syariah.

Faktor inilah sebenarnya yang menjadi punca mahupun tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah. Emosi pihak berkenaan turut terbabit sepanjang perjalanan kes, yang secara keseluruhannya kes di Mahkamah Syariah membabitkan kehidupan mereka mahupun kehidupan seluruh ahli keluarga mereka. Ini tidak berlaku di Mahkamah Sivil. Hanya segelintir kes di Mahkamah Sivil membabitkan isu keluarga dan emosi. Malah, kes yang membabitkan pecah amanah, perlanggaran kontrak, saman menyaman antara individu sebolehnya akan cuba disembunyikan oleh individu yang terbabit.

Ia nyata berbeza dengan Mahkamah Syariah di mana isu berkaitan keluarga akan turut diketahui dan dikongsi oleh rakan-rakan, saudara mara dan juga ahli keluarga. Kegagalan atau kelewatan dalam penyelesaian isu keluarga terutama berkaitan isu perceraian tentunya akan menimbulkan simpati pihak yang lain yang tentunya mencetuskan rasa tidak puas hati terhadap Mahkamah Syariah. Inilah sebenarnya faktor utama yang menjadi tanggapan negatif terhadap Mahkamah Syariah.

Secara amnya, zaman ketidakaturan di Mahkamah Syariah sudah lama berlalu. Langkah kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri membuat penambahbaikan dari sudut pentadbiran dan sistem kehakiman telah banyak membantu.
Pertambahan perjawatan di Mahkamah Syariah terutama jawatan hakim berjaya mempercepatkan penyelesaian kes. Pembinaan bangunan baru yang lebih lengkap di sesetengah negeri turut membantu perkembangan pentadbiran di Mahkamah Syariah. Malah, penggunaan Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang selaras di kebanyakan negeri turut mempercepatkan prosedur di Mahkamah Syariah, selain ia dapat menetapkan satu garis panduan yang sama hampir di setiap negeri.

Bagaimanapun, ada beberapa perkara perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memperbaiki tanggapan awam terhadap Mahkamah syariah dan juga untuk peningkatan sistem perundangan syariah itu sendiri.

Di sesetengah tempat, masih ada keperluan terhadap perjawatan hakim terutama yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi. Perjawatan perlu ditambah bagi memastikan perjalanan kes dapat dipercepatkan dan tidak menjadi rungutan masyarakat.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah perlu ditambah kerana bidang kuasa yang luas dan membabitkan banyak kes berbanding Mahkamah Rendah. Perjawatan yang diperuntukkan seramai dua hingga empat orang juga tidak memadai.

Perkara lain ialah mempercepatkan pelantikan hakim, kemudahan bangunan dan infrastruktur di Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie Menulis: Hak rayuan tak boleh disalah guna aniaya orang

Oleh Tuan Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com
2011/03/16
Pihak tidak puas hati keputusan kena mohon mahkamah lebih tinggi semak semula kes

TIDAK semua yang mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah memperoleh apa yang dituntut. Ada tuntutan ditolak atau diluluskan sebahagiannya saja dan selebihnya ditolak mahkamah. Pihak tidak berpuashati dengan keputusan itu boleh mengemukakan rayuan di mahkamah lebih tinggi.

Dalam kitab Nazariah Al-Da’wa, karya Muhammad Naim Abdul Salam, Jilid 1, memetik kisah Zubyah Al-Asad: “Apabila Sayidina Ali menjadi Kadi di Yaman, Sayidina Ali menjatuhkan hukuman bagi orang yang pertama masuk ke dalam lubang perangkap singa mendapat satu perempat diat, kedua satu pertiga diat, ketiga mendapat separuh diat dan keempat mendapat diat penuh.

Diat ini dikenakan kepada kabilah yang berasak-asak di sekeliling lubang perangkap singa tadi, kerana mereka menyebabkan orang pertama jatuh, diikuti yang kedua kerana ditarik oleh yang pertama.

Orang ketiga pula ditarik orang kedua dan seterusnya menyebabkan semuanya mati. Yang pertama mendapat satu perempat kerana dia menyebabkan tiga kematian. Yang kedua mendapat satu pertiga kerana dia menyebabkan dua kematian. Yang ketiga mendapat separuh kerana dia menyebabkan satu kematian dan keempat mendapat diat penuh kerana dia tidak menyebabkan kematian sesiapa.

Sebahagian kabilah ini tidak berpuas hati hukuman Saidina Ali. Mereka kemudian menghadap Rasulullah SAW memohon dilihat semula kes mereka dan hukuman dijatuhkan Saidina Ali disemak semula. Rasulullah SAW menyemak semula kes itu dan bersetuju dengan hukuman dijatuhkan Saidina Ali.

Dalil ini membuktikan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, boleh merayu atau menyemak keputusan itu ke mahkamah lebih tinggi.

Di negara ini, hirarki Mahkamah Syariah didahului Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan paling tinggi Mahkamah Rayuan Syariah. Keputusan Mahkamah Rendah Syariah perlu dirayu ke Mahkamah Tinggi Syariah, dan jika masih tidak berpuashati dirayu ke Mahkamah Rayuan Syariah.

Bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan ini diperuntukkan dengan jelas dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri. Mengambil contoh Seksyen 67 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) memperuntukkan: “Mahkamah Rayuan Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa mendengar dan memutuskan rayuan terhadap apa-apa keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Syariah dalam menjalankan bidang kuasa asalnya”.

Seksyen 63 (1) Enakmen sama memperuntukkan bahawa: “Rayuan boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah daripada apa-apa keputusan sesuatu Mahkamah Rendah Syariah (a) dalam bidang kuasa jenayahnya, oleh pihak pendakwa atau orang yang disabitkan dan rayuan itu boleh sama ada terhadap keputusan pembebasan, sabitan atau hukuman atau mana-mana daripadanya.

Manakala dalam (b) membabitkan bidang kuasa malnya (i) oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu, jika amaun dituntut itu tidak kurang daripada satu ribu ringgit; (ii) dalam semua kes membabitkan apa-apa keputusan mengenai taraf diri, oleh mana-mana orang yang terkilan dengan keputusan itu; (iii) dalam semua kes berhubungan dengan nafkah orang tanggungan, oleh mana-mana orang terkilan dengan keputusan itu, dengan syarat tiada rayuan boleh dibuat terhadap keputusan yang dibuat dengan persetujuan; (c) dalam apa-apa kes lain, jika Mahkamah Tinggi Syariah memberikan kebenaran untuk merayu”.

Apabila ada pihak tidak berpuashati merayu, pihak satu lagi tidak perlu marah atau menyalahkan Mahkamah Syariah jika kesnya lambat dan tertangguh akibat rayuan dikemukakan pihak tidak berpuas hati itu. Kerana ia hak diberikan hukum syarak dan undang-undang kepada pihak yang berkenaan. Mahkamah hanya menjalankan kuasa diberikan syarak dan undang-undang.

Walaupun hukum syarak dan undang-undang membenarkan pihak tidak berpuas hati membuat rayuan, namun janganlah hak ini digunakan pihak berkenaan untuk menzalimi pihak satu lagi.

Contoh, dalam kes mahkamah membenarkan tuntutan fasakh isteri, kadang-kadang si suami membuat rayuan atas dasar semata-mata menganiayai isteri atau menggantung isteri tidak bertali, sedangkan pasangan ini tiada persefahaman dan tidak lagi tinggal sebumbung. Dalam keadaan ini, ia ditegah syarak, kerana menganiayai dan menzalimi sesama manusia.

Allah berfirman bermaksud; “Sesungguhnya Allah menyuruh berbuat keadilan dan kebajikan, memberi (hak yang sepatutnya) kepada kaum kerabat, dan (Allah) melarang kamu melakukan kekejaman dan kemungkaran. Dia memberi pengajaran kepada kamu agar dapat mengambil pengajaran.” (Surah An-Nahl ayat 90).

Sehingga kini, ada beberapa negeri di mana Mahkamah Rayuan Syariah masih belum bersidang kerana ketiadaan panel rayuan atau panel rayuan belum dilantik secara rasmi, yang memberi makna bahawa rayuan pihak terbabit tidak dapat didengar dan diputuskan.

Keadaan ini perlu diselesaikan segera supaya umat Islam tidak melemparkan tohmahan kepada Mahkamah Syariah atas kelewatan itu dan tidak menzalimi pihak terbabit.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com.

Thursday, March 17, 2011

Program Terdekat - Tafaqquh Fi Ad-Din

Program "TAFAQQUH FI AD-DIN"
Tarikh : 25 MAC, 2011
Hari : JUMAAT
Jam : 09.00 pagi hingga 12.00 tengahari
Tajuk : "Syahadah & Bayyinah"
Tempat : Pusat Info JAKESS, Jalan Othman, Petaling Jaya
(sebelah MRS Petaling Jaya)
Pengajar : Tuan Fakhrurazi (UKM)
Konsep : Pengajar akan membentangkan kertas kerja tentang tajuk "Syahadah & Bayyinah" di atas, dengan melihat dan memetik pandangan ulamak2 daripada zaman silam (kitab thurath) sehingga zaman terkini (kitab kontemporari).
Yuran/Fee: Ahli PGSM - RM50.00
Bukan ahli - RM60.00 (anda boleh mengisi borang keahlian untuk mendapatkan harga ahli)
Pelajar universiti - RM30.00 dengan mengemukakan Kad Matriks
Pelatih Dalam Kamar - RM30.00 dengan mengemukakan surat perakuan
chambering dari majikan/Master.
Pendaftaran dan Bayaran boleh dibuat di Sekretariat PGSM.
Sila hubungi sekretariat 03-2274 1499. TEMPAT TERHAD!!! 40 ORANG SAHAJA.
PESERTA MENDAFTAR AWAL DIUTAMAKAN.