Saturday, February 19, 2011

Segerakan fatwa peguam syarie mesti Islam

Oleh Musa Awang
sekretariatpgsm@yahoo.com

Berita Harian, 23/05/2010

Benarkan bukan Muslim berhujah di mahkamah syariah tambah ruang kes murtad, hina agama

SITUASI 1: Si A dan B kedua-dua Muslim bertikai di Mahkamah Syariah. Si C, seorang bukan Islam menawarkan diri mewakili seorang daripadanya, A atau B untuk hadir di Mahkamah Syariah membawa kitab suci al-Quran dan hadis ke mahkamah dan kemudian berhujah dengan dalil al-Quran, sunnah serta mengambil pandangan ulama Islam.

Situasi 2: D dan E bukan Islam bertikai mengenai isu agama mereka. Si F seorang Islam, menawarkan diri mewakili D atau E, membawa kitab agama mereka dan berhujah menggunakan kitab itu.

Kehadiran bukan Islam sebagai peguam syarie perlu dilihat dari dua sudut hukum syarak dan perundangan.

Hukum syarak

Prinsip dan amalan peguam syarie di mahkamah syariah berasaskan prinsip wakalah bi al-khusumah, iaitu orang yang mewakili seseorang yang lain dalam urusan pendakwaan di hadapan hakim syarie, baik dalam sesuatu prosiding mahkamah atau perkara yang berhubungan dengan ke s dipertikaikan. Wakil atau peguam bertanggungjawab atas semua dakwaan dan segala yang berkaitan dengan apa yang didakwa.

Menurut Imam Abu Hanifah, tanggungjawab itu termasuk membuat ikrar. Menurut Imam Shafie, Imam Malik dan Hambali, wakalah bil al-khusumah bererti mewakili orang yang kena dakwa dalam pertikaian untuk menegakkan kebenaran.

Jumhur ulama mensyaratkan wakalah perlu menepati rukun iaitu pewakil, wakil, perkara yang diwakilkan dan lafaz ijab kabul. Syarat pemberi wakil ialah merdeka, berhak atas urusan yang diwakilkan, berakal dan baligh, tidak bodoh dan tidak muflis. Disyaratkan wakil ialah berakal, seseorang yang ahli dalam bidang yang diwakilkan dan seseorang yang boleh mengurus diri sendiri.

Jumhur ulama tidak mensyaratkan Islam pada wakil, namun ulama Maliki tidak mengharuskan orang Islam melantik bukan Islam dalam bab muamalat dan tempahan barang.

Syarat perkara yang diwakilkan, diharuskan hukum syarak, boleh diwakilkan dan Imam Shafie mensyaratkan perkara diwakilkan mesti jelas. Imam Shafie mensyaratkan lafaz akad wakalah perlu menunjukkan perwakilan sama ada secara lisan, tulisan atau surat.

Ulama mensyaratkan wakil mesti ahli dalam bidang atau urusan diwakilkan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada bukan ahli, maka tunggulah kehancurannya.”

Imam Hanafi mensyaratkan wakil bersungguh-sungguh dan tahu tugas yang dinyatakan. Ulama Maliki tidak mengharuskan orang Islam melantik bukan Islam menjadi wakil untuk urusan jual beli (muamalat) atau membuat tempahan barang (as-salam) bagi mengelak daripada melakukan perkara dilarang agama.

Firman Allah SWT dalam An-Nisa ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkan kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat.”

Bukan saja hakim mahkamah syariah terikat dengan suruhan dan larangan Allah dalam ayat ini, malah peguam syarie yang mewakili pihak di mahkamah. Fungsi peguam syarie di Mahkamah Syariah bukan saja membantu anak guam, tetapi juga membantu mahkamah dan hakim termasuk dalam soal dakwaan, keterangan, bukti, hujah, qarinah, ikrar, khidmat nasihat kepada anak guam mengenai hukum Islam dan soal prosiding mahkamah, pendamai/mediator dan membuat rayuan.

Peguam perlu berhujah dengan dalil daripada sumber hukum syarak iaitu al-Quran dan sunnah, al-ijmak, al-qiyas, masalih al-mursalah, amalan kalangan sahabat serta pandangan ulama muktabar.

Kebanyakan rujukan dalil dan nas dalam kitab muktabar yang menggunakan bahasa Arab. Membenarkan bukan Islam sebagai peguam syarie bererti membenarkan bukan Islam berhujah dengan ayat al-Quran, hadis dan sebagainya. Dikhuatiri keadaan ini mencemarkan kesucian Islam dan boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Peguam syarie juga perlu berakhlak mulia, menutup aurat dan menjaga maruah sebagai seorang Islam seperti yang dituntut Islam sepanjang masa, sama ada dalam mahkamah atau di luar mahkamah. Peguam syarie juga hendaklah melaksanakan tugas dan fungsinya dengan ikhlas, jujur dan dengan niat melakukan ibadat kerana tugas mulia ini pernah dilakukan sahabat seperti Ali ra, Ka’b bin Sur Al-Azdi dan Abdullah bin Abbas ra.

Peruntukan undang-undang

Kaedah Peguam Syarie Wilayah Persekutuan 1993 memperuntukkan hanya pemohon Islam layak untuk memohon dan diterima sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan. Peraturan ini dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berkuasa mengikut Seksyen 59 (2), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk membuat kaedah atau peraturan bagi prosedur, kelayakan, fi dan lain-lain berkenaan peguam syarie. Seksyen itu ialah: “Majlis boleh, dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong, membuat kaedah - (a) untuk mengadakan peruntukan bagi prosedur, kelayakan dan fi bagi penerimaan peguam syarie; dan (b) untuk mengawal selia, mengawal dan mengawasi kelakuan peguam syarie.”

Syarat Islam untuk permohonan sebagai peguam syarie juga ada di Kedah, Kelantan, Melaka, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Johor tidak menyebut syarat Islam tetap mensyaratkan pemohon bermazhab ahli Sunnah Wal Jamaah. Hanya Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak tidak mensyaratkan Islam secara khusus, tetapi pemohon mesti berkemahiran dalam hukum syarak dan lulus ujian atau temu duga peguam syarie.

Disarankan kepada negeri yang tidak meletakkan syarat Islam dalam kaedah atau peraturan peguam syarie supaya segera berbuat demikian. Pemerintah mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat peraturan menyekat kehadiran bukan Islam di mahkamah syariah atas kepentingan umat Islam yang atau mengelakkan mudarat tertentu atau yang bersifat mendatang.

Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 42 bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak akan memberi mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil, sesungguhnya Allah menyukai orang yang adil.”

Membenarkan bukan Islam menjadi peguam syarie boleh membuka ruang kepada kes percubaan keluar agama dan menghina agama Islam. Dikhuatiri orang yang cuba keluar Islam melantik peguam syarie bukan Islam untuk mewakili mereka di Mahkamah.

Pada hari ini, undang-undang berkuat kuasa di mahkamah syariah hanya terpakai kepada orang Islam. Pihak yang hadir di mahkamah syariah sama ada dalam kes mal atau jenayah adalah orang Islam saja, maka pihak yang mewakili orang yang bertikai ini juga mesti Islam.

Isu ini secara positifnya membuka mata kita selepas lebih 22 tahun penubuhan mahkamah syariah dan undang-undang berkaitan, masih wujud banyak ruang dan ketidakselarasan.

Undang-undang dan peraturan yang terpakai masih tidak seragam antara negeri. Inilah masanya mufti mengeluarkan fatwa rasmi pada peringkat kebangsaan dan negeri hanya orang Islam boleh menjadi peguam syarie supaya tidak lagi dipertikaikan mana-mana pihak.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

No comments:

Post a Comment