Saturday, February 19, 2011

Persatuan Peguam Syarie Kelantan bantah pelantikan hakim

17/01/2011

KOTA BHARU: Persatuan Peguam Syarie Malaysia cawangan Kelantan hari ini membantah pelantikan Abu Bakar Abdullah Kutty sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang baru kerana didakwa tidak mempunyai pengalaman sebagai hakim sebelum ini.

Penyelaras persatuan itu, Che Rosmah Mohd Zain, berkata pelantikan Abu Bakar tidak menepati syarat, iaitu sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah atau kadi di jajahan.

"Surat bantahan itu telah kami hantar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Pelantikan Abu Bakar oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang mendapat perkenan Sultan Kelantan, berkuatkuasa Khamis lalu.

Beliau menggantikan tempat Mohd Yusof Awang yang tidak lagi disambung kontrak.

Seorang lagi hakim syarie di mahkamah itu ialah Abdullah Man.

Che Rosmah berkata, pihaknya meminta agar nama yang dicadangkan persatuan itu iaitu Hakim Mahkamah Rendah Syariah sekarang, Che Hashim Deraman, dilantik bagi mengisi kekosongan itu.

Beliau berkata, sejak kekosongan Mohd Yusof itu pada November lalu sehingga sekarang, lebih 300 kes terutama kes mal iaitu mebabitkan perceraian dan tuntutan harta sepencarian telah tertunggak dan menyusahkan semua pihak termasuk peguam syarie.

Che Rosmah berkata, persatuan itu sanggup menghadap Sultan Kelantan bagi menyelesaikan kemelut tersebut dan turut meminta agar kontrak Mohd Yusof disambung sementara bagi mengadili kes tertunggak itu.

Persatuan itu mempunyai 300 anggota. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment