Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Unsur judi jejas pembangunan sukan

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 12/05/2010

Usaha membenar pertaruhan untuk apa tujuan dilarang syarak

PIALA Dunia kembali lagi. Di sebalik keghairahan menanti aksi pemain bola sepak ternama dunia serta semangat penyokong fanatik mereka, timbul isu membabitkan kumpulan yang mengambil kesempatan daripada temasya suka gilang-gemilang itu. Mereka ialah orang yang mempertaruhkan wang bagi tujuan perjudian.

Isu judi atau pertaruhan bukan baru kerana sering dikaitkan dengan penganjuran acara besar seperti Piala Dunia. Firman Allah bermaksud: “Wahai orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 90) Judi adalah pertaruhan harta ataupun nilai. Dalam perjudian, yang kalah permainan mesti membayar sejumlah nilai kepada pihak yang menang. Ada banyak jenis permainan yang boleh dianggap sebagai perjudian seperti membeli nombor ekor, menyabung ayam dan judi bola sepak.

Lazimnya, perjudian dianggap sebagai amalan buruk kerana ia satu bentuk pengagihan harta secara tidak adil. Dalam perjudian, pihak yang menang akan mendapat harta tanpa melakukan apa-apa kerja tetapi bergantung kepada nasib.

Perjudian dilarang kerana banyak perkara mudarat timbul daripadanya seperti menyebabkan ketagihan hingga sanggup mengabaikan kerja, keluarga selain memerlukan modal.

Lebih teruk, mereka akan mengaitkan segala yang berlaku sebagai nasib kerana menganggap kehidupan adalah suatu perjudian besar. Selain itu, modal penyelesaian masalah mereka adalah tidak berlandaskan kepada akal logik.

Sesetengah mereka sanggup melakukan perbuatan syirik dengan mencari bantuan ghaib untuk kejayaan. Contohnya, mendapatkan bantuan ‘keramat’ memuja pokok, busut dan pelbagai lagi kerana percaya pemujaan itu akan meningkatkan tuah mereka.

Tanpa disedari, perbuatan itu bukan saja membazir wang dan masa malahan memesongkan akidah kerana pemikiran dipengaruhi unsur ghaib kerana percaya dapat membantu mereka menang dalam pertaruhan.

Selain itu, perjudian mendorong kepada aktiviti meminjam wang daripada ceti haram bagi tujuan mendapatkan modal atau untuk membayar hutang. Kesan teruk ialah apabila hutang kepada ceti haram gagal dibayar hingga berlaku jenayah tidak diingini.

Judi juga menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompak, curi dan samun kerana mereka ini berkehendakkan wang untuk tujuan berjudi atau menebus hutang dengan ceti haram.

Justeru, Islam mengharamkan judi kerana kesan amat buruk kepada diri dan masyarakat serta barang siapa yang dapat menjauhkan diri daripadanya adalah tergolong dalam orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Perbuatan judi bertentangan tuntutan agama dan menjadi satu kesalahan mengikut akta atau Enakmen Kesalahan Jenayah Negeri-Negeri di Malaysia.

Seksyen 17 (1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang berjudi, atau didapati berada di rumah judi, adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Namun demikian, Seksyen 17 (2) memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh tidak disabitkan atas kesalahan seperti di atas jika ia dapat memuaskan hati mahkamah bahawa dia tidak tahu dan tidak mungkin tahu bahawa rumah itu ialah rumah judi.

Dalam mentafsirkan apa dimaksudkan dengan rumah judi, peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 17 (3) mentafsirkan rumah judi adalah mana-mana premis, termasuk bilik, pejabat atau gerai sama ada terbuka atau tertutup yang digunakan atau disimpan bagi maksud perjalanan apa-apa permainan yang keputusannya bergantung kepada nasib atau campuran nasib dan kemahiran, sama ada dibenarkan oleh undang-undang lain sebaliknya, untuk mendapat wang atau nilai wang.

Jelas, judi adalah perkara terlarang daripada sudut hukum syarak serta undang-undang syariah. Oleh itu, sebarang usaha mana-mana pihak mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 adalah tindakan tidak wajar dan perlu dibantah.

Sebarang bentuk pertaruhan adalah judi walau apapun alasannya sama ada bagi mengawal aktiviti perjudian dan hasilnya digunakan untuk pembangunan sukan.
Hakikatnya, matlamat tidak boleh menghalalkan cara. Niat untuk membangunkan sukan adalah suatu niat yang murni tetapi pada masa sama tidak boleh menghalalkan judi yang jelas haram hukumnya dalam Islam.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment