Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Profesionalisme angkat martabat Mahkamah Syariah

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2010/06/02

Kakitangan institusi syarie perlu berilmu elak kekeliruan masyarakat

DALAM membicarakan isu membabitkan Mahkamah Syariah, banyak pihak menganggapnya hanya berfungsi sebagai mahkamah keluarga tanpa melihat sudut perundangan dan kepentingan Mahkamah Syariah itu sendiri. Disebabkan pandangan dan persepsi sedemikian, kedudukan institusi syariah itu tidak begitu disegani mahupun diberi perhatian oleh masyarakat awam.

Persoalan timbul penyebab yang menjadikan pandangan sedemikian? Bagaimanakah caranya meletakkan Mahkamah Syariah itu pada tahap sewajarnya selaras dengan peruntukan atau kuasa diberikan kepadanya?

Saya berpendapat ada tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian untuk memartabatkan institusi syariah terutama Mahkamah Syariah.

• Perkara pertama yang perlu diberi perhatian adalah aspek pentadbiran dan pengurusan.

Kakitangan yang menerajui institusi syariah perlu berpengetahuan dalam setiap perkara di bawah bidang pentadbirannya, bermula pada peringkat bawahan sehingga ke peringkat atasan.

Kita sering mendengar rungutan penjelasan diberikan berlainan dengan realiti. Sebagai contoh, sesetengah kes dikatakan mudah diselesaikan tetapi hakikatnya, ia membabitkan banyak prosedur yang perlu dilalui sebelum kes itu boleh diselesaikan.
Begitu juga daripada sudut kesalahan jenayah syariah, dengan penjelasan yang diberikan, amat mudah dan tidak mengambil kira aspek hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah. Akibatnya, ramai terkejut apabila hukuman penjara bagi sesetengah kesalahan jenayah syariah seperti diperuntukkan dalam enakmen negeri.

Setiap kakitangan yang terbabit dalam institusi syariah sama ada di mahkamah atau pejabat agama negeri perlu memahami prosedur serta perjalanan sesuatu kes supaya tidak timbul kekeliruan kepada masyarakat. Mereka juga perlu mempunyai ilmu berkaitan sistem pentadbiran syariah itu sendiri. Ini seterusnya akan mengelakkan rungutan terhadap kakitangan yang tidak mahir, salah penerangan dan tidak profesional.

Disebabkan tiadanya pengetahuan dalam bidang kerja mereka itu, maka timbul sikap lain yang boleh menjejaskan institusi pentadbiran syariah itu sendiri antaranya sikap tidak mesra pelanggan, sering bermasam muka, tidak suka membantu dan tidak ikhlas.

Dalam isu berkaitan kekeluargaan misalnya, sikap yang lebih mesra perlu ditonjolkan kerana ia membabitkan permasalahan keluarga yang memerlukan bimbingan bagi mengurangkan kekusutan dialami masyarakat.

Walaupun nampak remeh, ia perkara utama yang menjadi asas dalam memartabatkan institusi syariah. Sikap profesional harus bermula daripada kakitangan dan pentadbiran institusi syariah itu sendiri. Persepsi buruk berkaitan institusi syariah perlu dikikis.

• Aspek kedua yang perlu diberi perhatian adalah berkaitan prosedur undang-undang. Pegawai mahkamah termasuk hakim dan juga peguam diharap tidak meminggirkan prosedur perjalanan kes. Ini penting kerana ia menampakkan sikap profesional mahkamah.

Mahkamah Syariah bukanlah tempat mencari simpati terhadap masalah dihadapi, sebaliknya adalah tempat pengadilan terhadap sesuatu perkara yang diajukan kepadanya. Oleh itu, setiap prosedur perundangan yang ditetapkan perlu dipatuhi supaya lebih teratur dan memenuhi prinsip keadilan ditetapkan syarak. Hakim, peguam dan pegawai mahkamah perlu memainkan peranan masing-masing selaras dengan tuntutan syarak.

Mungkin isu berkaitan prosedur tidak banyak menjadi persoalan di bandar besar, namun ia harus sejajar di setiap negeri supaya wujud keselarasan dalam melaksanakan penghakiman. Walaupun prosedur ditetapkan berbeza di setiap negeri, ia tidak menghalang mahkamah melaksanakan prosedur itu selaras dengan peruntukan ditetapkan.

Janganlah disebabkan isu dikemukakan berkaitan permasalahan rumah tangga, prosedur perjalanan kes itu diabaikan. Jika prosedur diperuntukkan dalam setiap negeri dipatuhi, nescaya ia meletakkan mahkamah syariah pada kedudukannya yang tersendiri.

Mahkamah perlu melaksanakan satu garis panduan yang teratur dalam setiap kes tidak kira membabitkan isu rumah tangga atau isu jenayah syariah yang secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap kedudukannya di mata masyarakat.

• Perkara ketiga adalah membabitkan perintah mahkamah dan pelaksanaannya. Dalam hal ini, banyak yang mempersoalkan perintah Mahkamah Syariah itu tidak memberi kesan sedangkan hakikatnya, perintah Mahkamah Syariah sebenarnya mempunyai kesan sama dengan perintah dikeluarkan mahkamah sivil.

Hakim dan juga pegawai mahkamah seharusnya lebih tegas dan berani mengeluarkan perintah di bawah bidang kuasanya dan berani melaksanakan perintah dikeluarkan berlandaskan prinsip syarak. Hukuman dijatuhkan perlu dibuat tanpa mengira kedudukan individu terbabit.

Mengambil contoh kes membabitkan kesalahan poligami tanpa kebenaran di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur baru-baru ini. Tindakan berani dilaksanakan hakim apabila menjatuhkan hukuman penjara menunjukkan Mahkamah Syariah bebas daripada sebarang pengaruh luaran.

Ia juga menunjukkan mahkamah mempunyai kuasa dan haknya tersendiri selaras dengan peruntukan undang-undang diberikan. Hakim dan pegawai mahkamah perlu berani menguatkuasakan hukuman atau perintah yang dikeluarkan supaya integriti Mahkamah Syariah tidak dipersoalkan.

Penulis ialah Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

No comments:

Post a Comment