Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Peguam syarie mesti ada roh Islam bagi tentang kezaliman

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian, 26/05/2010

Khidmat utama ialah menegakkan keadilan, bela nasib anak guam

SEKIRANYA kita memperkatakan mengenai peguam syarie, tergambar di benak fikiran kita bahawa dia adalah seseorang yang menjadi peguam, membela anak guamannya di Mahkamah Syariah bagi kes yang di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Lazimnya, peguam syarie akan memberikan khidmat guamannya kepada pelanggan untuk memenuhi harapan dan permintaan mereka. Pelanggan atau anak guaman biasanya mengharapkan perkhidmatan sepenuhnya daripada peguamnya.

Dengan harapan anak guam itu, timbul persoalan sama ada peguam syarie yang dilantik oleh anak guam itu akan membela anak guamnya tanpa mengira sama ada anak guam mereka itu benar atau salah. Di dalam menentukan bahawa sama ada seseorang peguam syarie itu dapat menyempurnakan tugasnya sebagai peguam syarie, amanah Allah hendaklah diutamakan.

Dalam menjalankan amanah Allah ini, seorang peguam syarie hendaklah meletakkan pada dirinya sikap untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang kezaliman termasuk tidak bersekongkol dengan kezaliman.

Sehubungan dengan itu, peguam syarie mestilah Islam serta mempunyai roh atau kepercayaan Islam bagi menentang segala kezaliman serta menegakkan keadilan. Persoalan timbul mengapa perlu seorang peguam syarie menegakkan keadilan?

Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk sekalian alam dengan membawa agama Islam yang terdiri daripada akidah, syariah dan akhlak. Syariah atau undang-undang Islam bertujuan menegakkan keadilan mutlak.

Islam menghendaki agar hak diberikan kepada yang berhak. Seseorang itu dibenarkan mempertahankan haknya daripada dicabul, merampas hak orang lain bererti zalim. Islam tidak pernah bertolak ansur dalam menegakkan keadilan.

Keadilan yang wajib ditegakkan meliputi semua aspek dan bidang, termasuk dari segi undang-undang, pembahagian kekayaan, tindak-tanduk dan seterusnya. Ini termasuk dari segi mendengar perbicaraan, memutuskan kes, mengemukakan fakta, keterangan dan pengolahan serta pembentangan kes semasa perbicaraan.

Berlaku adil dalam semua tindakan adalah menjadi tuntutan Islam. Peguam juga hendaklah mematuhi perintah Allah ini. Mereka wajib menegakkan keadilan walaupun ia bertentangan dengan kepentingan diri mereka sendiri atau pelanggan mereka, tetapi berpegang kepada prinsip dan mempertahankan nilai murni, patuh kepada Allah dan menegakkan keadilan hendaklah diutamakan.

Keredaan Allah hendaklah menjadi matlamat hidup. Hawa nafsu, perasaan kasihan dan marah tidak boleh menjadi motif tindakan. Kepentingan peribadi, kemasyhuran dan ingin menang dalam sesuatu perbicaraan hendaklah diketepikan sebaliknya hendaklah menjadi saksi kerana Allah dan kemenangan yang sebenar ialah keredaan Allah dan kemuncak kejayaan dalam menjalankan tugas serta memainkan peranan sebagai peguam ialah berjaya menegakkan keredaan Ilahi.

Peguam yang melaksanakan tugasnya dengan cermat, amanah dan adil bererti melakukan ibadah kepada Allah. Selain peguam syarie berperanan menegakkan kebenaran, mereka ini juga berperanan menentang segala bentuk kezaliman.

Ini kerana undang-undang Islam bertujuan memberi keadilan dan mengelakkan kezaliman. Kepentingan individu hendaklah dipelihara di samping kepentingan masyarakat, hak individu dijamin, dipelihara dan dipertahankan, setiap pencabulan dan kezaliman hendaklah dielakkan serta dihapuskan.

Dengan mempunyai asas untuk menegakkan keadilan serta menentang sebarang bentuk kezaliman, peguam syarie mempunyai peranan besar di mahkamah. Tugas peguam syarie sebagai pegawai mahkamah ialah membantu mahkamah agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

Selain itu, peguam syarie juga bertindak sebagai wakil anak guamannya dalam sesuatu pertikaian. Ini bermakna, kesahihan lantikan peguam syarie, tugas dan tanggungjawab, kuasa dan peranannya adalah tertakluk kepada prinsip wakalah.

Umumnya hubungan di antara peguam syarie dengan anak guamnya adalah hubungan di antara wakilnya dengan yang mewakilkan berdasarkan prinsip wakalah dalam Islam. Perkataan wakalah berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, menjamin, melengkap dan menyerah.

Apabila dikatakan seseorang itu ‘wakil’ bererti ia adalah sebagai penjaga, penjamin, pelengkap atau seseorang itu diserahkan kepadanya sesuatu hal atau urusan dilakukannya. Justeru itu, prinsip wakalah ini hendaklah disalurkan kepada orang yang berkelayakan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Janganlah kamu jadikan yang lain daripada Allah sebagai tempat menyerah urusan kepadanya.” (Surah Al-Isra:2)

Seorang peguam syarie juga hendaklah seorang yang berakhlak mulia seperti dituntut Islam. Selain itu juga seorang peguam syarie juga perlu mempunyai niat baik serta meniatkan tugas dan peranannya sebagai suatu ibadah kerana ia adalah tugas mulia yang pernah dimainkan oleh sahabat.

Peguam syarie juga hendaklah berpengetahuan syariah yang mendalam. Pengetahuan syariah tidak akan mendalam jika mereka tidak berkemampuan untuk merujuk kepada kitab-kitab muktabar. Selain itu, peguam syarie juga mengetahui undang-undang yang berkaitan dengan tugas mereka seperti Perlembagaan Malaysia, Kanun Tanah Negara dan sebagainya.

Dengan itu, peguam syarie hendaklah mempertingkatkan kemampuan mereka mendalami ilmu pengetahuan yang berhubung kait dengan tugas mereka. Akhlak sebagai Islam hendaklah dihayati dan etika sebagai seorang peguam syarie hendaklah dijaga agar profesion ini dipandang tinggi.

Ini juga tugas serta peranan Rasulullah dan sahabat terdahulu dalam menegakkan hukum Allah di muka bumi ini serta bagi menentang sebarang bentuk kezaliman. Justeru, seseorang yang mahu mengadili orang Islam di Mahkamah Syariah termasuk peguam syarie bukan saja perlu mahir dengan undang-undang, beragama Islam malah perlu menghayati konsep akidah, tauhid dan rukun Islam agar yang hak dapat ditegakkan dan yang batil dapat dihapuskan.

No comments:

Post a Comment