Laman Web baru PGSM yang dibangunkan oleh pimpinan PGSM sesi 2012-2015 sudah boleh dilayari di http://www.pgsm.org.my/.

Saturday, February 19, 2011

Peguam Syarie Menulis: Memartabatkan imej Mahkamah Syariah

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian, 19/05/2010

Pengumuman naik taraf perjawatan Hakim Syarie disambut baik

PENGUMUMAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, untuk menaik taraf Mahkamah Syariah, mewujudkan perjawatan secara berpusat dan menaik taraf hakim Mahkamah Syariah adalah langkah yang disambut baik dan amat ditunggu-tunggu.

Pengumuman ketika merasmikan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil Ke-20 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) Jumaat lalu, pastinya memberi nafas baru bagi perundangan Islam di negara ini.

Langkah itu sesuai dengan situasi sekarang yang mana Mahkamah Syariah menjadi tempat rujukan orang Islam selain adanya usaha ke arah memartabatkan undang-undang Islam supaya setaraf dengan Mahkamah Sivil.

Pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan pada 1988 memberi Mahkamah Syariah bidang kuasa berasingan daripada Mahkamah Sivil. Pindaan itu menjadikan Mahkamah Syariah bebas daripada campur tangan Mahkamah Sivil sekali gus berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Namun, selepas 20 tahun, kedudukan Mahkamah Syariah pada hakikatnya masih pada taraf rendah berbanding Mahkamah Sivil daripada sudut hieraki, perjawatan, jaminan perjawatan, keselarasan dan penyeragaman undang-undang serta penghakiman.

Begitu juga persepsi masyarakat, lambang dan prestij, infrastruktur, prasarana, latihan kepada pegawai, undang-undang dan penguatkuasaan, skim dan gred penggajian kakitangan, bidang kuasa perundangan, perlantikan hakim dan banyak lagi.

Pada masa kini, hanya ada tiga tingkatan Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. Berbanding empat tingkatan di Mahkamah Sivil iaitu Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Seksyen dan Mahkamah Majistret.

Maka dengan cadangan terbaru berkenaan, tingkatan Mahkamah Syariah akan dinaik taraf kepada Majlis Rayuan Syariah (Syariah Privy Council), Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Tengah Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah.

Peningkatan taraf Mahkamah Syariah ini harus sejajar peningkatan taraf perjawatan hakim dan pegawai. Kini, hakim Mahkamah Syariah adalah penjawat awam pada peringkat negeri, kecuali bagi negeri menerima skim perkhidmatan guna sama di bawah penyeliaan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada peringkat pusat.

Berbeza hakim di Mahkamah Sivil, hakim Mahkamah Tinggi dan ke atas adalah anggota Badan Kehakiman Negara yang dilantik di bawah Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695) pada peringkat persekutuan.

Jaminan perjawatan hakim di Mahkamah Syariah tertakluk kepada prosedur perkhidmatan awam, berbanding jaminan perjawatan hakim di Mahkamah Sivil yang tertakluk kepada Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45).

Gaji hakim di Mahkamah Syariah jauh lebih rendah berbanding di Mahkamah Sivil. Contoh, gaji hakim Mahkamah Rayuan Sivil adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding gaji hakim Mahkamah Rayuan Syariah. Ini tidak termasuk elaun lain.

Sehingga kini, belum ada akademi latihan khusus bagi meningkatkan tahap profesionalisme kehakiman dan perundangan syariah seperti fungsi Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) yang menjadi pusat latihan kepada hakim serta pegawai Mahkamah Sivil. Akademi latihan seumpama ini boleh dijadikan pusat meningkatkan profesionalisme peguam syarie yang beramal di Mahkamah Syariah.

Ketidakseragaman undang-undang berhubung penubuhan Mahkamah Syariah serta undang-undang syariah antara negeri masih menjadi masalah yang rencam.

Keadaan ini berbeza di Mahkamah Sivil yang mempunyai undang-undang seragam di seluruh negara yang diterima pakai semua Mahkamah Sivil seperti Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Prinsip duluan mengikat yang diterima pakai di Mahkamah Sivil tidak terpakai di Mahkamah Syariah. Akibatnya, keputusan hakim di satu negeri boleh berbeza dengan keputusan hakim di negeri lain, walaupun fakta persoalannya adalah sama.

Daripada sudut positif, ia membuka ruang kepada hakim untuk berijtihad. Namun negatifnya, masyarakat melihat keputusan berbeza itu dalam isu atau persoalan sama, sepatutnya tidak berlaku kerana negara berpegang kepada ahli sunnah wal jamaah, terutama pandangan ulama Mazhab Syafie.

Mengambil contoh kes kontroversi Kartika Sari Dewi Sukarno. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan mengenakan hukuman enam sebatan terhadap Kartika dipertikaikan pelbagai pihak sehingga ke peringkat asas hukuman itu sendiri.

Sedangkan, hakim hanya melaksanakan undang-undang yang diluluskan Dewan Undangan Negeri. Berbeza penghakiman Mahkamah Sivil, keputusan hakim tidak disanggah malah diiktiraf pada peringkat nasional dan antarabangsa.

Di Mahkamah Sivil ada lambang dan adat kebesaran mahkamah seperti cokmar dan pakaian rasmi yang menggambarkan prestij serta imej mahkamah selaras di seluruh negara. Namun lambang dan pakaian rasmi Mahkamah Syariah berbeza antara satu sama lain. Sepatutnya lambang dan kebesaran Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam diserlahkan dan diseragamkan di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Menaik taraf Mahkamah Syariah bukan bermakna ingin merampas kuasa Mahkamah Sivil, tetapi sebenarnya hanya mahu mengembalikan martabat dan fungsi Mahkamah Syariah suatu masa dulu sebelum Inggeris bertapak dan memperkenalkan sistem perundangan barat di negara ini.

No comments:

Post a Comment