Thursday, September 8, 2011

Jangan abai kebajikan anak

Perceraian tak boleh jadi alasan putus silaturrahim

Oleh Musa Awang

Berita Harian, 31 Ogos 2011

Anak adalah rezeki daripada Allah, maka sewajarnya pasangan suami isteri bersyukur rezeki yang dikurniakan itu.

Firman Allah yang bermaksud, “Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Dia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Surah as-Syura ayat 49 dan 50)

Antara cara kita menunjukkan rasa syukur terhadap Allah s.w.t adalah dengan mengambil berat persoalan anak, amanah yang mesti dicorak menurut perintah dan kehendak-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Setiap anak yang lahir itu adalah dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibu bapanyalah yang bertindak menjadikan ia Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”(HR Muslim dan Baihaqi)

Tugas mendidik anak adalah tanggungjawab kedua ibu dan bapa. Dalam menghadapi cabaran keimanan dan krisis moral hari ini, ibu bapa harus mempersiapkan jiwa dan minda anak dengan ilmu agama yang mencukupi supaya mereka tidak menyimpang dari ajaran Islam sebenar.

Persiapan didikan anak bukan sahaja perlu kepada ilmu-ilmu semasa, tetapi juga ilmu-ilmu menghadapi cabaran masa akan datang. Sayidina Umar al-Khattab r.a. pernah berpesan, “Sesungguhnya anak-anak kamu itu dijadikan untuk generasi lain daripada generasi kamu, dan jadikan mereka untuk menghadapi zaman yang lain dari zaman yang kamu hadapi sekarang ini.”

Namun tidak semua ibu bapa itu dapat mendidik anak-anak mereka secara bersama-sama. Sebahagiannya ditakdirkan bercerai, maka sama ada ibu atau bapa, hendaklah menjaga dan mendidik anak.

Perceraian banyak memberi kesan terhadap anak, samada kesan jangka panjang atau jangka pendek. Kesannya mungkin berbeza antara seorang kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain. Bayi kecil tidak merasakan kehilangan ayahnya jika dibandingkan dengan anak berusia 5 tahun yang sudah rapat dengan ayahnya. Kesan kepada anak lelaki pula berbeza dengan kesan dialami anak perempuan.

Selagi bekas suami isteri tidak dapat menerima qada’ dan qadar Allah, masih bertengkar mengai perceraian mereka, hak lawatan atau hak bersama anak, selagi itulah emosi anak akan terganggu.

Ada pasangan bercerai yang masih bertengkar tentang masa bersama dengan anak, terutama semasa perayaaan Aidilfitri ini, walaupun mereka telah lama bercerai dan masing-masing mempunyai keluarga baru. Ada pula kes di mana sesetengah pihak menafikan terus hak pihak satu lagi untuk bersama anak semasa perayaan Aidilfitri.

Menyambung silaturrahim amat digalakkan oleh Islam, khususnya menyambung kembali tali ikatan yang telah putus, memulihkan ketegangan dalam perhubungan, membina kemesraan dan keakraban, saling bantu membantu serta bertolak ansur.

Dari Anas bin Malik r.a bahwa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan ingin dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (HR Al-Bukhari)

Dari Abdullah bin ‘Amr dari Nabi s.a.w bahawa Baginda bersabda yang bermaksud “Orang yang menyambung silaturrahim bukanlah orang yang membalas akan tetapi orang yang menyambung silaturrahim adalah orang yang menyambungnya ketika dia itu terputus.” (HR Al-Bukhari)

Sempena Aidilfitri ini, leraikanlah kekusutan, jernihkan kekeruhan, banyak bersabar, bersikap terbuka dan mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap angkuh dan sombong serta menganggap diri sentiasa betul, kerana inilah punca keretakan hubungan berpanjangan dan berterusan. Utamakan kebajikan anak melebihi kepentingan diri sendiri atau kemarahan kita terhadap apa yang pernah pasangan lakukan.

Allah berfirman yang bermaksud “…Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran ayat 134)

Dari Abu Hurairah r.a, bahawasanya ada seorang laki-laki yang pernah mengadu kepada Rasulullah s.a.w, “Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berupaya untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berupaya untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berupaya untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka tak acuh kepada saya.” Maka Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi mereka makan debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan sentiasa bersamamu.” (HR Muslim)

Sebagai ibu dan bapa, tunjukkanlah teladan yang baik kepada anak, walaupun selepas bercerai. Seorang pendidik yang berjaya ialah apabila dia sendiri menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak didiknya. Ibu atau bapa yang berjaya pada perspektif anak ialah yang berjaya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada mereka, walaupun setelah bercerai. Ingatlah, persengketaan ibu dan bapa yang berpanjangan adalah suatu contoh teladan yang tidak baik untuk anak.

Tanggungjawab ibu bapa bukan saja memberi atau memastikan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal kepada anak, malah lebih dari itu, wajib mendidik dan memberi pelajaran yang baik agar mereka membesar dan menjadi orang yang berguna kepada agama, bangsa dan Negara, seterusnya mendoakan ibu bapa setelah mereka meninggal dunia. Sempena Aidilfitri ini, lupakanlah sengketa lama, pulihkanlah kembali silaturrahim.

- Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi di alamat e-mel maa46050@yahoo.com.

Wednesday, August 24, 2011

Pemeriksaan Gereja Mematuhi Undang-undang

Oleh Tuan Musa Awang
maa46050@yahoo.com

Berita Harian, 24 Ogos 2011

Ramai yang menyalahkan JAIS dalam isu pemeriksaan JAIS ke Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) pada 3 Ogos 2011 lalu. Banyak pihak yang menghentam JAIS termasuk pimpinan kerajaan Negeri, dan pada masa yang sama JAIS mengambil sikap berdiam diri dan tidak defensif.

Sepatutnya kerajaan negeri Selangor dan umat Islam yang lain memberikan ucapan tahniah dan syabas kepada penguatkuasa JAIS dan pihak polis yang menjalankan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang Syariah yang telah diperkenan oleh DYMM Sultan Selangor, pada malam bulan Ramadhan yang mulia, terpaksa mengetepikan ibadah sunnah dan fadhilat Ramadhan semata-mata untuk melaksanakan tanggungjawab demi agama dan Negara. Tetapi malang, yang berlaku adalah sebaliknya.

Melihat dalam konteks penguatkuasaan undang-undang jenayah Syariah, berpandukan pengalaman saya selama 13 tahun mengendalikan kes-kes jenayah Syariah, saya berpendapat, secara umumnya tidak ada yang kecacatan prosedur dilakukan JAIS dalam tindakan penguatkuasaan tersebut.

Tindakan penguatkuasa JAIS adalah berdasarkan maklumat yang diterima bahawa terdapatnya kehadiran orang Islam dalam satu majlis di gereja tersebut. Kehadiran orang Islam dalam satu majlis yang diadakan di sebuah rumah ibadat bukan Islam, waimma tidak kiralah siapa pun penganjurnya, pada malam hari di bulan Ramadhan (kerana kebiasaannya umat Islam akan berada di surau dan masjid untuk sembahyang tarawikh) adalah satu motif serta menimbulkan syak bahawa mereka telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995, iaitu menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam di pandang hina.

Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1991 memperuntukkan bahawa : “Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:- (a) menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina; (b) mempersendakan, mengajuk-ajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubungan dengan agama Islam; atau (c) mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Kesalahan di bawah Seksyen 10 ini adalah kesalahan boleh tangkap (seizable offence) yang lazimnya memberi kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau pegawai polis untuk menangkap pesalah tanpa memerlukan waran dari Mahkamah Syariah.

Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003 menyebutkan jika penguatkuasa JAIS menerima maklumat atau aduan bahawa kesalahan boleh tangkap telah berlaku, maka penguatkuasa JAIS boleh terus pergi menyiasat, dan untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu menurut undang-undang. Manakala seksyen 18 (a) Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan yang boleh ditangkap (seizable offence), tanpa perlu memohon waran dari Mahkamah.

Seksyen 18 (a) menyebutkan “Tanpa menjejaskan peruntukan mana-mana undang-undang bertulis lain, mana-mana Pegawai Penguatkuasa Agama, pegawai polis atau Pegawai Masjid boleh, tanpa perintah daripada Hakim dan tanpa waran, menangkap-(a) mana-mana orang yang kena-mengena dengan apa-apa kesalahan boleh ditangkap di dalam Negeri Selangor atau yang terhadapnya suatu aduan yang munasabah telah dibuat atau maklumat yang boleh dipercayai telah diterima atau syak yang munasabah wujud bahawa dia telah kena-mengena sedemikian”

Saya ingin betulkan persepsi sesetengah orang, tindakan penguatkuasa JAIS dan polis memasuki premis gereja tersebut bukanlah suatu percerobohan kerana mereka bertindak menurut undang-undang. Bagi kesalahan boleh tangkap, Seksyen 11 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada penguatkuasa JAIS atau polis untuk masuk ke sesuatu premis di mana di dalamnya dipercayai pesalah berada. Menurut Seksyen ini, orang yang tinggal di premis itu atau yang menjaga tempat itu hendaklah membenarkan pegawai terlibat bebas masuk ke dalamnya dan memberikan sepenuh kerjasama termasuk untuk menggeledah tempat premis tersebut, bagi tujuan mencari pesalah. Penguatkuasa JAIS atau polis juga diberi kuasa untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang-barang bukti yang dijumpai padanya selain daripada pakaian yang dipakai oleh orang tersebut (Seksyen 15).

Tiada unsur kekasaran atau keganasan digunakan oleh penguatkuasa JAIS dan pihak polis. Malah, penguatkuasa JAIS telah bertindak bijak apabila memanggil penganjur program tersebut yang juga seorang Muslim, dan sesi temubual itu dibuat di luar dewan. Ia langsung tidak mengganggu majlis yang sedang dijalankan. Pihak penganjur telah berunding selama hampir 1 jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai. Penguatkuasa JAIS dan polis tidak mengganggu perjalanan majlis tersebut, malah menunggu sehingga ianya selesai, walaupun undang-undang membenarkan penguatkuasa JAIS untuk masuk memeriksa premis tersebut.

Seramai 12 orang beragama Islam yang menghadiri majlis tersebut tidak ditangkap, tetapi mereka telah diarah untuk menghadirkan diri di Bahagian Penguatkuasaan JAIS untuk siasatan lanjut. Betapa rasional, lembut dan berhikmahnya cara yang digunakan oleh penguatkuasa JAIS semasa pemeriksaan tersebut, kerana faham bahawa pemeriksaan dan siasatan tersebut melibatkan agama dan komuniti bukan Islam. Namun perkara ini masih dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga. Cara selembut manakah lagi yang golongan ini mahukan dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia termaktub?
Walaupun kepelbagaian agama (pluraliti) dalam negara ini merupakan suatu realiti, namun semua pihak perlu juga sedar bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama tertinggi di Negara ini. Secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka, namun kebebasan yang diberikan tersebut tidaklah bermaksud agama-agama bukan Islam boleh menyebarkan agama mereka kepada penganut agama Islam (Perkara 11 (1)).

Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam.”

Di Selangor, telah terdapat Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No. 1/1988) yang boleh dikenakan ke atas orang bukan Islam yang menyebarkan agama mereka kepada orang Islam, dan juga kepada orang Islam yang bersengkokol dengan mereka.

Selama ini kita banyak berlembut, cepat menggelabah dan tidak konsisten dalam mempertahankan agama Islam serta dalam menguatkuasakan hak yang terdapat undang-undang negara. Kedua-duanya digadaikan kerana mahukan kemenangan politik sementara, yang akhirnya meruntuhkan dan menghina agama sendiri. Sepatutnya dalam konteks pluraliti agama di Negara ini, orang bukan Islam terlibat yang sepatutnya meminta maaf kepada orang Islam kerana secara terang-terangan membenarkan orang Islam berada dalam pusat ibadah agama mereka.

Kejadian di awal Ramadhan ini sepatutnya membuka mata dan minda sekalian umat Islam di Negara ini, untuk bermuhasabah, memikirkan di mana kedudukan dan jatidiri mereka pada masa kini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Wednesday, August 17, 2011

Majlis Bualbicara PGSM-Peguam Syarie & Berbuka Puasa

Pada Jumaat 19 Ogos 2011 akan diadakan Majlis Bualbicara PGSM dengan Peguam Syarie & Majlis Berbuka Puasa, bertempat di Bangi Golf Resort, Bangi Selangor. Harga Buffet Ramadhan RM53 bagi dewasa dan RM21 bagi kanak-kanak 5 - 12 tahun. TEMPAT TERHAD. Sila berhubung dengan Mastura di talian 03-2274 1499 untuk tempahan. Tarikh tutup Khamis 18 Ogos 2011.

Hubungan sejenis amalan hina

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/08/17

Kebebasan hak asasi manusia tidak boleh jadi alasan

BARU-BARU ini kita dikejutkan dengan cadangan paderi Kristian, Pastor Ou Yang Wen Feng yang ingin melangsungkan perkahwinan dengan ‘kekasihnya’ seorang lelaki keturunan Afrika Amerika pada hujung bulan ini atau awal bulan depan.
Disebabkan kenyataan terbuka itu, beliau dikecam pelbagai pihak antaranya jurucakap Persatuan Buddha Wakaf Bharu yang menyatakan, agama Buddha menolak perkahwinan secara homoseksual kerana ia bukan amalan hidup masyarakat di negara ini malah terpesong daripada ajaran agama.
Sementara presiden agama Hindu, P. Subramaniam pula berkata, perkahwinan sesama sejenis sememangnya diharamkan oleh agama Hindu yang dilihat tidak mematuhi ajaran agama.

Kenyataan daripada pelbagai agama berkaitan dengan isu ini jelas menunjukkan bukan saja agama Islam yang menentang keras hubungan sejenis, malah agama lain turut melarangnya.

Walaupun tindakan ini dikatakan berpaksikan kebebasan hak asasi manusia untuk memilih pasangan hidup. Bagaimanapun, kebebasan ada batasnya dan hak kebebasan seperti ini adalah kebebasan melampau yang bertentangan norma kehidupan serta sudut agama.

Kesan terhadap perkahwinan ini bukan saja kepada pasangan terbabit, malah ia akan memberi kesan jangka masa panjang kepada masyarakat jika dibiarkan tanpa sebarang sekatan.
Sikap kebebasan dan keterbukaan melampau ini adalah kesan daripada fahaman liberalisme dan pluralisme yang cuba diterapkan dalam masyarakat di Malaysia. Individu terbabit hanya memikirkan untuk memenuhi keinginan diri semata-mata.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah bermuzakarah dan menegaskan bahawa fahaman liberalisme dan pluralisme bercanggah dengan fahaman Islam dan tidak dibenarkan di negara ini.

Dalam Islam, perkahwinan adalah satu ikatan suci yang diharapkan akan memberi kemaslahatan pada pembangunan masyarakat untuk masa akan datang melalui kelahiran generasi yang sihat dari segi mentaliti serta kukuh pegangan agamanya.

Oleh itu, bagi merealisasikan pembentukan generasi ini, acuan yang elok diperlukan. Persoalannya bolehkah pasangan sejenis menjadi acuan yang baik dalam membentuk generasi akan datang.

Perkahwinan ibadat yang disyariatkan Allah kepada hamba-Nya dengan hikmah yang besar sebagai saluran sah dan suci untuk mengembangkan zuriat keturunan.
Firman Allah yang bermaksud: “Maka berkahwinlah (dengan) sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan (lain).” (Surah al-Nisa’, ayat 3).

Secara asasnya institusi keluarga terdiri daripada ibu, bapa dan anak. Bagi institusi pasangan homoseksual ini, jika mengambil anak angkat, pasti akan menimbulkan kekeliruan apabila si anak melihat bapanya lelaki dan ibunya juga lelaki.

Atau anak memahami bahawa hubungan pasangan sama jantina tidak menjadi satu kesalahan dan akhirnya perkara ini akan berterusan kepada generasi seterusnya.

Larangan keras terhadap hubungan sejenis diceritakan dalam al-Quran (surah Hud, ayat 77-83), Allah mengazab dengan cara menterbalikkan tanah dan menimbus kaum Luth yang tetap berdegil meneruskan hubungan homoseksual walaupun sudah diingatkan azab Allah oleh Nabi Luth.

Hukuman terhadap kesalahan homoseksual mengikut hukum syarak, dikira sebagai kesalahan zina. Hukuman terhadap kesalahan ini diqiyaskan dengan hukuman kesalahan zina iaitu jika pelaku sudah berkahwin akan direjam sehingga mati.

Manakala pelaku yang belum berkahwin, akan disebat sebanyak seratus sebatan dan dibuang negeri sehingga setahun.

Menurut satu pendapat asy-Syafie pula, pelaku liwat adalah dihukum bunuh. Berdasarkan riwayat oleh penulis sunan, daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Lut, hendaklah kamu bunuh pelaku dan si pelaku.”

Beberapa pendapat mazhab lain menyatakan pelaku liwat hendaklah dibakar. Pendapat ini berpandukan hadis riwayat al-Baihaqi, sahabat Rasulullah SAW sependapat membakar pelaku dan yang diperlaku.

Dari segi perundangan di Malaysia, peruntukan seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan (akta 574) memperuntukkan kesalahan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sunday, August 14, 2011

MAJLIS BERBUKA PUASA PGSM

MAJLIS BUALBICARA PGSM DENGAN PEGUAM SYARIE & BERBUKA PUASA

Pada Jumaat 19 Ogos 2011 akan diadakan Majlis Bualbicara PGSM dengan Peguam Syarie & Majlis Berbuka Puasa, bertempat di Bangi Golf Resort, Bangi Selangor. Harga Buffet Ramadhan RM53 bagi dewasa dan RM21 bagi kanak-kanak 5 - 12 tahun. TEMPAT TERHAD.

Sila berhubung dengan Mastura di talian 03-2274 1499 untuk tempahan. Tarikh tutup 16 Ogos 2011.

Perbaiki cara dakwah elak umat diperdaya

Peguam Syarie Menulis Berita Harian, 10/08/2011

Oleh Musa Awang

JKM, Baitulmal perlu ubah kaedah agih dana pastikan tiada tercicir

INSIDEN pemeriksaan pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan polis terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya mendedahkan sekali pengakuan orang Islam yang dipujuk secara berterusan untuk mendekati gereja walaupun selepas membuat keputusan untuk tidak lagi menerima bantuan kewangan dihulurkan.

Menurut pengadu, gereja itu akan menelefon dua hingga tiga kali sebulan untuk bertanyakan khabar dan masalah. Mereka turut menawarkan individu berkenaan dan anak tinggal di asrama yang disediakan di pusat ibadah itu dan sanggup menanggung segala keperluan termasuk persekolahan anak.

Individu terbabit pada mulanya sanggup menerima bantuan yang dihulurkan gereja bagi memastikan anak mereka meneruskan kehidupan, selepas gagal mendapat bantuan Baitulmal.

Minggu lepas, seorang rakan penulis bertemu satu keluarga malang yang bergelut dalam kepayahan hidup. Nasib malang keluarga ini dihidu dan dibantu persatuan Buddha sebanyak RM300 sebulan. Nasib baik iman dan pegangan agama keluarga ini utuh dan tidak mudah terpengaruh.

Jika terbukti benar dakwaan itu, ia adalah dakyah terancam yang perlu ditangani segera dengan menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang sedia ada di kebanyakan negeri, sejak tahun 1988.

Kesalahan yang termaktub dalam enakmen itu ialah:

• Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5).

• Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6).

• Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7).

• Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8).

• Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9).

Sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh ditangkap tanpa waran. Sebagai umat Islam, kita melenting kalau ada ancaman dakwah daripada agama lain. Tetapi kita perlu sedar bahawa itu adalah strategi proaktif mereka.

Kita perlu menilai adakah strategi dakwah kita dapat menyaingi mereka atau kita hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan hidayah Allah? Adakah kita hendak menyalahkan pihak gereja yang me ngambil inisiatif membantu mereka dalam kesusahan tanpa perlu melalui proses tapisan ketat?

Kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang.

JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta menambah baik kaedah pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat layak menerimanya, supaya tidak ada lagi masyarakat Islam tercicir, yang akhirnya dipujuk pihak tertentu untuk menerima bantuan dari gereja.

Baitulmal perlu lebih agresif mencari punca dan masalah kenapa ada pihak yang susah mendapatkan bantuan kerana dana yang dipegang badan itu adalah amanah seluruh umat Islam yang mengeluarkan zakat.

Pengajaran boleh diambil dari sejarah Islam, diriwayatkan bahawa pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, beliau sanggup memikul gandum untuk diagihkan kepada orang miskin kerana mengambil berat tanggungjawabnya menjaga kebajikan umat Islam.

Pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz pula, wang zakat tidak dapat diagihkan kepada umat Islam kerana kemiskinan sifar, yakni tiada orang memerlukan wang zakat lalu ia digunakan untuk memerdekakan hamba abdi di Eropah.

Pihak yang diamanahkan menjaga kebajikan umat Islam di negara ini perlu membuat transformasi cara kerja secepat mungkin bersesuaian kehendak semasa, mengurangkan birokrasi dan lebih praktikal. Sebagai pembayar zakat, sudah pasti kita mahukan perubahan ini berlaku segera.

Wednesday, August 3, 2011

Peniaga boleh bantu banteras golongan liat berpuasa

Peguam Syarie Menulis: Peniaga boleh bantu banteras golongan liat berpuasa

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip
bhagama@bharian.com.my
2011/08/03

JAIS larang buka gerai sebelum jam 3 petang untuk elak orang tidak puasa beli makanan

RAMADAN yang mulia dan ditunggu-tunggu sudah kembali lagi, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat dipertemukan dengan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Sewajarnya kita menjadikan Ramadan sebagai madrasah atau pusat tarbiah bagi meningkatkan keimanan amal ibadah serta mendidik diri bukan hanya memperbaiki diri dan akhlak atau beribadat pada Ramadan ini saja, malah berusaha berterusan sehingga Ramadan akan datang.

Justeru, kita sebagai umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan melakukan sebanyak-banyaknya amal soleh di sepanjang Ramadan yang mulia ini. Ia kesempatan yang tidak patut dilepaskan begitu saja kerana Ramadan tahun hadapan belum pasti kita temui.

Kita juga hendaklah berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan banyak berdoa bagi memohon taufik, hidayah dan bertaubat atas semua kesalahan lalu agar Allah sentiasa memberi petunjuk, bimbingan dan pemeliharaan demi kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat, seperti maksud hadis Qudsi: “Allah SWT berfirman pada setiap malam Ramadan bila mana orang yang memohon, Aku akan berikan permohonannya, bila mana orang yang bertaubat, Aku akan terima taubatnya, bila mana orang yang memohon keampunan, Aku akan ampunkannya dan Allah akan membebaskan pada setiap malam Ramadan beribu-ribu penghuni dari api neraka yang sudah ditentukan mendapat azab”. (Riwayat Al-Muwatta’)

Pada kesempatan Ramadan ini, marilah kita bersungguh-sungguh melakukan pelbagai amal dan usaha kebajikan secara serius serta bertaubat untuk tidak mengulangi segala kesalahan lalu. Selain daripada itu, sentiasa bersedekah dan beramal jariah dan jangan kita cemari Ramadan dengan perkara mungkar seperti mencemari Ramadan ini dengan tidak berpuasa. Sudahlah tidak berpuasa ditambah lagi perbuatan itu sengaja dilakukan di tempat terbuka atau tempat awam. Sengaja merokok di tempat awam bagi menunjukkan keegoan dan rasa bangga dia tidak berpuasa. Perkara ini sewajar dielakkan bagi menghormati Ramadan, tidak berpuasa adalah suatu dosa yang jelas dilarang syarak, sedangkan puasa satu kewajipan bagi setiap Muslim. Jelas di dalam Al-Quran, firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183g bermaksud: “Wahai orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa seperti diwajibkan puasa itu ke atas orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

Tidak berpuasa mengundang dosa dari segi hukum syarak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan sengaja dan menunjuk-nunjuk di khalayak ramai, menunjuk-nunjuk tidak berpuasa pula adalah satu hal yang lain.

Berdasarkan peruntukkan undang-undang jenayah syariah di Malaysia, perbuatan ini sebenarnya satu kesalahan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen/Akta Kesalahan Jenayah Syariah negeri-negeri di Malaysia.

Baru-baru ini, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengeluarkan satu kenyataan meminta peniaga membuka gerai jualan jam 3 petang dan ke atas pada Ramadan ini bagi mengelakkan orang Islam yang tidak berpuasa membeli makanan pada waktu siang hari. Tindakan ini tepat sebagai satu pencegahan kerana jika peraturan seumpama ini tidak dilaksanakan akan memberi ruang mereka yang tidak berpuasa membeli makanan dengan sewenang-wenangnya.

Mengikut peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 negeri Selangor, peniaga yang didapati dengan sengaja menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa boleh diambil tindakan di bawah Enakmen Jenayah Syariah 1995 dan dikenakan tindakan di bawah seksyen 19 (a). Seksyen 19 (a) itu pula memperuntukkan mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam Ramadan, menjual kepada mana-mana orang Islam atau membeli apa-apa makanan atau minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap dalam waktu adalah suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. Ini bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kali kedua peniaga itu boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama setahun atau kedua-duanya.

Peruntukan ini secara jelas menghalang mana-mana orang menjual kepada mana-mana orang Islam sebarang makanan, minuman atau rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan diminum atau dihisap dalam waktu puasa. Perbuatan seumpama ini menjadi suatu kesalahan dan sekiranya disabitkan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman seperti yang dinyatakan di atas.

Peruntukan ini hanya terhad kepada peniaga Islam saja, peniaga yang bukan Islam tidak boleh disabitkan di atas kesalahan ini kerana peruntukan di bawah undang-undang ini hanya berkuatkuasa kepada orang Muslim saja. Walaupun begitu, ini tidak bermakna orang Islam yang membeli makanan atau minuman untuk tujuan itu terlepas begitu saja.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, July 27, 2011

Tukar Jantina : Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek

Tukar Jantina : Perlu Fikirkan Dari Semua Aspek

Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian 27/7/2011

KISAH Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, 25, yang memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk menukar nama dalam MyKad dan Sijil Kelahiran kepada nama wanita Aleesha Abdul Aziz, selepas menjalani pembedahan menukar jantina dua tahun lalu menghiasi dada akhbar minggu lalu.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak permohonan itu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin ketika pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.
Mohd Ashraf Hafiz dilaporkan telah membuat pembedahan menukar jantina di Hatyai, Thailand pada 2009 selepas disahkan layak dari segi psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur.
Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan bagi menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai wanita dengan status lelakinya.

Kisah itu menimbulkan kemarahan masyarakat tidak kurang juga ada yang bersimpati. Persoalannya adakah simpati mampu mengubah hukum Allah?

Ulama sepakat perbuatan menyerupai wanita melalui cara berpakaian, gaya dan tingkah laku berdosa besar apatah lagi mengubah anggota menjadi anggota wanita.

Perbuatan menukar jantina sama ada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya adalah dilaknat, haram, berdosa besar dan fasik sehinggalah seseorang itu bertaubat nasuha. Allah mencipta manusia sebaik-baik kejadian berbanding makhluk lain.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dengan sebaik-baik bentuk.” (Surah at-Tiin, ayat 4)

Allah juga memberi peringatan mengenai tipu daya dan hasutan syaitan untuk mengubahsuai ciptaan Allah seperti mana firman-Nya bermaksud: “Dan demi sesungguhnya aku akan sesatkan mereka dan Kuperdayakan mereka dengan angan-angannya serta Kusuruh mereka memotong telinga ternak (untuk berhala) dan kusuruh mereka supaya mengubah makhluk Allah. Dan barang siapa mengambil syaitan menjadi wali (panduan), selain Allah sesungguhnya dia rugi dengan kerugian nyata.” (Surah An-Nisa’, ayat 119)

Ibnu Abbas meriwayatkan, “Rasulullah melaknat lelaki menyerupai atau berlagak seperti wanita dan wanita menyerupai atau berlagak seperti lelaki.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak memberikan fatwa penukaran jantina lelaki kepada perempuan melalui pembedahan bertentangan dengan Islam kerana Allah melarang mengubah kejadian-Nya.

Syarak hanya memberi pengecualian kepada golongan khunsa musykil untuk menentukan jantina melalui pembedahan, dengan syarat disokong keterangan pakar dalam bidang itu. Khunsa musykil mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-dua alat itu.

Jantina sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh. Jantina mereka dapat ditentukan dari mana tempat mula keluar air kencing atau kuantiti paling banyak atau paling akhir berhenti.

Ia juga boleh ditentukan selepas baligh dengan tanda dikenal pasti sama ada memiliki ciri kewanitaan (datang haid) atau kelelakian (tumbuh janggut dan misai).

Kelonggaran diberikan ini adalah ‘maslahah’ atau demi kebaikan bagi membolehkan individu itu menjalani kehidupan dengan baik dan melaksanakan tanggungjawab sebagai Muslim secara sempurna.

Jika penukaran jantina dibenarkan, pelbagai masalah akan timbul serta merosakkan ibadat bukan saja kepada diri sendiri malah orang lain. Status pernikahan individu asalnya lelaki dengan lelaki lain pasti menimbulkan implikasi besar.

Bagi yang tidak berkahwin, dosa kian bertambah apabila mereka menjadikan pasangan lelaki sebagai teman sosial atau merelakan hubungan seks songsang berlaku.

Dalam ibadat, akibat penukaran jantina, bagaimana mereka hendak melakukan sembahyang mengikut cara wanita sedangkan mereka adalah lelaki. Begitu juga jika mereka ingin sembahyang berjemaah, di manakah saf sepatutnya, bersama jemaah lelaki atau wanita?

Bagaimana pula jika mereka berada dalam jemaah wanita dan berlaku sentuhan dengan wanita lain, sedangkan jemaah tidak mengetahui dia sebenarnya lelaki? Tambah buruk lagi apabila wanita lain mendedahkan aurat kerana menyangka mereka wanita, walhal auratnya masih dalam hukum asal aurat wanita terhadap lelaki. Begitu juga masalah mengerjakan haji atau umrah.

Apabila meninggal dunia, jenazah mereka masih perlu disemadikan sebagai lelaki. Tambah menyeksakan, jenazah terpaksa dibedah semula bagi membuang alat kelamin wanita. Ditambah pula pelbagai penyakit timbul selepas melakukan pembedahan menukar jantina.

Alasan naluri mahu jadi perempuan tidak boleh diterima bagi mengharuskan perbuatan yang dilaknat itu. Kehidupan yang aman dan bahagia boleh dicapai dengan menerima qada dan qadar Allah dengan hati tenang.

Tujuan kita hidup adalah untuk mengambil hikmah dari setiap kejadian. Menyesali rupa bentuk atau keadaan tubuh badan sedia ada adalah perkara yang boleh meruntuhkan keimanan terhadap Allah, dan ia adalah tipu daya syaitan.

- Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar

Wasiat lindungi hak waris, pembahagian harta lancar
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/07/20

Agihan hanya sepertiga daripada harta pusaka

HIBAH dan wasiat adalah salah satu daripada bentuk pengurusan harta dalam Islam. Hibah bermaksud kontrak tabarru’ yang tidak mempunyai syarat balasan dan dilakukan semasa hidup yang membolehkan seseorang itu melupuskan harta kepada ahli waris atau orang lain.
Wasiat berasal daripada perkataan ‘wassa’ ialah menghubungkan atau menyampaikan kebaikan yang dilakukan seseorang ketika hidupnya dengan ganjaran pahala selepas dia meninggal dunia.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat adalah pemberian hak yang boleh dilaksanakan selepas berlaku kematian pewasiat sama ada dengan menggunakan lafaz atau tidak. Wasiat berdasarkan hukum syarak pada asalnya adalah diwajibkan.

Firman Allah bermaksud: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang daripada kamu hampir mati, jika ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara baik (menurut peraturan agama), sebagai kewajipan atas orang bertakwa.” (Surah Al-Baqarah, ayat 180)

Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya yang mempunyai harta supaya melakukan wasiat semasa hidupnya berdasarkan sabda Baginda bermaksud: “Seseorang Muslim mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiatnya di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walau bagaimanapun, kewajipan itu terhapus dengan hadis berkaitan pusaka antaranya yang diriwayatkan at-Tirmizi: “Allah memberikan bahagian setiap orang yang berhak. Maka tiada wasiat untuk waris.”
Wasiat pada dasarnya mempunyai dua syarat utama, pertama, wasiat hanya boleh diberikan kepada bukan waris yang berhak menerima pusaka dan kedua, kadarnya adalah tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si mati.

Berdasarkan peraturan asas itu, wasiat tidak boleh diberikan kepada ahli waris seperti anak mahupun ibu bapa pemberi wasiat kerana ahli waris sudah menerima bahagian mereka melalui pusaka.

Walaupun demikian, diharuskan memberi wasiat kepada ahli waris yang berhak menerima pusaka dan hukumnya harus mengikut Mazhab Syafie dengan syarat selepas mendapat persetujuan waris lain.

Syarat kedua, seperti disepakati ulama fiqh, kadar wasiat ditetapkan hanya satu pertiga daripada harta bersih peninggalannya, selepas ditolak belanja pengebumian, pembayaran hutang dan sebagainya.

Diriwayatkan daripada Saad Abi Waqas: “Aku benar-benar tenat. Lalu Rasulullah SAW menjengukku. Maka aku bertanya: Ya Rasulullah, aku tidak mempunyai waris kecuali anak perempuanku. Adakah aku boleh sedekahkan kesemua hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku bertanya: Dua pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Jangan. Aku berkata: Adakah boleh aku sedekahkan satu pertiga daripada hartaku? Baginda menjawab: Sepertiga. Dan sepertiga itu banyak. Sesungguhnya kamu meninggalkan warismu kaya lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka miskin sambil menadah tangan mereka kepada orang ramai.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Merujuk peruntukan undang-undang di Malaysia berkaitan wasiat seperti Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Selangor) 1999, memberi tafsiran wasiat dengan memberi maksud iqrar seseorang yang diperbuat pada masa hayatnya ke atas hartanya atau manfaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa maksud dibenarkan menurut hukum syarak, selepas dia mati.

Berdasarkan enakmen itu, undang-undang memperuntukkan berkaitan kadar wasiat serta had wasiat dan wasiat kepada waris.

Seksyen 26(1) memperuntukkan: “Jika sesuatu wasiat dibuat kepada bukan waris atas kadar yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta pusaka si pewasiat selepas diselesaikan segala hutangnya, wasiat itu hendaklah berkuatkuasa tanpa perlu mendapat apa-apa persetujuan warisnya.”

Seksyen 26(2) memperuntukkan: “Sesuatu wasiat yang dibuat kepada seseorang waris atas dasar melebihi satu pertiga hendaklah tidak berkuat kuasa sehingga diberi persetujuan oleh warisnya selepas kematian pewasiat.”

Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Justeru, penting seseorang Muslim mengambil inisiatif menulis wasiat bagi memudahkan urusan pembahagian pusaka selepas berlaku kematian. Penulisan wasiat ketika hayat memastikan kepentingan waris terjamin dan proses pembahagian harta pusaka berjalan lancar.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Monday, July 18, 2011

Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang

Peguam Syarie Menulis: Hibah bantu ekonomi, semai kasih sayang

Oleh Tuan Musa Awang

Berita Harian 2011/07/13

Pemilik boleh beri harta secara sukarela ketika hidup tanpa harapkan balasan

HIBAH mungkin suatu yang asing dan jarang di dengar masyarakat Islam di negara ini berbanding zakat, sedekah, hadiah, wakaf atau wasiat. Namun, hibah bukanlah instrumen kewangan yang baru kerana sudah wujud sejak awal Islam lagi.

Hibah ialah suatu akad mengandungi pemberian milik seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Hibah diberi atas dasar kasih sayang sesama manusia.

Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam. Islam juga tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta yang hendak dihibahkan daripada milik pemberi hibah.

Terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, jika harta hendak dihibahkan kepada anak-anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.

Jumhur ulama Hanafi, Maliki dan Syafie berpendapat, sunat menyamakan pemberian antara anak. Melebihkan pemberian kepada seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak adalah perkara yang wajib.

Sesuatu akad hibah tidak akan terbentuk melainkan selepas memenuhi empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.

Disyaratkan pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian, sempurna akal, baligh, mestilah tuan punya barang yang dihibahkan dan mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya. Penerima hibah pula boleh terdiri daripada sesiapa saja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta.

Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah juga disyaratkan boleh memegang, menguasai atau mengawal harta dihibahkan.

Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal, mempunyai nilai di sisi syarak, milik pemberi hibah, boleh diserah milik dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

Barang atau harta yang masih bercagar (seperti rumah) boleh dihibahkan jika mendapat keizinan daripada penggadai atau peminjam. Manakala, sighah hibah disyaratkan ada persamaan antara ijab dan qabul serta tidak bersyarat.

Menurut mazhab Syafie dan Abu Hanifah, penerimaan barang (al-qabd) adalah syarat sah hibah. Al-qabd bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta itu.

Ertinya, akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa jika sekadar ada ijab dan kabul semata-mata, melainkan selepas berlaku penerimaan barang oleh penerima hibah. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.

Jika berlaku kematian antara salah satu pihak sebelum penerimaan barang, maka hibah terbatal.

Bagi harta tak alih seperti rumah dan tanah, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta dengan harta lain.

Satu kelebihan hibah berbanding wasiat, seorang boleh menghibahkan hartanya kepada waris atau seseorang lain semasa dia masih hidup dan jumlahnya tidak terhad. Berbanding wasiat, kadar yang boleh diwasiatkan terhad satu pertiga daripada keseluruhan harta dan tidak boleh mewasiatkan harta kepada waris yang tidak berhak menerima pusaka kecuali dengan persetujuan waris lain.

Deklarasi hibah perlu dibuat secara bertulis, dengan khidmat peguam syarie bertauliah, supaya dokumen itu tidak berlawanan dengan hukum syarak dan undang-undang. Hibah secara bertulis atau sempat dilaksanakan semasa pemberi hibah masih hidup mungkin tidak mendatangkan masalah.

Jika isu mengenai hibah timbul selepas pemberi hibah mati dan hibah tidak dibuat secara bertulis, pengesahan status hibah perlu di buat di Mahkamah Syariah. Masalah mungkin timbul ialah saksi tidak cukup, saksi sudah meninggal dunia atau kesaksian yang tidak konsisten.

Hibah dapat membantu ekonomi umat Islam, merapatkan ikatan persaudaraan dan pertalian kasih sayang sesama insan. Konsep hibah wajar disuburkan kembali dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Kata orang, harta tidak boleh dibawa mati. Namun, disebabkan harta yang tidak diurus dengan baik berdasarkan peraturan dan hukum Allah semasa hidup, maka roh si mati tidak aman di alam kubur, lantaran waris yang masih hidup berebut sesama sendiri.

INFO

HIBAH
•Hibah dibolehkan sama ada kepada ahli keluarga (waris) atau bukan ahli keluarga, hatta kepada bukan Islam.
•Jika harta hendak dihibahkan kepada anak, Islam menggalakkan ia dibuat secara adil.
•Empat rukun hibah iaitu pemberi hibah (al-Wahib); penerima hibah (al-Mawhub lahu); barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub) dan sighah iaitu ijab dan kabul. Setiap rukun itu pula mempunyai syarat tertentu.
•Penerima hibah yang belum akil baligh, kanak-kanak atau kurang upaya, hibah boleh dibuat melalui walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.
•Barang atau harta yang hendak dihibah hendaklah barang atau harta yang halal.


Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel maa46050@yahoo.com

Wednesday, July 6, 2011

Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam

Peguam Syarie Menulis: Memantap peranan sistem guaman, perundangan Islam
Oleh Tuan Musa Awang

2011/06/29

Pelbagai isu dibincang pada konvensyen peguam syarie

MUTAKHIR ini peranan peguam syarie dalam masyarakat semakin bertambah penting. Peguam syarie adalah individu yang bertanggungjawab membantu Mahkamah Syariah dalam pengendalian dan perbicaraan kes syariah sama ada kes mal atau jenayah.

Peguam syarie juga bertanggungjawab kepada anak guam yang memerlukan perwakilan supaya kes mereka dapat segera diselesaikan terutama kes perceraian, penjagaan anak dan tuntutan harta sepencarian.

Meskipun begitu, masih ramai yang tidak menyedari kepentingan peguam syarie sebagai ejen penting dalam mencari keadilan di Mahkamah Syariah serta sebagai penghubung antara pihak-pihak dengan institusi perundangan dan kehakiman.

Tidak kurang juga ada yang melihat profesion ini berkisar kepada keuntungan wang ringgit semata-mata, berbanding khidmat ditawarkan. Sehubungan itu, kepeguaman syarie hendaklah difahami dengan lebih meluas oleh masyarakat supaya persepsi tidak tepat dapat diperbetulkan.

Dalam pada itu, kepeguaman syarie juga hendaklah seiring dengan pacuan transformasi perundangan dan kehakiman supaya prospek pembangunan sumber, kerjaya, cabaran peguam syarie menepati aspirasi rakyat, negara serta rantau ASEAN.

Mutakhir ini juga, pelbagai isu baru timbul dalam perundangan syariah di negara ini antaranya isu sebatan syariah terhadap wanita, Hakim Syarie wanita, isu penerimaan bukti material seperti video seks dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dalam sabitan jenayah syariah.
Isu sumpah laknat, qazaf juga menjadi polemik dalam masyarakat yang memerlukan pencarian kaedah penyelesaian menepati kehendak syarak dan realiti perundangan semasa.

Dalam kalangan peguam syarie sendiri, isu penyeragaman kaedah penerimaan masuk, kelayakan, tatatertib dan yuran peguam syarie masih menjadi dilema dan persoalan yang belum ada jawapannya.

Memahami keperluan untuk mencari kata putus serta pemahaman yang jelas, satu konvensyen mengumpulkan semua peguam syarie akan diadakan pada 1 Julai 2011, bertempat di Grand Ballroom, Hotel Grand Seasons, Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Perhimpunan kali ini lebih bermakna apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan Konvensyen Peguam Syarie Kali Ke-2 dan bertemu kira-kira 1,300 peguam syarie, pegawai syariah, pegawai jabatan agama Islam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara.

Konvensyen ini anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dengan tema ‘Guaman Syarie: Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia Menjelang 2020’.

Program ini bertujuan memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam supaya mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras tuntutan Islam, di samping memperkasa keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie.

Konvensyen ini akan menjadi bukti kesungguhan kerajaan menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di negara ini. Program sehari ini juga usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

Wakil peguam syarie dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja mengenai aspek kepeguaman syarie di negara masing-masing selain forum bertajuk ‘Peguam Syarie: Isu, Cabaran dan Kemana?’ oleh panel berpengalaman luas dan berkaliber.

Konvensyen ini dilihat bakal menjadi forum sesuai untuk semua peguam syarie seluruh negara berbahas dan berbincang bagi tujuan mentransformasikan profesion guaman syarie dan meninjau prospek pengukuhan institusi kehakiman syariah di Malaysia menjelang 2020.

Kali pertama semua peguam syarie seluruh negara dikumpulkan dalam satu konvensyen adalah pada 14 Jun 2008, bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, (PICC) yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Konvensyen itu berjaya mengumpulkan 700 peserta terdiri daripada peguam syarie, pelajar IPT, pegawai syariah seluruh Malaysia dan wakil dari Brunei Darussalam.

Diharap semua peguam syarie seluruh negara tidak melepaskan peluang untuk hadir pada perhimpunan terbesar peguam syarie ini. Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman http://bit.ly/lvvu54 atau di laman http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com atau menghubungi Sekretariat Konvensyen di talian 03-88864800 (4627/4614/4725).

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan boleh dihubungi melalui e-mel sekretariatpgsm@yahoo.com

Akta Guaman Syarie tingkat integriti peguam

Peguam Syarie Menulis: Akta Guaman Syarie tingkat integriti peguam
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

2011/07/06
Ubah persepsi orang ramai terhadap perundangan Islam

KONVENSYEN Peguam Syarie kali ke-2 yang berlangsung baru-baru ini dengan tema 'Syariah: Integrasi 1 Ummah' diharap dapat memberi lembaran baru dalam profesion peguam syarie di Malaysia. Konvensyen dilaksanakan dengan tiga objektif utama iaitu berdiskusi dalam kalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam bagi menghasilkan impak kreatif menjadikan bidang kepeguaman syarie wadah memperkukuhkan syiar keadilan Islam. Selain itu mewujudkan pembabitan komprehensif dan menyeluruh dikalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam yang berkemampuan melestarikan aspirasi Gagasan 1Malaysia menjelang Wawasan 2020.

Mewujudkan jaringan perhubungan profesionalisme dan persahabatan dikalangan pengamal perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia dengan negara jiran melalui sistem perundangan Islam sebagai teras kemakmuran umat Islam di negara serantau.

Konvensyen dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dihadiri 1,500 peserta terdiri daripada peguam syarie, Hakim Syarie, pegawai syariah, ahli akademik, pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta seluruh Malaysia.

Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Institut Latihan Kehakiman Syariah Malaysia (ILKAS) bagi memberi latihan secara profesional kepada hakim, pendakwa, pegawai syariah dan peguam syarie bagi mempertingkatkan profesionalisme dan integriti.
Najib turut menjanjikan kewujudan Akta Guaman Syarie yang akan dilaksanakan bagi menaik taraf profesion peguam syarie seiring peguam sivil seterusnya memperbaiki kelemahan selain menjamin kebajikan peguam syarie.

Secara umumnya, di bawah Akta Guaman Syarie, peguam syarie akan dikawal selia bagi laporan akauntan untuk pembaharuan Sijil Amalan Tahunan; yuran yang perlu dibayar anak guam dan tindakan boleh diambil terhadap peguam syarie yang bersalah.

Cara penggantungan peguam syarie daripada menjalankan amalan; cara mengambil dokumen yang masih dalam milikan peguam syarie bagi tujuan dikemukakan kepada Majlis Peguam Syarie; cara mengambil harta dalam milik peguam syarie jika bankrap dan belum dilepaskan.

Keperluan menyegerakan Akta Guaman Syarie menjadi wadah perjuangan peguam syarie bertujuan menyeragamkan kaedah penerimaan masuk peguam syarie di setiap negeri kerana prosedur berbeza bergantung kepada kaedah diterima pakai di negeri masing-masing.

Isu kelayakan serta bentuk penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar dan ada meletakkan syarat kelayakan yang ketat.

Justeru, penubuhan Akta Guaman Syarie ini diharap diseragamkan memandangkan profesion peguam syarie berkembang seiring kes di Mahkamah Syariah yang kian rumit dan pelbagai.

Melalui akta guaman juga akan diwujudkan Majlis Peguam Syarie berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion 1976, bertanggungjawab mengawal selia serta menjaga kebajikan peguam syarie di seluruh negara.

Undang-undang bagi mengawal selia hal ehwal peguam syarie dari segi kemasukan, kelayakan dan tatatertib bergantung kepada kaedah negeri yang diwujudkan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri atau Enakmen Mahkamah Syariah Negeri.

Seterusnya, tatatertib dan disiplin peguam syarie dapat dikawal bagi membantu pelanggan jika ada peguam syarie melanggar Etika Peguam Syarie yang terkandung dalam Akta Guaman Syarie.

Buat masa ini, peguam syarie tiada garis panduan khusus untuk diambil tindakan jika melakukan penganiayaan atau melanggar Etika Peguam Syarie.

Akta Guaman Syarie yang dicadangkan dapat menyeragamkan tahap kebolehan dan integriti peguam syarie seluruh negara setanding peguam sivil serta memberi keyakinan orang awam mendapatkan perkhidmatan peguam syarie di Mahkamah Syariah.

Ia diharap dapat mencetuskan transformasi perubahan dalam perundangan Islam negara dan pada masa sama menjadi pencetus transformasi peguam syarie seterusnya mengubah persepsi pihak yang menganggap peguam syarie sebagai peguam kelas kedua.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Tuesday, June 28, 2011

SERUAN KEPADA SEMUA PEGUAM SYARIE

Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-2 –

Pada Jumaat, 1 Julai, 2011 jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di GrandBall Room, Hotel Grand Season,Jalan Pahang, Kuala Lumpur.

Konvensyen ini adalah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

Tema Konvensyen - “Guaman Syarie : Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah Di Malaysia Menjelang 2020”.

Objektif-objektif Konvensyen seperti berikut :-

• Memantapkan peranan sistem kepeguaman dan perundangan Islam agar mampu menjadi penyelesai kepada permasalahan umat Islam selaras dengan tuntutan Islam

• Memperkasakan keupayaan kredibiliti institusi perundangan, kehakiman dan kepeguaman syarie serta mekanisma yang berkaitan dengan syariat Islam.

• Pengukuhan usaha menjaga kedaulatan agama Islam serta memelihara kemaslahatan dan kebajikan umat Islam di Negara ini.

• Pembugaran inisiatif yang menjadi teras kesinambungan usaha memartabatkan kepeguaman, kehakiman, perundangan dan pentadbiran Islam.

YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak akan merasmikan Konvensyen ini, pada petang tarikh tersebut.

Melibatkan penyertaan seramai lebih 1300 hingga 1500 orang Peguam Syarie, Pegawai Syariah, pegawai jabatan agama Islam, pelajar IPT dan lain-lain yang datang dari seluruh Negara. Penyertaan juga terbuka kepada orang awam dan sesiapa sahaja yang berminat. Yuran penyertaan RM90.00 seorang.

Juga akan menyaksikan wakil peguam syarie dari Malaysia, negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura akan membentangkan kertas kerja tentang aspek kepeguaman Syarie di negara masing-masing.

Manakala di sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Forum dengan tajuk “Peguam Syarie : Isu, Cabaran dan Kemana?” dengan barisan panel dari kalangan peguam syarie berpengalaman luas dan berkaliber.

Di penghujung Konvensyen ini juga, satu resolusi konvensyen akan dibuat dan disampaikan kepada Perdana Menteri.

Maka, PGSM dengan ini MENYERU kepada semua Peguam Syarie seluruh Negara agar tidak melepaskan peluang yang jarang-jarang sekali muncul ini, dengan hadir beramai-ramai di perhimpunan terbesar Peguam Syarie pada 1 Julai ini.

Pendaftaran boleh dibuat secara online di laman
- http://bit.ly/lvvu54
- http://peguamsyariemalaysia.blogspot.com.
atau datang terus mendaftar pada pagi 1 Julai 2011 di tempat berkenaan.

Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi Sekretariat Konvensyen, di talian : 03-88864800 - 4627/4614/4725.

Sekian untuk siaran.

Terima kasih.

“Meletakkan Hak Kepada Yang Berhak”

Wednesday, June 22, 2011

Seksyen 127 benar hakim periksa semula keterangan

Peguam Syarie Menulis: Seksyen 127 benar hakim periksa semula keterangan
Oleh Musa Awang

2011/06/22

TATACARA perbicaraan di Mahkamah Syariah dipandu oleh Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah setiap negeri. Walaupun ada seksyen dan peruntukan yang berbeza, secara umumnya maksud yang ingin dinyatakan dalam undang-undang itu adalah sama.

Seksyen 127 Enakmen Tatacara Mal memperuntukkan: Demi kepentingan keadilan, mahkamah boleh, pada mana-mana peringkat prosiding, memanggil mana-mana pihak untuk mengemukakan keterangan dan boleh memeriksa mana-mana tempat atau barang.

Maksudnya, mahkamah boleh pada bila-bila masa memerintahkan mana-mana pihak sama ada plaintif, defendan atau saksi hadir semula ke mahkamah untuk memberi keterangan, walaupun peringkat keterangan pihak itu sudah berlalu. Hakim bicara juga boleh pergi ke mana-mana premis atau tempat untuk memastikan segala dakwaan dikemukakan itu benar, jika hakim berpendapat perlu untuk berbuat demikian. Kaedah memanggil semula pihak ini boleh dibuat demi kepentingan keadilan.

Sub-seksyen 92 (4) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah menjelaskan perkara ini dengan memperuntukkan, mahkamah boleh dalam segala hal membenarkan seseorang saksi dipanggil semula sama ada untuk pemeriksaan utama selanjutnya atau pemeriksaan balas selanjutnya dan jika mahkamah membenarkan sedemikian, maka pihak mempunyai hak muntuk membuat pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula selanjutnya.

Memanggil semula untuk memberi keterangan bagi memastikan tidak ada yang disembunyikan kerana perbuatan itu dilarang keras.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menyembunyikan sebahagian keterangan dan petunjuk yang telah Kami turunkan dan Kami terangkan kepada manusia dalam kitab, mereka itu akan dilaknat Allah dan orang yang melaknat. Kecuali mereka yang telah bertaubat dan berbuat baik serta mahu menjelaskannya, maka akan Aku terima taubatnya dan Aku adalah Maha Menerima Taubat dan Belas Kasihan.” (Surah al-Baqarah, ayat 159-160)

Keterangan penting di Mahkamah Syariah kerana keadilan adalah sesuatu yang diperintahkan oleh Allah dalam semua aspek dan keadaan.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan ini) supaya kamu mengambil peringatan.” (Surah an-Nahl, ayat 90)

Dalam satu riwayat, Saidina Ali telah diutus untuk menjadi kadi di Yaman: “Rasulullah telah mengutuskan aku ke Yaman sebagai kadi. Aku berkata kepada Rasulullah: Wahai Rasulullah, tuan mengutuskan saya (menjadi kadi) sedangkan saya masih muda dan tidak mengetahui mengenai kehakiman? Rasulullah berkata: Sesungguhnya Allah memberikan hidayat-Nya di hatimu dan menetapkan lidahmu, jika engkau duduk menghakimkan antara dua orang yang bertikai janganlah engkau membuat keputusan sehingga kau telah mendengar (hujah) yang satu lagi seperti kau telah mendengar yang pertama, dengan demikian hukuman akan jelas. Saidina Ali berkata: Sejak itu aku terus menjadi kadi dan aku tidak pernah ragu-ragu dalam membuat keputusan selepas itu.”

Penulis ialah Timbalan Presiden, Persatuan Peguam Syarie Malaysia PGSM dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

Wednesday, June 15, 2011

Pelbagai persoalan sebalik perbicaraan waktu malam

Oleh Mohd Faiz Adnan

2011/06/15
Perjawatan di Mahkamah Syariah mesti segera ditambah

INISIATIF Hakim Datuk Abd Rahman Md Yunus menjalankan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada waktu malam untuk menyelesaikan kes yang semakin bertambah wajar dipuji kerana tidak semua orang boleh berkerja dari pagi sehingga malam hari. Namun, ada pelbagai reaksi terhadap cadangan itu terutama dalam kalangan peguam syarie yang terbabit secara langsung dengan Mahkamah Syariah. Isunya, apakah kes tertangguh di Mahkamah Syariah begitu serius hingga perlu untuk mewajibkan Hakim Syarie mendengar kes di waktu malam? Kedudukan seseorang hakim berbeza dengan kebanyakan orang atau jawatan lain disebabkan beban dan tanggungjawab mereka lebih berat sehingga wujud etika khusus seorang hakim sama ada dalam mahu pun di luar mahkamah.

Hakim bukan calang-calang orang, seboleh mungkin seorang hakim perlu mengelakkan sebarang tohmah, malah emosinya harus dijaga, hendaklah sentiasa tenang dalam menghakimi kes dibicarakan dihadapannya.

Penegasan Allah dalam firman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa juga) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Maidah, ayat 8).

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang hakim itu berijtihad kemudian dia betul dalam ijtihadnya, maka dia memperoleh dua pahala dan apabila seseorang hakim itu berijtihad kemudian dia salah dalam ijtihadnya, maka dia beroleh satu pahala.” Ada riwayat lain menyebut: ”Jika betul ijtihadnya (hakim), maka dia memperoleh sepuluh pahala.”

Justeru, hakim memikul amanah yang sangat berat dalam menjalankan tanggungjawab mengadili sesuatu kes. Persoalannya jika mendengar kes hingga waktu malam, apakah hakim masih boleh fokus terhadap kes yang melambak dan memastikan kualiti penghakimannya terjamin?

Hakim Syarie manusia biasa yang terikat dengan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlukan masa untuk berehat, beribadah dan sebagainya.

Memetik Kod Etika Hakim Syarie, dalam Arahan Amalan No 1 tahun 2001, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) perenggan 4 (c) menyebut, seorang hakim itu hendaklah tidak mendengar sesuatu kes apabila dia berkeadaan tidak tenang seumpama dia berkeadaan marah, lapar, haus, mengantuk, letih dan tidak sihat.

Dalam konteks penghakiman, seseorang hakim perlu ‘above par’ kerana itu etika yang perlu dijaga.

Jika juruterbang mempunyai kod etika iaitu tidak dibenarkan menjalankan penerbangan melebihi masa ditetapkan dalam sehari, begitu juga Hakim Syarie perlu mempunyai masa bekerja tertentu bagi menjaga kualiti penghakiman.

Bagi sidang pendengaran kes, selain hakim, harus ada pendaftar, pembantu hakim, jurutaip, polis mahkamah dan lain-lain yang berperanan dalam dewan perbicaraan serta pendaftaran.

Bayangkan jika dewan bersidang di waktu malam, maka semua yang terbabit harus hadir. Berapa ramai pula ahli keluarga dan anak kakitangan yang mendapat kesannya? Berapa pula kos kerja lebih masa yang harus ditanggung pihak berwajib?

Perbicaraan di waktu malam juga berpotensi mendedahkan banyak pihak terbabit kepada isu keselamatan diri. Bayangkan pihak tinggal berjauhan dari mahkamah, mungkin terpaksa bermalam di mana-mana atau meredah malam gelap untuk pulang ke rumah.

Untuk mengatasi masalah lambakan kes, suatu perkara yang perlu diberi perhatian serius kerajaan adalah memperbanyakkan perjawatan di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia khususnya perjawatan Hakim Syarie dan kumpulan sokongan lain.

Jika ingin dilaksanakan juga perbicaraan pada waktu malam, persoalan imbuhan harus diambil kira secara serius oleh kerajaan. Apa yang penting, gaji perlulah diberi dengan kadar yang cukup.

Ini dapat dilihat seperti disebut oleh Umar al-Khatab kepada Muaz bin Jabal dan Abi ‘Ubaidah: “Lantiklah mereka ke jawatan kehakiman, persenangkan mereka, gajikan mereka dan percukupkan mereka dari harta Allah.”

Malah menurut al-Imam al-Rashid, dalam pemberian gaji kepada hakim, beliau berpendapat perlu diberi lebih daripada had mencukupi hingga kepada tahap menyenangkan supaya hakim itu reda, berpuas hati dan menumpukan kepada kerja penghakiman dengan jiwa tenang dan senang.

Malah Dr Abdul Karim Zaidan dalam Nizam al-Qada’ berpandangan hakim juga perlu diberi rumah yang khusus kepada mereka.

Maknanya, jika hakim dipertanggungjawabkan dengan kerja lebih masa, bukan saja soal kualiti penghakiman harus dijaga malah kebajikan mereka dan kumpulan sokongan yang membantu prosiding juga patut diambil serius oleh pihak berwajib.

Firman Allah yang bermaksud: “Untuk orang yang berusaha menjadikan amalnya sentiasa baik, dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.” (Surah Yunus, ayat 26).

Thursday, June 9, 2011

MESYUARAT AGUNG PGSM

Assalamualaikum w.b.t, Ybhg Dato/Datin/Tuan/Puan/Cik,

Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Tahunan AGM Kali ke-10 yang ditangguhkan dari 21hb Mei 2011 diadakan semula pada 17hb Jun 2011 (Jumaat), jam 3.30 petang, bertempat di Dewan Kuliah, Masjid Negara.

Sehubungan dengan itu,tuan/puan dijemput hadir ke mesyuarat tersebut. segala kerjasama yang diberikan sangat kami hargai dan diucapakan ribuan terima kasih. Sekian, terima kasih

Tuesday, June 7, 2011

Taat bukan lesen halalkan penderaan

Oleh Marlina Amir Hamzah

Berita Harian
2011/06/08

Isteri tidak sama pekerja seks kepada suami

SEJAK beberapa hari lalu kita digemparkan dengan penubuhan Kelab Taat Suami yang dikatakan sudah mempunyai 1,000 ahli terdiri daripada kalangan wanita kelas atasan, minda terbuka serta golongan intelek.

Kelab itu juga juga sedang memperluaskan cawangan ke negara Eropah, Britain, Perancis, Itali dan Jerman. Pengasas kelab itu adalah bekas pengikut kumpulan Al-Arqam.
Antara mesej kelab itu seperti dinyatakan Naib Presidennya, Dr Rohaya Mohamad adalah:
• Supaya isteri bersedia untuk patuh dan memenuhi keperluan seks suami demi mengelakkan suami berlaku curang atau mencari pelacur.
• Seorang isteri adalah pekerja seks yang baik bagi suami.
• Penderaan suami terhadap isteri adalah ujian daripada Allah kepada isteri dan isteri perlulah tetap mentaati suami.
• Membenarkan suami berkahwin lain sebagai ketaatan isteri terhadap suami.

Sesungguhnya, perkahwinan adalah suatu akad yang menimbulkan hak serta tanggungjawab antara suami dan isteri. Seorang suami mempunyai hak untuk ditaati oleh isteri setakat dibenarkan hukum syarak manakala isteri mempunyai hak nafkah yang wajib disediakan oleh suami selagi isteri mentaati suaminya.

Firman Allah yang bermaksud: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu tinggal menurut kemampuan dan jangan kamu memudarat mereka untuk menyusahkan mereka.” (Surah A-Thalaq, ayat 6)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki dan perempuan sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka pula tidak akan dianiaya sedikitpun.” (Surah al-Nisa’, ayat 124)

Ayat menunjukkan kesamarataan antara lelaki dan perempuan di sisi Allah, yang membezakan hanyalah ketakwaan kepada Allah. Justeru, tidak timbul isu hanya isteri diwajibkan mentaati suami, sebaliknya suami juga mentaati perintah Allah dalam melayan isteri.

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan Seksyen 60(2)(a)(b) dan (c), seseorang isteri boleh diisytiharkan sebagai nusyuz atau tidak taat kepada suami tidak layak mendapat nafkah daripada suami. Apabila isteri menjauhkan diri dari suami, apabila isteri meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suami, apabila isteri enggan berpindah bersama suami ke satu rumah atau tempat lain tanpa sebab yang sah menurut hukum syarak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita, kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka atas kamu rezeki makan minum dan pakaian.”

Imam Syirazi mendefinisikan nusyuz ialah isteri yang menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap apa yang diperintah oleh Allah kepada mereka mengenai tanggungjawab perlu dilaksanakan terhadap suami.

Prof Dr Harun Din dalam bukunya Manusia dan Alam menyebut nusyuz adalah tindakan isteri yang menentang kehendak suami tanpa sebarang alasan syarak.

Isteri bukanlah pekerja seks yang baik bagi suami, penderaan suami terhadap isteri dilarang oleh Allah dan sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menzalimi dirinya sendiri. Justeru, isteri tidak sewajarnya membenarkan diri didera oleh suami semata-mata demi untuk mentaati suaminya.

Membenarkan suami berkahwin lain sebagai tindakan ketaatan isteri terhadap suami juga fahaman salah yang perlu diperbetulkan. Hanya seorang lelaki yang benar-benar boleh berlaku adil dan mempunyai kemampuan menyara isteri dan anak saja boleh berkahwin lebih daripada satu menurut hukum syarak.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka kahwinilah perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat, tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil hendaklah kamu berkahwin seorang saja.” (Surah An-nisa’, ayat 3)

Berdasarkan nas al-Quran dan al-Hadis, nusyuz tidak hanya berlaku dalam kalangan isteri kerana suami juga nusyuz. Nusyuz boleh ditakrifkan sebagai suami atau isteri yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap pasangan seperti yang diperintah oleh Allah.

Dewasa ini berapa ramai suami yang nusyuz terhadap isteri apabila tidak menyediakan rumah kelamin, tidak menanggung makan minum, tidak membelikan pakaian isteri, tidak memberi nafkah batin kepada isteri, melakukan penderaan fizikal mahupun mental dan menghilang diri menyebabkan isteri digantung tidak bertali.

Semua ini boleh dilihat berdasarkan kes difailkan oleh isteri di Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Penubuhan kelab ini dilihat sebagai suatu langkah ke belakang dalam usaha mengiktiraf martabat dan maruah wanita Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya.

Penubuhan kelab seumpama ini tidak akan membantu dalam menyelesaikan masalah perceraian yang dikatakan berlaku setiap 15 minit atau anak luar nikah yang lahir setiap 17 minit. Usaha yang padu ke arah melahirkan suami, bapa, anak lelaki dan muslimin mithali perlu menjadi agenda utama kerana lelaki pemimpin kepada perempuan.

Thursday, May 26, 2011

Anak lebih nafkah wajib sara ibu bapa

Oleh Roshdan Sujak Rafie

2011/05/25

Mahkamah boleh perintah individu supaya bayar ikut kemampuan

TANGGUNGJAWAB menjadi ketua keluarga adalah amanah yang wajib dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab oleh suami. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab terhadap anak dan isteri tidak akan membawa berkat dalam kehidupan.

Apa yang perlu diyakini, tidak kira bagaimana susah atau senang seseorang itu, kewajipan tidak akan terhapus melainkan dengan keharusan bertepatan dengan syarak. Bagaimana pula tanggungjawab anak terhadap ibu bapanya?

Kini banyak kita dengar kisah yang dipaparkan media dan kisah yang kita sendiri peroleh mengenai bagaimana anak melupakan tanggungjawabnya terhadap ibu bapa.

Bukan sekadar mengabaikan tanggungjawab menanggung kehidupan ibu bapa malah lebih teruk lagi ada anak yang meninggalkan ibu bapa, membiarkan mereka mahupun menghantar mereka ke pusat jagaan.

Apakah cara penyelesaian terbaik menangani permasalahan itu? Adakah dengan mewajibkan pemberian nafkah kepada ibu bapa boleh menyelesaikan setiap isu berkaitan tanggungjawab terhadap ibu bapa?

Ia perlu dilihat dari pelbagai aspek termasuk sudut kemampuan individu, kehidupan sosial, peruntukan undang-undang dan hukum syarak. Bagaimanapun, mewajibkan pemberian nafkah terhadap ibu bapa memungkinkan polemik lain timbul dalam kehidupan keluarga.

Persoalan utama adalah kemampuan anak mengambil tanggungjawab menyediakan nafkah wajib kepada ibu bapanya dalam keadaan dia sendiri menampung kewajipan anak dan isteri. Begitu juga tanggungjawab isteri yang lebih utama kepada suami termasuk membantu kehidupan keluarga.

Mewajibkan pemberian nafkah ibu bapa juga dikhuatiri boleh menyebabkan ramai individu tidak sanggup untuk melaksanakan kehidupan berumahtangga kerana bimbang dengan tanggungjawab yang akan dipikul termasuk kewajipan nafkah ibu bapanya.

Jika ini berlaku, ia mungkin merencatkan institusi keluarga itu sendiri dan boleh menyebabkan pecah belah dalam keharmonian sesebuah keluarga.

Dari sudut sosial dan amalan di Malaysia, tanggungjawab terhadap ibu bapa menjadi sebati dalam diri anak yang mempunyai sifat tanggungjawab. Walaupun tidak diwajibkan namun telah dilaksanakan sebaiknya berdasarkan kesedaran dan didikan yang diterima oleh anak itu sendiri.

Keberkatan bagi anak yang melaksanakannya dapat dirasai walaupun sekadar mengadakan duit sebanyak RM20 kepada ibu bapanya.

Dari sudut undang-undang pula, seksyen 61 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor memperuntukkan bahawa mahkamah berbidangkuasa untuk memerintah nafkah bagi seseorang.

Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan mengenai hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seorang lain mengikut kemampuan yang munasabah kepada pemberi nafkah.

Ia jelas memberi ruang kepada ibu atau bapa atau mana-mana orang untuk menuntut hak nafkahnya terhadap orang yang bertanggungan berlandaskan prinsip undang-undang dan hukum syarak. Ternyata ada peruntukan khas yang memberi hak seseorang untuk menuntut haknya.

Manakala dari sudut hukum syarak pula, mazhab al-Syafie berpandangan, nafkah ibu bapa menjadi wajib dengan syarat anak mempunyai lebihan nafkah iaitu jika nafkahnya sendiri cukup untuk keperluan seharian termasuklah tanggungan anak dan isteri bagi suami.

Jika tidak mencukupi, maka anak tidak dipertanggungjawabkan nafkah ibu bapa. Syarat lainnya, bapa hendaklah terdiri daripada orang fakir (tidak mempunyai pekerjaan yang boleh memenuhi keperluan asasinya, sama ada dia mampu bekerja atau tidak.

Ketiganya, menjadi wajib jika ibu tidak mendapat nafkah yang mencukupi daripada bapa, maka menjadi kewajipan kepada anak untuk menyediakan nafkah kepada ibu, termasuk dalam keadaan bapa telah meninggal dunia.

Berdasarkan aspek dinyatakan, ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi untuk kewajipan nafkah ibu bapa. Apa yang sewajarnya menjadi pertimbangan utama adalah kesedaran dan sikap tanggungjawab anak itu sendiri. Ia boleh dipupuk oleh didikan dan ilmu diterapkan dalam diri individu.

Mewajibkan nafkah ibu bapa bukanlah faktor utama dalam menangani masalah itu. Didikan dan keimanan dalam diri sendiri menjadi teras utama dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap ibu bapa.

Keimanan, didikan dan kesedaran seharusnya menjadi asas dalam mendidik anak supaya ia kekal dibawa sebagai tangkal atau azimat dalam setiap tanggungjawabnya.

Penulis ialah Setiausaha Agong Persatuan peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Friday, May 20, 2011

Konvensyen Peguam Syarie Malaysia Kali Ke-2

TARIKH KONVENSYEN ASAL PADA 30 JUN 2011 TELAH DITUNDA KE JUMAAT 1 JULAI 2011.

Dimaklumkan bahawa Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan mengadakan KONVENSYEN PEGUAM SYARIE MALAYSIA KALI KE-2 sebagaimana berikut :-

Hari : Jumaat
Tarikh : 01 Julai 2011
Jam : 8.30 pagi hingga 5.00 petang
Tempat : Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur
Yuran : RM90.00 seorang

Penyertaan adalah WAJIB bagi semua Peguam Syarie.
Pendaftaran secara online boleh dibuat melalui laman web JKSM.
http://www.jksm.gov.my/jksmv2/

Skim Bantuan Guaman Syarie bantu asnaf tuntut hak

Oleh Mohd Tajuddin Abd Razak

2011/05/18

MAIWP, PGSM pastikan individu tidak mampu bayar khidmat peguam dapat pembelaan

TIDAK semua pihak yang bertikai di Mahkamah Syariah mampu melantik peguam bagi mengendalikan kes mereka. Justeru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bekerjasama dengan Bahagian Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menubuhkan Khidmat Bantuan Guaman untuk memberi bantuan guaman kepada pihak yang memerlukan. PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP memulakan usaha murni itu sejak 2009. Hasil kerjasama itu, PGSM secara khusus menubuhkan Biro Guaman Syarie yang dikendalikan seorang exco untuk menyelaraskan pengendalian kes yang diberi Bahagian Baitulmal MAIWP. Tugas itu termasuk melantik peguam syarie dalam kalangan ahli PGSM yang beramal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mengendalikan kes, memantau perjalanan kes dan memaklumkan Bahagian Baitulmal MIAWP sama ada kes berjaya diselesaikan di mahkamah atau tidak.

Setakat ini PGSM sudah menerima lebih daripada 61 kes syariah daripada Bahagian Baitulmal MAIWP. Sebanyak 25 fail sudah ditutup sama ada kes diselesaikan menerusi perbicaraan di mahkamah atau diselesaikan menerusi persetujuan kedua-dua pihak.

Ternyata usaha murni yang didukung sepenuhnya oleh peguam syarie ini telah membuahkan hasil walaupun yuran guaman ditetapkan rendah.

Apa yang penting bagi peguam syarie adalah usaha membantu golongan memerlukan dapat direalisasikan menerusi kerjasama PGSM dan Bahagian Baitulmal MAIWP.
Bahagian Baitulmal MAIWP telah mengambil tindakan pertama dan seumpamanya di negara ini dengan mewujudkan Skim Bantuan Guaman Syarie sebagai skim bantuan kepada asnaf yang layak menerima bantuan zakat.

Tujuannya untuk membantu umat Islam yang menghadapi masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah. Pihak yang boleh memohon bantuan guaman syarie terdiri daripada golongan fakir, miskin, amil, mualaf, al-Gharimin (orang yang berhutang), Ibnu Sabil, Fisabillah dan ar-Riqab.

Penerima bantuan perlu memenuhi syarat umum dan khusus untuk melayakkan mereka menerima bantuan zakat iaitu beragama Islam, warga negara Malaysia dan bermastautin di Wilayah Persekutuan tidak kurang setahun.

Baitulmal MAIWP juga menetapkan pendapatan bawah RM1,500 sebulan sebagai kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie. Namun, ia masih tertakluk kepada siasatan dan temu duga yang akan dijalankan pegawai Bahagian Baitulmal MAIWP.

Bahagian Baitulmal akan membuat siasatan dan temu duga bagi menentukan kelayakan menerima Skim Bantuan Guaman Syarie dan setelah diluluskan.

Peguam syarie yang dilantik mengendalikan kes akan menyediakan laporan awal kepada PGSM dan Bahagian Baitulmal berkenaan jenis tuntutan dan seterusnya mengendalikan kes sehingga selesai sama ada menerusi perbicaraan atau penyelesaian di luar mahkamah.

Adalah menjadi harapan PGSM supaya Majlis Agama Islam Negeri turut mengikut jejak langkah Bahagian Baitulmal MAIWP mewujudkan satu skim bantuan guaman syarie di setiap negeri untuk membantu umat Islam menyelesaikan masalah pendakwaan atau tuntutan di Mahkamah Syariah.

Antara kes yang dikendalikan adalah perceraian secara fasakh atau taklid, tuntutan harta sepencarian, tuntutan mutaah, nafkah diri dan nafkah anak, tuntutan hutang semasa perkahwinan, tuntutan nafkah diri dan anak yang tertunggak, pendakwaan berkenaan kesalahan jenayah syariah dan tuntutan mengikut bidang kuasa Mahkamah Syariah. Kepelbagaian tuntutan ini juga tertakluk kepada kelayakan khusus yang ditetapkan Bahagian Baitulmal, MAIWP.

Mereka yang layak menerima zakat juga tidak dinafikan hak mendapatkan keadilan di Mahkamah Syariah, bahkan mereka dibantu oleh peguam yang berpengalaman untuk memperoleh keadilan dan hak yang dinafikan sebelum ini.

Mungkin ramai masih belum tahu adanya perkhidmatan disediakan ini, sedangkan mereka layak menerima bantuan guaman syarie bagi mendapatkan hak di Mahkamah Syariah tanpa perlu memikirkan bagaimana untuk mengendalikan tuntutan, perbicaraan dan bayaran yuran guaman.

Maklumat mengenai Skim Bantuan Guaman Syarie boleh diperoleh dengan menghubungi Bahagian Baitulmal MAIWP di talian 03-26175222 atau layari laman web www.maiwp.gov.my.

Penulis ialah Exco Biro Guaman Syarie Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Wednesday, May 11, 2011

Akta khas transformasi profesion peguam syarie

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Berita Harian 2011/05/11

Pelaksanaan martabatkan kedudukan undang-undang syariah Malaysia di mata dunia

PERLEMBAGAAN Malaysia meletakkan undang-undang Islam di bawah Jadual Sembilan, Senarai 2, Senarai Negeri yang menjadikan hal berkaitan agama Islam di bawah negeri masing-masing. Ini bermakna termasuk Wilayah Persekutuan, ada 14 kaedah membabitkan Mahkamah Syariah. Maka, 14 kaedah juga membabitkan peguam syarie dari sudut penerimaan masuk, kelayakan serta tindakan tatatertib yang boleh dikenakan terhadap peguam syarie. Bagi beramal sebagai peguam syarie di negeri-negeri, peguam syarie terpaksa membuat permohonan ke negeri berkenaan. Jika hendak beramal di 13 negeri, perlu membayar yuran tahunan yang berbeza mengikut negeri.

Keadaan ini menimbulkan kesukaran kepada peguam syarie malah menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat yang ingin mendapatkan khidmat peguam terutama jika pihak yang bertikai berada di dua negeri berbeza.

Mereka perlu mendapatkan peguam yang mempunyai tauliah dari dua negeri atau menggunakan khidmat dua orang peguam syarie dan pastinya akan menimbulkan masalah kepada pihak berkenaan.

Adalah lebih kemas jika penerimaan masuk peguam syarie ini diselaraskan di seluruh Malaysia supaya tidak tidak timbul kekeliruan serta memudahkan peguam syarie untuk beramal di setiap negeri tanpa melalui proses temu duga di semua negeri.
Seharusnya penerimaan masuk peguam syarie diseragamkan serta dipermudahkan memandangkan profesion peguam syarie sudah berkembang seiring pertambahan kes di Mahkamah Syariah dengan isu serta masalah semakin rumit.

Selain itu, isu kelayakan penerimaan masuk yang berbeza antara negeri menyebabkan tahap profesional sesetengah peguam syarie dipersoalkan kerana ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang longgar dan ada negeri mempunyai syarat kelayakan yang ketat.

Sementara bagi etika peguam syarie pula, tiada peruntukan khas mengenai tatatertib serta kod etika seragam, yang ada hanya bersifat pentadbiran serta tiada kuatkuasa undang-undang.

Justeru, bagi menyelesaikan masalah itu, perlu kepada Akta Peguam Syarie. Akta ini akan mewujudkan Majlis Peguam Syarie yang sama peranan serta fungsi dengan Majlis Peguam Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976.

Penubuhan Akta Guaman Syarie ini juga akan membentuk majlis yang menjaga kebajikan dan mengawal selia peguam syarie melalui Majlis Peguam Syarie Malaysia yang berperanan seperti Majlis Peguam Malaysia.

Akta Peguam Syarie mampu menaikkan kedudukan dan martabat peguam syarie sebagai pihak untuk melicinkan perjalanan proses keadilan di mahkamah. Taraf profesion peguam syarie juga setanding kedudukan peguam cara dan peguam bela di Mahkamah Sivil.

Ketiadaan akta khusus menyebabkan sukar untuk mengawal peguam syarie yang terbabit salah laku seperti menipu anak guam, membawa pembuktian palsu, mengenakan caj tidak munasabah kerana tidak ada badan mempunyai kredibiliti untuk mengambil tindakan terhadap mereka.

Akta Profesion Guaman Syarie secara tidak langsung akan memartabatkan kedudukan Undang-undang Syariah di Malaysia khususnya dan di peringkat antarabangsa amnya. Peguam syarie akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi dan membolehkan mereka mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah di peringkat antarabangsa.

Peguam syarie akan diiktiraf oleh dunia luar untuk beramal di negara mereka dalam mengendalikan kes berkaitan undang-undang syariah dengan membuka firma guaman syarie bertaraf antarabangsa.

Akta ini memberi impak terhadap transformasi perubahan dalam perundangan Islam negara dan pada masa sama bakal menjadi pencetus transformasi peguam syarie sendiri seterusnya mengubah persepsi sesetengah pihak yang menganggap peguam syarie sebagai peguam kelas kedua.

Sesuai keperluan Akta Guaman Syarie itu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dengan kerjasama Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) akan menganjurkan Konvensyen Peguam Syarie.

Konvensyen kali kedua dengan tema ‘Akta Guaman Syarie – Prospek Pengukuhan Institusi Kehakiman Syariah di Malaysia menjelang 2020’ akan diadakan pada 30 Jun depan, akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Konvensyen ini diharap mempercepatkan kewujudan Akta Guaman Syarie yang telah dirancang bagi meningkatkan kedudukan institusi kehakiman syariah serta kepeguaman syarie di Malaysia.

Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Thursday, May 5, 2011

Pembuktian zina ikut syarak mesti ada pengakuan

Mohamad Isa Abdul Ralip

Berita Harian, 13 April 2011 12:39

Si penuduh boleh dihukum sebat 80 kali jika bukti dibawanya palsu, saksi tak cukup syarat

DEWASA ini ada banyak kes membabitkan pembuangan bayi akibat perlakuan zina. Nasib bayi yang dibuang sering meruntun hati masyarakat yang turut memikirkan cara terbaik untuk menjaga dan mendidik anak itu serta bagaimana ingin memberi kesedaran kepada pelakunya.

Persoalannya, adakah kesalahan zina yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Zina adalah kesalahan yang berat mengikut hukum syarak sehingga larangannya dijelaskan Allah dalam Al-Quran melalui firmannya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah Al-Israk, ayat 32)

Ini ditegaskan lagi melalui hukuman dikenakan terhadap penzina jika disabitkan kesalahan yang turut termaktub dalam Al-Quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat setiap seorang daripada keduanya 100 kali sebat dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap kedua-duanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan orang yang beriman.” (Surah An-Nisa, ayat 2)


Mengikut hukum Islam, hukuman zina berbeza mengikut kategori bagi pesalah yang sudah berkahwin (mukhsan) atau belum (ghair mukhsan). Jika sudah berkahwin, dikenakan hukuman rejam sampai mati manakala yang belum berkahwin akan dirotan 100 sebatan.

Melihat betapa seriusnya kesalahan zina ini, hukum syarak menetapkan si penuduh orang lain melakukan zina yang gagal membuktikan dakwaannya turut dihukum iaitu dikenakan 80 kali sebatan, disamping itu juga penyaksiannya tidak akan diterima selama-lamanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat, dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang yang fasik.” (Surah an-Nur, ayat 4)

Hukuman berat ini menunjukkan cara pembuktian terhadap pertuduhan zina juga perlu diambil kira. Bukan semua bentuk pembuktian boleh diterima bagi membuktikan kesalahan tertuduh kerana kesan terhadap penyabitan zina amat besar terhadap maruah diri tertuduh.

Walaupun keterangan terhadap pertuduhan boleh dikemukakan dengan pelbagai bentuk, hanya dikira ialah pembuktian melalui pengakuan si pelaku (ikrar) dengan mengambil kira syarat perakuan itu.

Sejarah membuktikan penyabitan kesalahan zina melalui ikrar amat dititikberatkan bagi mengelak sebarang keraguan, paksaan, kecelaruan oleh si pelaku yang menyebabkan beliau membuat perakuan terhadap kesalahan menyebabkan berlaku kesilapan dan penganiayaan terhadap orang yang tidak bersalah.

Rasulullah SAW sendiri, apabila seorang lelaki datang menemui Baginda seraya berkata: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina, maka Rasulullah berpaling darinya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali.

Apabila lelaki berkenaan membuat pengakuan sebanyak empat kali, Rasulullah SAW memanggilnya lalu bersabda: “Adakah engkau gila? Jawab lelaki itu: Tidak. Nabi bersabda lagi: Adakah engkau telah kahwin? Jawab lelaki itu: Ya. Maka Nabi bersabda: Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam.”

Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak boleh dilaksanakan terhadap si pelaku yang menarik balik pengakuannya bahawa sebelum ini beliau melakukan zina.

Bentuk pembuktian kedua yang diterima ialah kesaksian daripada empat orang saksi. Saksi perlu memenuhi syarat ditetapkan oleh hukum syarak sebelum penyaksian diterima iaitu Islam, lelaki, baligh.

Sempurna akal, adil, benar-benar melihat kejadian zina dan penyaksian itu benar-benar menunjukkan zina itu berlaku. Ini bermakna, jika saksi gagal memenuhi salah satu daripada syarat itu, penyaksiannya tidak akan diterima.

Walaupun sesetengah ulama seperti Ibn Qayyim menerima pembuktian melalui tanda (qarinah), ada ulama seperti Imam Syafie yang menolaknya. Penerimaan dan penolakan terhadap bentuk pembuktian berdasarkan kepada hujah masing-masing namun yang pastinya penolakan ini bagi mengelak timbulnya keraguan dalam penyabitan.

Kesalahan berkaitan dengan perbuatan zina diperuntukkan dalam undang-undang syariah. Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 menetapkan lelaki yang melakukan persetubuhan dengan perempuan bukan isteri sah adalah melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum mana-mana kombinasi hukuman itu.

Kewujudan pelbagai peralatan canggih tidak dapat menafikan bentuk pembuktian yang ditetapkan kerana sebarang bentuk dokumen mahupun peralatan canggih masih boleh menimbulkan keraguan. Adalah tidak mustahil dokumen itu diubah suai bagi boleh menyabitkan seseorang dengan kesalahan.

Pembuktian bagi kesalahan zina tidak wajar disamakan oleh mana-mana pihak dengan pembuktian kes rompakan yang dirakam. Pembuktian bagi kesalahan zina adalah ketat seperti ditetapkan hukum syarak.

Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Bharian Online, 2011/04/27

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagia apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Penyebaran isu secara terbuka beri kesan buruk kepada Islam, negara

Oleh Musa Awang

Berita Harian
04/05/2011

Prosedur syariah perlu dilakukan dalam mahkamah selepas diperintah hakim

SAYA menerima e-mel dari seorang ibu yang mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan berumur 13 dan 12 tahun, yang meluahkan rasa malu serta kecewa apabila mutakhir ini terpaksa menerangkan kepada anaknya istilah ‘liwat’ dan ‘zina.’

Terutama sekali selepas isu video seks seorang yang dikatakan mirip ketua pembangkang menjadi sebaran eksklusif di saluran televisyen dan internet. Si ibu dan suami selalu menonton berita bersama anak kerana itulah masa mereka bersama selepas sibuk seharian dengan tugasan masing-masing.

Katanya, semasa isu liwat hebah dulu, beliau dan suami terpaksa menerangkan secara jujur dan ikhlas kepada anak mereka yang begitu cerdik menyoal secara terperinci dan bersikap ingin tahu.

Bayangkan apabila si anak lelaki bertanya bagaimana organ lelaki pelaku boleh masuk ke lubang dubur pengadu memandangkan lubang dubur itu amat ketat. Jadi, ibu terpaksa menjawab mungkin yang kena tuduh terpaksa gunakan pelincir seperti Johnson Cream. Lalu si anak bertanya pula apa itu pelincir Johnson Cream?

Kini, apabila heboh diperkatakan mengenai video klip itu, kedua-dua anaknya ingin tahu pula apa itu zina. Ibu terpaksa menerangkan maksud istilah itu. Pertanyaan lanjut anak ialah: “Oh! Dulu masuk lubang belakang, sekarang masuk lubang depan.”

Malah, anak turut bertanya apakah televisyen akan menyiarkan gambar organ yang kena tuduh itu memasuki lubang belakang dan lubang depan.

Betapa sukarnya ibu atau bapa yang terpaksa berdepan soalan anak berkaitan apa yang sampai ke telinga mereka daripada perbuatan sesetengah pihak yang ghairah menyajikan cerita sensasi untuk tujuan kemenangan sementara politik. Lebih malu, yang menuduh dan pelaku adalah orang Islam.
Tidak habis isu liwat, zina, video seks, terkini isu sumpah laknat (mubahalah) pula. Walhal dalam Islam sendiri, sumpah laknat hanya dibenarkan dalam kes li’an antara suami isteri.

Sumpah laknat selain antara suami isteri tidak diperuntukkan dalam kes jenayah menurut hukum syarak kerana kes jenayah perlu melalui prosedur jenayah. Mubahalah biasanya berlaku dalam kes akidah seperti cabaran mubahalah Rasulullah SAW terhadap Kristian dan Yahudi.

Sumpah adalah sebahagian prosedur perundangan syariah dan perlu dilakukan dalam Mahkamah Syariah selepas diperintahkan oleh hakim, bukan bersumpah di masjid atau di tempat lain. Mahkamah Syariah perlu dihormati oleh semua pihak.

Amat malang apabila orang Islam dan orang masjid sendiri tidak menghormati Mahkamah Syariah dan menyedihkan lagi, akibat tindakan itu berlaku perbalahan sesama Islam, dalam rumah Allah yang suci.

Jadi, tamatkanlah segera isu video seks kerana tingkah laku kita menggambarkan seolah-olah kita tinggal di dunia yang tidak bertamadun dan tiada undang-undang.

Tindakan menyebarkan video seks kepada khalayak ramai, kemudian menjadi perbincangan umum, bersumpah laknat dan meminta masyarakat menghukum adalah tidak bermoral, rosak akhlak dan masyarakat.

Negara ini ada undang-undang, malah ada dua sistem mahkamah di negara ini, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah.

Sebagai rakyat yang mendidik akhlak baik kepada anak, pasti kita mahu melihat pelaku dan pihak mengedarkan video itu dihukum menurut undang-undang negara ini.

Dalam Islam, aduan terhadap sesuatu kesalahan orang Islam lain digalakkan dibuat secara tertutup menurut saluran ditetapkan supaya dapat dibicarakan di mahkamah dengan mengemukakan bukti dan saksi yang boleh membantu dakwaan.
Dengan cara itu, keadilan dapat ditegakkan melalui saluran perundangan, bukan membiarkan masyarakat membuat penghakiman.

Mari kita renung hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan timbul di akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan jahat). Allah berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutan-Ku? Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada-Ku? Demi kebesaran-Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu).” (Hadis riwayat Termizi)